Theflowersellingboy

Jumaat, 22 Februari 2013

Di Luar Pesisir Pantai Terengganu (off shore): Pelantar Teluk Exxon Mobil

18 Disember, 2012.

Setelah melalui gelombang laut China Selatan yang kadang-kadang mencapai 5 meter tinggi akhirnya rombongan kami sampai di Pelantar Telok Exxon Mobil yang mengambil masa prjalanan 18 jam dari Pengkalan Kemaman, Terengganu. Sebahagian besar dari kami muntah-muntah dik lambungan ombak yang begitu kuat ke atas kapal yang kami naikki. 

Kami adalah pekerja dari Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) yang telah ditugaskan di Pelantar Telok Exxon Mobil. Kami terdiri dari berbagai kepakaran dan kemahiran. Kami ditugaskan ke off shore adalah secara bertukar ganti dalam tempoh tertentu. Kalau sepanjang masa di pelantar di tengah-tengah laut tanpa menjejak tanah besar, rasanya boleh jadi gila. Baru sampaipun sudah rasa satu macam. 

Saya, Lukman Hakim bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan non-destructive. Saya mengambil giliran kawan saya yang telah mendarat setelah bertugas selama 45 hari.

Sesampai saja di destinasi, kepala saya pening dan badan rasa lemah setelah disebabkan beberapa kali muntah. Kawan-kawan yang lain pun serupa juga. Oleh itu saya tidak berdaya untuk menghubungi/menalipon kedua ibubapa di Putra jaya bagi menyampaikan berita yang mereka harap dan tunggu, saya dan rombongan selamat sampai.

Esoknya setelah segalanya kembali normal, saya telah menghubungi kedua ibubapa. Mereka terlalu gembira dengan berita itu.

Sesiapa yang tidak pernah atau belum bekerja di Pelantar, ditengah-tengah laut mungkin mempunyai imiginasi bahawa kerja di pelantar amat rumit dan memenatkan. Sebenarnya tidaklah begitu. Kurang lebih sama saja dengan kerja di daratan. Dari segi risiko keselamatan memanglah lebih berbanding di darat. Tapi semua yang bertugas di pelantar telah menjalani prosedur keselamatan, telah di beri latihan dan mempunyai lesen.

Jika gelombang terlalu besar misalnya sampai 6 atau 7 meter tingginya, petugas yang tinggal diatas kapal tidak akan dibenarkan untuk pergi ke pelantar, bahaya. Jadi ada ketikanya saya dan kawan-kawan duduk-duduk saja, tiada kerja. Ada juga kawan-kawan yang mencuri-curi memancing kerana memancing tidak dibenarkan.

Saya duduk dalam bilik berkongsi 4 orang. Makan minum disediakan. Tapi makanan yang disediakan tidak sesuai dengan selera saya. Ada pihak yang menguruskan cucian pakaian kita. Saluran tv pun ada termasuk Astro.  Untuk berhubung dengan keluarga di darat disediakan talian talipon. Tapi kenalah berbaris untuk membuat panggilan secara bergilir-gilir. Semua petugas faham  dan dengan itu tidak ada yang bergantung dengan talipon terlalu lama.

Petugas-petugas tediri dari berbagai warga negara. Ada warga Nepal, Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Indonesia selain warga Malaysia. Saya berkesempatan berborak dengan warga Nepal dan Bangladesh yang boleh berbahasa Melayu. Mereka begitu gembira sekali bekerja di pelantar. Seorang dari mereka yang terlibat dalam kerja 'scalfholding' berkata sedikit lebih kurang begini, apabila ditanya perasaan mereka bekerja di'offshore' berbanding di darat, "Bagush, sangat bagush. Makan ada, minum ada semua free. Baju ada orang basuh. Kerja tada, gaji ada. Gaji boleh tahan".

'Kerja tada gaji ada itu' , ditujukan kepada hari-hari yang ombak laut terlalu  besar dan tinggi yang tidak membolehkan pekerja dibawa ke pelantar kerana berisiko tinggi. Maka duduk berehatlah mereka tanpa kerja. Gaji tetap juga dibayar. Gaji pun lebih tinggi dari gaji bekerja didarat.   

Sudah masuk hari yang ke 40an. Rasa jemu mula timbul, teringatkan daratan. Hari-hari pasang telinga kalau-kalau nama naik melalui 'paging'. Ada saja kapal yang datang, harapan sentiasa ada dalam hati bahawa giliran sudah sampai untuk ke darat.Tunggu punya tunggu, akhirnya pada 17.2.2013 nama saya naik untuk ke darat. 

Perjalanan memakan masa yang sama18 jam untuk sampai ke Pengkalan di Kemaman. Yang bezanya kali ini saya tidak muntah-muntah, tapi sedikit keletihan. Di sebelah petang kamipun bertolak pulang ke Johor Baru dengan menaikki bas. Tapi bas buat perangai pula, rosak berhampiran Mersing. 

"Aduuuuuuh, dah le penat dan mengantuk, bas rosak pula. Nasib-nasib".

Saya ambil cuti seminggu, nak berihat jumpa keluarga dan kawan-kawan.

Dengar berita bulan Mac ini, sekali lagi ke Pelantar Telok, di offshore Terengganu.  

"Pergi lagi". Bagi saya tidak ada masalah, boleh saja, bukannya lama sangat. Bagi warga Nepal dan Bangladesh, sudah tentu mengalu-alukan berita ini, "Kerja tada, gaji ada. Gaji boleh tahan". 

  

 

     

Khamis, 21 Februari 2013

Memantau Diabetik: Sehari Setitik Darah, Buah Durian Buat Kacau

Sehari setitik darah. Tiga puluh hari tiga puluh titik darah. Berapa ml darah dalam setahun?

Setiap kali selepas solat Subuh, isteri saya akan mengambil 'peralatan doktor'nya untuk mengambil setitik darah dari salah satu jari kedua-dua tangannya untuk diuji tahap kandungan gula dalam darah. Ini adalah rutin hariannya semenjak setahun yang lepas.

Jangan silap teka akan profession isteri saya itu. Dia bukan seorang jururawat, tidak juga seorang yang ada kaitannya dengan bidang perubatan, apatah lagi sebagai doktor perubatan. Dia seorang suri rumah tangga selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan. Tapi bukan bidang perubatan.

Cuma orang akan keliru apabila mendengar dia bercerita fasal bab-bab tertentu tentang kesihatan. Macam seorang doktor atau paling kurang seorang jururawat. 

Sakit kencing manis yang sekarang ini lebih enak disebut diabetik adalah satu daripada penyakit yang dapat dihuraikan oleh isteri saya dengan baik. Sebab musabab penyakit itu, jenisnya, risiko kepada pengidap jika penyakit itu tidak dikawal, ubat-ubat yang perlu dimakan. makanan-makanan yang perlu dielakkan dan cara terbaik untuk mengawal tahap gula selain dari pemakanan dan kawalan ubat, dan lain-lain hal yang berkaitan boleh disampaikan dengan cara yang boleh meyakinkan si pendengar.

Beliau sebenarnya pengidap diabetik pada tahap rendah. Tidak serious.

Jadi setiap pagi selepas Subuh, dia akan mengambil bacaan kandungan gula dalam darah dengan menggunakan alat yang berjenama  ACCU-CEK. Alat itu dibelinya di Farmasi dengan harga RM185.00, harga diskaun.

Dimulakan dengan tikaman jarum dengan alat yang bernama ACCU-CEK Softclix keatas hujung jari yang dipilih, biasanya jari telunjuk tangan sebelah kiri, setitik darah diambil dengan menggunakan ACCU_CEK performa dan dimasukkan dalam alat bacaan. Dalam beberapa saat, mesin atau alat bacaan akan mengeluarkan angka tertentu misalnya 10. Angka itu adalah tahap kandungan gula  dalam darah

Jika angka itu pada tahap 6 dan kebawah, ia menandakan tahap gula yang normal. Jika lebih dari itu, ia merupakan tanda-tanda yang perlu diberi perhatian dan wajar dikawal.

"Allah, dah naik  10". 
  
Ayat keluhan seperti itu sudah biasa saya dengar. Bukan sekali tapi beberapa kali.

Maka si isteripun sibuk bertanya saya semalam atau hari-hari yang lepas apa yang dia makan. Maksudnya makanan yang mempunyai kandungan gula.

Jawapan saya mudah saja iaitu mengatakan saya tidak perasan atau tidak ingat.

Memang saya tidak ingat. Kadang-kadang makanan sarapan pagi yang baru satu jam saya ambilpun susah untuk saya ingat. Terkial-kial cuba memikirkannya. Inikan pula makanan yang orang lain makan. 

Lagi pun pertanyaan isteri itu, saya sudah anggap sebagai tidak serious kerana setiap kali kandungan gulanya naik, dia akan bertanya soalan yang sama. Maknanya dia sendiri tahu semasa dia mengambil makanan itu ianya akan memberi kesan tidak baik kepada tahap gula dalam darahnya.

Maka berjanjilah isteri itu pada dirinya akan tidak mengambil lagi makanan yang bergula. Atau hanya mengambil makanan yang kurang gula.

Tapi janjinya mudah saja terbarai apabila melihat buah durian. Semasa membeli buah durian, alasannya ialah untuk anaknya yang juga peminat buah durian. Maka dia pun tumpang semangkuk dengan alasan hanya makan seulas dua.

Berjanjilah juga dia bahawa esok harinya dia akan mulakan senaman pagi dan menggesa saya turut sama. 

Tapi kenapa esok hari? Kenapa tidak pagi itu juga?

Sesungguhnya untuk mengawal penyakit adalah lebih rumit dari mengelak. Mengawal benda yang sudah ada dalam diri seperti penyakit diabetik ini memerlukan kekuatan dalam diri sendiri. 

Tidak cukup hanya dengan memantau saja dengan mendapat maklumat tentang tahap gula dalam darah tapi tindakan lanjut untuk mengawal pertambahan gula itu tidak diambil. Misalnya tidak ambil ubat atau terlupa mengambil ubat seperti yang telah ditentukan oleh doktor. Terus mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Tidak melakukan senaman secara konsisten.    

Jadi bagaimana hendak membina kekuatan dalam diri sendiri?

Mungkin dengan melihat kesan buruk yang disebabkan oleh penyakit itu boleh memberikan kekuatan seseorang itu untuk mengawal penyakitnya meningkat ke paras yang serious. Misalnya dalam hal sakit diabetik, mata akan boleh jadi buta, anggota dipotong dan sebagainya. Bawa sipengidap itu melihat sendiri mereka yang sampai ke tahap sedemikian. Kalau dengar cerita , mungkin tidak menimbulkan rasa gerun.

Atau beri tahu penyakit itu boleh membuatkan seseorang itu mati. Tapi semua orang akan mati. Saya rasa ianya kurang berkesan.

Apa pun isteri saya terus memantau tahap kandungan gulanya setiap hari. Satu hari setitik darah diambil dari jarinya. Dia patuh makan ubat. Dia juga bersenam pagi walaupun kadang-kadang berhenti. Cuma, buah durian buat kacau, membuatkan janji pada diri tercabar jadinya.

 
 

   

Rabu, 20 Februari 2013

Meletakkan Anak, Isteri dan Kereta Dalam Keadaan Bahaya Di Curi

Pukul 10.50 pagi, dihadapan sebuah mini market, ditempat letak kereta, di Precint 9, Putra Jaya, saya menyaksikan satu tabiat cuai seorang bapa, seorang suami keatas keselamatan anak,isteri dan hartanya. Tabiat yang sambil lewa dan ambil mudah yang dipamerkan itu jika berterusan diamalkan , pada suatu hari nanti akan besar kemungkinan memberi kesan yang buruk pada dirinya, isterinya dan hartanya. Apabila itu berlaku, tidak perlu menyesal lagi.

Sebenarnya kesan buruk hasil dari tabiat sambil lewa dan cuai itu telah pun berlaku. Dan ada kemungkinan si bapa, si suami ini telah sedia maklum dari perkhabaran dan berita dari berbagai sumber.
 
Apa ceritanya?
 
Pada waktu yang dimaksudkan itu, saya berdiri berhampiran dengan pintu masuk mini market tersebut, menunggu isteri yang membeli sesuatu. Sebuah kereta merah memasuki ruang letak kereta di hadapan mini market dimana saya sedang berdiri. Keluarlah seorang lelaki dari kereta tersebut, meninggalkan seorang anak kecil yang berusia pada jangkaan saya tidak lebih dari 3 tahun, dan isterinya, tanpa memberhentikan enjin keretanya, bagi keselesaan anak dan isterinya berterusan menikmati hawa dingin.
 
Melihat keadaan itu, ianya menimbulkan minat kepada saya untuk mengikuti perkembangan seterusnya. Lelaki itu masuk ke dalam mini market pada pukul 10.50 minit. Saya masih menunggu isteri yang kelihatan sedang beratur di kaunter bayaran. Pukul 10.54 isteri saya selesai membuat bayaran dan keluar dari mini market itu. Lelaki tadi tidak kelihatan tetapi masih lagi dalam mini market itu sedang mencari barang yang diperlukan.
 
Saya bersama isteri menuju ke kereta. Lelaki tadi masih lagi belum keluar.
 
Maknanya lelaki itu telah berada dalam mini market selama 4 minit, meninggalkan isteri dan anaknya dengan enjin kereta masih lagi hidup. Maknanya juga masa yang akan diambil oleh lelaki itu untuk kembali ke keretanya sudah tentu melebihi dari 5 minit.
 
Apa perkara buruk yang mungkin boleh terjadi kepada anak dan isteri dan kereta lelaki itu tadi dalam tempoh yang ditinggalkan sedemiikian rupa?
 
Kita telah biasa mendengar berita tentang kecurian kereta. Cerita tentang kereta dibawa lari bersama dengan anak kecil didalamnya semasa ibu atau bapanya singgah sekejap di kedai untuk membeli atau mengambil sesuatu. Kita juga sedia maklum jenayah mencuri kereta sentiasa berlaku di negara kita. Kita juga tahu bahawa penjenayah itu boleh melakukannya dengan sekelip mata.
 
Tapi mengapa kita, lebih khusus lagi mengapa lelaki tadi tidak langsung terlintas di fikirannya akan risiko meninggalkan anak, isteri dan keretanya itu dalam keadaan sedemikian itu?  Dia tidak sayang anaknya? Dia tidak sayang isterinya? Atau dia terlalu kaya sehingga tidakambil kisah keretanya mudah dibawa lari?
 
Tanpa bertanya kepada lelaki itu , saya berani mengatakan bahawa lelaki itu sayang pada anaknya, sayang pada isterinya. Dan dia juga tidak rela keretanya dibawa lari, dicuri walaupun dia orang kaya.   
 
Jadi kalau begitu mengapa dia sanggup mendedahkan anak, isteri dan keretanya dalam bahaya? Sebenarnya tidak ada langsung terniat dihatinya melakukan seperti itu.
 
Yang ada pada lelaki itu ialah tabiat buruk berperangai sambil lewa, tidak prihatin dan tidak ambil kisah termasuk dalam hal keselamatan dirinya, anak, isterinya dan hartanya. Mungkin juga dia terlupa atau tidak memberi perhatian berat keatas cerita-cerita tentang kecurian kereta, termasuk kereta yang dilarikan bersama dengan anak yang ditinggalkan dalam kereta.
 
Dan kita mengharapkan lelaki ini juga tidak berperangai buruk di jalan raya. Saya khuatir unsur-unsur sambil lewa, cuai dan tidak perhatin kepada keselamatan diri , anak, isteri dan harta sendiri ini akan membentuk tabiat lelaki ini untuk dipamerkan dijalan raya yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
 
Boleh kah jadi begitu? Allah saja yang tahu. Tapi kalau keselamatan diri pun tidak ada harga apa perlunya menghargai keselamatan orang lain.  
 
Saya memulakan perjalanan balik ke rumah menghampiri pukul 11 pagi. Wajah lelaki itu masih lagi belum kelihatan menunuju ke keretanya. Harap-harap anak dan isteri dan kereta lelaki itu tidak dibawa lari. Dan harap-harap tiada pencuri kereta di tempat itu.