Theflowersellingboy

Selasa, 3 Mac 2015

Lawatan ke Turki, Mesir Dalam Perjalanan Menghadiri Konvokesyen di Universiti Mansoura Mesir





Sudah lama berehat. Semenjak percutian ke Turki dan Mesir dalam perjalanan menghadiri konvokesyen anak di Universiti Mansoura di Mesir, dan kembali ke Malaysia, saya lebih suka berehat dengan membaca cerita-cerita dari berbagai-bagai sumber dari berfikir untuk menulis sesuatu dalam blog ini.

Tiada mood atau ransangan untuk menulis. Hanya dua paparan pendek tentang mengambil maklum keputusan mahkamah persekutuan mensabitkan kesalahan Anwar Ibrahim dengan hukuman penjara 5 tahun, dan ucapan takziah atas kembalinya TGNA ke rahmullah, yang tergerak hati dan tangan untuk mengingati dan menulis dalam blog ini.

Ini bermakna semenjak 16 Januari 2015, sehingga hari ini 3 Mac 2015, melainkan dua tarikh bagi dua perkara yang dinyatakan diatas, blog ini menyepi.

Sebenarnya apabila saja kembali ke malaysia dari menghdiri konvokesyen anak itu iaitu pada 2 Februari 2015 dan mengambil masa beberapa hari berihat, saya bercadang untuk mencatat dan merakamkan sedikit cerita lawatan di Turki , Mesir dan hari konvokesyen di Universiti Mansoura Mesir untuk dikongsi sama dengan pembaca blog ini. 

Tapi dua peristiwa diatas yang amat memberi kesan kepada saya telah menjadikan saya hilang mood untuk menulis. 

Sebenarnya saya berkabung, kalau istilah itu boleh dipakai bagi memberi makna dukacita, sedih, kecewa , hilang percaya dan marah. Tentunya saya bersedih diatas pemergian TGNA dan mendoakan arwah dimasukkan dikalangan orang yang diredhai. Dan sudah tentu saya jadi marah dan terus tidak percaya kepada institusi yang sepatutnya kita meletakkan sepenuh keyakinan.

Perlahan-lahan perasaan saya diatas itu mula pulih. Kehidupan perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan. 

Saya perlu menerima hakikat bahawa saya tidak wajar mensia-siakan ruang dan peluang yang ada bagi menyubur dan menyemarakkan perkara yang hak dan menentang yang batil sekalipun gelombang dan taufan kebatilan itu sentiasa menguasai dalam kehidupan kita ketika ini. 

Usah dirisau fasal tewas kerana tewas itu adalah juga petanda kepada satu perjuangan, kalau kita sebenarnya berjuang. Dan saya berjuang menerusi penulisan.

Saya terus mahu menulis. 

Saya mulakan buat permulaan ini dengan catatan ringkas percutian di Turki, Mesir dan konvokesyen di Universiti Mansoura.  

Saya dan isteri mengambil penerbangan Ittihad dan berlepas dari KLIA pada pagi 20 Januari 2015 menuju ke Istanbul dengan persinggahan (transit) beberapa jam di Abu Dhabi. Sampai di Istanbul pukul 10 pagi waktu tempatan pada tarikh yang sama. 

Di lapangan terbang Istanbul telah menunggu anak perempuan saya Siti Nuradilla yang terbang dari Cairo. Kami bertiga menunggu ketibaan seorang lagi anak perempuan saya (Jaja) bersama keluarganya (suami dan dua orang anak) yang berlepas beberapa jam kemudian selepas penerbangan kami dan singgah di Doha sebelum ke Istanbul. Pukul 5 petang mereka pun sampai.

Berkumpullah satu keluarga yang besar di Turki. Sayang sekali dua lagi anak saya dan keluarganya tidak dapat bersama kerana ada urusan lain di malaysia. Jika semuanya dapat bersama, jumlah ahli keluarga menjadi 13 orang. Sudah tentu menyeronokkan. Namun kami yang bertujuh ini merasakan lawatan ke Istanbul dan beberapa tempat di Turki ini amat berbaloi sekali.

Saya akan menceritakan lebih terperinci tentang percutian di Turki nanti, beserta dengan gambar.

Selepas seminggu di Turki kami ke Cairo Mesir untuk tujuan menghadiri konvokesyen di Universiti Mansoura, tanpa di sertai oleh anak saya Jaja dan keluarganya. Mereka terbang balik ke malaysia, selepas dua hari kami ke Cairo.

Di Turki dan di Mesir, dua buah negara majoriti Islam. Ianya amat berbeza sekali dalam banyak aspek kehidupan. Saya hanya menyimpulkan bahawa jika mahu nyaman dan ceria lawatlah Turki. Dan jika mahu cabaran hidup, menguji ketahanan terutamanyanya dalam mendapatkan ilmu belajarlah di Mesir, disana tiada yang senang banyak yang menyulitkan.

Saya tabik hormat kepada pelajar-pelajar kita yang belajar disana khususnya pelajar perubatan yang berani dan cekal dalam menempuh susana dan persekitaran pembelajaran yang mudah mematahkan semangat jika tidak ada kepercayaan dan kekuatan untuk menghadapinya. Saya tabik hormat anak saya Siti Nuradilla dan kawan-kawan perempuannya yang lain kerana telah berjaya menempuhi kesukaran dalam tempuh lebih dari enam tahun.

Tahniah kepada semua yang telah menerima ijazah kedoktoran. Berkhidmatlah nanti dengan penuh cekal seperti kecekalan kalian dalam tempuh lebih enam tahun menghadapi suasana dan persekitaran yang tidak mudah, apatah lagi bagi yang perempuan.

Bersambung bagi cerita yang lebih terperinci.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan