Theflowersellingboy

Khamis, 1 Mac 2018

Tawaf dan Sa'i Berjalan Baik, alhamduliilah.




Kami menuju ke lampu hijau sebagai tanda mula pusingan tawaf. Lorong yang kami lalui untuk masuk ke kawasan tawaf duduknya terhadapan sedikit dari lampu hijau iaitu tanda memulakan pusingan dan tamat pusingan tawaf. 

Saya terlupa (baru sebulan berlalu saya sudah lupa) sama ada kami melawan arus untuk ke tanda mula itu atau mengikut arus untuk menuju ke kawasan lampu hijau itu.

Saya rasa tidak mungkin kami melawan arus. Jemaah terlalu ramai, besar dan tinggi yang sebahagian besarnya saya percaya memberi tumpuan kepada diri masing-masing/kumpulan tanpa menghiraukan jemaah yang lain. Yang penting masing-masing dapat berjalan terus sambil berdoa. Dan jika ada yang berjalan melawan arus, tanggunglah risiko dilanggar oleh arus jemaah yang begitu ramai bergerak ke hadapan.

Oleh itu , kuat saya mengatakan kami mengikut arus untuk ke lampu hijau. Bermakna kami telah mengambil masa sedikit untuk ke garis mula. Tidak mengapa asalkan selamat.

Ustaz memberi tahu baca apa sahaja doa semasa membuat pusingan tawaf. Jadi kami tidak membaca doa seperti yang ada dalam buku doa yang kami bawa. Kata ustaz doa dalam buku itu hanya panduan bagi mengingatkan pusingan tawaf yang telah kita lakukan. Sebab itu ada 7 doa.

Saya lakukan apa yang dinasihatkan oleh ustaz. Maka saya susunkan doa itu mengikut pusingan. Misalnya doa di pusingan pertama ialah untuk diri saya, memohon keampunan Allah dan bertaubat. Doa pusingan kedua untuk isteri, ketiga untuk anak-anak dan seterusnya untuk kedua ibubapa termasuklah cucu cucu dan lain-lain sehingga cukup 7 semuanya.

Itu yang saya susun. Tapi waktu membuat pusingan lain pula jadinya. Namjun begitu oleh kerana kami berkumpulan dan diketuai pula oleh ustaz , kami dapat melakukan 7 pusingan tanpa was awas dari segi bilangan. Tetapi saya kira baru 6 pusingan. Tetapi yang lain mengesahkan 7 pusingan. Ada pusingan yagn saya lupa kira kot. Maklumlah tidak lama lagi saya berada dalam 7 siri. Mudah lupa.

Alhamdulillah, tawaf, dari segi perbuatan nampaknya sempurna. Semoga diterima Allah.

Setelah solat sunat tawaf ( kesemua kami bersolat berdekatan) di hadapan Ka'abah, dekat juga dengan pintu Kaabah, kami beredar menuju kearah tempat sa'i selepas minum air zam zam. 

Tempat yang kami cadang untuk berjumpa (the meeting point) selepas tawaf , hanya tinggal sebagai yang dirancang tetapi tidak perlu dilaksanakan. Kita merancang, Allah menentukan.

Seperti tawaf, sa'i iaitu berulang alik dari Bukit Safa ke bukit Maruah  sebanyak 7 kali juga berjalan dengan baik. Tiada apa-apa gangguan dan masaalah. Tenaga masih baik lagi. Alhamdulillah.

Setelah bertahlul, kami menuju ke tempat simpanan kasut/sliper. Lama juga berjalan.

Selipar saya ok. Ustaz ok. Anak pun ok. 
Isteri?

Selipar isteri yang baru dibeli dan kali pertama dipakai, saya rasa mahal juga, tidak ada. Kami mencari. Saya agak hampir 15 minit, masih lagi tidak jumpa. Akhirnya isteri memutuskan untuk tidak mencari lagi.

Bagimana nak berjalan balik ke hotel?

Nasib baik dia ada bawa sarung kaki. Berjalanlah dia dengan stokin itu, dan masih mengharapkan kasutnya itu didapati semula. Mungkin ada yang tersalah ambil. Dan isteri akan pergi ke tempat simpanan kasut itu apabila kami ke masjid bagi solat seterusnya.

Perut sudah keroncong, sudah lapar. 

Dalam perjalanan untuk makan, saya teringat akan gerai gerai jual makanan dan minuman. Ada teh tarik dan ada nasi dengan seekor ayam goreng diatasnya. Bagi saya dan isteri seekor ayam itu susah untuk menghabisnya. Tapi saya lihat , seekor ayam itu mudah saja diratah  habis oleh seseorang yang berdekatan dengan meja kami. Bukan orang Malaysia lah.

Itu cerita dulu. Cerita semasa kami mengerja haji tahun 1985. Tidak sekarang. Gerai-gerai seperti itu, dan juga orang-orang Patani yang menjual nasi lemak sudah tiada lagi. Sekarang digantikan dengan restoran dalam kompleks perniagaan yang moden dan cantik.  

Kami ke sana. Isteri dan anak berbaris untuk membuat belian. Saya mahu berbaris sama. Tapi telah dihalang oleh seseorang kerana lelaki dan perempuan tidak boleh berbaris sama. Ada laluan untuk lelaki. Oleh itu saya dan ustaz  tidak berbaris sama. Kami cari meja makan.

Kami makan kebab. Saya kurang selera. Makanan tidak seperti dulu. Tiada teh tarik. Tiada nasi yang diatas ada tertonggok seekor ayam goreng.

Selepas makan kami menuju ke hotel. Disin kami dan ustaz berpisah. Tugasnya sudah habis. Tugas seterus nya diambl alih oleh ustaz yang lain yang belajar di Mekah. Tugas ustaz di Mekah ini hanya untuk membawa kami melakukan ziarah di sekitar Mekah.

Sebelah malam nanti kami akan ke masjid tanpa ustaz.

Ikutilah cerita seterusnya.....adakah sliper isteri dapat kembali, dan bagaimana pula ruang sujud yang kami cari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan