Theflowersellingboy

Sabtu, 27 April 2013

Mengapa Kita Mesti Tolak UMNO/BN

"Mamak Bendahara dan geng-gengnya hanya tahu bersembah kata dan menghidu aroma bauan ditangan aku saja", menyelinap kata-kata dalam otak kepala duli tuanku...........


Paparan saya dalam beberapa hari dan minggu ini tidak berhenti-henti menyeru para pengundi sekalian agar memberi undi kepada PR pada pilihanraya ke 13 ini yang jatuhnya pada 5 Mei 2013.

Mengapa saya merayu seperti itu?

Saya bukan bertanding atas tiket PR. Bukan juga atas tiket UMNO/BN. Tidak juga sebagai calun bebas.

Hanya sanya saya percaya bahawa jika saya mahu berpolitik untuk mendapat kuasa, saya perlu mempunyai iman yang kuat. Dan saya mengaku, saya tiada kekuatan untuk bertahan lama dalam mempertahankan iman saya itu jika saya dipilih menjadi orang berpolitik yang ada kuasa. Sebab , politik penuh dengan cabaran, noda dan pancaroba. Kerana saya ada kuasa maka syaitan lebih cenderung mendekati saya. Sudah tentu saya akan tewas dan rosak binasa.

Saya juga percaya bahawa tiada pun seorang orang politik yang berkuasa akan tidak berjaya digoda oleh syaitan. Semua akan menjadi mangsa godaan syaitan, baik dianya orang UMNO/BN, orang PAS, PKR, DAP dan yang lain-lainya.

Buktinya? Amat jelas sekali jika anda mahu melihatnya dengan mata hati. Saya percaya anda ikhlas melakukannya.

Saya hanya beri contoh untuk kita renung bersama.

Sekarang semua orang dan parti yang bertanding sedang sibuk berkempen memperagakan diri dan parti bahawa merekalah yang terbaik, bahawa merekalah yang mahu memperjuangkan demi kebahagiaan rakyat. Bertungkus lumus mereka ke sana kesini, tidak kenal penat lelah.

Bagi saya apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang wajar sekali dan patut dihargai.

Saya menganggap perkara itu sebagai satu format pilihanraya saja iaitu kerja berkempen untuk meyakinkan pengundi bahawa siapa dan parti mana yang layak disokong.

Namun, isi kandungannya berbagai-bagai dan ada yang berbaur dan diselaputi kekotoran. Pengundi yang turut serta mendengar bicara kempen orang dan parti-parti tersebut akan dihidangkan dengan berbagai-bagai kisah. Ada kisah benar dan melucukan, ada juga kisah benar yang serious yang perlu diberi perhatian, dan banyak lagi kisah benar yang menarik terutama kisah tentang niat dan azam mereka untuk membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

Dalam masa yang sama ada juga suara-suara mencaci dan menghina, mengkeji peribadi dan parti yang dilawani dengan kata-kata yang amat kesat sekali. Ada kisah-kisah yang tidak benar. Dan paling malang sekali mereka membawa nama Allah dan firman Allah sebagai cara untuk meyakinkan pengundi.

Ini dilakukan oleh pihak BN dan PR. Tiada kecuali. Tetapi tidak kesemuannya.

Ertinya bahawa sebelum mereka diberi kuasa lagi, hal-hal yang keji telah mereka lakukan. Bayangkan apabila mereka berkuasa. Saya mempunyai kecenderungan untuk mengatakan bahawa mereka dan parti yang mengamalkan kempen secara keji itu akan mudah didekati oleh syaitan. Berkawanlah mereka dengan syaitan sama ada yang lama telah dikenali atau yang baru mereka kenali.
Kalau begitulah cerita yang saya tulis, mengapa saya merayu pengundi untuk mengundi PR?

Ya, benar BN dan PR adalah parti politik dan ahlinya yang bertanding akan terdedah dengan godaan syaitan-syaitan itu apabila berkuasa nanti. Dan ada yang tewas.

Namun dalam sebuah masyarakat bernegara kita perlu memberikan amanah kita kepada sesuatu pihak untuk menguruskannya. Tidak boleh setiap dari kita melakukannya. Hura hara nanti.

Kita telah memilih sistem pilihan secara amalan demokrasi. Ianya bukan yang terbaik. Tapi itulah cara yang terbaik buat masa ini. Ertinya pemerintahan secara mewakilkan kuasa kepada pihak-pihak tertentu  untuk menguruskan negara melalui pilihanraya.

Mahu tidak mahu kita mesti membuat pilihan diantara pihak yang membuat tawaran untuk berkhidmat, iaitu diantara BN dan PR, dan sanggup menerima amanah kita sebagai rakyat dan pengundi untuk mengurus negara dengan baik demi masa depan kita yang lebih baik.

Kita berikan amanah kita dalam tempoh paling lama 5 tahun saja. Dan kemudian kita wajar menilai, mengkaji dan membulatkan fikiran kita untuk membuat pilihan berasaskan kepada nilai dan tahap kepercayaan kita kepada mereka atau parti yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Kita telah memberikan BN sebanyak 12 kali pilihanraya untuk mengurus kan negara. Maka kita mesti mengkaji, menilai dan merumuskan apakah yang telah dilakukan oleh BN sepanjang tempoh yang telah diberikan itu sama ada banyak membawa kebaikan atau sepatutnya boleh dilakukan lebih dari itu, atau banyak buruk dari baiknya.

Ingat bahawa kita mempunyai peluang paling lambat 5 tahun sekali untuk mendapatkan kerajaan yang kita mahu. Dan selama 56 tahun kita telah berikan kepada BN.

Jangan sia-siakan peluang kita itu. Pilihlah kerajan yang kita mahu, sebuah kerajaan yang lebih baik untuk kita, untuk generasi yang akan datang.

Saya katakan bahawa BN telah hilang punca arah tujunya dan ketandusan idea bahkan telah tecemar dik kuasa sehingga ada setengah yang berkuasa telah menjadi terlalu gila dan mabuk kuasa, sombong dan angkuh. Telah tidak kenal lagi antara baik dan jahat, antara hak dan batil. Yang bersifat jenayah dan kejipun menjadi cara kehidiupan mereka.

Sebab? Mereka telah lama berkuasa dan lupa diri. Mereka perlu dirihatkan.

Mengapa saya sentiasa menyeru agar menolak BN? Adakah jaminan PR itu lebih baik?

Jelas bahawa seruan saya menolak BN adalah berdasarkan bukti nyata yang saya simpulkan bahawa BN banyak membawa keburukan. Ada juga yang baik.
 
PR juga belum tentu tidak mengikut perangai yang sama. Tapi seperti yang saya katakan tadi BN telah terlalu tercemar dan PR pula beriya-iya mahu memberikan perkhidmatannya demi kebaikan rakyat. Kita beri peluang kali ini kepada PR, paling lama 5 tahun. Kita lihat apa yang dilakukannya nanti.

Risiko? Memberi kuasa kepada BN risikonya sudah jelas sekali, hancur. Memberi kuasa kepada PR , risikonya ada juga. Yang berbezanya ialah tempoh risiko yang kita, rakyat hadapi.

Kalau kita sambungkan lagi nyawa BN, kita menanggung kerugian yang berpanjangan, kita mengekalkan kedurjanaan.

Kita pilih PR, kalau perangainya sama dengan BN, tempoh sengsara, kita boleh pendekkan ke 5 tahun saja. Itu hanya berdasarkan buruk sangka. Bukankah lebih baik kita lihat contoh yang ada dihadapan mata.

Lihat Negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dibawah pentadbiran PR. Lihat dengan mata hati bukan dengan tohmahan hasad dengki dari maklumat-maklumat yang diterima dari tv3 dan Utusan Malaysia. Negeri-negeri ini telah diuruskan dengan lebih baik dari negeri dan kerajaan Persekutuan dibawah BN.

Siapa yang mengesahkannya? Bukan dari PR sendiri tapi dari Laporan Rasmi Agensi Kerajaan iaitu Laporan Ketua Audit Negara.

Baiklah untuk merengan-rengankan fikiran, saya akan menurunkan satu cerita. Terpulanglah kepada anda untuk memberi tajuk cerita ini dan juga membentuk sikap dan kepercayaan anda akan cerita ini sama ada ianya satu cerita dongeng rekaan saya, satu cerita benar yang berlaku dibumi nyata atau cerita-cerita yang bertujuan hanya untuk bercerita saja.

Yang penting bagi saya, ada moral cerita yang hendak dibawa yang ada kaitan langsung dengan pilihanraya ke 13 ini iaitu menolak kerajaan yang menghianati amanah rakyat.

Supaya cerita ini boleh digarap lebih mudah, saya akan berikan tajuknya yang berpijak dibumi nyata, bukan diawang-awangan. Tajuknya ialah penswastaan istana hinggap.

Konsep dan asas penswastaannya sama seperti yang dibawa oleh kerajaan iaitu mengurangkan beban kewangan kerajaan. Cara perlaksanaan pun sama iaitu sebagai alat untuk mengayakan orang yang terdekat (anak, keluarga dan sahabat tidak kira bangsa) dengan yang berkuasa.

Sebermula maka terbitlah dihati sebuah kerajaan mahu menswastakan istana hinggap kepunyaannya 100%. Istana hinggap itu terdiri dari beberapa buah binaan yang terletak diatas sebuah kawasan yang berkeluasan lebih dari 30 ekar.

Penswastaan itu tidak pula dimashurkan keseluruh pelusuk jajahan negeri sama ada dengan paluan gong atau beduk atau persiaran dari watikah diraja agar rakyat dapat mengambil maklum akan hasrat kerajaan itu. Hanya orang dalam istana saja yang dipermaklumkan. Itupun dikalangan mamak bendahara, temenggong dan sida-sida yang terdekat dengan kebawah duli tuanku.

Tujuannya dibuat begitu, hanya semata-mata untuk membantu orang-orang Melayu itu kerana itulah dasar kerajaan ke bawah duli tuanku. Kebawah duli tuanku sedar bahawa orang-orang Melayu yang tinggal diserata pelusuk negeri, yang tinggal dihulu-hulu tidak akan ada kemampuan untuk menguruskan istana hinggap seperti menurut yang berkenan dihati.

Maka sekonyong-konyong datanglah ilham dari yang ada maklumat itu (mamak bendahara dan geng-gengnya) untuk mencuba nasib dalam hasrat untuk memperbaikki ekonomi sendiri mahu menawarkan kepakaran untuk membeli dan menguruskan istana hinggap itu. Maka disediakan kertas cadangan untuk mengambilalih istana hinggap yang diidamkannya itu.

Harga yang ditawarkan sebanyak kurang lebih 6 juta dinar.  Harta itu iaitu bangunan dan tanah dulunya, pada beberapa tahun sebelum harga tawaran 6 juta dinar itu telah dinilai pada harga kurang lebih 30 juta dinar.

Maka untuk berlaku adil, kebawah duli tuanku pun memanggillah satu mesyuarah untuk membincangkan tawaran Mamak bendahara dan geng-gengnya itu seperti yang terdapat dalam kertas cadangan. Maka dalam mesyuarah itu baginda mengingatkan kepada para ahli yang hadir bahawa faktor yang kritikal yang perlu menjadi asas pertimbangan ialah dasar untuk menolong orang Melayu. Jangan tanya fasal nilai dan harga. Yang penting ialah hasrat murni untuk menolong orang Melayu.

Ingatan ke bawah duli tuanku itu adalah ekoran dari desas desus dan bisik berbisik dikalangan yang hadir, yang tidak kedengaran ditelinga tuanku, tapi dapat dibaca dihati kebawah duli tuanku bahawa harga tawaran yang dicadangkan itu adalah terlalu amat rendah, jika dikira menurut apa saja alat pengira sama ada yang canggih manggih mahupun alat pengira budak tadika. Apakan pula jika digunakan pengira orang Cina, sempua. Jawapannya tetap terlalu murah.

Sebahagian besar ahli menundukkan kepala. Bukan tanda bersetuju tapi tiada daya hendak berhujah pada ketentuan yang telah diberitahu, demi menolong orang Melayu. Namun begitu ada seorang ahli yang hadir, yang kepalanya masih lagi tegak lurus, yang juga tidak dapat menelan akan logik fikiran tuanku itu, yang merasakan bahawa peluang juga perlu diberikan kepada orang-orang Melayu yang lain, kalau itulah hasrat murni kebawah duli tuanku, mahu buka bicara.

Ahli yang seorang ini sudah cukup matang akan rukun bermesyuarah diraja ini. Pantang melawan arus, sudah tentu hanyut tenggelam. Namun dia pun bijak dengan kaedah melarikan tumpuan.

Maka dia mencadangkan agar yang mengambilalih istana hinggap itu mestilah orang yang ada pengalaman kalau pun tidak pakar dalam menguruskan istana hinggap yang berprestij itu agar hasrat untuk membantu orang Melayu beroleh kejayaan. Dan tidak diperlekehkan oleh bangsa lain.

Pengalaman? Kepakaran?

'Mamak bendahara dan geng-gengnya hanya tahu bersembah kata dan menghidu aroma bauan ditangan aku saja', menyelinap kata-kata dalam otak kepala duli tuanku sebaik saja ahli yang seorang itu menamatkan kata-kata.

Tapi kerana terlalu kasih dan sayangnya terhadap mamak bendahara dan geng-gengnya itu maka kebawah duli tuanku meneruskan titahnya bahawa yang penting ialah menolong orang Melayu, dan tawaran mamak bendahara dan geng-gengnya itu wajib dipersetujui.

Maka mendengarkan titah itu, terkulailah leher ahli-ahli yang hadir membawa bersama kepala terantuk dimeja mesyuarat. Hanya seorang ahli yang memandang terus ke muka tuanku dengan perasaan penuh sesal untuk dibawa semasa bersara.

Habis cerita saya ini. Apa kaitan dengan rayuan saya untuk menolak BN pada pilihanraya ke 13 ini?

Moral cerita ini ada kaitan langsung dengan gesaan saya untuk menolak BN, kerana cerita saya ini mengambil setting tahun sebelum 2008. Ketika itu PR belum menguasai mana-mana kerajaan, negeri atau pun Persekutuan.

Jika ianya cerita dongeng, ianya dongeng pada tempoh-tempoh berkenaan. Jika anda percaya sebagai cerita benar, ianya juga mengisahkan cerita pada tempoh itu. Jika anda anggap ianya sebagai cerita semata-mata kerana saya suka bercerita, maka ianya juga tetap pada persekitaran tempoh yang sama.

Moral cerita ini ialah menggunakan nama Melayu sebagai cara menipu bagi mendapatkan faedah untuk kepentingan diri dan orang-orang yang terdekat. Inilah rukun yang diamalkan oleh BN.

Maka ada kewajaran untuk menolak UMNO/BN.

Khamis, 25 April 2013

Sayanglah pada UMNO: Berikan UMNO berihat , Berilah UMNO peluang menarik nafas panjang, berulang-ulang, Jangan tolak mereka masuk gaung yang dalam

Orang tua-tua mengeluarkan kata-kata nasihat: Sayang anak tangan-tangankan.

Tangan-tangankan itu maknanya pukul anak itu. Sebat atau rotan anak itu. Apabila anak itu dipukul, dirotan atau disebat kesannya sudah tentu anak itu merasa sakit. Ada yang meninggalkan lebam pada tempat yang dirotan itu.

Mengapa diberi nasihat seperti itu? Jawabnya tidak lain tidak bukan kerana sayangkan anak itu. Sebat dan rotan bukanlah kerana benci walaupun ianya menyakitkan. Ianya satu perasaan sayang yang mendalam terhadap anak itu yang dilihat akan merosakkan dirinya sendiri jika tidak  ditangani dengan cara rotan iaitu cara yang menyakitkan. Bukankan yang pahit itu selalu menjadi ubat. Dan yang manis madu itu boleh menyebabkan kencing manis.

Itulah asas nasihat yang diberikan oleh orang-orang tua dulu demi menyelamatkan anak-anak yang disayangi yang terkelanjuran, rosak akhlak dan sedang memilih jalan yang tidak baik. Caranya menyakitkan tapi hasilnya adalah demi masa depan dan kebahagian anak-anak itu.

Begitulah juga dengan keadaan UMNO sekarang ini, sebuah parti yang dulunya memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu telah menjadi sesat barat, tercemar dan rosak dari wadah perjuangannya itu. Rosak serosaknya. Kerosakan ini berterusan dilakukan oleh orang UMNO yang diterajui oleh kepimpinan tertinggi sehingga menjalar dan membarah ke akar umbi.

Kita tidak boleh nafikan jasa-jasa UMNO bukan saja kepada ahli UMNO bahkan kepada orang Melayu keseluruhannya termasuk juga orang bukan Melayu. Ya, UMNO ada jasa baiknya. Kita mesti ada perasaan kasih dan sayang terhadap UMNO, biarpun kita ini bukan orang UMNO.

Kalau UMNO itu diumpamakan seperti anak dalam kata-kata nasihat orang tua-tua dulu maka wajarlah UMNO diberi ubat yang sama seperti yang diberikan kepada anak yang kita sayang.  
Kalau sayang pada UMNO berilah parti itu masa untuk berihat. 

UMNO telah lama bertungkus lumus. Lebih 56 tahun negara merdeka UMNO telah diamanahkan untuk menguruskan negara bersama dengan kawan-kawannya MCA, MIC dan yang lain-lainya. UMNO dan kawan-kawannya bukan saja sudah letih bahkan telah mengalami sesak nafas kerana terlalu banyak menghirup udara dalam persekitaran yang terlalu tercemar-udara yang busuk, hanyir, hapak, hancing, tengit, berkeladak, dan yang sejenis dengannya sehingga sesak nafas UMNO itu boleh mendatangkan maut.

Sudah tentu UMNO yang pernah berjasa itu, tidak wajar dibiarkan menerima nasib malang seperti itu-mati terbongkang disebabkan sesak nafas dalam persekitaran yang tercemar itu.

Jika kita benar-benar sayangkan UMNO dan mengenang akan jasa dan budi yang pernah ditabur maka menjadi tanggungjawab kita membalas budi baik UMNO itu. Jangan biarkan UMNO meneruskan kerja-kerja rosak yang bukan saja merosakkan dirinya bahkan merosakkan kita semua.

Rihatkanlah UMNO supaya UMNO boleh bernafas. Bawalah UMNO itu berihat dipersekitaran yang bersih dan tidak tercemar supaya saluran pernafasan UMNO dapat merasakan betapa nikmat dan leganya bernafas dipersekitaran yang tidak tercemar. Sudah tentu kita akan mendengar kata-kata UMNO seperti ini, "Wah leganya kami setelah 56 tahun kami menghirup udara yang tercemar kotor . Terima kasih kerana sudi memberi kami masa berihat dan membawa kami dipersekitaran yang bersih ini".

UMNO perlu berihat untuk berpeluang menarik nafas panjang, berulang-ulang sepuas-puasnya. 

Selain dari keletihan dan sesak nafas kerana menghirup udara yang tercemar, UMNO telah hilang punca dan ketandusan idea untuk memimpin. UMNO tidak tahu lagi apakah sebenarnya tujuan kewujudannya dulu. Hilang langsung punca kewujudannya dulu. 

Apa yang UMNO lakukan ketika ini ialah untuk kepentingan peribadi dan keluarga serta pengampu terdekat mengatasi kepentingan UMNO, Melayu dan negara walaupun UMNO begitu sibuk dengan kata-kata penyelamat diri, "Demi Bangsa, Negara dan Agama".

Orang UMNO tidak wajar menipu diri walau setotok manapun kamu. Lihat apa yang sebenarnya berlaku. Lihat dengan mata dan hati kamu. Jangan hanya melihat dengan mata saja kerana mata kamu boleh dibuka dan ditutup, ikut suka hati kamu, melainkan jika kamu tidur. Itupun ada yang matanya terbuka waktu tidur walaupun dia tidak tahu apa yang dia lihat.

Hati tidak pernah tertutup kecuali kita mati. Walaupun hati tidak seperti mulut dan lidah yang boleh mengeluarkan kata-kata, yang kita percaya dan tidak percaya, yang bohong dan benar, kata hati, bisikan dihati, yang terlintas dihati dan niat dihati tidak pernah menipu.

Ambil satu contoh yang paling mudah. Bukankah UMNO itu demi bangsa? Maksudnya untuk kepentingan bangsa. Kita ambil 'bangsa itu bermaksud orang Melayu. 

Apa yang UMNO telah buat?

i) Siapakah pemilik Genting Highlands-rumah judi. Jawabnya orang Cina. Macam mana satu bukit yang begitu bernilai itu diberikan kepada orang Cina bagi tujuan yang dilarang oleh agama. Siapa atau kerajaan dari parti apa yang melukuskannya. Sudah tentu UMNO.

ii) Siapakah diantara pemilik kilang arak St. Miguel di Filipina? Anak bekas PM.

iii) Siapakah pemilik astro? Orang Melayu? Bukan. Orang India.

iv) Siapakah pemilik Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang mendapat harga subsidi petrol dan menjual kuasa letrik kepada TNB pada harga yang mahal yang mana beban harga itu dikenakan kepada rakyat? Ada orang Melayu, ada orang Cina dan ada orang India. Tapi orang Melayu itu orang yang terdekat dengan sumber kuasa UMNO.

v) Siapakah yang mengatakan hukum hudud itu tidak boleh dilaksanakan? Pemimpin=pemimpin UMNO.

vi) Siapakah yang mengambil tanah orang-orang Melayu pada harga pampasan yang murah dan menjual kepada tauke Cina? Kerajaan pimpinan UMNO

vii) Siapakah yang menyalahguna kuasa terlibat dalam rasuah misalnya kes lembu dan kapal selam? Pemimpin UMNO.

viii) Lihat pula pemberian kerja-kerja kontrak dan projek serta berbagai kemudahan. Siapa jadi keutamaan? Yang pasti ialah anak dan keluarga terdekat (Raja Nongcik) dan orang UMNO yang terdekat. Kontraktor Melayu bukan UMNO? Kesian, melopong.        
Banyak lagi.

Jadi apa makna yang ada dengan sebutan demi bangsa, negara dan agama itu? Semuanya berselindung disebalik kata-kata itu untuk kepentingan diri. Maka benarlah apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir 'bahawa orang Melayu merempat dinegara sendiri'. 

Benar sebahagian orang Melayu adalah miskin. Yang kaya dan senang lenang yang masih mahukan kuasa ialah orang-orang seperti Mahathir dan pemimpin UMNO yang masuk bertanding dalam PRU 13. Masuk bertanding dan merayu supaya diberi undi dan jika menang dan membentuk kerajaan mereka akan melakukan perkara yang sama mengayakan diri sendiri. Sebahagian besar rakyat kekal miskin dan susah. 

Apa bukti? Lihat dengan mata hati sendiri. Mahathir telah mengesahkannya. Selama lebih 56 tahun sebahagian besar orang Melayu masih susah. Siapa yang menjadi kerajaan ? UMNOlah.

UMNO telah ketandusan idea atau tiada idea. Macam mana nak terus memerintah kalau tiada idea. Contoh:

i) Bila diajak berdebat mengenai urusan negara, UMNO dengan tanpa segan dan rasa malu mengataka tidak perlu berdebat, bukan budaya kita. Kalau bukan budaya, hapuskan perbahasan dalam parlimen dan dewan undangan negeri.

ii) Bila PR mengemukakan manifesto dengan berbagai tawaran, UMNO/BN kata tawaran PR itu boleh membuatkan negara bengkerap. Kenyataan UMNO/BN itu tidak salah. Mungkin UMNO ada asas-asas yang kukuh berkata demikian. Tapi kenapa tidak mahu berdepan berhujah dengan membentangkan asas-asas yang menyebabkan negara boleh bengkerap jika tawaran PR itu dilaksanakan. Dan pertahankan Akujanji BN.

iii) Dalam masa yang sama UMNO/BN juga menawarkan beberapa pakej yang sama seperti apa yang ditawarkan oleh PR yang dikatakan boleh membengkerapkan negara. Apa sudah jadi ni, menjilat air ludah yang melekat dibatang hidung yang diludah kelangit. Malu. Ada maruahkah?  

iv) Paling dahsyat sekali hujah dibalas dengan kerja-kerja mengaibkan peribadi lawan sama ada dengan tutur kata mahu pun melaluil pembikinan, penayangan, penyebaran gambar dan video lucah yang mengaitkan peribadi lawan.
Adakah kita perlukan kerja yang pemimpinya berperangai seperti ini.

Sebenarnya UMNO telah rosak-serosaknya. UMNO perlu diberi bantuan, perlu ditolong kerana UMNO dalam keadaan darurat. Kita perlu istiharkan darurat supaya UMNO dapat berihat dan ditempatkan dalam persekitaran yang baru yang bersih dan segar untuk UMNO terus bernafas. Itulah sepatutnya kita lakukan sebagai cara menyelamatkan UMNO dan sebagai tanda kita sayang pada UMNO yang sememangnya telah pernah berjasa.

Jika kita pilih UMNO dalam pilihanraya ke 13 ini, sebenarnya kita bertindak menolak UMNO ke dalam gaung yang dalam. Jika itu berlaku, hilang teruslah warisan UMNO. Harap-harap tidak jadi begitu, InsyaAllah. Semoga Allah menyelamatkan UMNO.

Dan kita perlu bantu dengan tidak mengundi UMNO dan kawan-kawannya pada PRU ke 13 ini. 

Berihatlah UMNO. Ya, memang ada kesan yang menyakitkan UMNO. Sama seperti anak yang ditangankan oleh orang tuanya bertujuan untuk memberi masa depan yang lebih baik kepada anaknya, dalam perumpamaan 'sayang anak ditangan-tangankan', pada permulaan paparan diatas. 

Tetapi kesan yang menyakitkan itu adalah lebih baik dari membiarkan UMNO bergelumang dalam persekitaran yang tercemar udaranya sehingga UMNO menjadi sesak nafas. Sesungguhnya UMNO perlu berihat di dalam persekitaran yang lebih bersih agar udara yang bersih itu akan dapat memanjangkan jangka hayat UMNO untuk bermuhasabah dan seterusnya untuk bangkit semula.    

Berilah peluang untuk UMNO menarik nafas panjang kerana semasa berihat dipersekitaran yang udaranya bersih tiada lagi kekuatiran berlakunya sesak nafas.
 
    

Rabu, 24 April 2013

PERJALANAN ke 5 Mei 2013: Satu Perjalanan Yang Tercemar.

Perjalanan ke 5 Mei 2013 sesak barat. 

Yang ke hulu , kehilir , ke darat ke baruh bersesakan, berseliseh, bertembung, terserempak, ulang alik dan mundar mandir. Ada masa berlaku kekecuhan. Menghalang perjalanan. Bertengkar. Menjerit. Memaki dan menghamun. Menyanyi gila-gila tinggi suara gunakan pembesar suara. Enjin motor paling hingar dari kerja-kerja rempitan ulang alik. 

Baling berbagai objek. Ada yang cedera. Pihak berkuasa ambil rengan saja. 

Keadaan sungguh sibuk sekali. Paling sibuk . Paling sesak, hingar bingar , melaung sana , melaung sini. Kecemaran yang amat gila. Kecemaran alamsekitar. Kecemaran dan kecelaruan minda. Paling gila. Hanya semata-mata satu mesej saja 'UNDILAH AKU, UNDILAH PARTI AKU KERANA RAKYAT AKAN HIDUP BAHAGIA'.

Tiada satu malam dan tiada satu siang yang tidak tercemar dengan hingar bingar membawa mesej diatas.

Namun, tidak mengapa. Malam dan siang memang tercemar dengan hingar bingar. Tapi mesej yang dibawa adalah  amat baik kepada kita rakyat : untuk satu kehidupan yang lebih baik dan bahagia. 

Siapa mahu jadi susah? Siapa mahu jadi sengsara?  

Sudah tentu kita mengalu-alukan dan memberi sokongan penuh terhadap mesej yang dibawa sebagai wadah perjuangan mereka. Hingar bingar dalam beberapa minggu ini yang mengganggu ketenteraman persekitaran kita, kita terimalah, demi masa depan yang lebih baik.

Cuma yang mana satu yang kita hendak pilih? Siapa dan parti manakah yang kita perlu undi? 

Semuanya menyatakan hasrat yang sama. Semua berjuang untuk rakyat, demi kebahagian rakyat.

Apa kriteria pilihan yang perlu digunakan? Adakah misalnya mengambil kira:

i)  Atas kesamaan bangsa dan agama
ii) Watak/keperibadian.
iii) Pengalaman
iv) Rekod 
v) Kesamaan parti

Kriteria pertama, atas kesamaan bangsa dan agama. Kita beri undi kerana dia orang Melayu dan beragama Islam? Maknanya sebagai orang Melayu dan Islam akan memberikan kebahagian kepada kita. Masa depan kita bahagia?

Itulah andaian yang kita perlu buat sekiranya kita gunapakai kriteria ini.

Maknanya dia memperjuangkan hak kepentingan Melayu. Dia melaksanakan kehidupan secara Islam.

Buat senarai semak. 

Berapa hektarkah tanah Melayu yang telah tergadai. Berapa hektarkah tanah sawah orang Melayu yang telah diambil (atas alasan demi pembangunan) yang dibayar pada harga pampasan yang rendah dan kemudiannya dijualkan kepada tauke-tauke Cina untuk dibangunkan. Buat semakan di semua negeri misalnya Melaka dan Johor. 

Berapa ramaikah anak-anak Melayu di pusat pengajian tinggi yang dibiayai secara pinjaman dari PTPTN, yang dulunya tidak pernah berlaku kerana dibiayai melalui biasiswa. Kita menambahkan lagi manusia Melayu yang berhutang.

Cara Islamkah jika kita mengaibkan orang lain. Islamkah kita hanya setakat pakai kopiah tinggi, berbaju Melayu cantik dan berkumpul setiap malam Jumaat membaca surah Yassin sedangkan dalam masa yang sama kita membiarkan perbuatan keji berlaku. Misalnya membuat, menyebar dan menonton filem lucah. Setiap malam kita mengadap tv yang menyiarkan berita mengaibkan peribadi orang. Lebih teruk lagi kita memanjangkan cerita itu.

Cukup, 3 saja contoh senarai semak. Ianya terlalu banyak. 

Lihat calun itu. Kenal calun itu. Kenal parti itu. Bolehkah kita percaya kepada calun dan parti yang melakukan perbuatan seperti itu. Lihat dengan mata dan hati.
             
Begitu juga dengan kriteria-kriteria seterusnya. Ianya perlu dilihat dengan mata dan hati.

Undilah dengan secara tenang dengan menggunakan kewarasan otak kita berlandaskan kepada keyakinan kita bahawa Islam amat benci orang dan parti yang tidak amanah. Contoh tidak amanah ialah seperti perlakuan dalam senarai semak diatas. Tolaklah calun dan parti itu. 

Saya percaya anda sukakan orang yang baik-baik dan benci orang yang jahat dan tidak amanah. Jangan cemarkan masa depan anda dengan memilih orang seperti itu dan parti yang suka mengamalkan perbuatan jahat itu. Cukuplah kita alami suasana yang tercemar dalam perjalanan ke 5 Mei 2013 ini.