Theflowersellingboy

Isnin, 26 Oktober 2015

BAJET 2016: Jerebu dan Kelabu




Seminggu saya menyepi, tidak berblogging, makan angin bersama keluarga.
 
Makan angin? Mungkin ada yang mahu bertanya. Dimana?
 
Saya percaya ada yang tidak percaya sekiranya saya beritahu bahawa saya bersama keluarga makan angin di dalam negara saja. Sebab keadaan yang berjerebu di sebahagian besar negara kita yang sudah berbulan lamanya tidak mungkin merangsangkan saya untuk makan angin. 
 
"Makan asap dan menghidu bau asap, ada lah", mungkin ayat ini di beri tahu kepada saya.
 
Benar, kami makan angin di dalam negara. Itu niat kami. Kami mahu menjauhkan diri dari keadaan berjerebu di Melaka, lantas menuju ke pantai timur , ke negeri Pahang, tinggal di hotel Swiss Garden.
 
Di Pahangpun berjerebu juga. Lebih malang, dalam perjalanan kami untuk ke Kemaman, Terengganu, kami terpaksa makan boksit (bauxite) atau jerebu merah. Lari dari mulut harimau masuk ke dalam mulut singa dan naga. Hendak makan angin, kena pula makan jerebu asap dan jerebu boksit.
 
Inilah Malaysia negara hijau!
 
Kita boleh salahkan negara Indonesia kerana tidak mengawal pembakaran terbuka sehingga asap dari pembakaran hutan/ladang tanaman itu merentasi selat Melaka dan Laut Cina selatan memasuki Malaysia. Tapi bagaimana dengan jerebu merah (boksit) yang terdapat di Pahang itu? Kenapa tiada tindakan dari pihak berkuasa?
 
Malaysia, biasalah, gajah depan mata tak nampak. Apatah lagi gajah itu gajah belaan atau milikan kayangan. Ada orang berani usik? Silap-silap kena dakwa bawah Akta Hasutan. Hahahahahaha kalau ada yang berani usik atau cuit-cuit saya tabik dua belah tangan.
 
Sekarang langit kita sentiasa kelabu waktu siang hari. Kita merindui cahaya matahari dan langit biru.
 
Macam mana pun , kami teruskan makan angin walaupun yang kami hirup adalah udara yang amat tercemar sekali.
 
Balik saja dari makan angin, saya diserang batuk. Saya sendiri pengidap penyakit asma. Cantik sekali kombinasi penyakit saya ini...batuk dan asma, menyiksakan untuk bernafas.
 
Jadi berhenti seketika blogging. 
 
Sekarang sedikit reda setelah ambil ubat batuk dan asma.
 
Walaupun dalam keadaan yang tidak sihat, saya ikuti ucapan bajet 2016 oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat 23 Oktober 2016.
 
Saya ikuti ucapan itu hanya untuk ambil tahu saja. Tidak seperti dulu, ucapan bajet ini saya anggap sebagai mainan statistik saja. Ianya bukan satu perancangan kewangan bagi penggunaan sumber secara cekap demi kepentingan rakyat. 
 
Bajet adalah alat politik bagi mendapatkan sokongan. Ia hanya 'retorik berjadual tahunan' untuk mendapat kelulusan bagi penggunaan sumber negara. 
 
Habis saja proses bajet iaitu dari pembentangan sehingga diluluskan, ia terus dilupakan. Kementerian dan jabatan akan berbelanja. Dan mereka berbelanja, tidak semestinya mengikut apa yang dibajetkan. 

Untuk menunjukkan bajet itu defisitnya bertambah kecil iaitu berbanding tahun sebelumnya, hanya memerlukan paparan statistik hasil berbanding dengan perbelanjaan. Tunjukkan perbelanjaan bertambah kecil berbanding dengan perbelanjaan tahun sebelumnya. Mudah saja untuk mengurangkan defisit! 
 
Bajet 2016 melakukannya!

Keadaan sebenarnya amat berbeza. Ini kita boleh lihat dari permohonan bajet tambahan pada setiap tahun. Ertinya bajet yang dibentangkan pada awalnya sudah tidak ada makna lagi.

Selain dari itu, menteri kewangan tidak juga memberitahu kepada rakyat tentang apa yang telah berlaku kepada bajet tahun 2015 yang telah diluluskan. Apa pencapaiannya setakat pertengahan tahun, misalnya?Langsung tidak disentuh.

Sebab itu saya katakan bajet ini adalah retorik tahunan saja bagi mendapat kelulusan penggunaan wang negara. Tidak langsung ada rasa tanggungjawab keatas wang yang dulunya telah diperuntukkan. Apa yang telah terjadi kepada wang yang telah diluluskan dahulu, perlu diberitahu, untuk rakyat menilai keberkesanan dan faedah dari wang yang telah diperuntukkan itu.

Dimana letaknya akauntabiliti kerajaan keatas wang yang telah diluluskan?
 
Hal seperti ini berlaku tahun demi tahun. Jadi jika ada pihak yang mengatakan bajet ini Bajet Najib, disediakan oleh Najib dan untuk Najib, saya tidak ada keberatan untuk bersetuju, bahkan menambah bajet ini adalah bajet politik Barisan Nasional. Ianya bukan Bajet bertujuan merancang penggunaan sumber negara dengan cekap dan berkesan demi faedah negara dan rakyat.
 
Batuk saya masih belum sembuh kerana jerebu bajet dan jerebu persekitaran. 




      

Sabtu, 10 Oktober 2015

Jangan Biarkan Kewibawaan Dua Institusi Penting Negara Dipersoalkan




Bila agaknya  1MDB ini akan menemui jalan penyelesaian?
 
Dari segi kerajaan, khususnya PM Najib, 1MDB tidak ada isu lagi apabila kerajaan telah bersetuju dengan pelan rasionalisasi bagi menentukan syarikat pelaburan strategik negara number 2 itu beroperasi seperti yang diharapkan. 
 
PM telah meminta tempoh masa enam bulan (sekarang sudah tinggal 5 bulan) bagi syarikat itu menguruskan isu-isu yang berbangkit seperti beban hutang.
 
Tapi mengapa 1MDB masih lagi menguasai ruang berita harian? Tiap-tiap hari, ada saja berita mengenai 1MDB yang sebahagian besarnya bersifat negatif. 
 
Yang terbaru ialah perbezaan diantara pejabat Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia tentang tanggapan masing-masing keatas 1MDB.
 
Walaupun Peguam Negara (PN) iaitu pihak berkuasa pendakwa raya negara memutuskan 1MDB tidak melakukan kesalahan dibawah akta kawalan Bank Negara Malaysia (BNM), dan terus menegaskan tiada salah laku setelah diminta disemak semula keputusan itu oleh BNM, kenyataan BNM berikutnya masih menegaskan 1MDB telah melakukan kesalahan dibawah akta kawalannya.
 
Jadi macam mana sekarang ini? Pihak mana rakyat harus berpegang. 
 
PN adalah pihak berkuasa pendakwaan -hanya PN saja boleh menentukan sesuatu dakwaan jenayah itu boleh diambil atau sebaliknya.
 
BNM adalah pihak berkuasa berkaitan dengan peraturan dan kawalan wang negara. 
 
Hanya BNM saja yang ada otoriti dan kepakaran dalam melakukan siasatan serta menentukan sama ada sesuatu urusniaga itu telah dilakukan menurut peraturan atau luar aturan.
 
Keadaan semacam ini (percangagahan diantara PN dan BNM) adalah serious sekali. Kewibawaan dua institusi kerajaan yang penting ini menjadi persoalan. Sudah tentu satu darinya tidak kena.
 
BNM kelihatan tegas dengan pendiriannya bahawa kesalahan jenayah kewangan telah dilakukan oleh 1MDB. 
 
Oleh itu pada pendapat saya PN perlu melihat semula penegasan BNM ini dan seterusnya memulakan pendakwaan jenayah kewangan ke atas 1MDB. 
 
Adakah laporan siasatan itu tidak lengkap?
 
Menurut yang saya faham jika ada sesuatu laporan siasatan itu tidak lengkap bagi tujuan pendakwaan, PN akan meminta pihak penyiasat untuk memperkemaskan laporan siasatan itu, bukan menolaknya begitu saja. 
 
Menolak syor siasatan BNM itu atas faktor apa? Tiada bukti kesalahan?
 
Tidak mungkin BNM begitu lalai dan cuai melaku dan menyediakan laporan siasatan dalam bidang kerja mereka. Sebab ada buktilah BNM mengesyorkan tindakan. Ini bukan syor main-main kerana 1MDB itu ada kaitan dengan Menteri Kewangan. 
 
Tidak mungkin BNM ambil rengan saja tentang hubungan 1MDB dengan menteri kewangan. Oleh kerana terlalu yakin dengan bukti akan kesalahan yang telah dilakukan, saya percaya BNM, mungkin dengan berat hati, tapi penuh tanggungjawab mengesyorkan tindakan pendakwaan dilakukan keatas 1MDB.
 
Jangan jadikan kewibawaan dua institusi penting negara ini dipersoalkan! 
 
  

Khamis, 8 Oktober 2015

1MDB Baru Saja Tersenyum.....Tapi Kena Serious Semula.




1MDB boleh tersenyum lebar, kerana Peguam Negera (PN) telah memutuskan bahawa tiada sebarang salah laku berkaitan siasatan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Malaysiakini melaporkan pada 8 Oktober 2015 bahawa peguam negara mendapati tiada sebarang salahlaku berkaitan dengan laporan siasatan oleh BNM.

Menurut berita itu menyatakan bahawa keputusan PN itu telah disampaikan kepada BNM pada 11 September yang lepas termasuk mengembalikan laporan siasatan bank itu. Namun pada 1 Oktober BNM meminta agar keputusan PN itu disemak semula. Bagaimanapun PN mengekalkan keputusan tiada salah laku kerana tiada bukti baru yang diperolehi.

Berita ini sungguh menarik sekali.

Pertama, ketahuilah sudah bahawa 1MDB tidak melanggar apa-apa urus niaga yang jatuh dibawah Akta kawalan BNM. Walaupun BNM meminta keputusan disemak semula, PN tetap dengan keputusan tidak bersalah.

Kedua, keputusan itu telah diberitahu kepada BNM termasuklah keputusan kali kedua yang mengekalkan keputusan awal. Tapi keputusan itu tidak pula dimaklumkan untuk diketahui oleh rakyat.

Ketiga, dua hari yang lepas Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan agar kerajaan menyelesaikan kemelut 1MDB ini dengan segera kerana ianya memberi kesan yang negatif kepada negara dan rakyat. 

Oleh itu persoalan yang boleh ditanya adakah kenyataan Majlis Raja-raja ini membuatkan pihak PN terpaksa atau bersedia untuk memaklumkan tentang keputusan yang telah lama dibuat tapi tidak diketahui oleh orang ramai termasuk dikalangan raja-raja Melayu. Mengapa begitu jadinya.

Keempat, hanya perkara berkaitan dengan slaporan siasatan BNM saja yang melepaskan 1MDB dari salah laku. Hal-hal yang berkaitan dengan siasatan Polis dan SPRM masih lagi belum diputuskan kerana ada pihak-pihak yang berkaitan dengan kes yang disiasat dikatakan tidak dapat dikesan/dihubungi.

Ertinya siasatan polis dan SPRM masih berterusan. Tapi sampai bila? Bagaimana jika mereka yang dikehendaki tidak juga dapat dikesan? 

Kelima, menurut PN adalah tidak benar pihaknya ada mengatakan bahawa Jawatankuasa Penyiasat yang ditubuhkan dulu telah terbubar. Jawatankuasa itu masih ada.

Ini bermakna berbagai kenyataan dari berbagai pihak bahawa Jawatankuasa itu telah dibubar adalah tidak benar. Tapi kenapa PN tidak pula memberi tahu ketika berbagai pihak mempersoalkan tentang pembubaran Jawatankuasa itu bahawa hal itu tidak benar. Mengapa sekarang.

1MDB ini telah diikuti oleh semua pihak. Dari rakyat bawahan, ahli politik sama ada kerajaan dan pembangkang sehinggalah ke raja-raja Melayu, semua mahu tahu apa hal dengan 1MDB ini. Banyak yang bimbang walaupun kerajaan menyatakan tindakan telah dan sedang diambil bagi mengatasi apa saja masalah yang dihadapi oleh 1MDB, PM yang yakin ianya dapat diatasi dalam tempoh enam bulan lagi (mungkin tinggal 5 bulan).

Keputusan PN menyatakan tidak ada salah laku dalam urus niaga 1MDB dibawah akta kawalan BN mungkin satu dari petanda bahawa kes 1MDB ini dapat diselesaikan kerajaan.

Hanya sanya hendak diingatkan kepada 1MDB bahawa intipati kenyataan Majlis Raja-raja antara lain menyebut:  

1. Selesaikan secepat mungkin siasatan 1MDB dan ambil tindakan tegas.

2. Semua pihak harus beri kerjasama sebenar dan jujur.

3. Penemuan siasata dilaporkan secara lengkap dan telus.

4. Kegagalan beri penjelasan meyakinkan dikhuatiri mengakibatkan krisis keyakinan.

5. Rakyat yang percaya sama ada dengan realiti mahupun persepsi mempengaruhi kejatuhan mendadak nilai ringgit.

6. Badan-badan penguatkuasa dan institusi kawal selia hendalah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus.

7. Kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Saya percaya 1MDB wajar berwajah serious kembali dan hentikan senyuman yang baru saja diukir berikutan dengan kenyataan tidak bersalah oleh PN. Renungkan intipati kenyataan Majlis Raja-raja diatas -anda hanya mampu berwajah serious.