Theflowersellingboy

Sabtu, 30 Mei 2020

Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Dan Adakah Kerajaan PN Dalam Kategori Tebuk Atap?




Adakah PN Kerajaan Tebuk Atap?


Tinggalkan dulu bicara tajuk diatas. Ikuti dulu perkembangan politik terkini untuk kita lebih faham mengapa berlaku ketidaktentuan atau kecelaruan dalam politik negara ketika ini, termasuklah jenama kerajaan Tebuk Atap.


Adakah pernah terjadi dimana mana negara di dunia ini, dalam satu persidangan Parlimen  parti kerajaan ditempatkan  di kedudukan yang berlawanan. Satu ditempat kerajaan dan satu lagi di tempat pembangkang. Ini adalah satu kebiasaan baru, the new normal.


Dengan sebab new normal inilah Mahathir dan beberapa ahli parti BERSATU telah diberhentikan menjadi ahli parti. Ianya menyalahi peraturan parti, kata PM yang juga presiden memangku Pengerusi parti. 


Itu yang terbaru dan terkini yang melibatkan kedudukan Mahathir dan geng dalam partinya.


Tetapi huru hara politik ini atau yang lebih enak dipanggil sebagai dinamika politik ini telah lama berlaku semenjak UMNO BN tewas pada PRU 14 pada 9 Mei 2018.


Politik Malaysia sentiasa panas. PH yang menang, tidak senang duduk, diharuk oleh geng geng pembangkang UMNO BN dan PAS, yang tewas dalam PRU 14. Makin panas, macam api dicurahkan petrol, apabila geng geng Azmin dari PKR yang diberi jenama  Kartel dan Sikitol dan penyokong BERSATU yang berdegil mahukan Mahathir terus berkuasa tanpa melakukan serah kuasa kepada Anwar seperti yang telah dimaterikan dalam perjanjian bertulis.


Kartel bersama sebahagian ahli BERSATU, berhujah bahawa tiada tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian yang telah dimaterikan itu tentang serah kuasa. Hujah mereka benar dan ada kekuatan. Time is the essence dalam sebarang perjanjian.


Tetapi mereka lupa atau buat buat lupa, mungkin ada muslihat yang terpendam untuk direalisasikan, bahawa dalam menjalani kehidupan kita ada adab dan adat. Ada norma norma yang mengikatkan kita dalam apa sahaja perlakuan dan tindakan. Bukan sahaja undang undang bertulis.


Ingat, adat dan adab kita sewaktu berjanji sehingga orang Melayu menzahirkan satu pepatah, "Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji". Dimana saja kerbau itu diheret oleh tuannya, dia patuh dan turut. Itu binatang. Takkan akhlak manusia lebih rendah dari binatang.


Lebih dari sekali Mahathir membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia akan serah kuasa pada Anwar. Waktunya setelah setahun , berubah kepada dua tahun dan terus berubah kepada lepas persidangan Apex pada November, seterusnya ikut 'suka hati akulah'. Akhirnya dia letak jawatan sebab 'ikut suka hati akulah'. Tumbanglah PH. Melepaslah Anwar.


Terduduklah Mahathir dibangku pembangkang! Dan diberhentikan keahlian partinya.


Dia tidak berpuas hati. Mahu pecat Muhyddin dengan cara yang betul, katanya.


Sekarang mari kita bicara "Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Adakah Kerajaan PN  Termasuk Dalam Kategori Tebuk Atap?"


Sepintas lalu saya telah menyentuh watak politik dalam persekitaran politik yang bercelaru ini. Mereka adalah geng kartel/sikitol, Mahyuddin (PM dari BERSATU) dan Mahathir, dengan penyertaan penggerak tambahan dari UMNO BN dan PAS.


Apa yang telah mereka lakukan selain yang telah saya sentuh tentang Mahathir yang mungkir janji menyerahkuasa kepada Anwar, dan yang menyebabkan PH tumbang, tidak ada beza. Ada dua motif. Pertama menggagalkan Anwar jadi PM. Kedua menumbangkan PH.


Kita dapati dalam berbagai tindakan politik sama ada dari geng kartel , Muhyiddin dan Mahathir, dan ditambah dengan UMNO serta PAS, itulah matlamat mereka. Cuma Mahathir tidak serasi dengan Najib. Itu saja.


Geng geng GPS dari Sarawak dan beberapa parti dari Sabah peranannya adalah sebagai mangkuk tambah atau tumpang 'tui' sahaja, bagi mencukupkan angka untuk dapat paling kurang 112 ahli dewan rakyat bagi maksud menumbangkan PH.


Lihat sahaja langkah sheraton. Siapa yang terlibat. Mereka adalah dari orang dan parti yang sama.


Cuma apabila YDA mengambil tanggungjawab untuk menentukan siapa dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada budibicaranya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat, Mahathir tidak bersama dengan Muhyiddin , kartel, UMNO , PAS dan GPS, sebaliknya menjadi calun PH.,


Akhirnya apa yang berlaku telah berlaku. Muhyiddin  telah diistihar sebagai PM dan Mahathir tewas. Kesannya, sekali lagi PH tumbang. Kali pertama oleh perletakan jawatan Mahathir dan kali kedua tidak cukup angka.


Kenapa berlaku semuanya ini? Lebih tepat, kenapa PH, kerajaan pilihan rakyat tumbang?


Sebab adanya pengkhianatan. Ada orang kata, khususnya dalam PKR, ada musuh dalam selimut, Tapi saya lebih suka memberi jenama musuh didepan mata. Menentang Presiden sendiri secara terang terangan, tanpa berlapik pun, tidakkah layak dipanggil musuh didepan mata?


Waduh PH, waduh PKR , kenapa ada mata cuma pandang, dan telinga cuma dengar. Ada peraturan dan kuasa tidak dikuatkuasakan. Nasi sudah jadi bubur.


Ingat selepas ini, usah percaya pada pengkhianat lagi.  Tidak jadi kerajaan pun tidak apa, asalkan pengkhianat tidak bersama.


Sekarang mari kita bicara kerajaan tebuk atap.

Sebelum itu, seingat saya, jenama Tebuk Atap ini disuarakan oleh Presiden PAS sebagai reaksi kepada dakwaan penyokong PH bahawa Kerajaan PN adalah kerajaan yang dikiaskan sebagai Kerajaan Pintu Belakang.


Presiden PAS mengatakan yang kurang lebih bermaksud , pihak pembangkang (BERSATU + Geng Azmin , UMNO dan PAS) boleh sahaja memilih apa cara/jalan bagi menumbangkan PH.  Lalu beliau gunakan kiasan tebuk atap sebagai ganti pintu belakang.  Semenjak dari itu jenama tebuk atap ini sudah menjadi sewaktu dengan pintu belakang. Kedua duanya memberi makna yang sama.


Menggunakan pintu belakang bukan satu adat dan adab untuk mengunjung dan memasuki rumah orang. Jadi kiasan kerajaan pintu belakang  membawa maksud mengambil kuasa atau lebih tepat merampas kuasa melalui jalan yang diluar dari yang direstui oleh rakyat. Sebab itu amat mudah sesiapa pun untuk memahami apa itu kerajaan tebuk atap.


Dengan kata yang sopan dan merendah diri, PM mengakui bahawa PN adalah kerajaan tanpa restu rakyat.


Dulu, watak hero dipanggil ORANG MUDA. Tapi dalam bicara ini, watak yang dikenalpasti adalah watak pengkhianat . Jadi apakah panggilan watak yang sesuai yang kita boleh fikirkan dalam kerja kerja pengkhianatan ini? Fikirkanlah bersama.



Wahai pemuka pemuka politik, sentiasa ingat bahawa kerja pengkhianatan tidak ada barakah. Hari ini mengkhianat, esok lusa pihak lain melakukan perkara yang sama. Pengkhianatan menyuburkan dendan kesumat. Oleh itu usahlah mungkir janji atas alasan bahawa politik itu seni serba boleh atau ianya satu dinamika politik. Kesan pengkhianatan  atau mungkir janji menzahirkan pihak  yang akan melakukan tebuk atap.

Sekali lagi saya mahu mengingatkan PH, terutama PKR, usahlah jadi kerajaan jika didalamnya ada peegkhianat!













Rabu, 27 Mei 2020

Ditakdirkan Berlaku Musibbah: Siapakah Yang Perlu Diangkat Sebagai PM.




Alhamdulillah, jantung saya masih berdenyut lagi. Masih lagi debab debub. Saya terus berfikir , kemungkinan apa yang akan terjadi bersangkutan dengan politik negara. 

PM seorang pengidap sakit kanser sedang dalam kurantin. Covid , negatif...alhamdulillah. 

Politik? Banyak tanda tanda masalah. Diri pula terkurung . Pandangan mata tersekat , setakat empat dinding bilik kurungan. Telinga tiada terdengar bisikan, yang indah indah mahupun yang mengerikan. Tapi yang pasti kerajaan pimpinannya diberi berbagai jenama ....kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang.

Dia tidak mudah dapat menafikan kebenaran jenama yang diberikan keatas kerajaan pimpinannya. Tapi jenama itu terlalu keras dan menghinakan. Dia akur bahawa kerajaan pimpinannya adalah kerajaan tanpa restu rakyat. Bukankah itu jenama yang lebih sopan berbanding pintu belakang atau tebuk atap? 

Dia tidak suka, paling sakit hati dipanggil sebagai pengkhianat negara. Dia bukan pengkhianat. Dia adalah penyelamat negara. Cuma caranya berbeza dari normal lama , melalui pilihanraya. Caranya adalah normal baru, satu kebiasaan yang baru bagi menerajui kepimpinan negara.

Mungkin itulah yang ada dalam fikiran PM ketika berada dalam kurantin ini.

Saya teringat satu posting dalam fb. Sebuah pantun empat kerat:

Berdiri penat bersila pun penat
Lebih baik duduk berlunjur
M khianat, AA khianat, My pun khianat
AI juga yang jujur.

Siapa kah yang pengkhianat?

Seorang kawan memberi komen tentang pantun diatas. Sebenarnya tiada siapa pun yang jadi pengkhianat. Cuma katanya berbeza dalam cara mengurus tadbir negara. Normal baru, kot?

Apapun masing masing ada pandangan dalam menyikapi sesuatu finomina. Tak kisahlah.

Perkara yang menjadi kegusaran saya ialah apa akan terjadi jika ditakdirkan Allah musibah menimpa kepada negara. Bukan musibbah covid 19 kerana PM disahkan negatif covid. Tapi beliau adalah pengidap kanser, satu penyakit yang tidak kurang risikonya berbanding dengan serangan jantung dari segi menambahkan statistik bilangan kematian. Semoga di jauhi Allah.

Tapi andai kata kita terucap nanti kalimah musibah ..Innalillawainnailahirraji'un.....dari Allah kau datang kepadanya kau dikembalikan.... Bagaimana?

Siapa pengganti? 

Adakah Azmin Ali yang telah ditunjukkan oleh PM sebagai menggantikannya bagi mempengerusikan mesyuarat kabinet jika ketiadaan PM?

Atau Ismail Sabri, menteri yang berperanan aktif dalam hal hal covid? 

Atau siapa?

Bagimana dengan Mahathir, yang nampaknya bernafsu untuk menjadi PM. Atau dari kepimpinan UMNO seperti Najib, dan Zahid walaupun sedang menghadapi perbicaraan dalam berbagai tuduhan. Tentang dakwaan yang dihadapi itu bukan satu perkara yang sulit untuk diketepikan dari segi kaedah politik. Adakah salah seorang dari mereka berdua?

Bagaimana dengan presiden PAS  yang ketika ini seorang duta bertaraf menteri? Tidak mungkin tidak mempunyai keinginan untuk diupgrade sebagai PM? Mustahil dari segi pertimbangan politik!

Siapa lagi? Dari sebelah timur, menyeberangi laut China selatan , takkan tiada keinginan untuk jadi PM, mencipta sejarah sebagai PM pertama Malaysia dari wilayah itu.

Siapa lagi? Siapa lagi yang layak jadi PM? 

Adakah tiada seorang pun dari mereka itu yang layak. Tiada kemampuan dari segi fizkal dan keupayaan daya fikir  untuk diangkat sebagai PM. Atau mereka juga termasuk dalam senarai pengkhianat negara?

Saya pening kepala memikirkan siapa kah bakal PM  negara jika musibah benar benar ditakdirkan begitu. Debab debub debab debub , denyutan jantung bertambah laju.

Apa pilihan yang kita ada. Senarai diatas nampaknya ada masalah dari segi penilaian dihati saya. Tidak berkenan dan tidak ngam. 

Bagaimana dengan AI seperti dalam rangkap pantun diatas? 

AI atau Anwar Ibrahim, seperti insan yang lain, tidak sunyi dari sifat insan yang  lemah. 

Didakwa dan dihukum atas kesalahan, yang menurut penilaian saya ada keraguan, dihina dan dicerca sebagai gila kuasa sedangkan ada pihak yang telah berpuluh tahun berkuasa tapi mahu lagi berkuasa tiada pula dicapnya gila kuasa, dizalimi dan dimungkiri janji tapi masih lagi sanggup bersama demi negara dan bukan kepentingan diri.

Bukankah itu sifat seorang penyabar. Ikhlas dalam perjuangan. Berjiwa besar demi negara. Seorang yang sentiasa mengucapkan demi keadilan , membantah kezaliman dan penindasan , membenci segala kebeborakan dan salah guna kuasa.  Tidak cuma melalui ucapan dan kata kata tapi AI telah membuktikan dengan  amalan dan tindakan. Harga yang telah beliau bayar ialah disumbatkan dalam penjara, bermula dari zaman remaja.

Ya, ditakdirkan berlaku musibah, AI lah yang rasanya layak diangkat untuk jadi PM Malaysia. 

Beliau mempunyai sokongan. Tapi angka sokongan yang ada ketika ini dikatakan tidak cukup dalam ukuran demokrasi. Tapi mengapa disia siakan aset negara yang berharga ini. Sokonglah beliau.















Selasa, 26 Mei 2020

DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB : Nasib Baik Jantung Saya Masih Berdebab Debub.




Saya selalu terfikir dan berangan angan untuk menulis sebuah cerita, sebuah novel konon, tentang pengkhianatan dalam sebuah persahabatan. 

Bagi saya cerita tentang pengkhianatan dalam persahabatan ini bukan perkara baru, sudah sedia ada pengalaman. Tapi pengkhianatan yang saya nak tulis, atau berangan angan untuk tulis ini adalah amat luar bisa sekali. Ianya satu norma baru dalam pengkhianatan. Kesan pengkhianatan itu amat meluas sekali. Deritanya, merananya , sakit hatinya alang kepalang sekali. Bukan satu, tidak juga dua, seribu pun terlalu kecil bilangan penderitanya, yang jadi mangsa.

Tapi saya ada satu isu yang menjadi penghalang sekian lama yang masih belum mampu diatasi. Dari mana titik mulanya ceritanya. Apakah perkataan pertama yang mampu menggerakkan perkataan lain untuk membentuk ayat ayat bagi menerus dan menamatkan cerita. Tentang isi cerita, plot dan cara cerita, rasanya bukan satu isu besar.  

Cukup. Sekadar itu. Buat sementara waktu berhentikan angan angan menjadi penulis sebuah novel, konon! Bicaralah soal dibawah ini.

Saya mendapat maklumat yang mendebarkan hati. Macam mana ni. Boleh percaya? Mungkin itu fake news. Satu yang biasa dari dulu. Kini serupa juga, berita palsu mendahului berita benar dan sahih, dialam maya.

Tapi kalau ianya berita sahih dan benar? 

PM dikurantin. Covid punya fasal. Tapi masih negatif. Alhamdulillah.

Tapi. PM pengidap penyakit kanser. Adakah termasuk dalam istilah penyakit kronik seperti kencing manis , sakit jantung, darah tinggi dan sakit buah pinggang? Rasanya begitu, saya mengesahkan sendiri.

Debaran jantung semakin kuat. Apa akan jadi? 

Tapi setakat ini PM hanya dikurantinkan sahaja. Kesihatan beliau dari sudut serangan covid masih positif. Dia  masih negatif covid. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dalam tempoh kurantin selama 14 hari, beliau masih lagi PM , meneraju kepimpinan negara. Dalam zaman digital dan komunikasi dihujung jari, ruang kurantin bukan hal yang boleh menyekat penyampaian dan penerimaan segala maklumat , tiada isu tentang timbal balik, inisiatif dan reaksi. Boleh sahaja mengarah dan membuat keputusan. Beres.

Tapi. Ada lagi tapi. Pergerakan fizikal PM jadi terbatas dalam ruang kurantin. Langkahnya terhad setakat seluas ruang kurantin itu. Itupun hujung jari kakinya tidak mampu memijaki setiap tepi dinding ruang kurantin. 

Ya, PM tidak mampu bergerak lebih dari itu. Bukan kerana tiada tenaga disebabkan hidapan kanser tapi itu sahaja ruang yang telah ditentukan Allah baginya semasa dalam tempoh kurantin. Apatah lagi untuk membuat langkahan seperti yang telah dilakukan bergerak menuju hotel Sheraton, tidak beberapa lama dulu. Ingatannya masih segar tentang langkah yang meletakkan dia sebagai PM.

Aduh, debaran jantung saya datang semula. Debab debub debab debub kencangnya mengatasi kebiasaan. Satu norma baru dalam persekitaran politik kerajaan berbagai jenama. 

Kerajaan yang diwujudkan dengan berbagai jalan, kata pihak disebelah sana. Ada yang kata guna jalan pintu belakang. Ada yang tidak jumpa pintu lalu usaha memanjat dilakukan untuk masuk cara tebuk atap. Waduh, lagi satu norma baru.

Wah, apa lagi pihak yang disebelah sana dengan pantas seperti kilat menjenamakan kerajaan berbagai jalan ini sebagai KERAJAAN PENGKHIANAT MANDAT RAKYAT. 

Apa pun cara dan jenama yang diberikan, PM dengan rendah diri telah melakukan sujud syukur. Syukur ke hadrat Allah. Tapi saya tidak pasti apa doa yang telah dilafazkan oleh PM. Itu antara PM dengan Allah. 

Yang saya pasti melalui mata dan telinga sendiri, PM, dengan merendah diri dalam penampilan wajah yang tidaklah seceria seperti seorang yang baru dinaikkan tahkta sebagai perdana menteri, melafazkan kepada sekalian rakyat bahawa kerajaan pimpinannya adalah KERAJAAN TANPA RESTU RAKYAT.

Itulah yang sangat sangat saya bimbang dan risau ketika ini. Bukan kerana PM dikurantin sebagai sebahagian dari usaha memutuskan rangkaian covid. Rangkain covid adalah negatif  terhadap PM. Itu adalah sahih.

Bagaimana untuk mempertahankan sebuah kerajaan tanpa restu rakyat jika PM dalam keadaan kurantin, apatah lagi selama 14 hari. Sekerat hari pun, ianya satu peluang keemasan bagi pemain pemain politik meraih keuntungan, ianya satu laba. Dan bala kepada PM.

Pergerakan fizikal PM terbatas. Mata nya tidak nun jauh memandang. Telinganya kosong tanpa bisikan, syaitan mahupun insan.  Tiada simpton politik negatif atau positif yang dapat dinilaikan. Apa gula gula politik yang perlu difikirkan yang mampu mencair dan melembutkan hati untuk ditawarkan agar kerajaan tanpa restu rakyat ini perlu disepakatkan.

TIADA. KOSONG. ZERO.

PM tiada pilihan melainkan berada dalam kurantin.

Debab debub debab debub debab debub debab debub, denyutan jantung saya semakin kencang , menyambut  dan menyambung denyutan jantung PM yang berada dalam kurantin.