Theflowersellingboy

Selasa, 14 Jun 2016

Kerja Berat Dalam Bulan Puasa:Mampukah Kita Melakukannya.




1. Selamat menjalani ibadat puasa semoga amalan puasa kita itu diterima oleh Allah SWT.
 
2. Dalam bulan Ramadhan ini saya banyak berihat. Kalau buat kerja pun, hanya dalam tempoh masa yang pendek, paling lama 2 jam. 
 
3. Berbeza dengan pekerja kontraktor binaan yang sedang membuat sebuah rumah tidak jauh dari rumah saya, mereka telah mula bekerja pada jam 7 pagi dan berakhir menghampiri pukul 6 petang. Mereka bekerja di tengah panas terik dalam tempoh yang begitu lama.

4. Saya tidak pasti, apakah pekerja itu beragama Islam. Tapi saya mengandaikan ada diantara mereka beragama Islam. Jika mereka berpuasa, maka saya menghormati mereka. Berlapar dan berdahaga tapi sanggup melakukan kerja berat di hari panas terik. 
 
5. Jika mereka tidak berpuasa, saya amat memahami. Tetapi adakah selama-lamanya mereka terpaksa tidak  berpuasa? Apa kedudukan dari segi hukum?

6. Sudah tentu mereka mengeluarkan peluh yang banyak. Tekak menjadi kering dan tubuh kekurangan air. Mungkin akan mengalami gejala dihaiderasi (kurang air dalam anggota badan) yang membahayakan nyawa. Lapar pula.
 
7. Saya selalu bertanya pada diri sendiri: Adakah mereka tidak dahaga? Saya menjawab : Jika saya melakukan kerja seperti mereka itu, sudah tentu berbotol air akan saya minum.

8. Jawapan saya itu tidak bermaksud saya mengatakan mereka tidak berpuasa. Jawapan itu hanya menjelaskan kedudukan saya yang tidak dapat menahan diri dari dahaga jika banyak bekerja, apatah lagi melakukan kerja berat dalam bulan puasa. Saya percaya sebahagian besar orang juga seperti saya.
 
7. Jawapan itu juga adalah satu pernyataan rasa kagum saya kepada mana-mana pekerja kontraktor binaan dan mereka yang melakukan kerja berat yang sanggup menjalankan ibadat berpuasa.
 
8.  Seandainya saya seperti mereka, bagaimana, sanggupkah saya berpuasa? Susah bagi saya hendak menjawab kerana terpaksa memilih diantara kewajipan agama dan kesanggupan untuk bertahan lapar dan dahaga. Mungkin saya akan tewas.
 
9. Yang pasti ialah saya bukan seperti mereka yang melakukan kerja berat dalam bulan puasa. Sebab itu saya boleh tahan dahaga. Sesungguhnya  saya bersyukur ke hadrat  Allah SWT.
 
10.  Selalu saya bertanya soalan : Mengapa tidak ada peraturan/undang-undang yang memperuntukkan bahawa dalam bulan puasa, pekerja-pekerja Islam dikecualikan dari melakukan kerja-kerja fizikal yang berat dan terdedah kepada panas terik?
 
11. Ya, mungkin ada pihak yang melihat peraturan seperti itu sebagai tidak munasabah dan praktikal, bahkan bersifat diskriminasi. 
 
12. Baik, jika peraturan seperti itu dianggap sebagai diskriminasi bagaimana pula jika diadakan peraturan/undang-undang yang mensyaratkan pada bulan puasa kerja-kerja berat seperti itu dihad/dipendekkan tempoh masanya tanpa mengambilkira sama ada pekerja Islam dan bukan Islam. Gaji/upah tetap sama.
 
13. Tidak praktikal juga? Atau boleh melambatkan/merencatkan pembangunan negara?
 
14. Jika mahu cari alasan menolak cadangan seperti itu, memang mudah dan banyak.
 
15. Tetapi isunya ialah bagaimana hendak menyelamatkan pekerja Islam dalam sektor kerja berat agar mereka mampu berpuasa. 

16. Pada puasa tahun ini penjawat awam telah diberi kebenaran untuk memendekkan masa kerja dari tempoh masa biasa agar dapat segera balik ke rumah untuk persiapan berkaitan dengan ibadah puasa itu. Satu keputusan yang menggembirakan penjawat awam dan sudah tentu memudahkan mereka dalam menghadapi ibadah berpuasa.
 
17. Jika penjawat awam yang sebahagian besar bekerja dalam suasana lebih selesa, yang tidak berpanas terik, yang tidak menghadapi dahaga yang amat sangat, diberi kemudahan dalam bulan puasa, mengapa tidak difikirkan sesuatu untuk pekerja binaan dan yang sejenis dengannya?
 
18. Jika penjawat awam atau sesiapa saja selain yang bekerja berat ditangkap kerana tidak berpuasa oleh pihak berkuasa agama, adakah pekerja berat ini boleh dikecualikan jika didapati tidak berpuasa? Mungkin itu yang akan ditanya oleh pekerja berat ini atas alasan perbezaan layanan diantara mereka dengan penjawat awam.

19. Dan jika pekerja berat ini ditangkap kerana tidak berpuasa adakah ianya satu jalan penyelesaian yang boleh membantu mereka untuk berpuasa pada masa depan?

20. Dan akhir sekali saya mahu tanya berapa ramai diantara kita yang sanggup melakukan kerja berat dalam panas terik dalam keadaan berpuasa? Saudara yang mampu melakukannya, saya tabik hormat , mudah-mudahan kekuatan yang saudara tunjukkan itu mampu dijadikan contoh.
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan