Theflowersellingboy

Jumaat, 2 Mac 2018

Mencari Ruang Sujud: Apa yang tidak berkenan dihati, ada juga kebaikannya




Seperti di Madinah, di Mekah kami susun jadual aktiviti harian iaitu jadual melakukan ibadat, makan minum serta tinjauan ke kedai-kedai agar masa dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

Perjalanan dari hotel ke masjid , kurang lebih 5 minit bergantung kepada keadaan. Maksudnya jika di dataran telah penuh sesak dengan jemaah, mungkin lebih dari 5 minit. Kalau di dataran masih lagi tidak ramai jemaah mungkin 5 minit atau kurang. Sebab itu, jika wuduk saya terbatal atau perut buat hal, saya akan balik ke hotel dan kemudian ke masjid pula. Ianya lebih cepat berbanding dengan menggunakan tandas yang disediakan didataran. Sempat untuk solat berimam.

Sewaktu melalui dataran yang telah sedia ada jemaah, saya cuba mencari jawapan mengapakah ramai sangat jemaah yang suka bersolat di dataran dan tidak masuk dalam masjid. Saya percaya mereka telah berada lebih awal dari saya. Tapi mengapa tak masuk dalam masjid?

Secepat kilat memancar, saya sudah ada jawapan. "Sama saja", bisikan di dalam hati.

Melayang fikiran ke tanah air. Mengambil contoh solat berjumaah di masjid khususnya solat Jumaat. Walaupun ada jumaah yang datang awal ke masjid, diwaktu mana saf dihadapan masih kosong atau banyak kosong, ada sebahagian jemaah tidak mahu masuk dalam masjid dan mengisi saf yang masih kosong itu sebaliknya jika masuk hanya memenuhi saf yang di belakang atau paling belakang.

Dan yang paling teruk berdiri diatas tangga yang menjadi laluan jemaah lain untuk masuk dalam masjid sehingga laluan menjadi terhalang. 

Saya tersenyum kerana telah mempunyai jawapan. 

Oh, di Mekahpun sama saja. Di Malaysia manusia, di Mekahpun pelakunya manusia juga, sama-sama manusia , beragama Islam pula. 

Hahahaha. Ada malu dalam ketawa sinis saya itu.

Berhenti dari mengingat hal di negara sendiri,  pengalaman mengerjakan umrah dan haji yang lepas mengingatkan saya bahawa untuk mendapat ruang di dalam masjidil haram, bukan tugas pencarian yang senang. Formulanya mesti mendahului orang lain. Ertinya sentiasa ada semangat bersegera. Kalau tidak, padan muka. 

Misalnya jika mahu solat Subuh yang waktu masuknya kurang lebih pukul 5.30 pagi, paling lewat  mesti berada di masjid sejam lebih awal. Itupun belum tentu.

Formula mendahului orang lain?  Maksudnya lebih awal dari orang lain. 

Ini satu formula yang digunapakai oleh semua jemaah yang mahu mencari ruang di dalam masjid terutama ruang yang telah dimasyhurkan sebagai yang afdal dan memberi balasan baik yang lebih. 

Ertinya setiap saat ada saja jemaah berduyun-duyun memasuki masjid.

Kesannya ialah setiap saat ruang itu telah ada tuanpunya. Ruang itu telah dimiliki.
Dimiliki boleh membawa maksud ruang itu telah sedia ada orang, sama ada sedang solat atau berzikir mengingati Allah atau amalan lain seperti membaca quran. 

Ia juga bermaksud ruang itu telah ada orang yang sedang tidur berlengkar sehingga mengambil beberapa ruang yang lain atau telah ada objek seperti kerusi diletakkan diruang itu walaupun orangnya tiada.

Ruang itu sudah tidak menjanjikan yang lain untuk dapat mencelah  diantara dua pemiliknya.   

Saya mencari ruang. Disebelah hadapan, penuh; kiripun penuh dan kanan nampak dari jauh penuh juga. Tapi saya mesti ke sana.

"Abislah aku", saya mengeluh. 

Saya nampak ada dua jemaah bersaiz kecil, bukan orang Malaysia atau Indonesia. Rasanya orang Arab. Sedikit harapan mula berputik. Saya mendekati kedua-dua jemaah bersaiz kecil itu. Saya berkomunikasi dengan bahasa badan (body language) dengan tangan kanan saya menunjukkan ruang diantara dua jemaah itu, untuk mereka menjarakkan diri dan membuka ruang baru untuk saya mencelah.

Mereka menggeleng kepala, bahasa badan yang mengatakan 'tidak boleh'. 

Waduhhhh.

Bergerak lagi mencari ruang. Kelihatan ada seseorang sedang berbaring . Dari warna kulit dan wajah saya meneka jemaah ini dari India. Saya meminta ruang dengan bahasa isyarat juga. Ertinya dia kena bangun dari berbaring. 

Gagal lagi. Ada sesuatu yang dia cakap, tapi saya tidak faham. Saya boleh agak saja bahawa ruang tempat dia berbaring itu telah ada yang punya. Mungkin  untuk kawannya. Entahlah saya tidak tahu.

Bergerak lagi. Kelihatan ruang laluan jemaah telah ada jemaah diatasnya. Saya tiada pilihan, ruang itulah  untuk saya pada waktu itu. 

Sekarang saya mula menghargai jemaah yang solat didataran. Jika semuanya masuk dalam masjid, ianya lebih rumit untuk mencari ruang untuk sujud. 

Rupanya yang kelihatan tidak berkenan dihati saya, ada juga kebaikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan