Theflowersellingboy

Jumaat, 25 Januari 2013

Bercuti Bersama Keluarga

Yang bercuti untuk mendapat kerehatan dari beban tugas pejabat ada empat orang. Yang bercuti untuk mendapat kerehatan setelah habis tekanan peperiksaan, ada seorang. Yang bercuti dari menguruskan cucu, ada dua orang. Yang bercuti untuk tidak hadir taska, ada dua orang.
 
Yang tidak dapat cuti kerana bertugas di offfshore Terengganu yang terpaksa berada diatas pelantar di laut China Selatan, ada seorang.
 
Jadi yang bercuti , jumlahnya 9 orang terdiri dari 3 orang anak, 2 orang menantu, 2 cucu, 1 orang isteri dan 1 orang diri sendiri. Yang tidak dapat bercuti 1 orang anak. Namanya Lukman Hakim. Bye man.
 
Bercuti keluarga kali ini tidak penuh quota tidak seperti bercuti tahun lepas di Port Dickson, semua ada. Untuk mendapatkan hari dan masa yang sesuai bagi mengumpulkan semua ahli keluarga, bukan satu kerja yang mudah. Masing-masing ada tugas dan keutamaan yang perlu didahulukan. Misalnya yang bekerja adalah tertakluk kepada  keizinan jabatan untuk meluluskan cuti. Yang sedang belajar, bergantung kepada cuti universiti. 
 
Saya dan isteri? Kami memang dah lama cuti, dah pencen. Tapi sekarang jaga cucu. Maknanya majikan kami ialah cuculah. Bila cucu ponteng taska, kami dapatlah cuti percuma.
 
Kesian si Lukman yang duduk di laut China Selatan. Tapi hari tu dah beritahu, dia ok saja dan ucapkan kami semua 'enjoy' bercuti.
 
Rancangan awal nak bercuti di Langkawi. Tapi ada yang mencadangkan untuk ke seberang laut. Dekat saja, ke Singapura. Kan ke Langkawi pun seberang laut? Selagi  dalam wilayah Malaysia, ianya masih tidak diberi status seberang laut. Tak percaya? Pergilah ke Sabah atau Sarawak. Kita tidak kata pergi 'oversea'. Kita kata pergi Sabah atau Sarawak saja. Pelik bukan? Mungkin tak pelik kerana perkara ini telah tertanam dalam otak kepala kita.
 
Baiklah, berbalik kepada rancangan tempat bercuti. Secara konsensus maka bersetuju ke Singapura. Lagi pun ada jemputan majlis kahwin diJohor Baru. Ngamlah rancangan ke Singapura itu.
 
Mula-mula bercadang nak naik kereta api malam dari KL terus ke  Tg. Pagar di Singapura, untuk memberi pengalaman pada cucu yang belum pernah naik kereta api. Kemudian, memikirkan penjimatan masa, buat keputusan memandu sendiri. Bercadang nak tidur di Melaka satu malam. Tak berani bawa kereta ke Singapura kerana tak biasa dan takut kena saman. Di Singapura, kata orang terlalu banyak undang-undang lalulintas yang kita tidak biasa. Jadi kami tempah hotel di JB dan ke Singapura dengan pengangkutan awam.
 
Pada peringkat akhir perancangan, si CT , pengurus bercuti keluarga, buat perubahan kecil. Tak jadi bermalam di Melaka, pandu terus ke JB.
 
Jadi selepas solat Jumaat, kami akan memulakan perjalanan ke JB, dalam rangka percutian keluarga di Singapura. Semoga perjalanan kami pergi dan balik selamat dan dilindungi Allah SWT.
 
 
 
 

Khamis, 24 Januari 2013

Dailog 2+1 Bekas PM Angkasa Maya

Pada 18 Ogos 2013 satu dailog mengambil tempat di Dewan Angkasa Maya  berikutan ketewasan yang dialami oleh kerajaan Buayanaga dalam perebutan kuasa diantaranya dengan perebut kuasa Pelitaraya pada tiga purnama yang berlalu. Dailog ini dianjurkan oleh ngongo penyokong Buayanaga  yang bertujuan untuk membelah dan menyiasat bagi mencari apakah penyakit-penyakit yang melekat sehingga boleh membusukkan darah daging Buayanaga yang menyahjauhkan manusia darinya.

Maka bersepakatlah ngongo itu untuk memanggil bekas-bekas perdana menteri Buayanaga yang terdiri dari satu bekas yang sudah lama bersara tapi masih lagi menunjukkan kebermayaannya, seorang bekas yang sesekali muncul seperti iklan biskut 'sekejap ada sekejap tiada', dan ditambah pula dengan seorang yang baru saja menjadi bekas, untuk menjadi ahli panel dailog.  Kebetulan, mereka ini masih hidup.

Bekas pm 2+1 ini dijangka dan dipercayai mempunyai daya upaya untuk  mengupas secara analatikal tentang isu ketewasan Buayanaga dalam perebutan kuasa itu. Semua manusia tanpa mengambil kira latarbelakang boleh turut serta. Lebih ramai, lebih banyak input yang boleh dikumpul untuk dibuat renungan dan diambil pengajaran untuk membangunkan semula kekuatan Buayanaga. 

Dailog bermula dengan  pengerusi dailog menjemput ahli panel naik ke pentas. Pertama, mempersilakan bekas pm 1, diikuti bekas pm 2 dan bekas pm 3.

Bekas pm 1 memberikan pandangannya selama 30 minit. Bekas pm 2 selama 20 minit dan bekas pm 3 selama 10 minit.

SESSI SOAL JAWAB

Pengerusi: Sekarang saya buka untuk memberi peluang kepada hadirin untuk memberi pandangan atau menanyakan soalan kepada ahli panel. Harap ringkas dan padat. Yes, that genteleman at the back. Please come forward......use the mike

Peserta belakang: Terima kasih pengerusi. Saya tujukan soalan ini......

Pengerusi: Your name please.

Peserta belakang: Sorry, I am Ahmad. Soalan saya untuk yang amat berbahagia bekas pm 2. Sir, with due respect sir , I myself  100 percent agree with you sir, but minta maaf Tun, banyak orang kata kita tewas sebab pm kita lembik. What's your view sir.

Bekas pm 2: Lembik?  Siapa lembik. Saya kah? No, no no you must be joking. You know jambatan bengkok? What happened? Siapa yang berani batalkan. Sayalah. Sampai ada orang sangat marah pada saya. Marah tak apalah. Sabotaj pula. Bila pilihanraya keluar parti. Bila saya berhenti masuk semula parti. That was the only reason kita kalah. Please ask former pm 1 for corfirmation. Thank you.

Pengerusi: Ada lagi. Any more question. Takkan satu saja. Yes, that beautiful  lady , please.

Perempuan cantik: Sheila. Thank you chairperson. My question to the recent former pm. Sir, maaf saya jika terkasar bahasa, with due respect sir, people said you have so many baggages to carry,  your own as well as others, including your other half. These made you weak and some said you were the weakest pm ever. So people got angry and voted us out. What say you sir.

The recent former pm: Baggage? The weakest pm ever? I agree and disagree with you 100 percent. First, can anybody here tell me mana satu pm malaysia having no bagagge?  Mention to me please. All the same. Cuma saya lebih demokratik dan terbuka. I did not dictate people. Not a dictator for sure. You know what I mean. Second,  mana boleh satu kapal dua nakhoda. I wanted to go to the east. Someone pulled the steering to go to the west. Rosaklah. Mana boleh menang macam ni. 
 
Pengerusi: Ok, any more question? Yes, pakcik in the centre. Your name please.

Pakcik duduk tengah: Nama saya Oka atau Orang Kena Auta. Maaf saya cakap Melayu. Nak cakap campur Melayu dan orang putih pun tak pandai. Soalan saya, saya tujukan khas kepada bekas pm nombol 1. Maaf jika saya terkasar bahasa. Yang Amat Berbahagia bolehkah beritahu kami semua mengapa yang amat berbahagia mendapat terlalu banyak gelaran bersifat negatif. Semua gelaran itu bermula dengan maha. Ada yang kata firaun dan ada yang kata zalim. Semuanya sifat seorang diktator. Sama ke dengan kata diktator yang disebutkan oleh bekas pm kita yang terbaru tadi.

Bekas pm 1: Anu, apa ni fasai gelaran kunuun saya ada banyak gelaran itu betoilah sebab saya buat macam-macam ikut cara saya. Acuan saya sendiri. Takkan lama pegang kerajaan saya dok melengong tak buat kerja. Itu bukan saya. Saya tak suka tidoq. Betoi tak? Ada orang masa mesyuarat pun tidoq.  Lagi satu apa ni, anuuu, alah lupa pulak dah, ya fasai diktator. Macam mana ada orang panggil saya diktator kunun, dengan isteripun saya takut. Betoi tak. Bekas pm terbaru mungkin setuju dengan saya. Cuma saya nak peringatkan kepada semua 'I did it my way, my own way'.
 
Lagu My Way pun mula berkumandang dalam dewan.


Sessi dailog pun tamat. Masing-masing orang keluarlah dari Dewan Angkasa Maya membawa kesimpulan masing-masing akan sebab musabab ketewasan kerajaan Buayanaga dalam mengekalkan kuasa yang telah direbut oleh Pelitaraya untuk berkuasa dalam tempoh tertentu.      

Rabu, 23 Januari 2013

Menu Sekolah dan Menu Rumah

Menu  sarapan pagi, dua keping (slice) roti dan oats bercampur susu sungguh tidak menyelerakan. Sudah tiga hari menu yang sama disediakan. Muak dan menjemukan. 

Si Tan Boon Chuan merungut katanya macam makanan untuk diberikan kepada anjing. Saya menganggukkan kepala tanda setuju. Pelajar-pelajar yang lain pun nampaknya tidak berselera. Makanan yang terhidang diatas meja ditinggalkan begitu saja, ramai  yang merungut tidak puas hati.

"Kita kena komplen. Macam ni tak boleh jadi. Dia orang ingat kita ni macam anjing". Tan mengoyakkan sehelai kertas dari buku latihannya. Dia duduk dan menulis sesuatu. Kemudian kertas itu diberikan kepada saya. Saya menganggukkan kepala tiga kali anggukan sambil menunjukkan ibu jari kanan yang menegak. "Setuju, aku setuju" .

Tan meletakkan nota diatas meja makan dan mengambil  piring yang berisi roti dua keping itu bagi menindih kertas itu agar tidak diterbangkan angin. Kami berharap nota yang berbunyi, 'Makanan ini layak diberikan kepada anjing saja', akan memberi amaran kepada tukang masak yang menyediakan makanan itu.

Kami berdua meninggalkan dewan makan dengan perasaan bangga dan puas hati diatas sikap berani kami memberi amaran kepada tukang masak. Padan muka mereka. Kami ketawa sambil berjalan menuju ke kelas.

Waktu makan tengah hari, kami duduk dimeja makan yang sama. Kami makan begitu berselera sekali. Masakan ikan sadin dan sayur nenas masak lemak kuning. Tan makan dua kali tambah nasi. Saya seperti biasa saja, sepinggan sudah cukup. 

"Pagi tadi awak ke yang duduk dimeja ni", seorang tukang masak bertanya memandang kearah kami berdua bergilir-gilir.  

"Ya, apa hal", jawab Tan begitu cepat sekali. Tan mahu segera tahu. Kalau fasal nota itu, inilah peluang si Tan untuk membantai si tukang masak yang beri makanan anjing itu.

"Awak yang tulis ni?" 

Tan segera berdiri dan dengan bangga mengaku bahawa dialah yang tulis. Tan memarahi tukang masak itu kerana memberikan makanan anjing itu kerana katanya kami semua ini bukanlah anjing. Anjing pun tidak sanggup makan makanan seperti pagi tadi.

Merah padam muka tukang masak itu . 

"Saya tukang masak. Menu makanan ini pihak sekolah yang sediakan. Kalau tak puas hati komplen pada pihak sekolah. Saya pun dah beritahu kepada Ketua Murid".

Tukang masak itu terus meninggalkan meja makan menuju ke dapur. Muka Tan segera menjadi pucat. Muka saya sama juga.

"Matilah", kata Tan.

"Berani buat berani tanggung", saya memberi kekuatan kepada Tan.

Kami berjalan longlai, keluar dari dewan makan menuju ke dom masing-masing
 
Saya berbaring diatas katil.

Apakah kemungkinan yang akan berlaku? Sudah tentu kami akan dipanggil oleh ketua murid itu. Sudah tentu kami kena marah.Kena hukum dengan dibawa kes ini ke peringkat lebih tinggi. Menghadapi guru disiplin. Berdepan dengan guru besar. Naik ke atas pentas pada hari perhimpunan untuk dirotan dan dimalukan. Public canning?

Aduh malunya.
 
Baru saja minggu lepas, saya naik ke atas pentas dewan sekolah. Kawan-kawan dan pelajar-pelajar serta guru-guru yang hadir pada Malam Karyawan Muda memberikan tepukan yang gemuruh. Saya adalah pemenang penulisan cerpen. Saya pelajar tingkatan empat, tingkatan yang paling rendah disekolah mengalahkan pelajar-pelajar tingkatan lima, enam rendah dan enam atas.

"Tahniah", kata Cikgu Adibah. Saya menyambut tangan cikgu Adibah sambil tersenyum bangga. Kami bersalam. Tangan cikgu Adibah sungguh lembut sekali menyambut tangan saya yang keras kematu. Maklumlah, anak orang kampong. Nak makan pun terpaksa mendapat belas ikhsan orang, banyak berhutang.

Ya, setiap kali mendapat gaji pada hujung bulan, bapa saya akan membayar hutang. Hutang membeli barang-barang keperluan harian termasuk beras dan makanan yang lain. Tapi gaji lebih kecil dari hutang. Tidak pernah gaji itu sempat dibawa balik ke rumah kerana Si Tamby, pekedai tempat berhutang itu telah sedia menunggu dipintu  pagar pejabat tempat bayaran gaji. 
  
Duit gaji menjadi duit hutang.

Atas modal pengalaman hidup inilah saya menceritakan dalam cerpen yang menang pada malam karyawan muda itu. Sebuah cerpen bertajuk Duit Hutang.

Aiman bercita-cita tinggi. Dia tidak mahu jadi seperti Daud, Kassim dan Zuki, kawan pengembala lembu di kampongnya. Semua kawan-kawan itu telah berhenti sekolah. Bersekolah setakat darjah enam saja. Mereka menorih getah, menolong bapa masing-masing.

Aiman mahu belajar lebih tinggi. Aiman mahu masuk sekolah asrama penuh. Mahu masuk universiti. Mahu kerja pejabat jadi pegawai, bertali leher. Aiman sudah jelak makan nasi dengan garam saja. 

Selalunya Aiman akan ke belakang rumah memetik beberapa biji cili api. Kemudian mencari-cari bawang merah didalam bekas yang terselit diatas para. Habis sepinggan nasi dimakannya berulamkan cili api dan bawang merah. Perutnya buncit mengening, terlalu kenyang.
    
"Kau tak sembahyang Zohor ke?"  Ismail, kawan dikatil sebelah menegur.

"Aduh, Zohor? Allah" . Saya bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Kelas persediaan tengah hari dan minum petang tidak menghilangkan kerisauan  saya dan Tan akan kemungkinan dipanggil oleh ketua murid pada sebelah malam nanti. Apa yang akan terjadi. Public canning? Itu yang menguasai otak kepala saya.

Waktu makan malam, saya dan Tan duduk dimeja makan yang sama. Sebelum doa makan dibacakan, seorang pengawas menghampiri kami dan meminta kami berdua datang ke bilik pengawas sebelum menghadiri kelas persediaan malam.

Selepas solat Maghrib saya bersiap-siap untuk  ke kelas. Tan telah sedia menunggu di koridor. Dia terlalu resah dan meminta fikiran saya apakah jawapan yang patut diberikan. Saya jawab mudah saja. Minta maaf, lain kali tidak akan buat lagi.

Tapi Tan tidak yakin jawapan seperti itu mudah diterima. Sudah tentu perkara ini akan dibawa ke pihak lebih atas, kepada guru disiplin atau guru besar. Kami berdua akan dipanggil naik ke pentas dewan pada hari perhimpunan pagi pada setiap hari Isnin. Kami akan dimalukan dan dirotan dengan disaksikan oleh pelajar dan guru-guru dalam perhimpunan itu nanti.

Saya cuba tidak mahu percaya sampai ke tahap itu tindakan akan diambil. Ini adalah kesalahan kami yang pertama. Sebenarnya kami marah kepada tukang masak dan bukan pihak sekolah.

'Tak mungkin, tak mungkin dihukum seperti itu', perlahan-lahan suara itu keluar dari mulut saya. Tan memandang saya. Dia tidak berkata apa-apa.

Tan mengetuk pintu bilik pengawas. Kebenaran masuk diberi. Saya memberi salam. Telah sedia ada dua orang pengawas sedang duduk disebuah meja empat persegi. Kami di persilakan duduk berhadapan dengan mereka berdua. Tapi pengawas di dewan makan yang mengarah kami datang tidak ada.

Kami diminta memperkenalkan diri.

"Kamu, cerpenis muda. Buat kelakuan tak senonoh. Kamu fikir kamu orang kaya. Makan sedap-sedap. Apa, roti dan oats tu makanan anjing?" Pengawas yang betul-betul berhadapan dengan saya, meninggikan suara, marah sambil membuat perlian.

"Saya minta maaf. Lain kali saya tak buat", saya cepat-cepat mengaku kesilapan dalam nada merayu.

Kedua-dua orang pengawas itu semakin naik berang. Suara semakin meninggi. Tan pula senyap membisu.

"Kamu berdua ni mengada-ngada. Tak sedar diri datang dari kampong. Apa menu sarapan pagi kamu dirumah. Roti disapu majerin?" Pengawas yang sebelahnya bersuara.

Kedua-kedua saya dan Tan tunduk muka. Malu tak terkata-kata. 

"Apa menu sarapan pagi kamu dirumah?" Diulang lagi pertanyaan tentang menu sarapan kami dirumah.

"Oiii kamu cerpenis muda, apa menu kamu?" Saya mengangkat muka memandang pengawas yang mula-mula bersuara tadi.

"Minta maaf, kami bersalah. Saya berjanji tak akan buat lagi". Rayuan kali kedua saya. Kedua-dua pengawas itu ketawa. saya tidak tahu mengapa mereka ketawa mendengar rayuan saya itu.

"Saya tanya apa menu. Tak kan tak faham", ulangnya lagi.

"Sebenarnya, saya yang tulis. Bukan kawan saya ni", Tan mahu mengambil tanggungjawab. Saya memandang wajah si Tan yang semakin pucat lesi. Tan mengambil tanggungjawab, bermakna dia seorang yang akan dihukum dan saya terlepas. Saya rasa tidak adil begitu, sebab saya juga memberi ransangan diatas keberaniannya itu dengan menyatakan 'bersetuju'. Saya juga bersubahat.

"Ok, kamu berdua telah membuang masa kami berdua. Masa kamu juga terbuang. Patut sekarang ini kamu telah berada dalam kelas persediaan malam", pengawas yang berhadapan dengan saya mula melembutkan suara. "Kali ini kami tidak mahu bawa ke atas. Kamu boleh balik kelas", tambahnya.

Saya dan Tan cepat-cepat mengeluarkan kata-kata terima kasih dan pergi bersalam dengan mereka.

Sebelum melepasi pintu bilik pengawas itu, langkah kaki saya terhenti apabila saya terdengar seorang dari pengawas itu berkata, "Aiman, pagi esok nanti petikkan saya cili api dibelakang rumah. Bawa juga sebiji bawang merah. Saya nak buat ulam waktu sarapan pagi".

Tan memandang saya, "Minta maaf, aku menyusahkan kau". Kami terus melangkah menuju kelas.