Nampaknya dalam bulan puasa ini tidak banyak hal yang dapat saya paparkan. Keletihan berpuasa? Tiada idea? Malas menulis sesuatu? Sibuk dan tidak ada masa? Dan berbagai sebab lagi?
Semua yang diatas itu bukan penyebab mengapa saya tidak menulis atau mengemaskinikan blog kecil ini.
Jadi mengapa saya senyap sunyi saja dalam banyak hari dalam bulan puasa ini?
Sebenarnya ada juga yang hendak saya tulis. Tapi saya lebih suka membiarkan saja hal-hal tersebut berlalu saja tanpa dipaparkan dalam blog ini. Bukan bermaksud tidak mahu berkongsi cerita atau pandangan. Cuma dalam bulan puasa ini biarlah ianya berlalu begitu saja.
Namun pada kali ini saya hanya hendak menyebut beberapa pemerhatian saya tentang hal-hal yang berlaku setiap kali bulan puasa.
Pertama ialah tentang orang meninggal dunia. Setiap dalam bulan puasa ada saja berita orang yang kita kenal atau satu kariah dengan kita yang meninggal dunia.
Kedua kenaikan harga makanan, perkhidmatan dan barang-barang yang lain. Kenaikan harga ayam misalnya adalah suatu perkara yang berulang setiap tahun pada bulan puasa. Mungkin kenaikan ini ada kena mengena dengan pertambahan bilangan orang yang membeli ayam atau makanan-makanan yang lain sebagai makanan dalam bulan puasa. Ertinya pada bulan puasa ini kita lebih banyak berbelanja dalam hal makanan.
Perkara kenaikan harga ayam ini adalah perkara yang berulang setiap tahun dalam bulan puasa. Maknanya pihak yang berkuasa sudah tahu bahawa setiap bulan puasa keperluan atau permintaan daging ayam melebihi dari bulan-bulan yang lain. Oleh itu sepatutnya tindakan untuk menambah bekalan daging ayam patut dilakukan dalam bulan puasa sama ada secara mendapatkan bekalan dalam negara atau dimpot dari luar negara.
Jadi tidaklah wajar menteri yang bertanggongjawab menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli daging ayam jika harga ayam itu meningkat. Jadi kena makan daging dan ikan? Harga ikan dan daging adalah lebih tinggi dari harga ayam!
Harga ayam naik , jangan makan ayam? Harga pakaiaan naik , jangan pakai pakaian? Itu satu nasihat yang tidak rasional.
Perkara ketiga ialah tentang penggunaan perkhidmatan imam/tahfiz dari Arab Saudi dalam memimpin solat terawih dan ibadat-ibadat lain seperti kiamulail. Setiap tahun dalam bulan puasa imam dari Mekah akan dijemput untuk memimpin solat terawih dan ibadat-ibadat yang lain. Saya tidak pasti apakah rasionalnya.
Mungkin ambil barkat kerana ianya dari Mekah? Mungkin ianya seorang tahfiz maka pada setiap malam akan membaca surah-surah dengan lancar dengan bacaan yang baik?
Sekali lagi saya beritahu bahawa saya tidak tahu rasionalnya. Tapi apa yang saya difahamkan bahawa kehadiran imam impot itu adalah atas biayaan kerajaan: tempat tinggal dan makanan dan lain-lainnya.
Apabila kita perlu mendapatkan seseorang luar ianya bermakan kita kekurangan orang dalam. Maknanya kita tidak ada atau kurang hafiz. Atau orang yang ada dalam negara kita tidak mampu sebaik yang dilakukan oleh imam dari Mekah itu. Begitu kah?
Saya tidak berpendapat begitu. Saya percaya kita mempunyai orang-orang sendiri yang boleh melakukan kalau pun tidak melebihi dari imam dari luar . Orang-orang kita tidaklah kurang kelancaran hafazannya dan baik bacaannya. Mengapa kita tidak memberi peluang kepada hafiz-hafiz kita sendiri yang saya percaya tidak melibatkan bayaran yang besar berbanding dengan imam impot.
Perkara ke empat ialah solat terawih. Setiap tahun ada saja perbincangan tentang bilangan rakaat solat terawih itu, 20 atau 8 rakaat. Perkara seperti ini pun terus menjadi perbincangan yang tidak selesai. seingat saya semasa kecil lagi perkara ini menjadi perbincangan malah perbalahan yang memberi kesan yang tidak baik. Mengapa perlu dibincang dan ditimbulkan hal-hal seperti ini.
Sehubung dengan solat terawih juga, saya dapati ada perkembangan yang baik dari segi bilangan yang melakukannya. Kalau dulu pada awal-awal berpuasa, bilangan orang berterawih adalah lebih ramai berbanding hari-hari pertengahan dan yang terakhir. Tapi di tempat saya, dari hari ke sehari bilangan yang berterawih tidak berkurangan bermula dari hari pertama sehingga sekarang ini. Malah bilangannya bertambah. Alhamdulillah.
Selamat meneruskan ibadat berpuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan