Theflowersellingboy

Selasa, 14 Februari 2017

WASAP HANTU MENGHAMPIRI PRU 14.




Saya terima satu wasap yang panjang tapi maksudnya jelas bahawa jika PH dan Bersatu mendapat majoriti mudah dalam PRU 14 nanti, dengan memenangi 118 kerusi Parlimen, DAP akan mengusai kerajaan persekutuan kerana parti itu sebuah parti yang dominan , memenangi kerusi yang melebihi dari lain-lain parti dalam PH dan Bersatu.

Haipotisis wasap itu menyatakan DAP memenangi 43 kerusi (mungkin lebih dari itu kerana sokongan Cina semakin meningkat berbanding PRU 13), PKR 40 , Amanah 20 dan Bersatu 15 , jumlah 118.

Saya mahu tergelak melihat angka yang digunakan. Anda jangan pula ketawa. Ini perkara serious demi masa depan Melayu dan Islam.  

Hahahahahahahahahahahahahaha.....beri saya ketawa terlebih dulu . Tak tahan rasa geli dihati melihat angka-angka yang diaturkan sebegitu rupa.

Angka-angka itu bukan satu yang magik dan tidak juga boleh dipercayai berdasarkan akal yang sihat dan rasional.

Ianya dijelmakan sebegitu rupa bertujuan untuk menjadikan parti Cina DAP (panggilan yang amat digemari yang tidak pernah dipanggil keatas MCA sebuah parti Cina 100%) sebagai parti yang memenangi lebih kerusi berbanding dengan parti lain dalam gabungan pembangkang, justuru dijadikan modal dalam cerita hantu bahawa DAP Cina adalah pada kedudukan yang dominan. Dengan itu boleh menjadikan parti-parti lain sebagai kuda tunggangan.  

Saya tergelak besar dan memanjang setelah membaca sebaris dua ayat dalam wasap itu.

Reaksi seterusnya, hati saya menyatakan tidak perlu habis membaca wasap yang panjang itu kerana saya sudah tahu kesimpulannya.

Tapi kerana telah ada dihadapan mata, mengapa saya perlu sia-siakan peluang untuk membaca wasap itu, sekurang-kurangnya boleh mengesahkan apa yang ada didalam hati saya.

Tepat, 100% tidak salah.

Ini kempen  HANTU. Mengingatkan orang tentang hantu.  Mengingatkan orang Melayu bahawa HANTU itu jahat.

Hantu yang memang telah menguasai minda khususnya orang Melayu adalah satu karekter yang digambarkan segala-galanya buruk. Wajahnya buruk dan menakutkan, ganas, menghisap darah, tidak boleh ditewaskan dan suka buat kacau.

Cerita hantu ini biasanya disampaikan oleh nenek atau ibu-ibu melayu semasa mahu menidurkan cucu-cucu/anak-anak. Ianya satu kaedah yang paling berkesan untuk membolehkan anak-anak kecil cepat tidur, berebut-rebut mahu mendekati nenek atau ibu yang bercerita itu kerana terlalu takut.

Walaupun nenek atau ibu-ibu itu sendiri tidak pernah melihat hantu yang diceritakan tapi mereka dapat menghidupkan cerita itu seolah-olah ia pernah melihat dan segala sifat buruk dan jahat yang dikaitkan dengan hantu itu adalah perkara yang benar.

Mesej yang hendak disampaikan ialah untuk menjadikan anak-anak kecil itu takut, dengan itu berebut-rebut untuk tidur berpelukan dengan erat diantara satu dengan yang lain seboleh mungkin  dapat memeluk nenek/ibu bagi menghilangkan rasa ketakutan.

Begitulah mesej yang hendak disampaikan oleh wasap yang panjang itu. 

Jika PH-Bersatu menang pada PRU 14 nanti walaupun dengan majoriti mudah 118 kerusi dengan kedudukan kerusi DAP 43 melebihi parti dalam gabungan pembangkang, dan dengan itu dikatakan pada kedudukan dominan, DAP yang bermaksud Cina akan menguasai kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU 14 nanti.

"Tak takut ke Melayu? Tak takut ke Melayu pada DAP? DAP itu adalah parti Cina.Naya orang Melayu nanti. Orang Melayu akan jadi seperti Melayu Pulau Pinang dan Melayu Selangor".

Sekali lagi saya ketawa terbahak-bahak walaupun ianya satu amaran masa depan melayu yang gelap gelita jika PH-Bersatu menang, sebab DAP Cina dominan.

Melayu katanya perlu takut. 

Maka diaturkan jawatan-jawatan kerajaan yang akan dikuasai oleh DAP. Cina DAP boleh saja jadi PM, paling kurang TPM. Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran, Pelajaran Tinggi, MITI dan KPDNKK adalah monopoli Cina DAP. 

Speaker Dewan Rakyat dikuasai oleh DAP yang akan menggunakan jawatan itu bagi menentukan perjalanan dewan termasuk perkara-perkara yang mahu dibincangkan dan disusulkan adalah yang hanya memberi keuntungan kepada Cina DAP dan merugikan Melayu Islam.

Maka hak dan maruah Melayu sebagai 'Tuan' akan tergadai. Islam dihina. 

PM walaupun Melayu adalah hanya sebagai 'puppet' seperti yang berlaku keatas MB Perak sewaktu dibawah PR sebelum dirampas oleh BN dulu. 

Orang Melayu/Islam di Selangor dan Pulau Pinang menerima nasib malang yang sama dimana tidak ada langsung agenda untuk mereka. Melayu dan Islam dihina. 

Begitulah yang akan terjadi jika PH-Bersatu yang menang pada PRU 14 nanti kerana yang sebenar menang ialah DAP Cina menurut cerita HANTU bagi menakutkan orang Melayu.

Sekarang jika anda mahu ketawa dipersilakan. Saya sudah naik muak dan mual dengan cerita HANTU ini kerana ianya gagal menidurkan mata saya.

Mata saya semakin luas terbuka, pandangan dan penglihatan semakin jelas apa yang telah dan sedang berlaku di negara kita.

Pertama, saya tidak mampu untuk menafikan bahawa semenjak merdeka sehingga ke masa ini yang berkuasa ialah pimpinan Melayu. Dan saya sebagai Melayu dan beragama Islam masih berpegang kepada kehendak hati agar Melayu menjadi pemimpin negara ini. Bilangan pimpinan biarlah ramai yang Melayu.

Tapi dengan syarat:

i) Melayu itu mesti amanah 
ii) Melayu itu bukan menjadi pencuri wang negara
iii) Melayu itu mesti adil dan saksama. Tolong melayu yang susah dan tolong juga bukan melayu yang susah.
iv) Melayu itu ada kemahiran dan kepakaran dalam urustadbir negara agar sumber negara dapat dimenfaat sebaik mungkin demi kesejahteraan semua rakyat dan kemakmuran negara.
v) Melayu itu mesti mengamalkan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang mungkar.
vi) Melayu itu tidak semestinya dari UMNO.

Kedua , saya juga tidak boleh menipu diri dengan mengatakan kedudukan melayu semenjak merdeka sehingga sekarang dibawah kepimpinan majoriti melayu, telah melonjak pada kedudukan yang baik khususnya dari segi ekonomi dalam bentuk bilangan yang menjadi jutawan, pemilikan harta termasuk ekuiti  dan pendidikan. Sebaliknya fakta menunjukkan  tanah simpanan melayu semakin mengecil. 

Ketiga,  saya juga tidak boleh menafikan bahawa ada juga sebahagian kecil Melayu yang dekat dengan mereka yang berkuasa telah menjadi kaya raya.

Keempat, saya juga tidak boleh besetuju bahawa kegagalan sebahagian besar melayu adalah disebabkan  sabotaj orang bukan walaupun kemungkinan itu tidak dapat dielakkan dalam dunia perniagaan yang bersaing sifatnya.

Kelima, saya juga tidak boleh mengatakan bahawa pimpinan melayu yang ada sebenar-benarnya mahu menolong melayu semata-mata setelah melihat bukti yang ada menunjukkan pimpinan melayu juga bersekongkol dengan bukan melayu untuk mengaut kekayaan sumber negara sama ada melalui cara yang sah tetapi tidak bermoral mahupun cara yang tidak teratur dan salah dari segi undang-undang.

Keenam, saya juga tidak boleh menidakkan bahawa dasar pecah belah menggunakan bangsa dan agama begitu licik sekali dilakukan sehingga menimbulkan kebimbangan dan rasa takut terutamanya dikalangan orang melayu dan rakyat berbagai keturunan dan bangsa serta agama, demi mengekalkan kuasa.  

Jadi bagaimana saya mampu menahan dari ketawa terbahak-bahak apabila membaca wasap yang membawa cerita hantu tentang DAP Cina jadi parti dominan dalam kerajaan PH-Bersatu selepas PRU 14 . Sesungguhnya ianya tidak menakutkan saya.

Hujah dominan inilah yang dijadikan sebagai hantu jembalang bagi menakutkan orang Melayu.

Saya harap orang melayu lain juga akan turut sama ketawa.

Oh ya, di mana PAS? PAS juga parti pembangkang.

PAS telah diresapkan sebagai parti sahabat kepada kerajaan khususnya UMNO. Bahkan wasap itu mengalu-alukan agar orang melayu mengundi PAS selain UMNO, demi Melayu dan Islam.

Jadi PAS tidak masuk dalam 'equation' kemenangan pembangkang.
   

Isnin, 13 Februari 2017

Mengurus Perbezaan Pandangan.




Saya mahu bicara apa itu berbeza pandangan dan kesan dari berbeza pandangan.

Bagi saya berbeza pandangan itu ertinya mempunyai pandangan yang tidak sama dalam sesuatu hal yang sama.

Kesan berbeza pandangan itu , boleh jadi positif dan boleh juga negatif.

Menurut setengah pihak, berbeza pandangan adalah sesuatu yang perlu diraikan kerana ianya menghidangkan berbagai corak pemikiran dan penilaian keatas sesuatu perkara atau isu.

Berbeza pandangan juga boleh menghasilkan perbalahan, permusuhan dan pergaduhan kerana masing-masing pihak yang berbeza pandangan mahu memaksa pandangan atau pendapat masing-masing diterima.

Jadi perlukah kita berbeza pandangan?

Bagi saya berbeza pandangan tidak dapat dielakkan sama ada ianya menghasilkan kesan negatif atau positif. 

Cuma yang perlu ada ialah satu mekanisma yang boleh mendamaikan/mengharmonikan perbezaan itu atau mengambil pendirian sebagai pemutus dalam sesuatu hal atau isu yang menjadi perselisihan yang perlu diterima oleh pihak yang berbeza. Mekanisma itu akan berfungsi dalam mengurus perbezaan pandangan.

Mekanisma asas ialah satu mekanisma yang tidak berstruktur yang merupakan kawalan dalaman yang mesti ada pada seseorang. Ianya apa yang selalu dipanggil sebagai semangat berlapang dada dan berfikiran terbuka. 

Mekanisma ini memerlukan seseorang itu mempunyai kekuatan untuk mampu menerima kebenaran dan menerima seadanya akan keperluan berbeza pandangan walaupun kebenaran dan sikap menerima seadanya itu tidak menyebelahi pandangannya dan amat menyakitkan. Ego dan kesombongan serta ketaksuban pada sesuatu pegangan atau prinsip perlu dikorbankan.

Ianya mudah diperkatakan tapi berat untuk dipraktikkan. 

Ramai orang cenderung untuk memberi nasihat supaya seseorang itu perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menghadapi perbezaan pandangan. Tetapi apabila perbezaan pandangan itu melibatkan dirinya, tidak semudah seperti yang dicakapkan untuk diterimanya. 

Mekanisma yang lebih berkesan dalam menguruskan perbezaan pandangan ialah mekanisma yang berstruktur dalam bentuk instutusi dan perundangan/peraturan.

Misalnya institusi Mufti dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dalam bentuk fatwa. Tidak dinafikan ada kelemahan dalam hal-hal tertentu tapi melalui fatwa dari institusi mufti ini banyak perbezaan pandangan tentang atau yang berkaitan agama Islam telah dapat diuruskan dengan baik.

Seterusnya perbezaan pandangan yang diselesaikan melalui peraturan dan undang-undang negara. Perbezaan ini adalah perbezaan yang serious yang boleh menjejaskan kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara. 

Keberkesanan penyelesaian berbentuk undang-undang ini sangat bergantung kepada mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya iaitu agensi pelaksana undang-undang. 

Dan yang paling penting mestilah ujud dan diamalkan konsep pengasingan kuasa (separation of power) diantara eksekutif, kehakiman dan perundangan (parlimen). 

Jika mana-mana pihak mencampuri bidang kuasa pihak yang lain, misalnya eksekutif iaitu parti yang menjadi kerajaan mencampuri bidang kuasa kehakiman atau mencampuri diperingkat agensi pelaksana undang-undang maka penyelesaian melalui undang-undang akan tercemar. 

Bermakna undang-undang itu telah gagal berfungsi untuk menjaga kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Banyak contoh yang boleh diketengahkan tentang campur tangan ini. Cari dan fikirlah sendiri.

Kesimpulannya, perbezaan pandangan wajarlah diuruskan dengan sebaiknya walaupun sekecil mana apatah lagi perbezaan pandangan yang membawa kepada kerugian dan mengancam kepentingan  dari segi nama baik, nyawa, harta benda keselamatan dan keamanan serta ekonomi individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Wallahualam.
 
 
 
 







Jumaat, 10 Februari 2017

POLITIK


POLITIK........satu perkataan yang memberi berbagai makna dan guna, positif mahupun negatif. 

Saya tidak akan menghuraikan kenyataan saya diatas kerana ianya tidak akan memberikan jawapan yang boleh digunapakai , yang boleh dipegang dan dipercayai mahupun ditolak oleh semua dalam apa pun keadaan dan ruang masa.

Politik adalah politik. Itu sahaja yang mahu saya nyatakan.

Ketika ini, di negara kita, politik menguasai setiap dari hembusan dan tarikan nafas rakyat. Ia satu petanda bahawa rakyat Malaysia masih hidup.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Tun Mahathir bisa sahaja menghulurkan tangan kepada Anwar Ibrahim, dengan selamba. Anwar Ibrahim pula yang pernah disumbatkan oleh Mahathir ke dalam penjara , menyambut dengan bersahaja salam politik Mahathir. 

Lim Kit Siang , manusia Cina DAP yang selalu dimashurkan oleh Mahathir pada suatu  ketika dulu sebagai musuh utama Melayu , yang perlu dijauhi , diiringi dengan cacian dan hinaan, sekarang bisa duduk bersebelahan bahu membahu begitu mesra sekali.

Najib Razak, orang yang dipilih oleh Mahathir untuk menggantikan Abdullah Badawi atas kepercayaan bahawa Najib boleh melakukan yang lebih baik menurut ukuran Mahathir, ketika ini sedang menjadi sasaran serangan Mahathir untuk dinyahkan kerana prestasinya tidak mencapai standard yang dimahukan Mahathir.

Sebenarnya untuk sebuah Malaysia yang selamat, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang telah lebih awal mendahului Mahathir dengan menyatakan bahawa Najib bukan orang yang boleh diharapkan untuk menjadi PM.

Sekarang Mahathir sudah akur dan bersetuju dengan musuh ketat politiknya bukan saja tentang kenyataan mengenai Najib bahkan UMNO (Baru) parti yang ditubuhkannya dulu. Najib dan UMNO, kata Mahathir, membawa bencana kepada negara.

Antara Anwar dan Lim Kit Siang, Anwar sentiasa membayangi perjalanan hidup Mahathir, baik sewaktu berjaga mahupun sewaktu tidur.

Pada hari ini Mahathir diberitakan mengadap Anwar di mahkamah, berbincang selama 45 minit, saya yakin, untuk satu matlamat menyingkirkan Najib.

Tanpa restu Anwar, Mahathir tidak mempunyai daya untuk mengenepikan Najib, apatah lagi untuk  menjatuhkan UMNO.

Ini adalah merupakan siri kedua Mahathir mengadap Anwar.

Untuk terus berbicara dan memberi kesan dihati apa yang dibicarakan,  saya perlu mengingatkan kembali, kerana kata Mahathir Melayu mudah lupa, bahawa Anwar adalah  manusia yang Mahathir kata tidak bermoral yang tidak layak menjadi PM. Jangan lupa kenyataan ini.

Bahkan seluruh ahli UMNO dan penyokong Mahathir bersetuju tanpa soal dan menggunakan akal fikiran serta pertimbangan dosa pahala, termasuk mereka yang dikatakan alim ulamak, sentiasa mengulangi ayat bahawa  Anwar adalah manusia rendah moral.

Najib pada peringkat awal memiliki kuasa, bersama dengan geng UMNOnya meneruskan 'kepercayaan rendah moral' Anwar itu, lalu bertindak dengan cara yang sama, menggunakan isu yang sama sebagai justifikasi untuk menyumbat Anwar dalam penjara.

Najib berjaya. Dan Mahathir ketika itu bersama Najib. Najib , Mahathir dan UMNO senyum bangga.
 
Masa berjalan. Mahathir telah mengesan bahawa Najib sudah melencong dari jajaran yang dikehendakinya.

Sebagai PM 22 tahun, lencongan itu amat menyakitkan hati Mahathir. 

Selepas pujuk rayu untuk kembali kepada jajaran yang dikehendakinya tidak dilayan oleh Najib, Mahathir berpatah arang berkerat rotan, bukan sahaja dengan Najib bahkan juga dengan UMNO kerana UMNO berterusan menyokong Najib walaupun UMNO sendiri , saya percaya, mempercayai apa yang Mahathir dakwa tentang Najib.

Mahathir adalah Melayu mudah lupa. Dialah yang telah mengajar ahli UMNO untuk sentiasa taat  kepada pemimpin. Dalam apapun keadaan, pimpinan mesti dipertahankan. Maka apa yang dilakukan oleh ahli UMNO ketika ini adalah taat kepada Najib sebagai pemimpin tertinggi UMNO. 

Bagi UMNO taat itu adalah taat yang diajar oleh Hang Tuah. Taat itu tidak bermaksud mempertahankan kebenaran. Taat itu adalah bagi mempertahankan institusi yang bernama UMNO supaya terus berkekalan walaupun buat seketika institusi itu diterajui oleh pemimpin yang bermasalah. 

Pemimpin boleh datang dan pergi. Institusi tempat berteduh dan bernaung, mesti dipertahankan.

Apabila nanti Najib tidak menjadi presiden UMNO/PM, sedikit silap yang dilakukan oleh Najib akan diulang sebut dan dikatakan telah melakukan kesalahan besar dan perlu dihukum. 

Samalah dengan Mahathir yang bukan lagi presiden UMNO. Habis kisah-kisah lama mahu dibangkitkan oleh ahli UMNO. Bahkan ada yang mengeluarkan kata-kata bahawa Mahathir perlu dihadapkan ke mahkamah.

Sekarang Mahathir bersama Lim Kit Siang bekerja keras untuk menjatuhkan Najib dan UMNO. Gabungan dua tenaga yang bermusuh bertukar menjadi kawan ini, tidak cukup untuk menjatuhkan Najib.

Anwar Ibrahim adalah tenaga yang sebenarnya yang jika digabungkan bersama dengan Mahathir dan Lim Kit Siang, Najib sudah pasti pada kepercayaan umum akan merengkok dalam penjara.

Mahathir menyedari perkara ini. Sebab itu dua kali mengadap banduan Sg. Buluh yang pada suatu ketika dulu beliau sumbatkan ke dalam penjara.

Bayangkan seorang bekas PM 22 tahun sanggup mengadap seorang banduan rendah moral. Bukan sekali tapi dua kali. Mungkin berterusan.

Mengadap adalah perkataan yang hanya sesuai bagi tujuan mendapat persetujuan atau arahan yang hanya dilakukan oleh orang bawahan terhadap orang atasan.

Tapi mengadap seorang banduan oleh bekas PM adalah satu perkara luar biasa dalam pengertian dan kamus mana-mana sistem sosial.

Mahathir sanggup melakukannya.  Anwar pula memperkenankannya . Lim Kit Siang turut menyokong.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Bagaimana caranya? 

Bebaskan Anwar terlebih dulu!

Itulah Politik.