Theflowersellingboy

Sabtu, 5 Mac 2016

Deklarasi #SELAMATKAN MALAYSIA: Pembangkang dan Mahathir....Satu Tujuan , Niat Berbeza




Apakah itu #Selamatkan Malaysia? Apa tujuannya dan apa niatnya?
 
Pada 4 Mac 2016 dengan diketuai oleh bekas PM Tun Mahathir Muhammad satu deklarasi telah ditandatangani oleh 58 individu dari berbagai latarbelakang menggesa rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dengan cara menyingkir DS Najib sebagai PM Malaysia.  Deklarasi  itu telah dibacakan oleh bekas PM, Tun Mahathir.
 
Najib turun Malaysia selamat! Itulah yang diyakini oleh sebahagian mereka yang berhimpun. Yang pasti itulah tujuan Mahathir dan penyokongnya. 
 
Tapi tidak semua yang bersetuju dengan tujuan Mahathir itu. 
 
Pembangkang (kecuali presiden PAS) dan rakyat yang mengetahui sepak terajang politik Mahathir selama berkuasa 22 tahun, mempunyai tujuan yang sama tetapi niat yang tidak dipunyai oleh Mahathir.
 
Tujuan mereka sama iaitu singkir Najib. Tetapi Mahathir tidak ada niat langsung untuk memperbaikki kerosakan sistem pentadbiran yang sedang dilakukan oleh Najib. Kerana kerosakan sistem yang ada, yang diamalkan oleh Najib adalah warisan dari  zaman Mahathir.
 
Sebaliknya pembangkang, kecuali  presiden PAS, mahukan lebih dari menyingkirkan Najib. Niat pembangkang ialah perubahan secara total ke atas sistem urus tadbir negara yang telah rosak. Dalam bahasa yang mudah menukar kerajaan yang ada.
 
Jadi apa faedahnya diadakan perhimpunan dan deklarasi #selamatkan Malaysia  sedangkan tidak ada kesatuan dari segi matlamat untuk #selamatkan malaysia?
 
Sudah tentu, faedahnya kepada Mahathir dan penyokong-penyokongnya jika Najib dapat diturunkan. Juga faedahnya akan diraih oleh Mahyuddin , Safie dan Mukhriz dan ahli UMNO yang menentang Najib. Dan Mahathir akan masuk semula UMNO.
 
Mahathir akan masuk semula UMNO. Ini kerja mudah apabila Najib dapat disingkirkan kerana penentang Najib bukan saja mereka yang telah dipecat, bahkan terdiri dari ketua-ketua Cawangan yang telah mengistiharkan diri tidak bersetuju dengan Najib dan penentang senyap dalam UMNO itu sendiri.
 
Masuk semulanya Mahathir nanti akan timbul gerakan untuk mengukuhkan kedudukan  Mahyuddin, Shafie dan Mukhriz. Penggantungan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden akan dibatalkan dan seterusnya sebagai Timbalan Presiden, beliau diangkat sebagai presiden untuk laluan beliau menjadi Perdana Menteri. Seterusnya bersama Mahathir, Mahyuddin akan menyusun barisan beliau sendiri.
 
Mahathir, kemudiannya akan boleh senyum. Beliau senyum kerana dapat singkirkan Najib. Beliau senyum kerana boleh menyusun orang-orangnya termasuk anaknya dalam barisan kepimpinan UMNO dan BN. Beliau senyum kerana UMNO/BN terus berkuasa. 
 
Mahathir terus senyum kerana dapat meyakinkan musuh ketatnya pembangkang untuk bersama-sama menyingkirkan Najib, dan berharap pembangkang akan retak menjadi lemah menuding jari sama sendiri. 
 
Dan senyum Mahathir yang berterusan ialah kerana beliau tidak akan mengahadapi sebarang dakwaan atas salahlaku yang dilakukannya dahulu selama 22 tahun jadi PM. 
 
Itulah pengertian #selamatkan malaysia  dari lubuk hati Mahathir. Sebab itulah beliau dengan jelas mengatakan bahawa tugas yang ada dihadapan ialah untuk hanya singkirkan Najib. Soal lain ketepikan dulu.
 
Pembangkang mahu tumpang kekuatan Mahathir untuk menjatuhkan Najib sebelum sampai PRU 14. Sebenarnya, UMNO/BN dalam keadaan lemah. PRU 14, akan kalah tanpa bantuan Mahathir.
 
Tapi mengapa pembangkang sanggup terseret dengan gerakan Mahathir untuk jatuhkan Najib sebelum PRU 14 sedangkan Najib dan UMNO sendiri tiada kekuatan untuk menghadapi PRU 14?
 
Jika Najib boleh disingkirkan sebelum PRU 14, ianya tidak menjamin untuk perubahan sebuah kerajaan yang diharapkan oleh rakyat. UMNO akan terus berkuasa dengan Mahathir sebagai tuakonya ( melalui remote control).
 
Jadi pembangkang akan berputih mata untuk menerajui kerajaan. Rakyat akan mendapat kerajaan yang sama dengan personaliti yang berbeza tapi perangai yang sama. 
 
Apa beza Najib dan Mahathir? Tolong berikan satu dua contoh misalnya dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan. Bagaimana pula tentang perlaksanaan konsep pengasingan kuasa?
 
Oleh itu saya kurang yakin gerakan #selamatkan malaysia ini boleh sebenarnya menyelamatkan malaysia dalam ertikata rakyat akan dapat menikmati satu kehidupan yang lebih baik. Saya lebih yakin menggunakan PRU 14 bagi menjatuhkan Najib untuk mendapat satu perubahan seperti yang diniatkan oleh rakyat dan yang dijanjikan oleh pembangkang.
 
#Selamatkan Malaysia, antara Mahathir dan pembangkang, tujuan sama, niatnya berbeza. Saya percaya, jika Najib berjaya disingkirkan , Mahathir akan berkuasa dan pembangkang putih mata. 
 

Rabu, 2 Mac 2016

NASI KUKUS EKSPRESS: Kerutuk Kelantan, Pedas Melaka.




NASI KUKUS EKSPRESS (Kerutuk Kelantan dan Pedas Melaka)
Lokasi : Berhampiran masjid Ubaidiah, Air Kroh, Melaka
Pengusaha: LHZ Enterprise (Lukman dan Aizat)
Waktu Berniaga: 10 pagi hingga 6 ptg
Hari Berniaga: Isnin ke Jumaat
Harga: RM 5.00 satu bungkus


Minggu lepas bercuti di Melaka bersama anak-anak. Janji ditepati.

Aku telah berjanji untuk membawa anak-anak ke Melaka jika mereka, empat kesemuanya cemerlang dalam pelajaran. Anak yang tua berada ditingkatan dua, berusia 14 tahun telah mendapat A dalam semua matapelajaran. Begitu juga yang berada ditingkatan satu, A semuanya. Seorang lagi berusia 10 tahun, darjah 5, markah minima A dalam semua subjek. Dan yang berada dalam darjah 4, pun sama juga.

Jadi, janji mesti ditepati. Kalau tidak dia kata aku janji dicapati. Walaupun tiada kiasan bahasa seperti itu tapi aku faham maksudnya ialah bila berjanji mesti ditunaikan.

OK, aku tunaikan janji itu.

Hari itu hari Jumaat. Kami bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke selatan menggunakan lehuhraya Plus. Tepat jam 10 pagi bertolaklah kami.

Perjalanan kami agak lancar walaupun bilangan kenderaan menuju selatan agak banyak juga. Tapi apabila saja mahu memasuki tol Air Keroh, telah ada tanda-tanda bahawa kami akan mengalami kesesakan seperti di KL.

"Wah , jem lagi macam KL", anak pertama saya bersuara, tapi bukan mengeluh. Suaranya macam seronok saja bunyi. Seorang adiknya sedikit membebel , tidak sukakan kesesakan ini kerana boleh melambatkan untuk sampai ke hotel. Maka berforumlah mereka, bising sekali.

Isteri aku buat tak kisah. Matanya tutup, tidurnya lena. Aku teruskan perjalanan yang terhencut-hencut macam kura-kura.
Sudah pukul 1 tengah hari. Waktu solat sudah dekat. Mataku liar mencari papan tanda yang menunjukkan masjid. Nasib aku baik. Jarak 300 meter , masuk ke kanan, ada sebuah masjid. 

Aku ikut arahan bertulis yang diberikan itu.

Tempat letak kereta di masjid masih ada lagi. Aku lega.

Kami menuju ke sebuah khemah jualan makanan. Ada kain pemidang bertulis Nasi Kukus Ekspress.....Kerutuk Kelantan dan Pedas Melaka. Apa maksudnya ini? Aku mahu tahu. Bukan saja mahu tahu, aku mahu rasa. Aku dan keluarga mahu rasa kerutuk kelantan dan pedas melaka. 

Kami dipersilakan oleh 2 orang anak muda, lelaki , usia hujung dua puluhan untuk duduk.

"Makan bang"? Yang berambut kerinting bertanya.

"Ya, makan. Enam orang".

Kawannya yang seorang itu segera mengepit bekas kukus kecil yang berisi nasi ke dalam pinggan. Agak perlahan kerjanya. Mungkin baru berniaga, bisik hati kecilku.

Nasi sampai di meja. Aroma gulainya mengiurkan sekali. Ayam gorengnya panas. 

"Dah lama berniaga?" Aku bertanya.

"Baru seminggu bang. Cari rezeki halal. Ini kad kami".

Sepanjang aku makan di gerai berkhemah seperti ini, belum pernah aku menerima kad berniaga (business card) dari penjual makanan berkhemah ini. Ini satu perkara baru dan menarik.

Di tanganku ada dua kad. Kad pertama dengan nama  Amirul aizat Bach. Engin (Civil).

Kesian. Dia ni salah seorang graduan yang tidak dapat kerja, gamaknya. Sanggup jual nasi kukus di tepi jalan. Aap nak jadi Malaysia yang kaya raya ni. Aku mengeluh.

Kad lagi satu, dengan nama Lukman Hakim, UT , NDT.

Apa benda UT  NDT tu. Sijil chef ke? Tapi kalau sijil chef fasal apa berniaga pakai khemah ditepi jalan. Kalau tak ada lesen dari pihak berkuasa tempatan sudah tentu kena hambat dan lari lintang pukang. Kesian.

Aku mahu tanya. 

Tapi aku mahu makan dulu. Aku mahu tahu rasa kerutuk kelantan dan pedas melaka. Anak-anak dan isteriku  dah lama mulakan. Mereka minta tambah lagi. Sedap agaknya.

Oh, gulainya sedap sungguh. Sambal untuk dicicah dengan ayam goreng, sungguh pedas yang menggamit. Ertinya pedas yang menyelerakan.
  
Alhmdulillah. Cukup satu pinggan. Tidak boleh lebih. Itu nasihat doktor yang suruh aku berdiet. Puas.

"Adik " aku memanggil sambil menggamit. Penjual yang menghidang nasi itu datang. 

"Apa ni UT NDT, abng tak faham. Sijil syef Ker?"

"Itu kawan saya". Dia memanggil kawannya yag berambut kerinting itu.

Aku bertanya soalan yang sama. Habis saja soalan , dia ketawa. 

Budak ni nak permainkan aku ker. Dia ingat aku ni bodoh ker? Muka aku ada sedikit berubah.

"Bang, saya kerja dalam syarikat oil and gas. Dah kena berhenti bang. Sebab tak ada projek. Plantar tak dibuat lagi", kata si kerinting itu.

"Saya teknisian dalam ultra sound. Itulah UT. Dan kerja saya mengesahkan material yang digunakan selamat. Tiada defect....Non Defective Testing".

Ooooooo, aku ,macam sudah faham. 

Jadi mereka ini adalah mangsa kepada keadaan sekonomi. Kesian.

Tapi apa pun aku doakan mereka berjaya. Azan telah berbunyi. 

Mereka berdua bersiap untuk menutup khemah.

Sambil melangkah ke dalam masjid, aku berhasrat untuk menyalin maklumat yang terpampang di kain pemidang yang digantung dikhemah tadi. Dan aku mahu viralkan kerana aku bangga dengan kesanggupan 2 anak muda yang berniaga kecil-kecilan  di tepiu jalan. Dan aku teringat akan hasrat mereka untuk membuka sebuah restoran dalam tepoh setahun lagi. 

Syabas anak muda.

Nasi kukus....kerutuk kelantan, pedas melaka.

Sedap sungguh rasanya.

Khamis, 18 Februari 2016

LUPAKAN SAJA SUARA-SUARA BISING ITU: PEKAKKAN TELINGA.




Itu semua suara-suara bising. Jangan pedulikan suara-suara itu. Ada telinga tutup. Kalau tak tutup telinga, buat pekak saja. Dengar dan percayalah suara  saya kerana suara saya tidak bising memekak. 

Mana mungkin negara saya menuju muflis atau sebuah negara gagal. 

Saya ke sini dengan jet khas , kerajaan yang beli. Saya ke sini beserta dengan pengiring, bukan seorang, kerajaan yang bayar. Tempat tidur , makan minum, meraikan tetamu dan beriadah, semuanya tanggung beres, kerajaan juga yang bayar.

Jadi macam mana orang yang bersuara bising itu kata negara saya sebuah negara gagal, negara yang penuh hutang dan buat rugi dalam urusniaga. 

Mereka buat bising, menuduh saya makan suap. Mereka itu bodoh. Manusia makan mestilah bersuap. Takkan nak makan macam itik secara menyudu. Atau menggonggong macam anjing. Atau mencakar mengais macam ayam.

Mestilah makan bersuap.

Memang mereka itu bodoh. Bangang. Kerjanya tahu buat bising, menyalak sana sini.

Sibising ni kata saya kuat berhutang, konon saya buat hutang terlalu banyak dalam tempoh yang singkat.

Beritahu saya, negara mana yang tidak berhutang? Saya buat hutang pada tahap kemampuan bayar balik. Ertinya pihak yang memberi hutang percaya kemampuan negara saya bayar balik hutang. Rating bayar balik hutang negara saya adalah tinggi dan meyakinkan kepada pemberi hutang.

Gagal berhujah tentang hutang negara, si suara bising ini berpaling pada syarikat strategik negara. Mereka kata syarikat itu tanggung hutang yang tinggi. 

Mereka itu bodoh. Mereka cakap fasal liabiliti saja. Mereka tidak sentuh fasal aset syarikat itu yang mengatasi liabiliti.

Punyalah mereka sakit hati atas kejayaan syarikat itu dengan membuat fitnah mengatakan wang syarikat itu masuk dalam akaun peribadi saya. Gila betul sibising itu. Mereka ingat saya ini bodoh macam pak pandir, nak buat macam itu.  Tidak, tidak. Saya ada otak.

Saya beritahu pada si suara bising bahawa ada billionan yang sudi menderma ke dalam akaun peribadi saya. Ada orang nak derma, apa salahnya saya terima. 

Saya tahu mereka ini cemburu kerana tiada seorang pun yang berkenan untuk memberi mereka derma. Sebab itu, asalnya saya tidak mahu beritahu derma ini, saya khuatir mereka cemburu dan buat berbagai fitnah.

Tengok, apa yang saya jangka , betul-betul berlaku. Mereka kata yang bukan-bukan tentang derma itu. Naik lelah saya terangkan bahawa wang itu wang derma. Apa salahnya terima wang derma.

Mereka telah kehabisan modal. Bangkitkan pula kes mahkamah yang telah selesai bertahun lamanya. Kes pembunuhan yang tiada kaitan dengan saya. Kenapa bangkit sekarang? Kenapa tidak dibangkitkan semasa kes sedang berjalan di mahkamah. Lagipun kes telah selesai. Pembunuh sudah dijatuhkan hukuman.

Jadi tuan-tuan sekalian jangan pedulikan suara-suara bising itu sama ada datangnya dari negara saya atau macai-macai mereka dari luar negara saya. 

Jemput datang ke negara saya. Lihat dengan mata sendiri akan kejayaan negara dibawah kerajaan saya, pimpinan saya. 

Lupakan saja suara-suara bising itu.