Theflowersellingboy

Jumaat, 29 Julai 2016

TAKUT KERANA BENAR




Hari ini saya hendak tulis pendek saja tentang 'Bercakap Benar', atau Berani Kerana Benar'.
 
Ramai orang berkata,
(i) Kebenaran perlu ditegakkan, diperjuang dan dipertahankan walaupun menghadapi betapa besar dan hebatnya halangan , dugaan dan risiko. Kebenaran akan menang. Lambat laun kebatilan akan terserlah. 

(ii) Mana mungkin yang batil mengatasi yang hak. Yang batil itu adalah mungkar sebaliknya yang hak itu adalah makruf. Bukankah Allah menyeru melakukan yang makruf dan meninggal dan mencegah yang mungkar.

(iii) Apakah kita mahu melanggar perintah Allah? Sudah tentu tidak. 

Saya percaya semua orang bersetuju dengan kenyataan diatas. 
 
Tapi jangan marah kerana saya akan ketawa terbahak-bahak. 
 
Sebab  jika saya berani berkata benar saya akan masuk jel. Ramai orang yang akan buat laporan polis meminta saya disiasat. Oleh itu lebih selamat saya menjadi orang yang penakut.  Saya takut asalkan saya dipihak yang benar. 
 
Ketawa terbahak-bahak adalah pilihan yang terbaik sebagai isyarat bahawa saya adalah dipihak yang benar.






 





 
 

Khamis, 28 Julai 2016

Jangan Jadi Bingong




Adakah anda keliru atau bingong ketika ini? Atau anda pasti dan yakin tanpa was-was?

Apa isunya. Apa bendanya? Anda mungkin segera bertanya kepada saya.

Satu emdibi jawab saya.

Oooooohh..yang itu.

"Itu semuanya fitnah angkara campur tangan kuasa asing mahu menjatuhkan kepimpinan Melayu dan Islam. Negara luar memang sudah lama dengki dengan kemajuan negara kita yang semenjak merdeka sehingga sekarang di pimpin oleh Melayu Islam.

Jangan percaya kepada fitnah. Dosa fitnah lebih teruk dari dosa membunuh. Apa saja berita yang kita terima, kita tidak boleh terima membabi buta. Mesti semak, apatah lagi berita yang datang dari orang fasik, kafir harbi.

Fasal apa percaya berita dari negara luar, yang dipimpin oleh kafir harbi. Ini adalah konspirasi orang dalaman dengan kuasa asing bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Pembelot itu mesti diambil tindakan dan laporan polis telahpun dibuat keatas mereka.

Lagipun, itu hanya kes sivil bukan jenayah. Belumpun dibuktikan. Seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Jangan lihat aspek buruk saja. Lihat juga perkara-perkara kebajikan yang telah dibuat oleh satu emdibi. Dah berapa ribu satu emdibi hantar orang naik haji. Dah berapa banyak bantuan yang telah diberikan kepada mereka yang memerlukan. Jutaan ringgit, bukannya sikit.

Mana mungkin satu emdibi yang mengutamakan kebajikan rakyat melakukan keburukan seperti yang difitnah itu''.

Hahahahahaha...saya terpaksa ketawa seperti itu. Jangan marah, bawa bersabar. Mengucap banyak-banyak.
Kelihatan, anda begitu yakin dan tanpa was-was bahawa satu emdibi dalam keadaan sihat, tiada wang yang telah diselewengkan. Tiada wang yang telah disonglap (saya seronok gunakan perkata songlap) dan digunakan bagi membeli hartanah, bikin filem, beli jet, beli lukisan, berfoya-foya dan berjudi. 

Anda kata semuanya fitnah. Anda kata ada rakyat kita sudah belot dan bekerjasama dengan negara asing untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan melayu dan Islam.

Ok, anda sudah berhujah mempertahankan satu emdibi. Anda tidak keliru dan tidak juga bingong dengan apa yang di dedahkan oleh DoJ. Anda yakin bahawa mereka yang bertanggungjawab ke atas satu emdibi khususnya di peringkat kuasa tertinggi tidak melakukan kesalahan.

Anda kata, ini kes sivil , bukan jenayah. 

Anda faham tak kes sivil ini bertujuan untuk mensita dan membekukan serta mendapatkan semula aset yang dimiliki oleh yang dinamakan kerana pemilikan aset oleh yang dinamakan itu adalah dilakukan secara haram. Gunakan wang satu emdibi secara songlap.  

Apabila aset tersebut didapatkan semula melalui proses undang-undang oleh DoJ, ianya akan dikembalikan kepada satu emdibi, syarikat negara kita. Anda tidak mahu aset itu dikemabalikan kepada tuannya semula iaitu satu emdibi, negara kita dan rakyat malaysia? Saya kira anda bingong dan keliru dan dikelirukan.

Dan ianya tidak berhenti setakat itu saja. Pendakwaan jenayah akan dilakukan kerana perbuatan songlap menyonglap wang ini adalah menyalahi undang-undang negara itu dan undang-undang antara bangsa. Ini money laundering, pengubahan wang haram.

Ini melibatkan pencurian harta sendiri yang dipanggil dalam bahasa Inggeris larceny. Jangan jadi negara ini sebagai negara kleptokrasi.

Anda masih bingong?
 




 

Selasa, 26 Julai 2016

Mengapa Kita Beraya Di Kampong




Kenapa hari raya orang perantauan, misalnya yang duduk dan bekerja di Kuala Lumpur balik kampong? Apa yang menariknya di kampong. 

Siapa yang dirindui sehingga ada yang tidak sabar-sabar dengan melakukan berbagai kesalahan jalan raya seperti memandu kenderaan dengan laju melebihi dari had yang ditetapkan, memotong kenderaan lain ikut suka hati dan menggunakan lorong kecemasan. Berlagak samsing jalan raya untuk beraya di kampong.

Sebenarnya tiada apa pun yang menarik di kampong. Nostalgia? Mengembalikan kenangan lama? 

Lupakan saja. Banyak yang telah berubah. Dalam perjalanan dan kampong itu sendiri, banyak yang telah berubah.

Susah hendak cari pohon-pohon dan hutan-hutan atau sawah padi yang menghijau di sepanjang kiri kanan perjalanan menuju ke kampong. Hilang lenyap wajah kampong yang lama. Bukit dan gunung banyak yang telah botak, digondolkan oleh manusia. Takkan gajah dan harimau yang menggondolkannya?

Jadi mengapa gila-gila sangat nak beraya di kampong? Bukankah sekarang ini perjalanan balik kampong melibatkan kos yang tinggi, membebankan. Bukankah beban sara hidup tinggi ini yang selalu menjadi rungutan harian kita.

Harga minyak petrol/diesel mahal. Tol mahal. Lagi jauh perjalanan, banyak laluan tol yang terpaksa dilalui, bertambah beban lagi. GST pun terpaksa dibayar , menaikkan lagi harga barang seperti  pakaian  dan makanan. 

Senggaraan kereta sebelum balik hari raya seperti menukar minyak pelincir, menentukan brek berfungsi dengan baik, tayar yang selamat dan sebagainya perlu dilakukan walaupun termasuk GST yang menyakitkan hati itu. Gunakan wang lagi.

Tidak seronok rasanya balik kampong dengan tangan kosong. Sejenis dua kueh muih, biskut dan yang sejenis perlu juga dibawa sama. Kos lagi. 

Tidak cukup dengan buah tangan tersebut. Kita bersalaman, jangan lupa duit raya dalam envelop yang perlu juga mengiringi salam kita, walaupun tidak semua. 

Memanglah duit raya itu kita beri dengan ikhlas. Itu bukan soalnya. Soalnya kos yang bertambah apabila kita balik beraya di kampong.

Satu lagi, sekarang ini duit raya tidak main seringgit dua ringgit. Minima 5 ringgit. Itupun , kedengaran rungutan, 'alaaa lima ringgit jer' atau 'ingatkan merah, ijau jer'. Kata-kata itu dikeluarkan dihadapan kita. Tiada siapa yang mengajar begitu. Kos sara hidup yang semakin meningkat yang mengajar mereka. Apalah sangat nilai 5 ringgit ketika ini.

Tersipu-sipulah kita antara marah, ketawa dan kecil hati. 

Balik kampong, kosnya begitu tinggi. Kos dalam bentuk wang dan kos perasaan.

Jika suami isteri berlainan negeri, seorang dari nun selatan Johor dan seorang lagi nun di Perlis bersempadankan Thailand, yang telah ada persetujuan untuk beraya bergilir, 'tahun ini rumah you dulu, lepas tu balik rumah I' dan 'tahun depan sebaliknya' bukankah parah jadinya. .

Begitu 'menyiksakan'. Tapi kampong tetap menjadi pilihan untuk beraya. Mengapa?

Adakah beraya di kampong bertujuan untuk berjumpa saudara mara seperti adik beradik, bapa dan emak saudara, anak saudara dan kawan lama?

Saya tidak yakin, itu sebabnya. Sebab mereka itu tidak mungkin boleh menjadi daya penarik untuk balik ke kampong.
Yang menjadi daya penarik ialah kedua ibubapa kita. Tiada mereka kita tidak akan balik beraya di kampong.

Saya pernah bertanya seseorang fasal apa tidak balik kampong. Jawabnya mudah saja, 'tiada sesiapa di kampong'.

Saya tanya lagi, bagaimana dengan adik beradik yang lain , emak atau bapa saudara? Jawabnya, masih ada di kampong, tapi emak dan bapa tidak ada, tak seronok balik kampong.

Dengan hal yang demikian, sekarang ini kita mesti bersedia menerima kenyataan bahawa ikatan kekeluargaan kita misalnya diantara adik beradik, anak dan bapa/emak saudara apatah lagi pupuan semakin longgar menuju kearah pupus.

Jangan merasa kecil hati jika adik beradik tidak berkunjung ke rumah kita sebab kitapun merasa  malas untuk berkunjung ke rumah mereka melainkan jika ibubapa ada bersama.

Begitu hebatnya daya penarik ibubapa, penyatu persaudaraan yang tidak mungkin pupus selagi mereka ada. Kos sara hidup yang tinggi juga tidak berdaya menjadi penghalang untuk kita beraya bersama walaupun kita datang dari beribu batu jarak jauhnya.