Theflowersellingboy

Ahad, 30 Disember 2012

Segerakanlah Pembahagian Harta Pesaka (Tanah)

1. Urusan harta pesaka khususnya yang berkaitan dengan tanah secara amnya tidak dianggap sebagai yang amat penting dikalangan masyarakat Melayu.  Misalnya harta seorang bapa yang telah meninggal dunia tidak dibahagi-bahagikan dikalangan anak-anak atau waris bapa yang berhak.

2.  Selagi urusan pembahagian harta pesaka itu tidak dibuat, pemilik berdaftar tanah itu masih lagi atas nama bapa itu.

3. Keadaan menjadi  rumit sekiranya ada dikalangan anak-anak atau waris itu  pula meninggal dunia sebelum sempat urusan pembahagian pesaka itu dibuat. Dan jika ianya berterusan sehingga beberapa lapisan generasi, semakin bertambah rumit urusan pembahagian itu nanti.

4. Biasanya diatas tanah pesaka itu terdapat sebuah atau beberapa buah rumah adik beradik atau saudara mara. Mereka ini seolah-olah mempercayai bahawa tapak tanah rumah itu adalah hak milik mereka sedangkan pemilik berdaftar masih lagi atas nama bapa yang telah meninggal dunia.

5. Namun begitu dari segi membayar cukai tanah, tidak ramai yang mahu mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membayar cukai tanah itu. Apatah lagi jika dia/mereka tinggal ditempat lain kerana dia/mereka merasakan tidak mendapat faedah dari tanah tersebut (tidak mendirikan rumah diatas tanah tersebut). 

6. Dalam keadaan seperti 5 diatas berlakulah tunggakan cukai bertahun-tahun yang menyebabkan pihak berkuasa boleh merampas tanah tersebut.

7. Ada juga dikalangan adik beradik itu yang mahu mengambil tanggungjawab untuk membayar cukai. Biasanya adik beradik yang menduduki tanah tersebut. Dan orang yang membayar cukai ini beranggapan bahawa tanah itu adalah hak miliknya sedangkan nama pemilik berdaftar masih lagi belum bertukar.

8. Selagi tidak berlaku keadaan yang mendesak, urusan untuk pembahagian tanah pesaka ini tidak menjadi suatu hal yang penting. Keadaan-keadaan yang mendesak adalah seperti berikut:

8.1 Apabila notis merampas tanah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerana kegagalan membayar cukai.  

8.1.1 Untuk mengelakkan tanah di rampas, waris-waris akan bersetuju berkongsi membuat bayaran. Dan seterusnya membuat urusan untuk mendapat bahagian-bahagian tertentu dari harta pesaka itu. 

8.1.2 Namun jika tidak ditangani dengan baik, jika tidak ada persemuafakatan dikalangan waris, tanah itu akan dirampas kerana gagal membuat bayaran seperti yang dituntut.

8.2 Ada dikalangan waris yang mahu memajukan tanah atau melakukan sesuatu keatas tanah tersebut. 

8.2.1 Keadaan seperti ini juga boleh mengundang pergaduahan antara waris.

8.3 Apabila tanah itu terlibat dalam pengambilanbalik tanah oleh pihak berkuasa.

8.3.1 Semua waris menunjukkan minat keatas tanah pesaka itu kerana ada pampasan yang akan diterima berbeza dengan tanggungjawab untuk membayar cukai tanah tahunan. Pampasan itu hanya boleh diterima sekiranya waris itu adalah pemilik yang berdaftar keatas bahagian tanah itu. Maka bersegeralah waris-waris membuat urusan di Pejabat Pesaka Kecil atau Jabatan Amanah Raya untuk mendapatkan bahagian masing-masing.
 
8.4 Apabila ada dikalangan waris yang menyedari bahawa tanah itu masih lagi belum dibahagi-bahagikan dikalangan waris yang layak, dan ini boleh menimbulkan berbagai kerumitan pada masa depan termasuk pergaduhan sesama waris.

9. Jadi urusan harta pesaka terutamanya tanah hendaklah segera dilakukan sebaik tuan yang punya meninggal dunia. Mungkin ada pihak menyatakan bahawa cara begini tidak sopan dan tidak menghormati simati. Sebenarnya cara mempercepatkan pembahagian pesaka boleh mengelakkan berbagai kerumitan termasuk perpecahan dan pergaduhan diantara waris sehingga 'berpatah arang berkerat rotan. Dan bunuh membunuh.

10. Yang terbaik sekali ialah supaya pemilik tanah itu sendiri membuat pembahagian sebelum dianya meninggal dunia. Pembahagian cara pesaka secara am nampaknya tidak mendapat perhatian dari waris-waris sehingga melibatkan beberapa generasi.    

Sabtu, 29 Disember 2012

Karangan Pelajar Darjah Enam Atas Tajuk : Orang Miskin dan Kaya Mencari Pelajaran.

Beberapa hari lagi akan masuk tahun baru 2013, meninggalkan 2012 dengan berbagai kenangan. Masa yang berlalu, tidak akan berundur lagi. Tempuhlah masa yang dimuka.
 
Ibubapa yang mempunyai anak usia persekolahan, sedang sibuk-sibuk buat persiapan persekolahan. Membeli pakaian dan peralatan sekolah. 
 
Urusan persekolahan yang juga tidak kurang  pentingnya ialah bagaimana anak hendak ke sekolah. Jika sekolah berdekatan dengan rumah, anak-anak bolehlah pergi sendiri berjalan kaki. Jika sekolah jauh dari rumah maka berbagai cara terpaksa difikirkan. 
 
Anak-anak dikawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak  terpaksa menaikki sampan atau bot menyeberang sungai untuk ke sekolah. Ada yang meniti jambatan kayu dan ada yang meniti jambatan gantung.
 
Semuanya itu melibatkan kos. Keselamatan anak juga  mesti diambilkira.
 
Mereka yang berpendapatan kecil dan mempunyai bilangan ramai anak yang masih bersekolah sudah tentu pening kepala. Berkerut-kerut dahi mereka. Kepala sentiasa digaru. 
 
Mereka yang berpendapatan besar, yang kaya-kaya, ianya tidak menjadi masalah. Tambahan pula biasanya golongan ini mempunyai bilangan anak yang tidak ramai.
 
Tapi apa pun tahap ekonomi mereka, tidak ada mana-mana ibubapa yang sanggup merelakan anak-anak tidak mendapat pendidikan. Macam mana susah atau mewah pun , anak tetap juga dihantar ke sekolah.
 
Begitulah kehebatan hati dan semangat ibubapa. 
 
Bagi yang susah mereka tidak mudah mengalah. Mereka sanggup melakukan berbagai kerja. Mereka sanggup menjual air muka. Malah ada yang sanggup menjual maruah dan harga diri semata-mata untuk pelajaran anak-anak. 
 
Mereka yang berkemampuan dan kaya pula melihat pelajaran itu lebih jauh lagi. Mereka sediakan segala kemudahan. Masuk tadika sebelum ke kelas tahun satu, agar mereka sudah biasa dengan persekitaran. Telah kenal angka dan huruf. Sudah pandai bergaul dan berkomunikasi dengan baik. Anak mereka juga diberi kelas tambahan sama ada tuisyen di rumah atau di kelas-kelas tuisyen yang begitu banyak bercambah dibandar-bandar.
 
Ada juga mereka yang kaya ini menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah terbaik di luar negara khususnya di United Kingdom, Australia dan Amerika. Mereka juga khuatir dan bimbang keselamatan anak-anak.   

Begitulah betapa pentingnya pendidikan. Kaya dan miskin sama-sama pentingkan pendidikan.  Ibubapa sanggup berkorban apa saja.
 
Cuma mereka mempunyai peluang yang berbeza. Peluang inilah yang banyak menentukan bentuk kehidupan anak-anak mereka pada masa depan. Secara amnya  anak orang yang kaya lebih ke hadapan dan menonjol  dan mengambil tempat dalam kepimpinan negara. Lihatlah dan perhatikan sendiri.
 
Oleh itu jadikan mereka yang kaya itu sebagai sumber inspirasi. Jangan cemburu dan marah kepada mereka.
 
Maka dengan demikian mereka yang miskin mesti bekerja lebih kuat lagi untuk menjadi orang kaya. Jangan jadikan kemiskinan kita itu sebagai penghalang untuk menjadi kaya. Lebihkan usaha sendiri daripada meminta-minta. InsyaAllah kita akan berjaya jadi orang kaya. 
 
Tidak perlu kita mengerutkan dahi dan menggaru kepala bila tiba masa hendak menghantar anak ke sekolah. Tapi bukan sekarang kerana sekarang kita masih susah lagi.  Perlu kerja lebih kuat. Teruskan garu kepala sebab PTPTN masih lagi ada. 
 
 

Khamis, 27 Disember 2012

Al- Fatihah Untuk Sahabat.

Menerima sms dari seorang kawan menyampaikan berita pemergian seorang kawan satu kelas, Ghazali Mohsen mantan Setiauasaha Kerajaan Negeri Johor, menemui Allah SWT. Sesungguhnya darinya kau datang , kepadanya kau dikembalikan. Semoga roh kawan ini dicucuri rahmat. Amin.
 
Teringat semula akan hal-hal semasa bersekolah dulu. Arwah adalah seorang yang tidak banyak cakap dan suka memilih untuk duduk dibangku hadapan. Biasanya dekat dengan dinding. Memakai cermin mata yang agak tebal. Beliau lebih suka menyendiri. Tapi tidak bermakna beliau tidak sudi untuk  diajak berbual.
 
Satu hari kami pernah berdebat tentang satu isu berkaitan dengan kes yang dibicarakan di mahkamah. Masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza tentang siapakah yang akan menang. Kes ini melibatkan orang politik dan kerajaan. 
 
Waktu itu saya menyatakan pendirian bahawa orang politik itu akan menang. Kawan saya mempunyai pendapat sebaliknya. Kami berdebat berjam-jam lamanya iaitu dari pukul 2 petang sehingga 4 petang iaitu dari mula masuk kelas petang sehingga waktu tamat kelas (waktu kelas persediaan sendiri tanpa guru).
 
Berbagai hujah saya kedepankan. Dia pun sama juga. Tapi kami tidak bertaruh apa-apa. Tidak juga bergaduh, atau masam-masam muka.
 
Akhirnya apa yang dijangkakan oleh kawan saya itu menjadi kenyataan. Saya senyap tidak berkata apa-apa walaupun dalam hati ada rasa tidak puas hati.
 
Mengenang kembali cerita itu, saya merasakan jika perbicaraan kes dulu dibicarakan pada masa ini juga, ianya akan memberi keputusan yang sama bahkan mungkin lebih teruk lagi. Tidak mudah bagi orang politik yang menjadi pesaing yang kuat kepada pimpinan yang berkuasa boleh menang dalam perbicaraan.  Contohnya ada dihadapan mata.
 
Rasanya baru sahaja kami meninggalkan bangku sekolah. Baru saja meninggalkan nasi kawah. Baru saja menanggalkan baju kemeja putih dan seluar panjang putih. Baru saja mengemas katil. Baru saja berebut-rebut bilik air semasa mandi. Baru saja balik dari Jalan Forch Avenue (Sekarang jalan ?) 'bershopping' (dekat dengan Petaling Street) menaikki bas Tong Fong, dan menapak dari simpang Jalan Cheras ke sekolah. Baru saja menyusup keluar makan mee goring di kedai Pak Ali diluar pagar sekolah. Baru saja di panggil ke bilik prefect kerana membantah mutu makanan yang disediakan. Dan......
 
Begitulah sedikit kisah-kisah semasa bersekolah dulu yang menjadi nostalgia termasuk kisah 'berdebat' menentukan siapa yang bersalah dalam perbicaraan di mahkamah. Menjadi pendakwa dan peguambela yang tidak bertauliah. Akhirnya pendakwa yang menang. Padan muka saya pada waktu itu. 
 
Berdebat inilah   saja kenangan yang saya boleh ingat diantara saya dan arwah Ghazali Mohsen.
 
Alfatihah untuk sahabat saya itu.