Theflowersellingboy

Rabu, 30 Julai 2014

Menggantikan MB Selangor: Kesepakatan PR Di uji.




Lebih seminggu saya tidak berblogging. Malas? Ya, mungkin ada unsur-unsur seperti itu, tapi bukan yang dominan. Entah mengapa saya lebih suka membaca berita dan cerita dari orang lain sehinggakan menulis ucapan Selamat Hari Raya tidak saya lakukan diblog kecil ini.

Namun begitu rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan:

 SELAMAT HARI RAYA DARI SAYA DAN KELUARGA, MAAF ZAHIR BATIN.

Baiklah. Ok, saya akhiri bulan Julai ini dengan sedikit coretan, menurut pandangan saya tentang isu penggantian Menteri Besar Selangor, dan reaksi dari parti/ahli parti dalam PR dan parti luar PR khususnya UMNO.

Ini bukanlah pandangan untuk mencari pihak yang bersalah kerana ianya tidak mungkin dilakukan dengan sebuah coretan tanpa mempunyai maklumat dan fakta yang tepat dan betul. Saya tidak berbekalkan hal-hal tersebut, dan tidak juga berada diakarumbi mana-mana parti politik. Saya hanya pembaca dan pemerhati yang duduk jauh dari persekitaran politik tetapi mempunyai rasa 'sayang' terhadap perkembangan politik tanah air. Apatah lagi perkembangan politik yang menguntung atau merugikan kehidupan rakyat .

Menteri Besar Selangor Tan Seri Khalid Ibrahim (TSKI) mahu digantikan dengan Dr. Wan Azizah, ADUN kajang yang juga Presiden PKR.

Saya tidak layak untuk menentukan patut atau tidak berlaku pertukaran MB selangor itu. Begitu juga saya tidak berhak untuk mengatakan ADUN Kajang itu seorang yang layak atau tidak layak untuk menggantikan TSKI.

Saya suka melihat dari segi prinsip dan kaedah berstruktur dan berorganisasi. Ertinya mengutamakan matlamat organisasi dari matlamat peribadi. Ertinya juga segala urusan adalah dilakukan berpandukan struktur organisasi yang telah dibentuk dan dipersetujui misalnya dari segi garisan tanggongjawab dan kepimpinan; saluran bagi pencetusan, pembentangan, penerimaan dan penyampaian/sebaran serta perlaksanaan sesuatu keputusan yang telah dimuafakati.

Tidak kira apa yang telah dipersetujui oleh organisasi melalui struktur organisasi yang telah dibentuk itu tidak sama atau tidak selari dengan pemikiran peribadi. Semua perlu akur melainkan peribadi itu tidak mahu lagi bersama dengan organisasi.

Soal peribadi itu mendakwa berada dipihak yang benar tidak timbul jika organisasi telah membuat sesuatu keputusan. Ianya perlu  diterima. Lagipun soal benar dan sebaliknya dalam sesebuah organisasi politik, ada ketikanya, dan ada setengah pihak mengatakan sebahagian besarnya , berasaskan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kerana yang penting ialah survival organisasi politik itu.

Dalam kes  menggantikan TKSI sebagai MB Selangor ini, PKR parti yang TKSI sebagai ahlinya, telah membuat keputusan untuk menggantikannya dengan ADUN Kajang yang juga presiden PKR.

Sebab, alasan dan motif serta logik atau tidak  logik banyak telah diperkatakan oleh berbagai pihak. Tapi bagi saya apapun yang mendasari keputusan itu, parti telah membuat keputusan untuk menggantikan MB itu. Setiap ahli PKR wajar akur termasuklah TKSI.

Namun begitu persetujuan PKR itu masih tertakluk kepada persetujuan dari PAS dan DAP.

Majlis Pimpinan PR diberitakan telah berbincang tentang penggantian MB Selangor itu. Secara dasar telah bersetuju dengan cadangan PKR untuk menggantikan TSKI dengan Wan Azizah. Bagaimanapun perkara tersebut perlu dibawa ke mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dan DAP untuk sesuatu keputusan.

Amat malang sekali sebelum mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS dibuat, presiden PAS telah menyatakan beliau menyokong pengekalan TKSI sebagai MB Selangor. Kemudian dituruti dengan Timbalan presiden yang mengatakan kenyataan presiden itu bersifat peribadi kerana parti belum membuat keputusan.

Saya tidak bersetuju kenyataan presiden PAS dan timbalannya itu sebagai bersifat peribadi.

Apabila presiden mana-mana parti bercakap fasal parti, ianya tidak sama nilainya dengan seorang ahli biasa. Kesan dan pengaruhnya terlalu luas.

Apabila presiden mengatakan tidak bersetuju diluar dari saluran dan masa yang sepatutnya, maka kesan dan pengaruhnya tetap meresap kedalam perasaan dan minda ahli-ahli yang lain. Ada ahli yang bersetuju, dan ada ahli yang tidak bersetuju serta ada ahli yang mengatakan tidak sesuai dilakukan sebelum diputuskan dalam mesyuarat seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PR.
  
Ditambah sulitkan lagi, apabila terbongkarnya gerakan kumpulan ahli-ahli PAS yang juga berpengaruh, berbincang antara lain menyokong TKSI dan bekerjasama dengan UMNO parti lawan PR.

Perbincangan kumpulan yang berpengaruh itu juga bukanlah bersifat peribadi. Ianya satu kumpulan pendesak.

PR nampaknya menuju kepada kemungkinan berpecah. Itulah kemungkinan yang tidak menjadi masalah kepada kumpulan pendesak itu. Mereka lebih selesa untuk bekerjasama dengan UMNO.

Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz juga menambahkan lagi seriousnya kemungkinan berlaku perpecahan PR kerana beliau juga menyokong kenyataan presiden.

Persoalan yang penting untuk survival PKR, DAP dan PAS  (PR) bukan pengganti MB; bukan juga soal TKSI tiada melakukan rasuah dan telah berkhidmat dengan baik; tidak juga manipulasi dan sikap optunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak suka kepada kekuatan gabungan PKR, DAP dan DAP bagi mengantikan BN.

Survival parti adalah lebih penting. Ertinya TKSI dan Wan Azizah tidak boleh mengatasi kepentingan parti.

Memahami dan mengetahui manipulasi dan sikap oprtunis parti lawan dan pihak-pihak yang tidak sukakan kekuatan PR, bukan satu syarat yang cukup walaupun perlu, bagi survival sebuah parti atau pakatan beberapa buah parti.

Apa yang perlu ialah kesetiaan dan menepati janji yang telah disepakati, ketika senang, susah dan waktu yang mencabar.

Ada pihak yang berhujah bahawa masing-masing parti iaitu PAS, PKR dan DAP boleh hidup bersendirian. Itu adalah kenyatan yang benar.

Tapi ada satu kenyatan yang lebih benar ialah bahawa pengaruh PAS tidak akan berkembang; pengaruh PKR juga sama dan pengaruh DAP pun begitu juga. Jangan beragan-angan untuk mentadbir Malaysia. Jangan sibuk-sibuk bercakap fasal hendak menghapus rasuah dan segala penyelewengan kerajaan yang di hebuh-hebuhkan.

Dan jangan salahkan rakyat memilih BN yang PAS, PKR dan DAP mengatakan sebagai parti yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan saksama.

Itulah sebenarnya erti survival sebuah parti politik di Malaysia ini iaitu tidak mengkhianati kesepakatan dan perjanjian yang telah dibuat.

Sudah tentu PAS lebih faham tentang makna kesetiaan. Bukan saja Islam mengajar begitu bahkan PAS juga telah dikhianati dahulu.

 


Selasa, 22 Julai 2014

INSAN adalah SALING PERLU MEMERLUKAN -MEMINTA dan MEMBERI PERTOLONGAN , dan ALLAH SAJA TIDAK MEMERLUKAN PERTOLONGAN Tapi MEMINTA MANUSIA MEMOHON PERTOLONGAN DARINYA



Kepada siapakah sebenarnya kita perlu minta pertolongan?

Ya, kita sesama manusia saling perlu memerlukan. Sama ada kita miskin atau kaya atau apa saja kedudukan kita, tidak akan terkecuali dari menjadi peminta dan pemberi pertolongan. Ertinya dalam satu ketika dan keadaan, kita adalah peminta pertolongan dan dalam ketika dan keadaan yang lain kita juga adalah pemberi pertolongan.

Kita meminta pertolongan dan kita juga memberi pertolongan sebab kita manusia yang lemah , tidak sempurna dan serba kekurangan dan diberikan juga kelebihan mengatasi yang lain.

Siapa yang memerlukan pertolongan?

Kita manusia perlukan pertolongan, dan kita juga boleh memberi pertolongan.

Siapa pula yang tidak perlu pertolongan?

Hanya Allah saja yang tidak perlukan pertolongan. Dan Allah juga pemberi pertolongan.

Dalam hal pertolongan dari Allah ini, Allah telah berfirman yang membawa maksud, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat".(ayat 45 Surah al Baqarah)

Untuk memohon pertolongan Allah kita mesti mempunyai sifat sabar.  Ertinya sanggup menunggu,yakin akan datangnya pertolongan, tidak boleh gopoh dan tergesa-gesa mahukan pertolongan dimakbulkan, tidak merengus dan marah, kecewa dan putus harap, apatah lagi mempersoalkan tentang sifat Allah yang adil, pengasih dan penyayang apabila pertolongan itu seperti tidak kunjung tiba didunia ini.

Satu lagi syarat kita memohon pertolongan Allah ialah mengerjakan solat. Tanpa solat bukanlah memohon pertolongan namanya.

Tapi Allah telah memperingatkan kepada kita bahawa solat itu adalah sesuatu pekerjaan yang amat berat. Solat itu tidak menjadi berat dan membebankan jika kita khusu' melakukannya seperti maksud firman Allah,

" Dan sesungguh solat itu amatlah berat, kecuali bagi orang-orang yang khusu' " (sambungan ayat 45 Surah al Baqarah).

Siapa itu orang yang khusu' mengerjakan solat?

Orang yang khusu' itu adalah orang yang yakin akan bertemu dengan Allah, dan kepada Allah mereka dikembalikan , seperti maksud firman Allah dibawah ini,,

"Ia itu mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Allah dan mereka akan dikembalikan kepada NYA" (ayat 46 Surah al-Baqarah).

Dengan itu apapun perbuatan dan amalan baik yang kita lakukan, jika kita meninggalkan solat dan tidak sabar maka ianya tidak termasuk dalam memohon pertolongan dari Allah.

Misalnya kita mengerja dengan begitu tekun dan rajin dalam berpuasa (lengkap dengan bacaan al quran, amal sedekah dan sebagainya) sama ada puasa fardhu (bulan Ramadhan) atau puasa sunat, jika kita tidak bersifat sabar dan mendirikan solat dengan khusu' ,  permohonan pertolongan kita kepada Allah itu menjadi sia-sia saja kerana tidak menepati syarat yang telah ditentukan oleh Allah.

Wallahualam. Selamat meneruskan berpuasa. Jangan lupa solat!
.






Isnin, 21 Julai 2014

ISRAIL SIFATNYA MEMANG SOMBONG, INGKAR, MUNGKIR dan KEJAM: Tapi Tetap MenjadiKawan Yang Kita Sokong.



Orang Yahudi Israil ini memangnya bangsa yang sombong, takabur, degil, jahat dan zalim. Lihat apa yang mereka telah dan sedang lakukan di Palestin. Mereka terlalu kejam, membunuh dan mencederakan orang-orang Palestin (anak-anak kecil, tua muda , lelaki dan perempuan) di negara Palestin itu sendiri. Melakukan berbagai kerosakan keatas harta benda dan berbagai bencana lagi yang berterusan.

Sebenarnya kesombongan Bani Israil ini telah diberitahu oleh Allah SWT dalam AL-QURAN seperti dalam ayat 40 hingga 51 Surah Al-Baqarah.

Mereka telah dikurniakan berbagai nikmat kehidupan melebihi dari orang lain pada zaman itu. Mereka diingatkan dengan berbagai pertolongan untuk menyelamatkan mereka. Misalnya menyelamatkan dari kekejaman Firaun yang menyembelih anak-anak lelaki mereka; dan menjadikan laut (membelah laut) sebagai laluan melarikan diri dari Firaun.

Apabila mereka diminta beriman dengan ajaran nabi Musa (kitab Taurat) mereka menyembah  patung anak lembu setelah ketiadaan nabi Musa.

Mereka tidak tahu dan tidak mahu bersyukur diatas segala nikmat dan pertolongan. Mereka juga ingkar untuk beriman.

Bagi saya orang Israil ini tidak boleh dipercayai kerana sedangkan perintah Allah mereka ingkar dan diperlekehkan,  inikan pula hubungan sesama manusia. 

Itu yang difirmankan dalam Al-Quran.

Apa yang telah dan sedang berlaku keatas Palestin dari sifat sombong Israil ini?

Kekejaman yang berterusan yang tiada had masa untuk mampu diberhentikan.

Dengan demikian perundingan dan perjanjian serta gencatan senjata dengan Israil bagi kedamaian Palestin tidak memberi makna langsung kerana ianya akan sentiasa dimungkiri dan dicabuli oleh Israil. Buktinya kita boleh saksikan. Tambahan pula Israil mendapat sokongan penuh dari Amerika dan sekutu dalam bentuk membekalkan senjata , bantuan kewangan dan sokongan moral.
.
Yang paling malang sekali ialah negara-negara Arab adalah juga penyokong Amerika, dan sekali gus menjadi penyokong Israil.

Kita juga sebagai individu Islam, dan sebagai negara yang Islamnya adalah agama negara, beserta dengan negara majoriti Islam adalah pihak-pihak yang secara langsung dan tidak langsung memperkukuhkan kedudukan Israil, khususnya kekuatan ekonomi Israil.

Setiap dari kita sebagai individu mengguna, mengambil, makan dan minum paling minima satu produk Israil. Sebagai contoh ialah makanan restoran segera Mac Donald. Bagaimana dengan coca cola, berbagai jenis perfume dan..... senarainya panjang. Semuanya pernah, dan sedang menguasai kehidupan kita.

Di peringkat negara pula, lagi mendukacitakan walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israil. Tapi perniagaan dalam berbagai bentuk sudah lama berjalan dan terus berkembang. Misalnya perkhidmatan sistem maklumat , perundingan dalam berbagai perkhidmatan, impot ekspot barangan termasuk makanan adalah sebahagian dari urusniaga negara kita dengan Israil yang melibatkan imbangan bayaran (balance of payment) dan balance of trade antara negara Malaysia dan Israil.

Ya, apabila saja Israil menceroboh dan melakukan berbagai kekejaman keatas Palestin, kita sebagai individu dan sebagai ummah terlalu amat marah, dan ada diantara kita sanggup menyertai orang Palestin menentang Israil Satu tindakan yang terpuji.

Kita berdemonstrasi di hadapan kedutaan Amerika (proksi diplomatik Israil) Kita juga menghantar berbagai bentuk bantuan.

Tapi setakat ini dan  dalam banyak tahun akan datang, saya khuatir, Israil tidak akan berhenti dari melakukan kekejaman selagi ekonominya kukuh, selagi amerika dan sekutunya diEropah memberi sokongan tanpa belah bagi kepada Israil, selagi umat dan negara Islam hanya menjadi pengguna tanpa menguasai kemahiran pengeluaran dan kedayaupayaan mencipta. Dan selagi negara-negara ARAB dan negara majoriti umat Islam berjiwa hamba kepada Amerika dan sekutu.

Ertinya negara dan umat Islam berpecah belah yang membuatkan tidak mampu untuk boleh dijadikan satu 'force' yang digeruni dan dihormati.

Sekali lagi saya katakan, saya khuatir kekejaman Israil ini akan berterusan dalam jangka masa yang terlalu panjang kerana tiada tanda-tanda positif kita semua mampu memenuhi syarat-syarat yang saya nyatakan diatas.

Anda perlu lihat dalam negara kita dan negara-negara Islam serta Arab, jika anda mahu cari bukti atas kekhuatiran saya ini.

Saya pesimis.