Theflowersellingboy

Jumaat, 8 Mei 2015

Makna Dari Keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh




Tahniah kepada PAS dan PKR kerana menang dalam pilihanraya kecil. 

Walaupun PAS kalah tapi PAS mengatakan mereka menang kerana berjaya mengurangkan majoriti kemenangan UMNO/BN, dan meningkatkan bilangan pengundi berbanding PRU 13.

Bagi saya PKR dan PAS adalah kalah. Yang kalah teruk ialah PKR. Ini tidak bermakna PAS dan PKR tidak bekerja kuat untuk menang. Tidak juga PKR yang kalah teruk itu mengambil mudah dan terlalu yakin dengan kemenangan. 

Bagi saya ada tiga sebab utama PAS dan PKR kalah iaitu:

i) Bergeser sesama sendiri atas sebab yang dibuat sendiri dan tidak munasabah.

ii) Sebahagian besar rakyat masih tidak ambil peduli.

iii) Jentera UMNO/BN yang terlalu kuat.

Sebab (i): Walaupun mereka itu mahu juga dipanggil sebagai PR, dan kepimpinan sentiasa menyatakan bahawa mereka dalam ikatan kerjasama sebagai parti PR, dan UMNO/BN sebagai lawan, realitinya adalah tidak begitu.

Dalam masa berlawan dengan UMNO/BN, tergamak juga mereka menjadi senjata kepada UMNO/BN menyerang kawan sendiri. Maka berlakulah tindakan mengugut dan memboikot sesama kawan.  

Paling malang sekali alasan menyerang kawan itu hanya fasal isu HUDUD. PAS kata PKR menentang HUDUD walaupun PKR telah menyatakan bagi orang Islam HUDUD tidak boleh ditolak. Tetapi ianya tidak meredakan kemarahan PAS.

PAS nampaknya mempercayai bahawa UMNO menyokong Hudud. Tapi PAS tidak pula mengambil kira-kira kenyataan yang telah dibuat oleh kepimpinan utama UMNO yang dengan jelas menolak Hudud. 

Pendirian PM sendiri yang jelas menolak Hudud. Dan dalam hal pembentangan RUU mengenai hudud, PM  tidak membuat sebarang kenyataan mengenai pendirian UMNO/BN tentang hudud iaitu bersetuju atau sebaliknnya.

Tapi PAS yakin bahawa UMNO akan menyokong RUU yang berkaitan perlaksanaan hudud itu. Alasannya mesti bersangka baik.

Tapi kenapa dengan UMNO lawan kepada PAS dan PR, PAS boleh mengambil sikap bersangka baik. Mengapa tidak bersangka baik dengan PKR, kawan dalam PR.

Itulah yang dikatakan bergeser sesama sendiri atas sebab yang tidak munasabah. Paling malang sekali bergeser ketika menghadapi lawan yang sama.

Sebab (ii) iaitu rakyat yang tidak  ada kepedulian. Tidak ambil peduli tentang tadbir urus yang adil, beramanah dan berhemah dalam penggunaan sumber negara. 

Sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya orang melayu adalah penganut emosi yang melampau atas nama bangsa, agama dan raja sehingga sanggup mengenepikan atau menutup mata atas perkara-perkara yang zalim, tidak adil dan salah guna dalam menguruskan negara.

Ini tidak bermakna mereka suka perkara-perkara seperti itu. Mereka juga tidak suka dan benci. Tetapi sekiranya berlaku salah laku misalnya perbuatan rasuah atau jenayah, dan jika pelaku itu dari kepimpinan melayu iaitu melayu yang berkuasa yang mereka percaya telah  membawa dan memberi sedikit sebanyak pembangunan dan bantuan, mereka masih lagi boleh menerima kepimpinan itu kerana melayu yang memimpin. 

Islam sentiasa digunakan dalam pengertian yang amat sempit sehingga memegang anjing dijadikan satu isu yang terlalu penting yang boleh menggoncang akidah. Bantuan dari agama lain dianggap sebagai satu kaedah yang halus bagi menukar agama orang melayu.

Hal-hal yang dinyatakan diatas, terlalu penting untuk dikutuk berbanding dengan perlakuan rasuah, pecah amanah dan salah urus tadbir negara.

Tapi amat malang sekali mereka ini tidak pula datang membantu bagi mengurangkan beban orang yang perlu bantuan. Tidak juga dari pihak berkuasa agama khususnya menfaatkan kutipan zakat.

Masih ingat atau tahukah tentang kes BMF, Perwaja, PKFZ dan baru-baru 1MDB dan Tabung Haji? Saya percaya ramai yang tahu dan ingat. Tapi kalau ada yang terlupa atau masih belum tahu rasanya adalah baik diberitahu.

Kesemua kes itu melibatkan salah guna kuasa dan pecah amanah. Negara dan rakyat kehilangan berbilion ringgit.

Tapi adakah ramai yang ambil kesah?

Saya mengatakan tidak ramai yang ambil kesah. Sebab itu kes-kes seperti ini diulang, bukan sekali bahkan sudah menjadi satu yang biasa tanpa ada perasaan bersalah dan malu. Jika ramai orang mengambil kesah, sudah lama kita menukar kerajaan.

Namun begitu jangan pula kita marah dan maki hamun kerajaan yang ada. Kerajaan yang ada ini adalah  pilihan kita. Marahkan pada diri sendiri.

Sebab (iii), jentera UMNO/BN yang terlalu kuat. Wangnya banyak,  jentera penggeraknya terkini dan meluas termasuk dari jabatan-jabatan dan institusi kerajaan. Macam langit dengan bumi jika dibandingkan dengan PAS dan PKR dua sahabat yang sentiasa bergaduh itu yang mendapat sokongan dan galakan dari UMNO/BN.

Jadi PAS tidaklah sebenarnya menang dalam kalah. PKR pula kalah teruk.

PAS dan PKR menyumbang kepada keputusan pilihanraya ini. Dan sikap rakyat yang tidak ambil peduli diatas segala kepincangan dalam urus tadbir negara adalah penyumbang yang paling besar.

Saya menyimpan keyakinan PKR akan berjaya mendapat tambahan pengundi yang besar kerana kes-kes kedurjanaan ini memang luas diperkatakan termasuk oleh ahli dan pemimpin UMNO sendiri. Tambah-tambah lagi dengan GST yang membebankan.

Adakah pengundi Rompin dan PP terdiri dari orang kaya? Dan dengan sebab itu boleh menghadapi GST dengan dada yang terbuka dan hati yang suka ria?

Kalau begitu mereka tidak layak terima BR1M kerana BR1M adalah hak orang miskin berpendapatan rendah saja.

Rabu, 6 Mei 2015

Laporan GTP dan ETP 2014: PM Najib dan UMNO/BN telah gagal.




 

Pada hari ini, saya terpaksa membaca ucapan PM Najib tentang laporan tahun 2014 program GTP dan ETP yang diucapkan menerusi saluran tv pada 28 April 2015 yang lepas bagi membolehkan saya memahami ulasan-ulasan dari berbagai pihak, yang bersetuju dan juga yang tidak bersetuju.

Saya tidak menonton pada hari ucapan itu dibuat kerana saya tidak anggap ianya membawa berita yang menyenangkan hati rakyat. Lagipun sudah lama saya tidak menonton tv.

PM Najib, pada pendapat saya, menggunakan Pelancaran Laporan itu sebagai agenda khusus untuk mempertahankan kepimpinannya yang telah dikritik hebat oleh sebahagian rakyat, khususnya dari parti lawan dan bekas PM Tun Mahathir.

Maka beliau bertahan dan mempertahankan kedudukan dengan mengingatkan bahawa:

i) The engagement and the understanding the need of the rakyat is paramount in guiding me to deliver the right programmes for all Malaysians.

ii) Mendahulukan Rakyat dan Mengutamakan Pencapaian.

iii)  Perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara tidak dalam keadaan gawat atau krisis; dan strategi penyesuaian (adjustment) yang dilakukan oleh kerajaan adalah bersifat proaktif.

iv)  Dalam perjuangan tidak boleh berundur ibarat perahu yang telah dikayuh ke tengah ianya tidak boleh bersurut pulang walau apapun yang akan terjadi.

v) Banyak kemajuan dan kejayaan GTP dan ETP yang telah dicapai dengan memberi contoh antara lain pewujudan  1.5 juta pekerjaan baru sehingga tahun 2014 selaras dengan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan yakin unjuran pendapatan per kapita US 15,000 akan tercapai.

PM menyatakan semua kenyataannya adalah berdasarkan kepada fakta dan angka, bukan imiginasi atau ilusi. 

Maka mengapa ramai yang mengkritik kepimpinannya? Mengkritik , bagi beliau adalah perkara biasa. Tapi kritiklah secara membina.

Beliau tidak akan menyerah kalah, dan akan terus menerajui kepimpinan negara walaupun ada desakan dari sebahagian rakyat meminta beliau berundur; walaupun bekas PM mengatakan beliau tidak layak jadi PM dan perlu disingkir dan digantikan dengan orang lain.

Bagi saya kritik sebahagian rakyat itu tidak boleh ditepiskan dan dikesampingkan begitu saja oleh PM kalau sebenarnya beliau memahami denyut nadi rakyat dengan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. 

Tidak dinafikan, kritikan juga cenderung kepada kepentingan politik sama ada dari parti lawan mahupun dari parti UMNO/BN sendiri. 

Dan ada juga atas kepentingan peribadi berselindung atas kepentingan UMNO/BN iaitu jika Najib terus menerajui kepimpinan, UMNO/BN akan kalah dalam PRU 14 yang akan memberi kesan yang tidak baik kepada kepimpinan UMNO/BN yang berkemungkinan akan didakwa dan diheret ke mahkamah.

Bagi saya Najib telah gagal. Oleh itu beliau sepatutnya melepaskan jawatan.

Tapi soalnya siapa pun yang akan menggantikan beliau dari kalangan UMNO/BN yang ada ketika ini, ianya tidak menghasilkan sesuatu yang baik untuk negara. UMNO/BN sudah terlalu rosak.

Jadi pilihan yang terbaik yang menjadi amalan negara-negara demokrasi di negara-negara maju ialah menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat keputusan parti yang mana yang mahu diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menerajui negara.

Itulah tindakan yang wajar dan terhormat, jika rakyat mahu didahulukan. Ertinya Parlimen dibubarkan dan satu pilihanraya diadakan. Dan bukan dengan menggantikan Najib dari kalangan ahli-ahli UMNO/BN yang ada, tidak juga dari kalangan ahli parti pembangkang.

Adakan pilihanraya baru. Biarkan rakyat menentukannya.

Alasan-alasan Najib (i) hingga (v) diatas dalam mempertahankan kepimpinannya mudah saja disanggah seperti berikut:

Alasan (i) dan (ii): Sebenarnya PM kita ini tidak mendekati rakyat, dan jauh terpisah dengan realiti kehidupan rakyat. Denyut nadi beliau tidak sama dengan denyut nadi sebahagian besar rakyat. Rakyat hidup dalam keadaan sentiasa bimbang, berdebar-debar dan tidak ketentuan masa depan.

Dalam rakyat hidup bimbang dan tidak tentu masa  depan, Najib masih lagi hidup bermewah dan boros. Mengapa perlu beli jet yang berharga hampir 1 billion dengan kos penyenggaraan yang amat membebankan negara? Mengapa pula tidak merasa bersalah mengadakan majlis kahwin anak yang terlalu bermewah. 

Ya, kalau pun tidak membabitkan wang negara, (saya yakin sedikit sebanyak wang negara terlibat juga), rasa malu dan hormat kepada perasaan rakyat yang terbeban dengan sara hidup yang meningkat, walaupun sekelumit cuma, sepatutnya terdetik dalam hati PM kita ini. Tapi tidak begitu.

Tidak benar PM ini 'engage' dan 'understand' the need of the rakyat. Beliau tidak sekali-kali mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Alasan (iii) kedudukan ekonomi dan kewangan yang tidak gawat atau dalam krisis; serta tindakan penyesuaian (adjustment) yang pro-aktif.

Sebahagian besar rakyat sudahpun menyatakan kebimbangan akan cara urus tadbir ekonomi dan kewangan negara. Rasuah, pembaziran dan salah guna sumber sentiasa dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, setiap kali laporan dikeluar dan dibentangkan.

Ingat, ianya yang dilaporkan Ketua Audit Negara, fakta dan maklumat rasmi kerajaan. Bukan fakta, angka dan maklumat yang direka-reka dengan niat jahat.

Hutang negara sebanyak lebih 700 billion ringgit masih lagi dikatakan tidak membimbangkan? Mana mahu ambil wang untuk bayar faedah hutang itu, dan apabila cukup masanya mana mahu ambil wang untuk bayar pokok hutang yang dipinjam?

Sudah tentu rakyat memberi jawapan bahawa ianya diambil dari rakyat melalui perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April lepas! GST yang kena keatas semua orang tanpa kecuali, miskin mahupun kaya.

Adakah ini yang PM faham bahawa rakyat mahukan GST? Tidak adakah berita disampaikan kepada PM bahawa rakyat terseksa dengan GST, kalau pun PM sendiri tidak mampu melihat penderitaan rakyat?

Macam mana dengan persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengan 1MDB yang dilaporkan berhutang RM 49 billion dan operasi yang tidak teratur sehingga dikatakan melibatkan penyaluran wang kepada pihak yang tidak sewajarnya? 

Apakah laporan audit, GST, 1MDB itu sesuatu yang sihat dari segi perkembangan ekonomi dan kedudukan wang negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat?

Mengapa boleh berboros untuk kepentingan segelintir dan berjimat (kononnya) atas nama rasionalisasi subsidi dengan m,enghapuskan subsidi minyak yang memberi kesan kepada kenaikan harga minyak yang membebankan sebahagian besar rakyat. Apakah rakyat miskin berpendapatan rendah saja diutamakan dalam program penyesuaian (adjustment) perbelanjaan kerajaan melalui penghapusan subsidi? 

Alasan (iv): perahu yang sudah dikayuh ke tengah tidak boleh berpatah balik dalam apa pun keadaan? Semangat itu baik bagi menguatkan kesungguhan dalam perjuangan. 

Yang tidak betulnya adalah jika sudah jelas perahu itu sudah mula bocor dan air semakin mengisi ruang perahu itu , tiada tindakan untuk membaikki perahu itu termasuk membuang keluar air yang telah mengisi ruang perahu itu.

Maka tenggelamlah perahu itu. 

Malang sekali perahu itu membawa sama anak-anak kapal yang telah pun memberitahu kepada nakhoda bahawa kita cuma boleh teruskan pelayaran dengan syarat kebocoran perahu itu diperbaikki termasuk menimba keluar air dalam perahu itu. Nakhoda kata dan perintah, "tidak mengapa teruskan pelayaran kerana kita telah berada ditengah lautan".
 
Alasan (v) menjadi negara maju berpendapatan tinggi per kapita USD 15,000; dan berjaya mewujudkan 1.5 juta pekerjaan.

Apakah pendapatan per kapita misalnya USD 15,000 sebagai ukuran yang terbaik tentang tahap kesejahteraan rakyat? Dimana letaknya tanggungjawab melakukan agihan kekayaan negara dengan adil dengan mengecilkan jurang pendapatan dikalangan rakyat? Apa, equitable wealth distribution dikalangan rakyat bukan matlamat kerajaan?

 1.5 juta pekerjaan telah diwujudkan dari tahun 2009 sehingga 2014. Soalnya jawatan yang bagaimana dan dalam sektor apa dan siapa kah yang dapat faedah darinya. Dalam sektor pembinaan dan juga perkhidmatan khususnya diperingkat rendah sebahagian besar adalah dimonopoli oleh warga asing kerana upahnya rendah. Apa terjadi kepada warga negara? Merempet! Sebab upahnya murah.

Apa maknanya arahan membekukan jawatan sektor awam yang dikeluarkan baru-baru ini. Untuk mengoptimakan tenaga kerja atau tidak ada wang yang cukup kerana salah urus? Tidakkah ini akan menambahkan lagi bilangan pengangguran bukan saja lepasan pelajar menengah bahkan pelajar pengajian tinggi dalam berbagai pengkhususan pengajian.

Jurutera banyak yang tidak ada kerja. Pelajar perubatan tidak diambil untuk tujuan housemanship. Apakah kerana tiada wang, tidak cukup tenaga penyelia untuk menyelia doktor housemanship tersebut dan tiada cukup bilangan hospital untuk melatih?   Adakah menguntungkan negara membiarkan para pelajar perubatan yang menunggu housemanship untuk mencari pekerjaan lain misalnya jadi paramugari?

Difahamkan banyak syarikat oil and gas memberhentikan pekerja mereka. Adakah ini satu petanda ekonomi yang sihat dan berkembang?

PM Najib tidak akan melihat perkara yang dibangkitkan ini sebagai penting dan mesti didahulukan. Tidak juga mahu menjawab seperti yang telah ditanya banyak pihak tentang GST, 1MDB dan hutang negara. Bekas PM Mahathir tanyapun beliau tidak ambil pusing malah lain yang ditanya lain yang dia jawab.

PM Najib mesti menyerahkan semula kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang wajar menerajui negara melalui pembubaran parlimen dan pilihanraya. 

Sesungguhnya PM Najib telah gagal. UMNO/BN telah gagal.

Sabtu, 2 Mei 2015

PRU 13:BN Menang 70%? Belajarlah Dari 10 Budak Hitam




Menurut Speaker DUN Sabah seramai 13 juta rakyat yang layak mengundi pada PRU 13 yang lepas tidak keluar mengundi. Oleh itu katanya dakwaan PR menang 52% majoriti adalah tidak benar. Malah katanya PR dapat 30% dan BN 70%.

Mana datang 70% ni sedangkan fakta yang diterima umum BN dapat 47-48%?

Beliau membuat tafsiran statistik secara 'kreatif songsang' untuk memberi tahu rakyat bahawa sebenarnya BN dapat majoriti 70% dan PR 30% saja.

Macam mana caranya?

Beliau menggunakan imiginasi dalam alam fantasinya dan kepakaran dalam ilmu pukau memukau.

Bagi beliau 13 juta rakyat yang layak mengundi dan tidak keluar mengundi itu wajar dimasukkan dalam kiraan sebagai orang yang tidak mengundi PR, sebaliknya mengundi BN.

Lihat betapa kreatifnya dalam fantasi khayalan atau imiginasi sahabat kita ini. Manakan tidak, orang yang tidak keluar mengundi diambil kira mengundi, dan mengundi BN saja, lalu 13 juta orang itu adalah sebahagian dari jumlah pengundi yang mengundi BN, menjadikan BN dapat 70%.

Saya tahu anda yang bijaksana dan berpegang kepada fakta yang benar akan segera mahu ketawa dengan khayalan speaker Sabah itu. Saya percaya anda sudah mahu ketawa terbahak-bahak kerana tidak masuk dalam akal anda bahawa seorang bertaraf seperti beliau boleh berkhayal seperti itu.

Tapi, sabar dulu, anda jangan ketawa. Tahan deria ketawa anda. Sebab saya mahu sambung lagi.

Walaupun ianya tidak masuk akal, tapi bagi BN itulah cara yang diperlukan dan diamalkan. BN akan buat apa cara sekalipun, yang sah atau tidak sah, yang benar atau tidak benar , yang lurus ataupun putarbelit ASALKAN kemenangan dipihak BN, walaupun kemenangan dalam bentuk khayalan, dan bukan menurut hukum yang sebenarnya.

Itulah cara dan gaya BN. Macam manapun mesti menang atau buat jadi menang. Berkhayal pun sudah memadai.

Sekarang aktifkan deria ketawa anda.......kah kah kah kah kah.

13 juta rakyat jika keluar mengundi akan kesemuanya undi BN! Begitulah yang dipercayai oleh speaker Sabah itu dan mahu mengajak orang siuman yang lain turut sama berkhayal dan percaya.

Saya tidak pasti ilmu apa yang dipelajari oleh sahabat kita itu. Saya percaya bukan ilmu logik. 

Tetapi jika apa yang dia cakap boleh mempengaruhi SPR untuk bersetuju mengistiharkan bahawa BN menang 70% pada PRU 13 yang lepas maka saya mengesyakki SPR telah kena pukau. BN ada ilmu pukau, gamaknya.

Kalau begitu tidak keterlaluan dikatakan bahawa cara pentafsiran statistik oleh speaker itu adalah satu cara yang amat kreatif tapi dengan membawa sama unsur songsang.

Oleh itu PR jangan pula mengatakan bahawa 13 juta yang tidak mengundi itu, jika keluar mengundi akan menambahkan peratus undi yang diterima. PR jangan pula jadi macam BN.

Mungkin kesemua 13 juta itu mengundi BN. Mungkin majoriti yang mengundi BN. Begitu juga mungkin semua atau majoriti yang akan mengundi PR.

Kemungkinan mendapat undi itu adalah harapan saja.Tapi siapa dan parti mana yang mereka undi adalah hak mereka kecuali ada kaedah yang diluar dari peraturan dilakukan atau mereka itu dipukau untuk mengundi parti-parti tertentu.

Dengan demikan amat songsanglah jika ada yang mengatakan BN menang 70% dalam PRU 13.

Berhubung dengan cara kira mengira ini, saya teringat satu lagu yang diajar semasa kecil dulu. Saya tidak suka lagu ini kerana ianya memandang rendah orang berkulit hitam. Semua orang kulit hitam berakhir dengan kematian satu demi satu. Lagu itu ialah SEPULUH BUDAK HITAM.

Walaupun lagu itu saya tidak suka tapi pencipta lirik lagu itu adalah orang yang pandai buat kira-kira tidak seperti dalam hal cara BN membuat kira-kira bilangan yang mengundi dalam PRU 13.

Sepuluh budak hitam main atas jalan
Satu kena langgar tinggal sembilan

Sembilan budak hitam main atas papan
Satu sudah jatuh tinggal lagi lapan
.......dan seterusnya sehingga semua budak hitam mati.