Theflowersellingboy

Jumaat, 28 April 2017

Tanpa GST Kerajaan Akan Tersungkur?




PM kata tanpa GST , Malaysia tersungkur. Hahahaha, sabar YAB, bertenang.

Ya, saya faham YAB diserang kiri kanan, depan  belakang, atas dan bawah. Sebab itu YAB sudah digangggu ketenangan sehingga mencetuskan kata-kata tidak takut Mahathir , Lim Kit Siang dan Rafizi. Lalu meminta geng-geng tukar strategi perang dari bertahan kepada menyerang.

Buatlah apa yang patut YAB. Tapi saya mahu berbicara sedikit.

Bahawa tiga personaliti yang tidak menjadi kegentaran YAB itu pada telekan saya sentiasa berada dalam otak kepala YAB. Selalu buat kacau. Sama ada waktu jaga dan waktu sedang tidur. Ada sahaja jelmaan mereka, paling kurang seorang dari mereka. 

Mengapa jadi begitu?

Saya tiada jawapan. YAB lebih tahu dari saya.

Namun begitu saya melihat bahawa negara kita dari sehari kesehari wajahnya tidak ceria. Maksud saya wajah rakyatnya tidak seceria sebelum YAB memegang tampok kuasa. Mengapa ya?

Tak mungkin rakyat kita semudah itu berubah mood dari ceria kepada tidak ceria. Mesti ada sebabnya.

Ya, saya pun hairan mengapa wajah rakyat jadi masam macam cuka sedangkan kerajaan telah dan sedang beri macam-macam bantuan, yang paling popular ialah BR1M. Meningkat pula.

Mereka ni tak tahu bersyukur gamaknya. Tapi takkan itu sebabnya kerana yang bermuka macam cuka itu terlalu ramai. Cuma tidaklah sampai berbillion seperti ukuran yang selalu digunakan dalam kes 1MDB. Rakyat kita hanya 30 million sahaja sedangkan wang yang hilang lesap, entah kemana terpaksa dikira gunakan billion.

Bercakap fasal 1MDB, sesungguhnya ianya satu berita yang baik apabila kerajaan mengistiharkan telah berjaya menyelesaikan saman yang dibuat oleh IPIC dari Abu Dhabi. Kalau tak silap menurut kiraan setengah pihak ianya melibatkan lebih 26 billion ringgit. Entah betul entahkan fitnah, tak tahu lah saya.

Apa pun saya yakin apa yang dinyatakan oleh kerajaan bahawa penyelesaian telah tercapai antar kerajaan dan IPIC. 

Tapi muka masam rakyat masih lagi macam cuka. Jangan harap nak mengukir satu senyuman manis kepada kerajaan sambil mengucapkan terima kasih. Ini membuatkan saya berasa tambah hairan. Lalu  saya bertanya melalui media sosial, untuk mendapatkan jawapan mengapa rakyat masih bermasam muka.

Apa jawapan yang saya terima? Cuba teka.

Poooodaaah! 

Itu jawapan yang paling popular. Saya tidak tahu maksud podah itu dengan tepat. Tapi saya boleh agaklah ianya bermaksud  'jangan nak kelentong, rakyat bukan bodoh'.

Eheh dia orang ni. Itu pula yang dijawab. Tak patut sungguh dia orang ni. Dapat selesai kes dengan IPIC pun rakyat kata podah.

Ya, rakyat yang kata podah tu bertanya pada saya: Mana mahu ambil wang mahu bayar itu wang pada IPIC?

Nasib baik kerajaan beritahu bahawa kerajaan tidak terlibat untuk buat bayaran. 1MDB yang buat bayaran dari wang/unit pelaburan sendiri.

Lega saya dengan jawapan kerajaan itu. Lalu segera saya beritahu pada rakyat yang bermuka masam macam cuka itu. 

Waduh, saya kena. Bukan sebijik tapi banyak bijik.  

1MDB mana ada wang lagi. Semua sudah kaput. Kena telan oleh JL.

Siapa pula si JL ni, saya tanya pada diri sendiri. Oh John Lenon kot, penyanyi kumpulan Beatle yang famous pada zaman 60an dulu. Ah , tak kisahlah. Siapapun JL itu, yang mereka nak beritahu bahawa wang 1MDB telah kena telan oleh JL. 

Bijik seterusnya yang kena pada batang hidung saya ialah rakyat yang masam muka itu tanya: Apa jadi dengan wang 3.5 billion , saya lupa USD ker atau RM, yang masuk akaun BVI.

Saya jadi pening. Apa pula BVI ni. Yang saya tahu ada anak syarikat IPIC, tapi lupa pula namanya,  wang sebanyak itu dibayar oleh 1MDB. Takkanlah wang dibayar pada pihak yang tidak sepatutnya menerima. Itu sudah tidak betul.

Saya tidak boleh jawab dan diam saja.

Tapi rakyat yang masam muka ini segera memberitahu saya bahawa kalau saya nak tahu, tanya si Rafizi. 

Dia boleh terangkan satu persatu, kata orang dari A sampai Z. Dia boleh beritahu perjalanan wang yang berkaitan 1MDB iaitu sumber wang itu, maksudnya dari mana wang itu berasal, perjalanan dan tempat persinggahan sementara (transit) dan berakhir dimana.

Wah, hebat betul si Rafizi ni. Patutlah PM mahu bersaing kehebatan dengan beliau dengan meminta geng-geng tukar strategi dari bertahan kepada menyerang. Mana boleh menyerlah kehebatan jika asyik bertahan saja.

Sekarang saya sudah faham mengapa PM tidak gentar dengan Rafizi. Sekarang saya juga boleh berkata dengan penuh yakin bahawa telekan saya diatas tepat sekali iaitu wajah si Rafizi ini sentiasa terbayang-terbayang diwaktu siang (waktu PM tak tidur)   dan menjelma waktu malam (PM sedang tidur) buat kacau, bukannya menyenang dan menenangkan fikiran PM.

Fahamlah saya mengapa PM marah sangat pada si Rafizi ni.

Macam mana tak marah, Rafizi, Kit Siang dan Mahathir kata GST akan dihapuskan jika PH menang sedangkan PM kata tanpa GST Malaysia akan tersungkur. Takkan lah PM dan kerajaannya mahu tersungkur. Maksud saya, kalah PRU 14.

Betul juga jalan pemikiran PM tu.

Tapi rakyat terus bermasam muka macam cuka. Apa yang rakyat mahu?

Kerajaan tersungkur? 

Rakyat sendirilah yang jawab.



      

Selasa, 25 April 2017

Cara Mengukur Kesejahteraan Hidup Rakyat. Perspektif Kerajaan Adalah Tidak Betul Dan Mengelirukan.



Rakyat kata kos sara hidup amat membebankan.

PM dan kerajaan kata kos sara hidup di Malaysia adalah terendah di kalangan negara ASEAN.

Pihak mana yang betul?

Benarkah kos sara hidup Malaysia lebih rendah berbanding negara ASEAN yang lain? 

PM berkata begitu. Beliau berdasarkan fakta kajian , bukan main semborono. 

Kecuali kita melakukan kajian kos sara hidup itu, dan mempunyai maklumat dan fakta, rasanya amat sulit untuk menidakkan kenyataan PM itu bahawa kos sara hidup kita adalah yang terendah di kalangan negara ASEAN yang lain.

Sebaliknya, rakyat yang menjalani kehidupan harian pula, yang menerima upah dan pendapatan mengatakan sebaliknya bahawa pendapatan mereka tidak lagi mampu untuk bersaing dengan harga barangan dan perkhidmatan yang kerap meningkat naik.

" Bawak wang 100 ringgit, tak ada makna sekarang ni", rungutan rakyat dimana-mana.

Itu rungutan mereka yang ada pekerjaan. Macam mana yang tiada kerja. Sudah tentu tiada kata-kata yang dapat dikeluarkan. TERLALU AMAT MARAH!

Rungutan rakyat itu ada asas, bukan suka-suka merungut.

Rakyat ada kes berdasarkan kehidupan yang dilalui. Dan kerajaan ada kes berdasarkan satu kajian. 

Waduh pening kepala dibuatnya. Siapakah yang berkata benar dan siapa yang berbohong? 

Untuk itu cuba kita lihat perspektif kerajaan dan perspektif rakyat. Adakah kerajaan dan rakyat melihat dari perspektif yang sama dalam isu kos sara hidup dan kesannya terhadap kehidupan rakyat. 

Jika menggunakan perspektif yang berbeza, perspektif pihak manakah yang relevan dan mempunyai asas yang betul dalam mengukur kesan kos sara hidup kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

Mungkin disitu boleh mencerahkan keadaan, memberi jawapan kepada isu kos dan kesannya kepada rakyat.

Saya lihat perspektif Kerajaan adalah perspektif perbandingan kos antara negara  menurut satu kajian. 

Sudah tentu kajian itu berdasarkan kepada fakta dan maklumat yang telah diuji kebergunaannya dalam mengemukakan dapatan dan rumusan. 

Jadi PM tidak salah dengan mengatakan apa yang ditemui oleh kajian itu. Ertinya PM tidak bercakap bohong.

Untuk lebih meyakinkan, cuba kita ambil contoh harga barangan dan perkhidmatan di Singapura. Harga rumah sama ada disewa atau dibeli adalah mahal berbanding dengan harga rumah/sewa bagi harta yang dalam taraf  yang sama. Harga sebiji telurpun lebih mahal berbanding dengan Malaysia.

Harga minyak kenderaan pun lebih mahal. Secara keselurahannya kos sara hidup Singapura lebih tinggi dari Malaysia. 

Kesimpulannya , rakyat kena terima bahawa kos sara hidup malaysia lebih rendah dari Singapura.

Tetapi rakyat tidak melihat cara begitu kerana ianya tidak membawa apa-apa makna. Yang menanggung beban ialah mereka bukan rakyat Singapura. 

Malah kos sara hidup Singapura yang tinggi itu memberi beban tambahan kepada rakyat Malaysia apabila rakyat Singapura   mengambil kesempatan untuk membeli belah dan memiliki harta seperti rumah di Malaysia yang lebih murah berbanding di negara itu.

Pendapatan rakyat Malaysia tidak mampu bersaing dengan kuasa beli rakyat Singapura.

Perspektif rakyat ialah tentang kuasa beli semasa berbanding dengan kuasa beli yang telah berlalu. Apa pun kos sara hidup di negara lain, tidak menjadi kebimbangan mereka. 

Yang penting bagi rakyat ialah mempunyai kemampuan kuasa beli semasa sekurang-kurang sama berbanding yang telah berlalu. Dan sudah tentu rakyat mengharapkan kuasa beli yang meningkat dari semasa ke semasa agar dapat menyaingi dan mengatasi kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan, bukan sebaliknya. 

Ertinya  pendapatan rakyat mestilah meningkat melebihi kadar kenaikan harga. Menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dengan menawarkan upah dan pendapatan yang dapat menyaingi kenaikan kos sara hidup.

Realitinya ialah peluang pekerjaan terlalu sedikit berbanding rakyat yang tiada pekerjaan, ramai yang menganggur. Upah masih lagi rendah dan tidak menarik. Ini menyebabkan pekerja warga asing diambil bekerja kerana mereka sanggup bekerja dengan upah yang rendah misalnya menjadi pengawal keselamtan, atendan pam minyak dan pekerja kedai dan rumah makan.

Realitinya ialah penghapusan dan pengurangan subsidi bagi barang-barang dan perkhidmatan tertentu misalnya minyak kenderaan dan gula membuatkan harga sentiasa naik dari masa ke semasa sedangkan pendapatan masih pada tahap lama.

Realitinya ialah harga minyak kenderaan naik setiap kajian mingguan.

Realitinya ialah bahawa semua rakyat dikenakan GST tanpa kecuali. Rakyat berpendapatan kecil, yang tidak ada pendapatan dan yang terbeban dengan kos sara hidup yang sentiasa meningkat juga dikenakan GST.

Realitinya ialah rakyat terpaksa menanggung bukan saja beban hutang isi rumah yang semakin bertambah sehingga boleh mengancam keselamatan fizikal dan nyawa bahkan beban hutang negara yang dibuat oleh kerajaan yang terpakasa diwariskan kepada generasi akan datang. Amat malang sekali hutang negara yang bertambah itu adalah akibat dari perlaksanaan projek/perniagaan yang tidak langsung menjana keuntungan kepada negara dan seterusnya tidak menyumbang kepada pendapatan negara untuk disalurkan kepada program/projek yang memberi faedah kepada rakyat misalnya kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Realitinya ialah bahawa agihan kekayaan negara telah tidak dilaksanakan menurut tadbir urus yang baik yang menyebabkan ketirisan, pembaziran dan rasuah. Rakyat menjadi mangsa.

Realitinya ialah bahawa berbagai kemudahan dan perkhidmatan yang dahulunya disedia dan diperuntukkan telah dikurang atau ditiadakan, dan kalau masih ada dikenakan bayaran yang lebih mahal. Peruntukan pendidikan termasuk bantuan kewangan seperti biasiswa dikurangkan. Begitu juga dengan peruntukan kesihatan.

Paling malang sekali  apabila kerajaan masih lagi meneruskan tadbir  urus yang sama , dan sentiasa dalam mood menafikan akan kelemahan-kelemahan yang telah berlaku dan mahu kekal melakukan perkara yang sama. Ini adalah realiti.

Realitinya ialah rakyat menanggung susah kerana kerajaan tidak mahu melihat kepentingan rakyat sebaliknya mencari jalan bagaimana rakyat boleh ditipu dan dikelirukan seperti dalam kes kos sara hidup ini. 

Soalnya: Mengapa perlu dibanding dengan kos sara hidup negara lain? Mengapa tidak juga ditonjolkan pendapatan dan peluang pekerjaan rakyat negara yang dibandingkan itu, dan taraf hidup rakyatnya? Mengapa tidak diambil seorang pemandu teksi Malaysia dan seorang pemandu teksi Singapura dan dibuat perbandingan dari segi kesejahteran hidupnya?

Soalnya: Mengapa kerajaan tidak mahu melihat beban yang ditanggung oleh rakyat yang ada dihadapan mata? Apa faedahnya kepada rakyat dengan mewarwarkan kos sara hidup negara lain lebih tinggi sedangkan kehidupan rakyat yang ada dihadapan mata amat menyedihkan?  

Untuk mengukur kesejahteraan hidup rakyat (taraf hidup) tidak wajar dengan cara membandingkan kos sara hidup antara negara. Itu perspektif yang salah dan mengelirukan. Apa yang perlu dan penting ialah dengan melihat realiti kehidupan rakyat itu sendiri. Dan realiti yang terserlah ketika ini ialah bahawa kehidupan sebahagian besar rakyat adalah tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun kos itu lebih rendah dari negara lain. 

Realiti yang ada perlu diatasi dan diubah. Jika kerajaan tidak mahu berubah, rakyat wajar mengubah kerajaan. 



















Selasa, 18 April 2017

Menteri Besar Kayuh Basikal Dari Tempat Kerja Ke Rumah: Minyak Dah Naik Harga Kah?




Hahahahaha....menteri besar berbasikal balik dari pejabat ke rumah. 

Ini satu perkara baru. Sepanjang ingatan saya belum pernah dibuat oleh mana-mana pimpinan yang balik dari pejabat ke rumah berbasikal.

Mengayuh basikal pada siang hari di sebuah negara yang panas seperti Malaysia dan pengayuhnya bukan calang-calang darjat sosialnya,  seorang menteri besar, bukan satu pemandangan yang biasa. Ianya luar dari kebiasaan. 

Saya tidak mampu melakukannya walaupun mengayuh basikal ke sekolah yang jauh lebih dari 10 km telah saya lakukan semasa bersekolah dulu. Dulu, bukan sekarang.

Sekarang hendak pergi ke kedai yang tak sampai 1 km pun saya akan gunakan kereta walaupun harga minyak sentiasa naik. Dengan menggunakan kereta ianya lebih cepat, tak kena panas atau hujan, selesa dan selamat.

Sebaliknya menteri besar itu sanggup mengayuh basikal dalam cuaca yang panas. Malu kita  dibuatnya.

Oleh itu menteri besar itu wajar di puji atas kesanggupannya itu. Dan kita harap ia menjadi rutin hariannya ulang alik dari pejabat ke rumah berbasikal. Orang-orang bawahan sewajarnya meneladani menteri besarnya itu. 

Tinggalkan kereta anda semua di rumah, berbasikallah ke pejabat dan balik ke rumah. Dengan cara ini anda boleh berjimat wang dari segi kos membeli petrol yang setiap minggu naik. 

Itu satu dari cara untuk mengatasi kos sara hidup yang tinggi. Anda tak akan komplen tentang kos sara hidup itu jika anda ikut cara menteri besar itu. Lagipun penggunaan basikal boleh mewujudkan persekitaran dan udara yang tidak tercemar, baik untuk kesihatan. 

Tapi jangan pula  mengharapkan anda diiring sama oleh pengiring polis yang bermotorsikal untuk menjaga keselamatan anda seperti yag diberikan kepada menteri besar itu. 

Hahahahahaha......anda bukan menteri besar lah. 

Menteri besar tu nak kempen PRU 14 lah. Dia mesti buat satu cara yang luar biasa untuk menarik perhatian rakyat sebagai satu cara berkempennya. Jadi dia kayuhlah basikal untuk pergi dan balik kerja. Ramai orang akan dapat lihat. Tambah-tambah diiring oleh polis. Selamat lah dia kayuh basikal tu.

Lepas PRU nanti......hahahaha  dia dalam kereta lah. Tunduk tak pandang kita.