Theflowersellingboy

Isnin, 27 Januari 2014

ANGKARA SIAPAKAH INI?




Angkara siapakah ini? Siapakah yang menyebabkan:
 
i) Hutang negara meningkat pada tahap yang amat kritikal, lebih 500 juta billion.
ii) Bajet tahunan negara berterusan defisit mencampai angka 16 tahun.
iii) Kos sara hidup yang meningkat dan kekerapan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
iv) Pendapatan tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
v) Kemerosotan dalam kualiti pendidikan.
vi) Jurang antara miskin dan kaya semakin melebar.
vii) Kadar jenayah yang meningkat
viii) Keruntuhan nilai dan moral hidup yang beradab dan bertemaddun.
ix) Bersangka buruk berasaskan kaum dan agama sehingga menimbulkan berbagai rasa kekhuatiran dan kegelisahan yang tidak baik bagi pembinaan sebuah negara bangsa. .
x)  Ketandusan kepimpinan dalam menerajui Malaysia yang maju, makmur, selamat dan sejahtera.
xi) Ketandusan rakyat yang berkualiti bagi membantu dan menyokong kepimpinan kearah Malaysia yang maju, makmur, selamat dan sejahtera.

Banyak lagi soalan yang boleh ditanya bagi mendapat jawapan siapakah yang menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan sekarang ini, yang sepatutnya kita berada lebih baik dari jiran kita di Singapura. Kita mempunyai sumber kekayaan. Tapi malang sekali kehidupan kita , maksud saya, kehidupan sebahagian besar dari kita tidak seberuntung kehidupan rakyat dinegara jiran.
 
Sebenarnya saya merasa malu untuk membandingkan dengan Singapura, sebuah negara pulau yang terlalu kecil. Bagi saya Singapura itu 'tidak ada benda' (nothing) berbanding dengan Malaysia. Kita dianugerahkan dengan sumber kekayaan. Hasil bumi yang melempah dan rakyat yang pelbagai kaum dan latarbelakang telah tidak dimenfaatkan kearah membangun dan mensejahterakan negara demi kepentingan rakyat.
 
Jangan pula ada yang menyuruh saya untuk berhijrah ke Singapura kerana memuji negara itu. Tidak, saya tidak pernah dan tidak juga berhajat untuk memuji negara pulau kecil itu. Malaysia adalah negara yang terbaik untuk saya dari semua segi melainkan mereka yang menguruskan negara ini saja. Maknanya,  terlalu berlaku salah urus sepanjang kita mencapai kemerdekaan. Jika tidak, kedudukan kita adalah jauhn lebih baik dari Singapura, dan tidak kurang pada tahap kemajuan negara Korea. 
 
Saya teringat satu masa dulu, negara Korea belajar dari kita dalam konsep gotong royong yang di panggil dalam bahasa Korea sebagai 'samil undung; ( mungkin sebutan dan ejaannya tidak sempurna). Lihat , Korea belajar dari kita. Lihat sekarang siapa yang tertinggal ke belakang. Ambil contoh permainan bole sepak. Dimana kita sekarang? Dimana Korea sekarang.
 
Dan saya percaya, jika kita berterusan seperti tahap dan kemampuan pengurusan pada ketika ini termasuk soal integriti dan kredibiliti kepimpinan, Vietnam yang dulunya terjebak dalam perang dengan Amerika, akan meninggalkan kita. Indonesia juga akan lebih maju dari kita.
 
Sebab itulah  soalan-soalan diatas perlu kita jawab dengan mencari siapakah angkara yang menyebabkan kita berada dalam keadaan seperti yang ada ketika ini.
 
Bagi saya, saya juga tidak boleh melepaskan diri dari mengambil tanggungjawab yang menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan seperti ini seperti yang ditanyakan diatas. Sebenarnya kita semua adalah juga penyebabnya.
 
Ambil saja satu contoh tentang tanggungjawab ini. Berbelanja boros dan kurang mengambil berat keatas kedudukan jiran. Sudah tentu saya tidak dapat menafikan bahawa ada berlaku perlakuan berbelanja boros. Belanja bagi yang tidak perlu. Saya berbelanja boros sedangkan jiran sebelah yang tidak kecukupan wang amat memerlukan wang untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya. Mengapa saya tidak gunakan wang itu bagi membantu jiran itu?
 
Itu hanya satu contuh kecil diperingkat hubungan peribadi.
 
Jika saya pula diberi tanggungjawab menguruskan wang awam, misalnya menjadi pegawai kewangan bagi sesuatu negeri, maka jika tabiat boros ini saya teruskan, akibatnya buruk sekali. Pertama wang itu bukan wang saya. Saya hanya diberi amanah bagi menguruskan wang itu saja bagi kepentingan negeri dan rakyat negeri tempat saya berkhidmat. Kedua, orang bawahan saya, akan menjadikan alasan yang terbaik untuk boros berbelanja atau salah belanja.
 
Itu hanya saya sebagai penjawat awam. Jika saya sebagai Ketua Menteri/Menteri Besar bagi sesuatu negeri yang mempunyai kuasa dalam cara mana menggunakan hasil negeri, dan jika saya juga melakukan pemborosan maka kesannya lebih dahsyat berbanding saya sebagai penjawat awam. Begitulah jika saya sebagai Perdana Menteri.
 
Jadi untuk mengetahui jawapan angkara siapakah yang menyebabkan 11 keadaan diatas berlaku, kita mesti lihat pada diri kita terlebih dahulu. Kita melihat sebagai seorang peribadi dalam hubungkait kita dengan peribadi yang lain; dan kita sebagai pemegang amanah dalam menjalankan amanah yang diberikan. Lebih tinggi kedudukan kita sebagai pemegang amanah, maka lebih besarlah tanggungjawab dalam melaksanakan amanah itu. 
 
Lupakan niat untuk menjadi pemegang amanah jika kita tidak ada kekuatan dan kemampuan untuk melakukannya. Kita akan kecewa dan orang lain juga akan lebih kecewa. Disamping sumpah seranah dan kemarahan yang dihamburkan oleh yang mengharapkan keikhlasan kita dalam mengambil amanah itu, kita tidak akan terlepas dari diadili oleh yang maha berkuasa, diakhirat nanti.
 
    


Ahad, 26 Januari 2014

Kecewanya Seorang Peminat Kepada Pemain Tenis No1.Dunia:Rafael Nadal.



Lebih seminggu blog ini tidak dikemaskini. Ini adalah gara-gara menonton Tenis Australian Open. Hari ini sudah tahu siapa jadi juara. Tapi amat mengecewakan kerana yang diharap menjadi juara kecundang. 

Nadal kecundang dalam empat set dengan wawrinka, pemain Swirzerland. Yang menyedihkan ialah apabila Nadal kalah dalam keadaan tidak bermaya, tidak bergerak selincah permainan-permainan sebelumnya khususnya di peringkat separuh akhir mengalahkan Federer.. Kelihatan beliau cedera, tapi rasanya tapak tangannya yang berdarah (blisters) bukan penyebab beliau tidak secergas sebegitu rupa. Mungkin ada kecederaan yang lain, yang lebih serious yang menyebabkan beliau tidak boleh bergerak begitu pantas.

Saya sudah yakin Nadal akan kalah. Lalu sebelum mata terakhir, saya matikan tv. Saya berdukacita. Nadal lebih dari itu. Tapi dia dapat wang. Saya hanya peminat yang mahu beliau saja yang menang. Kalau kalah saya yang kecewa. Makan pun kurang selera.

Nampaknya permulaan 2014 ini dari segi sukan tenis, ianya tidak membawa berita yang gembira bagi saya.

Come on, lupakan saja. Ya , lupakan saja. Esok, saya akan terus berbicara dalam blog ini.


Khamis, 16 Januari 2014

Jangan Mengejek PM dan Jangan Juga Menyakitkan Hati Rakyat Marhaen




Lagi isu harga kangkung turun: Jangan mengejek PM.

Saya setuju dengan pandangan seorang ahli parlimen bahawa mengejek-ejek PM bermakna kita mengejek diri kita sendiri. PM adalah ketua kita, ketua no satu seumpama bapa kita. Jika bapa kita melakukan sedikit kesilapan, kesilapan yang tidak sengaja, saya percaya tidak wajar kita sama tumpang mentertawakannya atau membuat berbagai cerita dalam berbagai bentuk untuk memperlekehkan bapa kita.

Cuma saya tidak pasti sama ada kritikan atau berbagai bentuk respons dari rakyat terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung yang turun itu sebagai satu ejekan atau merupakan lontaran perasaan rakyat yang marah yang merasakan tidak sesuai bagi PM mengambil contoh harga kangkung dalam mempertahankan kenaikan harga barang.

Namun setelah melihat beberapa  video, saya dapati ada kebenaran juga unsur-unsur ejekan itu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Saya tidak pula mahu menyalahkan pihak-pihak yang melakukannya itu kerana sebagai 'public figure', apatah lagi orang no1, sebagai PM yang jawatannya ramai yang merinduinya, perkara meremehtemeh atau memperlekeh termasuklah dalam ejek-mengejek ini adalah seseuatu yang menjadi basahan hidup.

Maknanya, usahlah ahli parlimen itu merasa sedih sangat apa yang telah dilakukan oleh setengah pihak dalam respons mereka terhadap kenyataan PM tentang 'kangkung turun harga itu'. Jangan juga dibawa bersama perasaan gundah gulana dan dan marah itu (jika marah) untuk dihidangkan kepada PM sebagai menyatakan sokongan dan simpati kepadanya.

Apa yang penting ialah tidak mengulangi kata-kata seperti itu.

Maksudnya kepimpinan mestilah memahami dan tahu bahawa ada perkara-perkara yang jika disentuh walaupun ianya perkara yang benar, boleh menimbulkan rasa kecil hati dan marah rakyat.

Lebih jelas lagi ialah tentang sayur kangkung itu. Bagi orang biasa, khususnya orang kampong, sayur kangkung mudah saja didapati. Mudah saja ditanam. Tanpa niat untuk menanam kangkung itu, kadang-kadang mereka campakkan saja lebihan batang kangkung ke dalam longkang di rumah. Dijamin tumbuh dan membiak. Ianya menjadi sayur percuma, tidak perlu dibeli.

Maknanya, rakyat tidak langsung risau dengan harga kangkung sama ada naik atau turun. Kalau PM kata hendak naikkan harga kangkung pun, ianya bukan satu masalah yang besar berbanding dengan harga gula dan minyak. Sebab itulah ramai rakyat yang memberi respons yang negatif seolah-olah mahu mengejek-ejek PM.

Malahan meminta rakyat berterima kasih kerana harga kangkung turun menambahkan lagi sakit hati rakyat yang telah tersedia tertekan dengan kenaikan harga barang. Rakyat berpendapat PM tidak langsung ada perasaan belas kesian terhadap kesusahan mereka yang merayu supaya harga minyak, gula dan tarif letrik diturunkan.

Saya fikir suara hati rakyat sebagai respons kepada kenyataan PM, kurang lebih begini:

"Kangkung boleh dapat tepi longkang. Harga tak turun pun tak apa. Kami nak gula , minyak , letrik dan makanan lain turun harga".

Dengan demikian respons rakyat yang berbagai-bagai bentuk itu, sama ada mengejek PM dan sebagainya, tidak perlu diberi perhatian. Yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk meringankan kos sara hidup yang meningkat. Kesianlah kehidupan orang yang berpendapatan rendah dan orang susah. Mereka tiada sumber pendapatan tambahan tidak seperti ahli parlimen , timbalan menteri, menteri dan PM. 

Bergerak saja tuan-tuan semua, ada wang yang sedia menunggu, ada makanan yang dihidangkan (tuan hanya makan tapi tidak bayar), sekatan tol lebuhraya, ada pihak yang membayar,  minyak dan membaikki kereta ada yang tukang bayar; tuan ada berbagai ealun -elaun pengerusi dan pengarah syarikat dan elaun itu dan ini; ada elaun pakaian, tidak termasuk pakaian yang diberi percuma (dibayar oleh wang rakyat) bagi sesuatu majlis rasmi. Pendek kata tuan-tuan tiada batasan untuk mendapat pendapatan tambahan. Tidak termasuk kemampuan tuan bermain saham, biasanya selalu 'strike', kerana tuan-tuan terlalu tahu banyak maklumat; diskaun harga juga selalu menyebelahi tuan-tuan, tidak termasuk hantaran hampers dan hadiah.

Jadi mana mungkin mahu dibandingkan dengan orang kampong dan orang berpendapatan rendah. Sebab itu PM tidak terbayang akan rasa susah orang berpendapatan rendah sehingga yang beliau boleh nampak dan mahu sebut ialah harga kangkung yang turun.

Kalau ahli parlimen itu merasakan respons orang terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung turun itu sebagai mengejek PM, apakah kenyataan PM itu tidak menyakitakan hati rakyat marhaen.