Theflowersellingboy

Selasa, 22 April 2014

Yang Mencari Islam vs Islam Asal: Kekesalan Saya Tidak Mengajak Kawan Bukan Islam Kepada Islam





Masuk Islam sama dengan masuk Melayu?

Islam hak monoploli Melayu? Dengan itu Islam hanya disimpan dalam kotak pengetahuan dan amalan orang Melayu saja?

Itulah diantara kefahaman yang memandu pemikiran orang Melayu suatu masa dulu. Mungkin masih ada yang berfikiran seperti itu.

Kalau anda telah mendengar video diatas, ianya memberi kesan yang mendalam kepada kita orang Islam asal. Banyak yang tidak kena pada kita. Dan saya tidak terkecuali..

Ustaz dalam video diatas dilahirkan bukan sebagai Islam. Saya dilahirkan dalam keluarga Islam. Sekarang ustaz itu Islam dan saya juga Islam. Sama saja, cuma yang bezanya ialah saya Islam asal dan Islam yang ditafsirkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dia baru menjadi seorang Islam.

Itukah bezanya diantara saya dan ustaz ini? Macam mana dari segi pemahaman, amalan dan ilmu Islam?

Bezanya amat jauh sekali. Jurangnya begitu besar sekali. Dia melebihi dan mengatasi  saya, seorang Islam asal. Dan saya percaya ramai orang Islam asal khususnya orang Melayu yang serupa dengan saya berbanding dengan ustaz ini.

Oleh itu video ini memberi ingatan kepada saya untuk menambahkan lagi ilmu dan amalan Islam. Saya juga mahu mendengar penerangan dan penjelasan dari para pemuka agama-agama lain yang telah menerima Islam.

Satu lagi perkara yang amat terkesan ialah kegagalan saya dalam melaksanakan dakwah kepada seorang kawan bukan Islam berbanding dengan ustaz ini. Sebabnya, ilmu dan amalan Islam yang amat menyedihkan.

Sebenarnya, selama berkawan dengan kawan itu, dari peringkat sekolah, universiti dan tinggal serumah, tidak pernah saya mengajaknya kepada Islam. Dia pun tidak tertarik dengan Islam walaupun dia sendiri melihat dan tahu tentang solat , puasa dan lain-lain. Kami berpuasa, dia pun berpuasa. Malah dia berjaya dengan markah kepujian dalam subjek agama Islam peringkat SPM, mengatasi setengah pelajar Islam yang lain. Maknanya dia boleh membaca al-Quran dan memahami hadis seperti orang Islam juga.

Kali terakhir saya berjumpa dengan kawan itu ialah pada dua tahun yang lepas. Apabila saya tanya apa aktiviti dia sekarang, dia dengan bangga menyatakan bahawa dia masih meneruskan bermain mahjung.

Jadi apabila mendengar video ini, saya amat kesal kerana tidak pernah mengajak kawan itu memeluk Islam. Saya  harap dapat berjumpa dengan kawan itu lagi dan akan mengajaknya masuk Islam. Saya rasa kerjanya mudah kerana beliau ada ilmu Islam tetapi belum ada keyakinan. Mohon Allah memberikan hidayah kepada kawan saya itu. Beliau adalah seorang insan yang baik. Tapi baik tanpa beriman kepada Allah ianya tidak ada apa-apa makna.



Ahad, 20 April 2014

Business Card.

Anda ada business card?, dan telah mengedarkan kepada ramai orang? 

Anda jangan terperanjat atau merasa hairan jika ada seseorang menghubungi anda walaupun anda telah lama meninggalkan sesuatu bidang/pekerjaan seperti yang terdapat dalam business card anda yang telah diedarkan itu.

Ini cerita saya.

Dulu, 14 tahun dulu, saya pernah mengetuai sebuah syarikat kerajaan sebuah negeri. Banyaklah business card saya yang telah beredar dikalangan ahli-ahli perniagaan, pelabur dan usahawan dan berbagai pihak yang ada kepentingan.

Sekarang sudah 14 tahun saya meninggalkan syarikat itu.

Tapi beberapa hari yang lepas, saya menerima satu panggilan talipon. Pemanggil adalah seorang wanita. Beliau memberitahu namanya dan mengingatkan bahawa kami pernah berjumpa dan berbincang, khususnya dalam hal perniagaan.

Reaksi pertama saya ialah sipemanggil ini telah tersalah orang, tersalah dial number. Tapi pemanggil itu dengan segera sekali lagi mengingatkan saya  dengan menyatakan kami pernah berjumpa dan berbincang. Kemudian saya menanyakan bagaimana beliau tahu nama saya , dan bagaimana dan dari mana beliau mendapat number talipon rumah saya.

"Saya ada business card, tuan".

No hand set saya telah bertukar. Tapi no talipon rumah masih kekal. Sebab itu pemanggil itu menggunakan no talipon rumah.

Pemanggil bercadang untuk menjual syarikat farmasinya kerana syarikat itu mengalami kerugian.

Panggilan seperti ini tidaklah mengganggu sangat.  Tapi boleh menimbulkan sedikit kehairanan kerana telah 14 tahun saya meninggalkan pekerjaan itu, masih ada lagi pihak yang menghubungi bagi tujuan urusniaga. Saya percaya ini semua disebabkan tidak ada tarikh tamat laku business card itu. Dan mungkin juga no talipon rumah tidak wajar tertera dalam business card.

Oleh itu no talipon rumah jangan dijadikan satu butiran dalam business card anda, jika anda tidak mahu merasa hairan apabila dihubungi bagi sesuatu urusniaga selepas begitu lama anda meninggalkan bidang pekerjaan anda itu.

Berhubung dengan cadangan pemanggil itu, saya menyatakan saya telah lama meninggalkan syarikat itu. Jadi dia kenalah menghubungi pihak yang lain.




Rabu, 2 April 2014

MENCARI KEBENARAN: Peristiwa Pembunuhan DI Memali.





Mencari kebenaran. Kali ini tentang peristiwa Memali. Tontonlah video ini terlebih dulu.

Peristiwa Pembunuhan di Memali, Kedah muncul lagi ceritanya setelah 30 tahun berlalu. 

Mengenang semula, saya ketika itu baru saja dua tahun bekerja, masih fresh lagi, seorang yang idealistik . Ertinya, saya masih lagi membawa ideal sebagai seorang pelajar universiti -melihat sesuatu dengan kecenderungan menyebelahi kepada yang lemah.

Bagi saya tidak mungkin penduduk kampong yang berkumpul berhadapan dengan kerajaan (polis) itu, mampu untuk melakukan serangan dan boleh membahayakan pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata moden, berkereta kebal, sedangkan senjata yang ada pada orang kampong itu hanya parang dan yang sejenis dengannya seperti kayu.

Mereka (orang kampong) itu dikepung oleh pasukan keselamatan.

Ertinya, pada pendapat saya ketika itu, mereka boleh ditewaskan dengan hanya mengepung mereka agar tidak dapat bergerak ke mana-mana. Dengan demikian , mereka akan terputus bekalan makanan dan minuman. Saya percaya mereka tidak akan boleh bertahan lama kerana kelaparan. 

Pihak polis tidak perlu merempuh dan menyerang mereka. Jika pun dikatakan mereka memulakan serangan keatas polis, atau membuat provokasi terlebih dahulu, saya percaya mereka tidak akan berjaya menewaskan polis. 

Apalah kuatnya parang dan pisau serta kayu belantan berbanding dengan senapang moden dan kereta kebal? 

Sama seperti pertempuran diantara rakyat palestin dengan tentera penceroboh Israil. Apalah kuatnya lastik dan balingan batu yang digunakan oleh rakyat palestin berbanding dengan senapang, meriam dan kereta kebal Israil?

Mengenang semula cerita ini, pada ketika itu saya mengatakan tindakan polis itu adalah tidak bijak dan tidak adil -menyerang sehingga menyebabkan pembunuhan ke atas orang yang lemah. Mati kataklah orang-orang yang lemah itu.

Tapi, polis yang terlibat dalam pembunuhan itu, saya percaya melakukannya dengan menerima arahan dari pihak yang lebih berkuasa.

Pembunuhan telah berlaku. Ibrahim Libya, dan pengikut-pengikutnya  yang terkepung itu, kalau tidak silap seramai 14 orang, tewas, mati terbunuh. Dan ramai yang lain cedera. 

Kerajaan mempertahankan tindakan yang dilakukan. Sebahagian orang ramai, terutama pengikut parti PAS, termasuk saya tidak bersetuju. Malah PAS paling kuat menyalahkan tindakan kerajaan itu dan menganggap mereka yang terbunuh itu sebagai mati syahid.

Polis yang melakukannya atas arahan. Siapakah yang memberi arahan?

Sudah tentu orang yang ada kuasa yang bertanggungjawab dalam hal keselamatan dalam negeri - Menteri Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Musa Hitam. Maka Musa Hitam mesti bertanggungjawab keatas apa yang telah berlaku.

Tapi Musa Hitam bukan ketua kerajaan, bukan Perdana Menteri ketika itu. Perdana Menteri ialah Mahathir. Dengan demikian, Mahathir juga mesti mengambil tanggungjawab.

Namun terdapat cerita dan diberitakan ketika itu bahawa Mahathir tidak berada di dalam negeri. Beliau sudah berada di China. 

Ertinya, tanggungjawab sepenuhnya mesti dipikul oleh Musa Hitam. Itulah yang mahu difahamkan dan diberitahu kepada orang ramai.

Ketika itu dan sehingga kini, saya mempunyai pendapat yang berbeza. Selain dari Musa Hitam, sebagai Menteri Dalam Negeri, Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu, mesti memikul tanggungjawab yang sama, sama ada beliau berada didalam atau diluar negeri. 

Cuma, di Malaysia ini, cara pemimpin mengambil tanggungjawab diatas perbuatan seperti yang berlaku dalam peristiwa Memali yang melibatkan kematian dan kecederaan ramai orang, berbeza dengan yang dilakukan oleh pemimpin dunia yang lain khususnya di barat, Jepun dan Korea. Pemimpin tersebut segera meletak jawatan. Paling dahsyat ada yang menunjukkan rasa kecewa, kesal dan bersalah dengan membunuh diri.

Tapi Musa Hitam masih meneruskan tugasnya sebagai menteri dalam negeri. Hanya selepas beberapa tahun, barulah beliau meletak jawatan. Tapi bukan atas sebab peristiwa  Memali.

Dalam video diatas, Musa Hitam menyatakan kekesalannya diatas peristiwa itu setelah 30 tahun berlalu.

Mahathir juga terus menjadi Perdana Menteri selepas peristiwa itu. Bahkan menjadi Perdana Menteri melebihi 22 tahun.

Saya tidak ada maklumat, sama ada secara bisikan orang, berbentuk tulisan atau siaran berbentuk pandang dan dengar seperti tv dan video, tentang pernyataan menyesal Mahathir keatas peristiwa Memali yang menyayatkan hati ini.

Musa Hitam tidak meletakkan jawatan. Tapi beliau menyatakan kekesalan apa yang telah berlaku walaupun selepas 30 tahun berlalu. 

Mahathir tidak meletak jawatan, dan tidak ada kenyataan rasa penyesalan diatas peristiwa itu.

Pernyataan kekesalan adalah satu pernyataan yang dibuat secara sedar bagi mengakui bahawa apa yang telah dilakukan itu adalah salah atau tidak kena atau tidak wajar atau tidak sepatutnya dilakukan.

Maknanya Musa Hitam mengaku bersalah.

Mahathir masih dengan pendirian yang sama, masih tidak mengaku bahawa peristiwa Memali ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Dan apabila ada diberitakan beliau berada diluar negeri semasa berlaku peristiwa malang itu, dan setakat maklumat yang saya tahu, beliau sendiri tidak menafikan berita keberadaannya di luar negeri (China), nampak gaya seolah-olah ketiadaan beliau didalam negeri digunakan sebagai melepaskan tanggungjawab kepada Musa Hitam saja.

Saya berpendapat cara itu tidak wajar. 

Adakah Mahathir bersetuju dengan tindakan Musa Hitam itu?

Jika Mahathir bersetuju maka dia telah mewajarkan pembunuhan yang telah berlaku.  Dan saya lebih cenderung untuk mempercayai pendirian Mahathir seperti itu kerana jika beliau tidak bersetuju dengan tindakan Musa Hitam itu, sudah tentu beliau meminta Musa Hitam meletak jawatan, dan jika Musa berdegil Mahathir tidak ada ketakutan untuk memecat Musa Hitam.

Terlupakah kita dengan kes Anwar Ibrahim yang didakwa dan dituduh meliwat. Mahathir meminta Anwar meletak jawatan. Tapi Anwar manusia degil. Mahathir seperti kilat memecat Anwar.

Anwar dituduh meliwat. Yang akhirnya dibuktikan tidak benar. 

Liwat tidak melibatkan nyawa manusia. Memali melibatkan kehilangan dan kecederaan kepada rakyat, rakyat yang tidak punya daya dan kuasa.

Mana lebih berat untuk dijadikan alasan untuk memecat seorang menteri? 

Saya memilih kehilangan nyawa bagi memecat menteri saya, jika saya PM ketika itu. 

Sebenarnya, itulah saja pilihan saya kerana saya tidak akan membuat fitnah liwat.

Oleh kerana Mahathir sebagai PM ketika itu tidak memecat Musa maka beliau bersetuju apa yang dilakukan oleh Musa ketika itu.

Oleh kerana Mahathir juga tidak menyatakan penyesalan diatas peristiwa Memali itu sehingga sekarang (setakat maklumat yang diketahui) bermakna beliau bersetuju dengan tindakan Musa.

Sekarang Musa telah menyatakan penyesalan. Bermakna telah mengaku bahawa peristiwa Memali itu adalah tidak wajar berlaku.

Kita mahu mencari kebenaran.

Musa menyesal -maknanya mengaku salah.

Mahathir tidak memecat Musa dan tidak pula kata menyesal diatas persiiwa Memali itu. 

Pendirian mana yang benar, diukur dari segi moral, kemanusiaan dan agama? Pendirian Musa sekarang ini atau Mahathir.

Sebagai bahan bagi mencari kebenaran, pernyataan Musa Hitam dalam video diatas boleh dijadikan satu dari sumber yang boleh membantu untuk mencari kebenaran.

Kata Musa , Mahathir berada didalam negeri semasa peristiwa Memali ini.

Mahathir pula apabila diminta respon tentang kenyataan Musa itu, mengatakan beliau tidak ingat kerana sudah lama berlaku, dan perlu buat semakan. 

Kenapa perlu semak sama ada berada diluar atau dalam negeri?

Bagi saya pula, sama ada berada diluar mahupun dalam negeri, seorang ketua iaitu PM mesti mengambil tanggungjawab. Dan bagi saya juga peristiwa Memali ini adalah sangat kejam.

Dan jika saya takut dihukum, saya akan mengatakan penyesalan dan meletak jawatan seperti kilat. 

Saya tidak akan membunuh diri, dan mahu tidak mahu saya hanya ada satu pilihan, -menanti untuk disiasat, didakwa dan dibicarakan sebelum disabitkan untuk sesuatu hukuman.
Dalam kes Memali ini, jika sayalah PM, sudah tentu saya tidak boleh mengatakan hakim itu bertindak tidak adil mensabitkan saya bersalah.