Theflowersellingboy

Jumaat, 31 Mei 2013

Fitnah Dalam Sebuah Doa

Alhamdulillah dengan izin Allah kami dapat terus hadir dalam pengajian tafsir al-Quran di sebuah masjid. Pengajian ini dilakukan pada setiap petang khamis (malam Jumaat) sebaik saja selesai solat maghrib dan membaca surah Yaasin yang dipimpin oleh seorang ustaz.

Ustaz memulakan majlis dengan menyeru para hadirin supaya membanyakkan amalan dalam bulan Rejab kerana balasan pahala dari Allah SWT terlalu banyak. Antara amalannya ialah melakukan puasa sunat dan solat malam (Tasbih dan Tahjud). Pada bulan Rejab berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
Beliau juga menyentuh tentang mempercayai sesuatu berita yang diterima. Jangan terus percaya, mesti disiasat terlebih dahulu bagi menentukan kebenarannya.

Seterusnya ustaz menyatakan perasaan kurang senangnya tentang kedudukan ekonomi orang Melayu (Islam) dan penguasaan orang Cina dalam bidang ini. Oleh itu beliau mengajak para hadirin sekalian mendoakan agar orang Melayu diberikan kejayaan dalam bidang ini.  Jika ekonomi orang Melayu meningkat maka kutipan zakat pun meningkat. Dan ini memberi faedah kepada orang Melayu.

Dua hal pertama yang dinyatakan ustaz itu sesungguhnya memberi pengajaran yang baik kepada para hadirin. Dan perkara yang ketiga itu amat mendukacitakan sekali.

Maka bacaan surah Yaasin dimulakan dengan harapan antara lain membawa bersama doa yang diserukan oleh ustaz itu iaitu untuk kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. 

Tapi adakah semua hadirin bersetuju dengan cara ajakan ustaz itu? Allah saja yang tahu.

Mengapa saya bertanya soalan seperti itu?

Sebenarnya apa yang saya tulis tentang perasaan kurang senang ustaz terhadap kedudukan ekonomi orang Melayu diatas adalah dalam bahasa yang lembut. Apa yang dituturkan adalah sebaliknya yang mungkin menyalahi undang-undang negara. Namun maksudnya adalah seperti yang saya tulis diatas.

Nampaknya cara kita memperbaikki diri meningkatkan ekonomi bangsa sendiri masih lagi menggunakan kaedah menuding jari. Pihak lain atau bangsa lainlah yang menyebabkan kita jadi begini. Lantas kita meniupkan perasaan sakit hati dan benci serta memusuhi pihak lain yang berjaya itu. Kita tidak mahu melihat dalam diri kita sendiri, apakah kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaikki.

Sesungguhnya kita mencari jalan mudah untuk mengatasi kegagalan sendiri, dengan menuding jari. Kemudian kita menadah tangan memohon doa kepada Allah supaya kita diberi pertolongan, dimurahkan rezeki, ditambah baik ekonomi.

Adakah menuding jari merupakan satu usaha yang diperkenan oleh Allah? Dan sampai bila kita terus mengamalkan cara ini?

Selesai saja membaca surah Yaasin , diikuti dengan tahlil memohon doa untuk mereka yang telah meninggal dunia, memohon kesejahteraan kepada yang masih hidup dan keamanan negara.
Doa pun dibaca. Dimulakan dalam bahasa Arab. 

Kemudian terkeluarlah kata-kata yang amat menyedihkan sekali. Saya hanya mampu menulisnya dengan menggunakan bahasa yang lembut dan sopan.

Ustaz secara spesifik menyebut nama seorang pemimpin yang pada pendapatnya menjadi perosak bangsa dan agama dan yang menimbulkan huru hara di negara ini. 'Astaghfirrullah'. Kenapa sampai begitu rasa kebenciannya terhadap orang itu. Dan kenapa disebutkan dalam sebuah doa untuk diperkenan oleh Allah? Dan mengapa diajak orang lain bersama dalam doa itu? 

Ya, Allah saja yang maha mengetahui. 

Sedih, sesungguhnya amat sedih sekali dalam sebuah majlis yang murni telah dicemari dengan cetusan perasaan mengajak orang untuk membenci dan memusuhi pemimpin itu. 

Inilah kesan sebuah fitnah yang telah disebarluas berulangkali dalam media perdana. Saya percaya itulah sumber maklumat yang digunapakai oleh ustaz itu. Dan beliau kerap menyatakan sumber rujukan itu apabila menceritakan sesuatu berita.

Amat malang sekali. Bukankah ustaz itu telah menyatakan bahawa jangan mudah percaya kepada sesuatu berita yang diterima tanpa terlebih dulu melakukan siasatan?

Mungkin ustaz telah membuat semakan. Tapi sumber mana beliau gunakan? Jika sumber itu juga adalah dari sumber yang sama atau dari pihak yang memang mahu menyebarkan berita seperti itu, sudah tentu jawapannya adalah juga sama sehingga menguatkan kepercayaan ustaz itu tentang berita yang diterima. Inilah kesannya permainan jahat menyebarkan fitnah sehingga seorang ustaz yang diharapkan untuk menyebarkan perkara-perkara yang baik terjebak dalam permainan fitnah. Malang sekali.

Dan apabila seorang ustaz yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat yang kata-katanya susah untuk tidak dipercayai oleh masyarakat, menyambung kata-kata dan berita yang tidak benar maka bertambahlah orang yang terjebak dengan angkara fitnah ini. Maka rasa benci dan permusuhan telah berjaya disebarluaskan.

Dengan demikian percayalah bahawa jika kaedah ini berterusan, sampai bila pun ekonomi orang Melayu tidak akan dapat ditingkatkan kerana asas yang digunakan untuk berjaya ialah dengan menyalahkan orang lain, satu jari terlalu cepat menuding kepada orang lain yang mana jari-jari yang lain yang tidak bersetuju mengarah kepada diri sendiri.

Dan orang Melayu tidak akan dapat membina kekuatan dalam apa saja bidang kerana orang-orang yang mempunyai kuasa seperti mereka yang mengawal alat sebaran am dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat seperti ustaz ini, menggunakan kaedah fitnah bagi mengaibkan seseorang dengan berselindung disebalik jenama bangsa Melayu dan agama Islam. 

Mungkin ustaz itu tiada maklumat bahawa orang Melayu yang berkuasa inilah juga yang mempunyai kawan kongsi niaga orang Cina atau kawan Cinanya itu adalah proksi orang Melayu itu dalam perniagaan. Atau ustaz itu tiada maklumat bahawa parti orang Melayu itu tidak sebenar-benarnya mempunyai hasrat untuk melaksanakan hukum Islam. Atau tidak mendengar akan kata-kata pemimpin melayu itu yang menolak perlaksanaan hukum hudud.

Mungkin ustaz ini tiada maklumat tentang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa yang menjadi sanjungannya.

Mungkin ustaz itu ada maklumat. Tapi apakan daya, hidup ini perlu makan. Mungkin begitu agaknya.

Bagi saya tutur kata seperti yang dihamburkan itu tidak patut datangnya dari seorang ustaz yang mempunyai pengaruh besar dikalangan masyarakat Melayu.
 
  

Khamis, 30 Mei 2013

ILUSI SEBUAH KENANGAN

Hari itu pak menteri akan tiba di Kota Kinabalau (KK). Hari itu juga dia akan memberi taklimat kepada bos barunya tentang organisasi dan tugas-tugas jabatannya.

Pak menteri itu juga adalah bos kepada bosnya. 

Kedatangan pak menteri ke KK hanya baru diberitahu sehari lepas oleh ibupejabat KL. Kedatangannya tidak dimaklumkan terus ke pejabatnya. Dia cuma diberitahu oleh pejabat Setia Usaha Kerajaan Sabah , Jabatan ketua Menteri Sabah. Sebaliknya kehadiran bosnya yang baru ini adalah atas undangannya sebulan yang lepas semasa bertemu bosnya di KL. Ertinya satu pertemuan rasmi yang diaturkan.

Dia serba salah. Yang mana satu perlu didahulukan. Maksudnya siapa yang dia perlu beri tumpuan.

KL tidak memberikan apa-apa arahan.

Maka dia buat keputusan sendiri. Dia akan meneruskan majlisnya sendiri. Sebagai tuan rumah yang telah mengundang bosnya datang dia wajar memberi tumpuan kepada majlisnya. Dia mahu menjadikan majlis perjumpaan dengan bosnya itu satu majlis yang terbaik. Dia dan anak-anak buahnya telah bertungkus lumus membuat berbagai persiapan bagi menjayakan majlis jabatannya itu. 

Maklumlah bosnya itu akan menilai kerjanya dan dimasukkan dalam laporan tahunannya.

Pak menteri datang mungkin atas urusan dengan kerajaan negeri. Tapi mengapa dia tidak diberitahu? Mengapa dia tidak dilibatkan sama dalam perjumpaan itu?  Adakah bosnya juga sebagai seorang dari ahli rombongan bersama pak menteri itu? Kalau ya kenapa dia tidak diberi tahu?

Dia mendapat panggilan dari pejabat SUK meminta supaya seorang pegawai menjadi pengiring dan menyambut pak menteri itu. 

Siapa yang patut pergi menyambut pak menteri itu diairport? Dan siapa yang terus menjadi pengiringnya? 

"Aku"? "Tak boleh". 

Sebab dia terpaksa menunggu bosnya itu yang datang dengan penerbangan yang lain. Dan dia juga akan mengaturkan segala keperluan bosnya semasa di KK.

Maka dia mengarahkan seorang pegawainya untuk menyambut dan menjadi pengiring pak menteri itu selama pak menteri itu berada di KK.

Jam lapan pagi dia dan warga kerja jabatannya telah bersedia berbaris dihadapan pintu masuk banguna Wisma persekutuan. Bosnya sampai tepat waktunya. Dia dan warga kerja yang lain bersalaman dengan bos yang sentiasa senyum itu. 

Taklimat berjalan dalam bilik mesyuarat. Bosnya tidak bertanya apa-apa soalan. Bosnya amat faham tugas dan kerja yang dijalankan oleh pejabatnya. Cuma bosnya meminta suapaya setiap orang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. Yang paling utama, kata bosnya jangan salah guna kuasa dan rasuah. jabatan ini mempunyai terlalu besar kuasa, banyak membabitkan perbelanjaan kerajaan, terutamanya berkaitan tender, tambah bosnya.

Dia paling seronok sekali apabila bosnya memberi pujian keatas prestasi jabatannya . Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Bosnya pula tidak ada sekali menyebut tentang kehadiran pak menteri itu. Bosnya juga tidak hadir bersama pak menteridalam perjumpaan dengan kerajaan negeri. Mengapa? Tapi dai tidak mahu bertanya.

Selepas jamuan makan tengah hari, dia menghantar bosnya ke airport untuk balik ke KL.

Pada keesokan harinya pegawainya yang mengiring pak menteri itu memberitahunya, "Tuan haji, semalam pak menteri tanya mana bos you. Saya beritahu bos kita datang. Dia marah sangat dan beritahu saya dalam begnya ada banyak komplen tentang tuan haji. Katanya tuan haji ambil rasuah".

Dia terlalu marah. "Ini satu tuduhan. Kenapa pak menteri tidak panggil dia untuk menjawab sebarang tuduhan. Kenapa di beritahu kepada pegawai bawahan. Kenapa tidak dilaporkan saja kepada BPR". Dia amat marah.

Hari itu hari Sabtu. Isterinya sedang sakit untuk melahirkan anak. Dia menjemput bidan datang ke rumah. Alhamdulillah isterinya selamat melahirkan seorang anak lelaki. Hilang sebentar kemarahannya itu.

Selang beberapa bulan seorang kawannya, ketua sebuah jabatan memberi tahu bahawa dia dan ketua jabatan itu adalah dalam pemerhatian pihak tertentu sebab ada berbagai dakwaan yang telah dibuat melalui surat layang. Dia sudah baca surat layang itu.

Surat layang itu dia perolehi dari ibupejabat KL yang meminta dia menjawab tuduhan dalam surat layang itu.

Dia terlalu amat marah. Orang KL percaya dengan surat layang? Kenapa surat itu tidak diberikan saja kepada BPR untuk disiasat? Kenapa tidak disiasat tanpa memberitahunya?

Dai menulis empat muka surat menyatakan rasa dukacita atas sikapa orang KL. Tidak cukup dengan itu dia talipon pegawai yang menulis surat itu. "Mengapa tak siasat?"

"Surat layang. Apa perlu disiasat", kata pegawai KL itu.

Dia tambah berang. "Kalau begitu kenapa minta penjelasan dari saya?"

"SYMP", kata suara dari KL.

"Ya lah kalau turut perintah pun, turutlah perintah yang betul". Dia meletakkan talipon.

Di hujung tahun dia mendapat maklumat dari kawannya yang dikatakan terlibat sama itu bahawa  , semua dakwaan itu adalah tidak benar. Ianya disahkan oleh sumber yang boleh percayai. 

Dia terima berita dengan penuh kesyukuran. Tapi dia tidak pernah menunggu berita seperti itu kerana dia tidak melakukannya. Antara kata-kata dalam suratnya kepada orang KL ialah, "Emak saya tidak pernah mengajar saya mengambil hak orang walau satu sen pun". Dan kata-kata ini membuatkan orang KL marah dengan mengatakan bahawa dia 'over react'.

Dan sekarang ini siapa yang kaya? Siapa yang mengumpul harta? Aku ke atau siapa? Mungkin pak menteri ada jawapan. Tapi tidak akan memberi jawapan yang betul.

Begitulah ilusi sebuah kenangan.

 
 

 
 

Rabu, 29 Mei 2013

Klinik dan Hospital Kerajaan Yang sentiasa Sibuk Memanjang

Pagi lagi telah berada di sebuah klinik kerajaan. Darah emak perlu diambil sebagai satu dari rutin rawatan. Terlalu ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan. Saya menganggarkan tidak kurang dari 200 orang pada jam 9.30 pagi itu.

Sementara emak menunggu giliran untuk dipanggil, saya membaca apa-apa saja notis dan tulisan yang dipamirkan dibahagian dalam klinik itu termasuk aku janji pihak klinik memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Saya mahu tahu berapa bilangan doktor yang ada. Tapi saya tidak bertanya dengan pekerja klinik. Saya hanya pergi ke garaj kereta. Ada sebanyak 5 garaj kereta dikhaskan untuk pegawai perubatan. Saya tafsirkan pegawai perubatan itu sebagai doktor. Ertinya ada 5 doktor yang berkhidmat.

Maknanya pada waktu 9 pagi itu nisbah doktor dan pesakit ialah 1 doktor 40 pesakit. Kalau satu pesakit memerlukan rawatan 10 minit, jumlah 200 pesakit, masa yang diambil 2000 minit (33 jam). Seorang doktor akan menggunakan masa sebanyak 6 jam lebih. Ini bilangan pesakit pada pukul 9 pagi. Selepas itu bilangannya mungkin bertambah.

Masa bekerja hanya dari 8 pagi sampai 5 petang (8 jam). Tak cukup masa nampaknya doktor-doktor itu untuk merawat pesakit. Mungkin tempoh merawat dikurangkan kepada 5 minit. Itupun  saya rasa tak cukup masa untuk satu rawatan yang berkualiti. 

Jadi macam mana? Mungkin ada pesakit yang tidak dapat diberi rawatan pada hari ini. Atau mungkin doktor-doktor dan pekerja klinik itu akan meneruskan kerja melewati tempoh kerja biasa.

Mungkin hanya pada hari ini saja yang sibuk.

Bagaimanapun keadaan seperti ini bukan perkara yang asing lagi di klinik atau di hospital kerajaan. Dimana-mana pun sama.

Kesedaran rakyat untuk mendapat perkhidmatan kesihatan telah bertambah. Kerajaan juga telah menambahbaik perkhidmatan ini. Tapi penambahbaikkan itu nampaknya tidak sepadan dengan keperluan rawatan yang semakin bertambah. Doktor dan kakitangan yang berkaitan masih lagi berkurangan.

Orang tak minat jadi doktor ke?
Tak minat jadi pembantu perubatan?
Tak minat jadi jururawat?

Mungkin juga perlu dilihat skim perkhidmatan mereka ini. Gaji, elaun, dah kemudahan-kemudahan yang mereka perolehi. Mungkin kurang menarik?

Apa pun, suasana di klinik tadi adalah satu perkara yang biasa dimana-mana dikilinik dan hospital kerajaan. Sibuk memanjang. 

Bagaimana dengan kualiti perkhidmatan?