Theflowersellingboy

Rabu, 15 Jun 2016

Adakah Dak Ai Pekerja Kontrek Itu Berpuasa?

 
 
 
Paparan dibawah ini hanya sebuah cerita rekaan. Bukan cerita benar.
 
                                   xxxxxxxxxx
 
Aku kuli kontrek saja. Banyak terdedah kepada sinaran matahari. Buat kerja berat bersama dengan kawan-kawan menyiapkan berbagai projek binaan, yang tinggi bertingkat dan yang tidak bertingkat. Bukan untuk aku dan tidak juga untuk kawan-kawanku. Untuk orang lain lah. 

Sebagai pekerja kontrek binaan, kami mempunyai tenaga fizikal yang hebat serta tahan lasak. Pekerja pejabat jangan cuba-cuba mahu bersaing tenaga dan kelasakan dengan kami. Malu nanti.
 
Minta maaf, bukan niat aku untuk mencabar pekerja pejabat. Aku hanya mahu menyatakan perkara sebenar. 

Satu contoh ialah kehebatan aku dan kawan-kawan bekerja ditengah panas terik dalam tempoh yang panjang. Aku tidak fikir pekerja pejabat sanggup melakukannya, walaupun kurang dari 5 minit. 
 
Cuma aku dan kawan-kawan aku tidak tahan dahaga. Banyak air yang kami minum untuk memulihkan tenaga. Yang ini pekerja pejabat boleh menang. 
 
Panas perit oiii, bukan kepalang. Itulah basahan hidup kami untuk mencari rezeki.
 
Lihat saja warna kulitku. Asalnya tidaklah segelap awan mendung. Tapi bila hari-hari terdedah dengan panahan sang matahari, kulit aku sudah 'sun-burned'. 
 
Terlupa pula aku nak beritahu namaku.

Orang kampongku panggil aku Dak Ai. Dak itu pendekan dari kata budak. 
 
Aku tidak tahu dari mana datangnya sebutan Ai sedangkan nama aku tidak sebegitu sebutannya. Tapi biarkanlah, aku terima panggilan sebagai Dak Ai atau Ai saja. Aku seronok dengan Ai itu. 

Aku membahasakan diriku juga sebagai Ai. Sama dengan sebutan I dalam bahasa Inggeris. Aku seronok gila, terasa status aku sama macam orang putih yang banyak orang pandang tinggi. 
 
Bayangkan seorang kuli kontrek membahasakan dirinya I. Macam orang berpendidikan  Inggeris. Sekolah Melayu pun hanya diperingkat rendah! 
 
Hahahaha, jangan marah dan jangan ada yang bulu telinganya tegak. Meluat.

Bapaku seorang Imam kampong. Orang panggil bapaku sebagai ustaz. Dia seorang yang sangat mengambil berat dan keras tentang melaksanakan tanggungjawab agama terutama solat fardhu dan puasa.

Kami adik beradik 3 orang semuanya , memang dilatih semenjak berusia 4 tahun lagi untuk solat dan berpuasa. Bapaku selalu memuji aku berbanding dengan yang lain dalam hal melaksanakan tanggungjawab agama itu. Jadi ada masanya mereka panggil aku lebai.

Lebai? Oh mungkin ini sebabnya aku dipanggil Ai? 

Cukuplah sedikit tentang diriku. Aku ada satu cerita dalam bulan puasa.

Seorang abangku bertugas sebagai pegawai penguatkuasa di sebuah institusi agama. Seorang lagi bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Pegawai juga. Aku saja yang kerja kontrek sepadan dengan tahap pendidikan. Padan muka aku.

Pada satu hari dalam bulan puasa, kami berbuka dirumah bapa, berkumpul sekeluarga. Bapaku buat keputusan tidak berjemaah disurau. Dia telah meminta orang lain menggantikannya. Dia mahu berjemaah di rumah dengan anak-anak dan cucu pada hari itu. 
 
Sambil berbuka kami bercerita. Cerita tentang orang yang tidak berpuasa.

Cerita itu dimulakan oleh abang yang jadi penguatkuasa agama itu. Katanya dia telah berjaya menangkap lebih dari 10 orang yang tidak berpuasa kerana makan dikhalayak ramai. 
 
Kadang-kadang dia kantoi juga kerana silap orang. Asalkan rupa Melayu, orang itu melayu dan Islamlah, bagi abang aku. Abang telah menyerbu orang itu yang sedang makan disebuah restoran. Orang itu amat marah dan bertanyakan apa kesalahannya.

Sebaik saja  dia diberitahu kerana tidak berpuasa orang itu dengan berang mengeluarkan kad pengenalannya. Sah dia bukan orang Islam. Tidak juga orang Melayu. Abang aku terpaksa minta maaf. Kami semuanya ketawa. Padan muka abang aku itu kerana bertindak berasaskan pra sangka dan tanpa maklumat yang sahih.
 
Abang beritahu yang tidak berpuasa itu terdiri dari orang Islam dari berbagai sektor pekerjaan. Ada kerja pejabat dan ada yang kerja kontrek macam aku.
 
Bapaku paling kuat menyokong tindakan menangkap orang yang tidak berpuasa. Katanya memalukan. Malu kepada agama lain kata bapaku. Tambah-tambah lagi bila abangku kata mereka itu makan dikhalayak ramai. Maka bapaku kata,"Padan muka".
 
"Pekerja kontrek pun abang tangkap?" Aku tanya abang.
 
Abang mengangguk. Katanya pekerja itu makan dikhalayak ramai.
 
"Tapi kalau dia minum kerana dahaga, sebab kerja berat dalam panas terik , macam mana bang?" Aku bertanya abang.
 
Abang aku macam tidak percaya dengan pertanyaan itu datangnya dari aku seolah-olah aku tidak tahu bahawa minum pun tidak boleh semasa berpuasa. Bukankah aku ini lebai? Macam mana boleh tanya soalan bodoh itu.
 
"Mana boleh minum dikhalayak ramai", kata abangku.
 
"Dia orang haus bang. Kerja berat. Panas terik bang".Aku minta simpati.
 
"Ai pun kerja kontrek juga. Dan Ai berpuasa. Kalau Ai boleh tahan dahaga mengapa dia orang tidak boleh. Sebenarnya tidak dilatih semasa kecil dulu", kata abang.
 
Bapaku pandang padaku, wajahnya ceria dan terukir senyum dibibir semacam beri isyarat bahawa dia bangga dengan aku anaknya, yang dapat menahan dahaga dalam bulan puasa walaupun kerja dalam panas terik. 

Aku tunduk. Aku tidak mampu menelan makanan yang sedang aku kunyah. Kesat rasanya untuk menyusuri tekak. Akhirnya berjaya juga aku telan kerana aku ada satu soalan penting untuk abang aku.

"Abang tak tukar kerja di sini?"

Abang geleng kepala. Katanya perkhidmatannya adalah perkhidmatan tertutup. Tak boleh tukar ke jabatan dan negeri lain.

Ah aku rasa lega dengan jawapan abang itu.

"Puasa tanpa solat, tidak ada makna. Mari kita semua solat berjemaah", bapa memberhentikan perbualan di meja makan. Dia mendahului kami untuk mengambil wudu'. 

Aku menuju ke bilik air bagi tujuan yang sama. Hatiku berbisik bertanya, macam mana pula jika orang bersolat tetapi tidak berpuasa. Ada makna kah? Dan dia pula bersama-sama makan berbuka? Adakah orang seperti ini termasuk dalam senarai abang aku yang boleh ditangkap?

Aku tersenyum sendirian kerana abang aku tetap di tempat kerja lamanya. Bukan disini.






  
 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan