Theflowersellingboy

Rabu, 2 April 2014

MENCARI KEBENARAN: Peristiwa Pembunuhan DI Memali.





Mencari kebenaran. Kali ini tentang peristiwa Memali. Tontonlah video ini terlebih dulu.

Peristiwa Pembunuhan di Memali, Kedah muncul lagi ceritanya setelah 30 tahun berlalu. 

Mengenang semula, saya ketika itu baru saja dua tahun bekerja, masih fresh lagi, seorang yang idealistik . Ertinya, saya masih lagi membawa ideal sebagai seorang pelajar universiti -melihat sesuatu dengan kecenderungan menyebelahi kepada yang lemah.

Bagi saya tidak mungkin penduduk kampong yang berkumpul berhadapan dengan kerajaan (polis) itu, mampu untuk melakukan serangan dan boleh membahayakan pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata moden, berkereta kebal, sedangkan senjata yang ada pada orang kampong itu hanya parang dan yang sejenis dengannya seperti kayu.

Mereka (orang kampong) itu dikepung oleh pasukan keselamatan.

Ertinya, pada pendapat saya ketika itu, mereka boleh ditewaskan dengan hanya mengepung mereka agar tidak dapat bergerak ke mana-mana. Dengan demikian , mereka akan terputus bekalan makanan dan minuman. Saya percaya mereka tidak akan boleh bertahan lama kerana kelaparan. 

Pihak polis tidak perlu merempuh dan menyerang mereka. Jika pun dikatakan mereka memulakan serangan keatas polis, atau membuat provokasi terlebih dahulu, saya percaya mereka tidak akan berjaya menewaskan polis. 

Apalah kuatnya parang dan pisau serta kayu belantan berbanding dengan senapang moden dan kereta kebal? 

Sama seperti pertempuran diantara rakyat palestin dengan tentera penceroboh Israil. Apalah kuatnya lastik dan balingan batu yang digunakan oleh rakyat palestin berbanding dengan senapang, meriam dan kereta kebal Israil?

Mengenang semula cerita ini, pada ketika itu saya mengatakan tindakan polis itu adalah tidak bijak dan tidak adil -menyerang sehingga menyebabkan pembunuhan ke atas orang yang lemah. Mati kataklah orang-orang yang lemah itu.

Tapi, polis yang terlibat dalam pembunuhan itu, saya percaya melakukannya dengan menerima arahan dari pihak yang lebih berkuasa.

Pembunuhan telah berlaku. Ibrahim Libya, dan pengikut-pengikutnya  yang terkepung itu, kalau tidak silap seramai 14 orang, tewas, mati terbunuh. Dan ramai yang lain cedera. 

Kerajaan mempertahankan tindakan yang dilakukan. Sebahagian orang ramai, terutama pengikut parti PAS, termasuk saya tidak bersetuju. Malah PAS paling kuat menyalahkan tindakan kerajaan itu dan menganggap mereka yang terbunuh itu sebagai mati syahid.

Polis yang melakukannya atas arahan. Siapakah yang memberi arahan?

Sudah tentu orang yang ada kuasa yang bertanggungjawab dalam hal keselamatan dalam negeri - Menteri Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Musa Hitam. Maka Musa Hitam mesti bertanggungjawab keatas apa yang telah berlaku.

Tapi Musa Hitam bukan ketua kerajaan, bukan Perdana Menteri ketika itu. Perdana Menteri ialah Mahathir. Dengan demikian, Mahathir juga mesti mengambil tanggungjawab.

Namun terdapat cerita dan diberitakan ketika itu bahawa Mahathir tidak berada di dalam negeri. Beliau sudah berada di China. 

Ertinya, tanggungjawab sepenuhnya mesti dipikul oleh Musa Hitam. Itulah yang mahu difahamkan dan diberitahu kepada orang ramai.

Ketika itu dan sehingga kini, saya mempunyai pendapat yang berbeza. Selain dari Musa Hitam, sebagai Menteri Dalam Negeri, Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu, mesti memikul tanggungjawab yang sama, sama ada beliau berada didalam atau diluar negeri. 

Cuma, di Malaysia ini, cara pemimpin mengambil tanggungjawab diatas perbuatan seperti yang berlaku dalam peristiwa Memali yang melibatkan kematian dan kecederaan ramai orang, berbeza dengan yang dilakukan oleh pemimpin dunia yang lain khususnya di barat, Jepun dan Korea. Pemimpin tersebut segera meletak jawatan. Paling dahsyat ada yang menunjukkan rasa kecewa, kesal dan bersalah dengan membunuh diri.

Tapi Musa Hitam masih meneruskan tugasnya sebagai menteri dalam negeri. Hanya selepas beberapa tahun, barulah beliau meletak jawatan. Tapi bukan atas sebab peristiwa  Memali.

Dalam video diatas, Musa Hitam menyatakan kekesalannya diatas peristiwa itu setelah 30 tahun berlalu.

Mahathir juga terus menjadi Perdana Menteri selepas peristiwa itu. Bahkan menjadi Perdana Menteri melebihi 22 tahun.

Saya tidak ada maklumat, sama ada secara bisikan orang, berbentuk tulisan atau siaran berbentuk pandang dan dengar seperti tv dan video, tentang pernyataan menyesal Mahathir keatas peristiwa Memali yang menyayatkan hati ini.

Musa Hitam tidak meletakkan jawatan. Tapi beliau menyatakan kekesalan apa yang telah berlaku walaupun selepas 30 tahun berlalu. 

Mahathir tidak meletak jawatan, dan tidak ada kenyataan rasa penyesalan diatas peristiwa itu.

Pernyataan kekesalan adalah satu pernyataan yang dibuat secara sedar bagi mengakui bahawa apa yang telah dilakukan itu adalah salah atau tidak kena atau tidak wajar atau tidak sepatutnya dilakukan.

Maknanya Musa Hitam mengaku bersalah.

Mahathir masih dengan pendirian yang sama, masih tidak mengaku bahawa peristiwa Memali ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Dan apabila ada diberitakan beliau berada diluar negeri semasa berlaku peristiwa malang itu, dan setakat maklumat yang saya tahu, beliau sendiri tidak menafikan berita keberadaannya di luar negeri (China), nampak gaya seolah-olah ketiadaan beliau didalam negeri digunakan sebagai melepaskan tanggungjawab kepada Musa Hitam saja.

Saya berpendapat cara itu tidak wajar. 

Adakah Mahathir bersetuju dengan tindakan Musa Hitam itu?

Jika Mahathir bersetuju maka dia telah mewajarkan pembunuhan yang telah berlaku.  Dan saya lebih cenderung untuk mempercayai pendirian Mahathir seperti itu kerana jika beliau tidak bersetuju dengan tindakan Musa Hitam itu, sudah tentu beliau meminta Musa Hitam meletak jawatan, dan jika Musa berdegil Mahathir tidak ada ketakutan untuk memecat Musa Hitam.

Terlupakah kita dengan kes Anwar Ibrahim yang didakwa dan dituduh meliwat. Mahathir meminta Anwar meletak jawatan. Tapi Anwar manusia degil. Mahathir seperti kilat memecat Anwar.

Anwar dituduh meliwat. Yang akhirnya dibuktikan tidak benar. 

Liwat tidak melibatkan nyawa manusia. Memali melibatkan kehilangan dan kecederaan kepada rakyat, rakyat yang tidak punya daya dan kuasa.

Mana lebih berat untuk dijadikan alasan untuk memecat seorang menteri? 

Saya memilih kehilangan nyawa bagi memecat menteri saya, jika saya PM ketika itu. 

Sebenarnya, itulah saja pilihan saya kerana saya tidak akan membuat fitnah liwat.

Oleh kerana Mahathir sebagai PM ketika itu tidak memecat Musa maka beliau bersetuju apa yang dilakukan oleh Musa ketika itu.

Oleh kerana Mahathir juga tidak menyatakan penyesalan diatas peristiwa Memali itu sehingga sekarang (setakat maklumat yang diketahui) bermakna beliau bersetuju dengan tindakan Musa.

Sekarang Musa telah menyatakan penyesalan. Bermakna telah mengaku bahawa peristiwa Memali itu adalah tidak wajar berlaku.

Kita mahu mencari kebenaran.

Musa menyesal -maknanya mengaku salah.

Mahathir tidak memecat Musa dan tidak pula kata menyesal diatas persiiwa Memali itu. 

Pendirian mana yang benar, diukur dari segi moral, kemanusiaan dan agama? Pendirian Musa sekarang ini atau Mahathir.

Sebagai bahan bagi mencari kebenaran, pernyataan Musa Hitam dalam video diatas boleh dijadikan satu dari sumber yang boleh membantu untuk mencari kebenaran.

Kata Musa , Mahathir berada didalam negeri semasa peristiwa Memali ini.

Mahathir pula apabila diminta respon tentang kenyataan Musa itu, mengatakan beliau tidak ingat kerana sudah lama berlaku, dan perlu buat semakan. 

Kenapa perlu semak sama ada berada diluar atau dalam negeri?

Bagi saya pula, sama ada berada diluar mahupun dalam negeri, seorang ketua iaitu PM mesti mengambil tanggungjawab. Dan bagi saya juga peristiwa Memali ini adalah sangat kejam.

Dan jika saya takut dihukum, saya akan mengatakan penyesalan dan meletak jawatan seperti kilat. 

Saya tidak akan membunuh diri, dan mahu tidak mahu saya hanya ada satu pilihan, -menanti untuk disiasat, didakwa dan dibicarakan sebelum disabitkan untuk sesuatu hukuman.
Dalam kes Memali ini, jika sayalah PM, sudah tentu saya tidak boleh mengatakan hakim itu bertindak tidak adil mensabitkan saya bersalah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan