Theflowersellingboy

Selasa, 13 Ogos 2013

Makna Hari Raya



Makna Hari Raya

1. Solat sunat raya -yang tua, dewasa, muda remaja dan anak-anak semuanya ada. Pagi-pagi lagi dah sampai di masjid berbeza dengan hari biasa. Ramai , melebihi ruang masjid. Berpakaian cantik berbagai warna. Bau-bauan semerbak mewangi. Lepas solat berpelukan dan bersalaman sama-sama mohon kemaafan. Sebelum balik ke rumah singgah di tanah perkuburan, mengenang dan mendoakan simati semoga dirahmati Allah.

2. Kuih Raya-macam-macam ada. Ada yang buat sendiri ada yang main tunjuk-tunjuk dan bayar saja. Ada yang pesan atas talian. Tapi yang jelas kuih lama seperti dodol, sagun, wajik dan kuih bangkit telah kehilangan glamour, susah nak cari. Kerepek , maruku dan kekacang mendominasi meja hidangan.

3. Duit raya-pergi bank minta duit baru. Duit lama pun ok juga kalau yang baru dah habis. Baru dan lama nampak saja berbeza nilainya sama, apa yang nak dikesahkan. Berkunjung raya bawa anak dengan harapan dapat duit raya. Bila jadi tetamu, sudah sedia dengan envelop hari raya yang berbagai warna berisi dengan duit raya. Nilainya ikut kemampuan diri. Bila nak balik mesti bersalam, dan tuan rumah sudah sedia dengan envelop duit raya. Tersenyum anak-anak menerimanya, sungguh gembira. Ada yang terlalu teruja melihat isi yang ada. Yang nakal pula akan berkata antara lain "Singgit aje". Emak papa marah-marah. Tuan rumah tersipu-sipu.

4.Kunjung raya-berkunjung rumah adik-beradik dan saudara mara. Rumah ibubapa jadi pusat perjumpaan semua. Yang lama tak jumpa boleh jumpa. Berkunjung ke rumah sahabat dan kawan-kawan sudah semakin berkurangan, mungkin suatu hari nanti tiada keperluan untuk melakukan kunjungan. Sebab, faktor masa. Mahu balik bekerja. Jadi kena utama rumah ibubapa, adik-beradik dan saudara terdekat.

5. Rumah terbuka-Hanya mereka yang ada modal lebih yang adakan rumah terbuka untuk semua tak kira siapa. Pak menteri dan wakil rakyat antara yang termasuk dalam golongan ini. Institusi seperti bank juga melakukan perkara yang sama khususnya kepada pelanggan. Yang kecil modal hanya terhad kepada saudara-mara dan kawan yang terdekat saja. Ada yang buat rumah terbuka secara berkongsi, satu idea yang baik.

Begitulah yang saya lihat tentang hari raya. Maaf zahir batin

Selasa, 6 Ogos 2013

Kesesakan Di Pasar Menjelang menyambut Hari Raya.

Hari ini, selasa 060813, hari ke 28 berpuasa. 
 
Di pasar besar Melaka pagi ini terlalu ramai orang, sesak barat untuk membeli keperluan hari raya. Tempat letak kereta penuh. Namun kereta masih lagi masuk ke kawasan tempat letak kereta yang sudah penuh itu. Banyak yang berhenti dan meletakkan kereta dikawasan laluan sehingga menyempitkan laluan. Bukan saja menyempitkan laluan tetapi menghalang pergerakan lalu lintas.

Dalam pasar pun sama juga, penuh sesak. Penuh sesak dengan pembeli dan peniaga. Yang membuat belian seorang saja tetapi yang datang menemani lebih dari seorang, menambah sesakkan pasar itu. Manakala bilangan peniaga pada hari ini lebih ramai dari hari biasa terutama peniaga yang menjual kuih raya. Tiada ruang yang kosong sehingga menyempitkan laluan dalam pasar itu.

Maka terjadilah kesesakan yang melampau. Diluar kecoh dalam pasar pun kecoh.
 
Siapa yang buat sesak? Siapa yang buat kecoh? Jawabnya kitalah yang buat sesak dan buat kecoh.
 
Kita itu bermaksud pembeli dan peniaga dipasar besar Melaka. 
 
Sepatutnya kita pembeli tidak membawa ramai orang ke pasar. Paling banyak 2 orang jika yang seorang itu tidak pandai memandu.  Yang terbaik seorang saja. Ini tidak, habis anak isteri, datuk nenek dan cucu diangkut bersama. Manakan tak sesak.

Bilangan peniaga hari ini terlalu ramai dari hari biasa. Mengapa jadi begitu? Jawabnya mengambil peluang mendapat rezeki tambahan menjelang menyambut hari raya. Ini satu usaha yang baik dan mulia. 
 
Tapi ada yang tidak kena dengan peniaga ini. Rupa-rupanya ada peniaga yang tidak berlesen. Merekalah yang menambah bilangan peniaga disamping peniaga yang berlesen yang sedia ada. Tidak ada lagi sistem berniaga mengikut pelan susur atur. Lintang pukang. Mereka ambil saja ruang dipasar itu sehingga boleh menyempitkan laluan. Menjual kuih raya pun berhampiran dengan gerai jual ikan. Jadi hanyirlah kuih itu.

Kelihatan penguatkuasa bandar raya meminta salah seorang dari peniaga itu menunjukkan lesen. Nampaknya peniaga itu tiada lesen. 

Saya pasti kalau diambil tindakan ianya mungkin akan menimbulkan salah faham sebahagian pihak orang ramai terhadap penguatkuasa itu. Mungkin penguatkuasa itu dikatakan tidak bertimbang rasa keatas orang yang hendak cari rezeki halal apatah lagi dalam bulan puasa.

Tapi kalau dibiarkan, jadilah keadaan sesak yang kita tidak ingini itu. Jadi peniaga seperti itu adalah juga penyebab kepada kesesakan dan juga pihak yang tidak mematuhi undang-undang.

Kesesakan di luar pasar itu juga adalah disebabkan kita yang tidak mematuhi undang-undang lalulintas. Berhenti dan menunggu sesuka hati sehingga menjadi penghalang laluan. Bila penguatkuasa bandaraya bertindak dengan mengarahkan pemandu kereta bergerak dan mengalihkan kereta yang menjadi penghalang laluan keadaan laluan pulih semula.

Jadi saya lihat sebahagian besar dari kita tidak mengamalkan disiplin diri dan suka melanggar undang-undang. Dalam masa yang sama kita juga mahukan keadaan yang tidak sesak. Kita mahu ketenangan. 

Pelik tak kita ni? Saya rasa tidak pelik. Ini adalah ciri-ciri sebahagian dari kita rakyat Malaysia. Kita masih terkebelakang dari segi disiplin diri (kawalan dalaman) dan pematuhan undang-undang. Kita perlukan kawalan luaran melalui undang-undang dan penguatkuasaan. 

Apabila adanya penguatkuasaan ianya menimbulkan reaksi tidak suka dan marah dari setengah dari kita. Dan ada juga penguatkuasaan itu boleh dipatahkan dengan rasuah.
 
Kitalah sebenarnya yang menjadi sumber wujudnya atau timbulnya sesuatu keadaan atau berlakunya sesuatu hal seperti kesesakan di pasar besar Melaka pada hari ini. 
 


 
 



 
 

Isnin, 5 Ogos 2013

Cara Abah Saya Menyambut Hari Raya




Tidak beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya idilfitri. Maka teringatlah saya akan bagaimana arwah abah saya menyambut hari raya. Menyambut hari raya yang memberi makna kepadanya dan kepada keluarganya.

Lain orang lain caranya memaknakan sambutan raya. Dengan kata lain raya itu akan bermakna jika beberapa hal menjadi kenyataan atau dapat disempurnakan. Ada orang sambutan hari raya itu hanya bermakna jika dapat memakai pakaian serba baru dan cantik, rumah dihias indah, anak dan cucu raya bersama, dapat bermain mercun, dapat duit raya, membuat kueh muih dan berbagai lagi.

Bagi arwah abah saya pula raya hanya bermakna kalau dua perkara dapat disempurnakan. Pertama kacau dodol dan kedua membayar fitrah. Kedua-dua perkara ini mesti dilaksanakan.  

Tidak kacau dodol bukan raya namanya. Dodol beli tak masuk buku. Mesti kacau dodol. Kuih muih yang lain takbuat tidak jadi hal. Baginya dodol adalah raja segala kuih raya dan mesti dihidang kepada tetamu. 

Mesti dodol buat sendiri, kacau sendiri, walaupun macam separuh nak mati kerana kehausan dahaga dik berpuasa. Rasa penat dan keletihan itulah yang menjadi kepuasan baginya dan kebanggannya.. Abah baru boleh tersenyum apabila dodol yang dikacau dalam kawah mula memekat dan berat untuk ditolak. Apabila dodol dimasukkan kedalam bekas yang dibuat dari daun mengkuang yang kami panggil sebagai tampin, senyum abah makin melebar. Hajat dihati telah terhasil.

Satu lagi yang sangat diberatkan abah untuk memaknakan sambutan raya ialah bayar zakat fitrah. Macam mana pun beliau akan berusaha untuk membayar zakat. Pernah saya dimarahi abah kerana mencadangkan supaya tidak membayar zakat sebab tiada wang yang mencukupi. Malah mengatakan kami layak untuk menerima zakat fitrah kerana miskin. 

Tapi apa kata abah, "Kau apa tahu. Itu tanggung jawab aku". 

Ya, membayar zakat fitrah itu adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Macam mana cara, abah sayalah yang tahu. Saya tidak berani tanya dari mana sumber yang diperolehi. Yang saya pasti bukan dari hasil kerjanya sebagai penorih getah. Tidak cukup.

Itulah caranya arwah abah memaknakan sambutan hari raya. Pakaian baru, hiasan rumah dan kuih muih yang lain, tidak penting baginya. Pakaian raya kamipun tidak semestinya dibeli baru. Selagi yang lama boleh dipakai, pakailah pada hariraya. Tapi kalau mahu beli yang baru pun akan dibeli sehelai seluar pendek berwarna biru dan baju kemeja putih. Abah sengaja membeli pakaian seperti itu kerana mempunyai dua fungsi. Pertama untuk dipakai dihari raya. Kedua itulah pakaian sekolah kami.

Semoga roh arwah dimasukkan dikalangan orang yang dirahmati. Amin.