Theflowersellingboy

Rabu, 5 September 2012

KELAKU YANG TIDAK SENONOH

Kelaku itu sama ertinya dengan perangai, yang juga boleh mengambil tempat sebagai tabiat atau pun bermaksud kelakuan. Jadi tajuk paparan: Kelaku Yang Tidak Senonoh membawa maksud perangai atau tabiat atau  kelakuan yang tidak senonoh. Tidak senonoh ini maksudnya tidak baik, yang jijik lagi menjijikkan, perbuatan orang bodoh dan jahil; perbuatan orang yang tidak bermoral; perbuatan tidak beradab dan sopan; dan segala perilaku, hasrat yang terzahir dan tersirat dibawah pengaruh dan hasutan syaitan iblis.

Pendek kata Kelaku Yang Tidak Senonoh adalah perbuatan yang mendapat sanjungan dari syaitan dan iblis. 

Sesungguhnya apa yang telah berlaku baru-baru ini bukanlah satu perkara baru. Dan tidak juga berlaku sesekali atau sesuatu yang boleh dikatakan yang terpencil. Kelaku ini telah menjadi satu budaya, satu institusi yang telah diterima, disokong dan diguna pakai untuk kepentingan diri, puak atau pun kelompok. Dan ianya juga sesuatu yang dibenci, tidak disukai dan dianggap biadap tidak sopan jika mengena atau dikenakan pada diri, puak atau kelompok. 

Sesungguhnya kelaku yang tidak senonoh ini telah lama mendasar dalam masyarakat kita. 

Hanya sanya ia semakin mengukuh, menjadi terlalu jijik dan kotor demi perjalanan masa kerana mereka bertuhankan politik, untuk berkuasa atau merebut kuasa menguasai negara.

Baiklah. Apa yang saya maksudkan kelaku yang tidak senonoh itu?
Terlalu banyak. 

Cuma baru-baru ini dimasyhurkan peristiwa sebahagian manusia yang memijak gambar PM dan isteri. Jelas manusia (manusia ke?) itu tidak tahu menjaga kehormatan diri. Tidak tahu harga dan nilai diri seorang manusia. Memijak gambar pemimpin atau yang bukan pemimpin sama juga memijak gambar sendiri. Kerana pemimpin itu adalah juga manusia. Melainkan yang memijak itu mengaku bahawa dianya bukan manusia.

Apa pun alasan yang diberikan , memijak gambar PM dan isteri itu masih saya katakan kelaku yang tidak senonoh. Ertinya mereka itu melakukan atau berperilaku jijik lagi menjijikkan, tidak bermoral, bodoh dan jahil yang bertindak dibawah naungan syaitan dan iblis.

Alhamdulillah pihak berkuasa telah berjaya mengesan pelaku ini. Mereka wajar disiasat dan jika kelaku itu menyalahi undang-undang yang ada, mereka wajar didakwa. Namun bagi saya mereka tetap saya anggap tidak punya rasa kemanusiaan.

Sama juga dengan kelaku mengganggu takzirah yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang di sebuah masjid di Alor Setar, Kedah. Kelaku seperti ini adalah juga tergolong dalam perbuatan atau perangai syaitan dan iblis.

Sama seperti memijak gambar PM,  saya mengulangi lagi bahawa apa pun alasan yang diberikan, mengganggu takzirah itu adalah kelaku yang tidak senonoh.

Apa yang tidak sama ialah bahawa kelaku memijak gambar PM dan isteri mendapat pemasyhuran yang meluas dan berpanjangan sehingga ke saat ini. Banyak pandangan dan ulasan telah dipertonjolkan yang mengutuk kelaku seperti itu.

Tapi kelaku mengganggau takzirah di masjid oleh ketua pembangkang tidak pula ada liputan. Mereka yang mengutuk kelaku pijak gambar PM tidak pula marah dengan kelaku gangguan dimasjid. 

Dua-dua kelaku yang ditunjukkan tergolong dalam perbuatan tidak senonoh.  Tapi mengapa hanya satu saja yang dipertonjolkan ? Maksud saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memijak gambar PM tapi senyap dengan kelaku mengganggu takzirah dimasjid.

Bagaimana dengan orang yang membuat gangguan itu. Sudah ke di kesan dan disiasat untuk tujuan pendakwaan jika mereka itu juga melanggar undang-undang negara.

Jadi saya tidak hairan mengapa berlakunya peristiwa memijak gambar PM dan isteri walaupun saya tidak bersetuju dengan kelaku seperti itu. 

Untuk kita dihormati kita wajar tahu dan menghormati orang lain kerana kita adalah insan dan mereka juga pun insan, sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Tak usahlah kita suka mengamalkan kelaku atau budaya  hina menghina, memfitnah dan malu-memalukan sesama kita.

 


  

 

Khamis, 30 Ogos 2012

Sambutan Hari Merdeka Malaysia Yang 'Tidak Biasa'

Pada tahun ini ada sesuatu yang tidak biasa dilakukan oleh mana-mana negara dalam menyambut hari kemerdekaan, tetapi Malaysia melakukannya. Dan inilah kali pertama dalam sejarah menyambut hari kemerdekaan negara dibuat secara tidak biasa.

Apa yang tidak biasa itu? 

Saya percaya ramai orang sudah maklum dan tahu. Namun molek juga saya mencoretkan sedikit di laman blog kecil ini kerana ianya sesuatu yang tidak biasa. Saya tidak bermaksud ianya sesuatu yang luar biasa kerana 'luar biasa' itu kadang-kadang bersifat positif, lebih baik dan istimewa. Tapi 'tidak biasa' ini membawa maksud yang bersifat anih, ganjil, keliru, tidak tertib, tergelincir dari norma-norma yang diterima ramai.

Apakah sebab atau rasional kita menyambut hari kemerdekaan secara tidak biasa itu, saya tidak dapat pastikan dengan tepat. Hanya sanya telinga saya seperti terngiang-ngiang  ada pihak-pihak yang berhujah bahawa kita melakukannya atas sifat kita yang selalu melaung-laungkan 'Malaysia Boleh'. Negara lain tidak boleh, sebab kita serba boleh. Langgar saja. Sebab itulah acuan kita sendiri . Jangan ikut acuan negara lain.

Begitulah agaknya yang memberi kekuatan kita untuk menjadi tidak biasa.

Dalam sebuah negara yang merdeka, yang berbangga dengan rakyat yang hidup bersatu padu sehingga kita menjadikan  1 Malaysia sebagai simbul penyatuan rakyat, kita merayakan hari kemerdekaan itu dengan cara yang paling anih dan berpecah. Kita merayakan hari kemerdekaan bukan berteraskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Maksudnya semangat merayakan hari merdeka itu tidak dibawa atau tidak ada dalam  tema atau slogan perayaan itu  sendiri. Temanya adalah bersifat persaingan dan bukan penyatuan yang mahu menonjolkan satu pihak itu lebih baik dari pihak yang lagi satu. Hanya pihak ini saja yang menepati janji. Hanya  Kerajaan dibawah Parti Barisan Nasional saja yang menepati janji kerana tema hari merdeka tahun ini adalah 'Janji Ditepati'. 

Janji bukanlah satu matlamat sesebuah negara. Janji adalah satu kaedah menyatakan iltizam dan kesungguhan dalam menyampai atau menyempurnakan keperluan dan kehendak  pihak yang memerlukannya agar mereka bersimpati dan menyokong pihak yang berjanji itu . Dan janji itu tidak boleh lari dari melakukan rayuan dan pujukan dengan berbagai cara agar keyakinan atas janji yang dibuat itu lebih kuat. Dan mereka yang berjanji itu akan berhadapan dengan persoalan 'menepati janji' atau mungkir janji'.

Dalam sebuah sistem demokrasi, untuk menguasai dan menguruskan khazanah negara, parti-parti politik yang bersaing akan membuat berbagai-bagai janji kepada rakyat agar rakyat memilih parti berkenaan . Parti-parti yang bersaing bagi memenangi hati rakyat itu akan membuat berbagai-bagai janji semata-mata demi rakyat. Sama ada janji-janji itu disempurnakan dan memberi kebaikan kepada rakyat adalah menjadi bahan-bahan hujahan diantara parti-parti itu untuk dinilai oleh rakyat. Disinilah munculnya janji ditepati atau dimungkiri. 

Oleh itu tema 'janji ditepati ' ini adalah sesuai dan terpakai dalam persaingan politik dan tidak boleh menjadi tema yang boleh menyemarakkan semangat rakyat sebagai satu kesatuan yang kental kesetiaannya kepada negara. 

Malang sekali tema ini masih lagi mahu diteruskan. Itulah perkara yang tidak biasa dilakukan di negara-negara lain didunia yang menyambut hari kemerdekaan. Sesungguhnya sambutan hari merdeka tahun ini adalah sesuatu yang tercatat dalam sejarah negara sebagai sambutan 'tidak biasa', sudah tergelincir dik ketaksuban kepentingan politik. 'Tidak Biasa' yang membawa bersama sifat-sifat seperti yang telah dinyatakan diatas.
  

Isnin, 27 Ogos 2012

Beraya dengan Emak Yang Sudah Ingat-ingat Lupa.

Abah telah lama meninggal. Waktu itu usianya 73 tahun. Emak ketika ini berusia 81 tahun. Kalau abah masih ada, abah akan menyambut hari raya pada usia 87 tahun. Macam mana agaknya abah menyambut hari raya pada usia yang lanjut itu?  Yang pasti itu tidak mungkin lagi kerana abah telah mendahului kami semua. Hanya doa dari kami semua: dari emak,isterinya, anak-anak, cucu-cucu dan cicit semoga roh abah dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai Allah SWT. Amin.

Tapi emak sempat menyambut hari raya pada usia 81 tahun. Beraya bersama anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit. Tiga generasi. 

Hari Raya yang baru lalu ini ramai anak cucu cicit datang beraya bersama emak. Penuh rumah di buatnya. Hiruk pikuk tapi penuh keriangan. Emak kelihatan gembira. Tapi daya ingatannya sudah semakin merosot. Ada masa dia kenal anak-anak dan cucu-cucunya. Ada masa dia bertanya siapa gerangan kami berulang kali. Walaupun telah diberitahu banyak kali dia sentiasa mengulang tanya soalan yang sama. 

Melihatkan keadaan emak seperti itu saya teringat akan satu iklan dalam tv suatu masa dulu. Iklan yang memaparkan seorang datuk dan seorang cucu. Sicucu berulang kali tanya datuknya akan seekor burung, "Burung apa itu". Si datuk dengan sabar menjawab memberitahu bahawa burung itu adalah burung murai. Si cucu bertanya dan bertanya. Si datuk memberikan jawapan yang sama tanpa jemu-jemu malah meletakkan cucunya dengan penuh kasih sayang diatas lehernya lalu dibawa berjalan menuju ke sangkar burung itu. "Murai" , ulang datuk itu tanpa merengus dan jemu.

Emak juga seperti cucu dalam iklan itu. Sentiasa mengulang soalan yang sama. Cuma bezanya, ada diantara yang kena tanya merasa jemu dan bosan lantas tidak mahu lagi menjawab soalan emak yang yang sama itu. Ada yang menjauhkan diri , mengelak dari ditanya lagi. Mereka sudah jemu agaknya dengan soalan dari emak. Begitulah bezanya. 

Selain dari bertanya dan bercakap perkara yang sama berulang kali, emak juga  sentiasa memohon maaf jika dia tidak kenal orang yang ditemuinya kerana matanya kurang nampak. Dia beritahu kakinya sakit dan tidak dapat berjalan dengan baik. Sebab itu tidak dapat berjalan raya ke rumah orang. Lalu memohon maaf kerana tidak dapat mengunjungi rumah mereka. 

Keadaan emak yang sentiasa mengulang tanya perkara yang sama membuatkan yang hadir terutama cucu cicitnya ketawa. Apatah lagi apabila ada diantara anak-anaknya yang telah tidak dikenalinya. "Kau anak sapa?" Emak bertanya anak sulungnya. Yang hadir dan yang mendengar pertanyaan seperti itu mula ketawa sambil ada yang menepuk bahu emak. "Ini Hasan, anak emak", kata menantunya , isteri si Hasan. Yang ketawa terus ketawa.

Begitulah emak pada hari raya kali ini. Banyak yang lupa dari yang dia ingat. Saya pun tidak dikenalinya. Tapi sesekali dia kenal juga. Bila saya memeluknya  matanya mula berair. Emak menangis sambil berkata "Dah lama kau tak datang rumah", walaupun sebenarnya saya selalu mengunjunginya. 

Berbeza dengan kakak emak yang telah berusia 87 tahun yang tinggal seorang diri dirumah di seberang jalan . Ingatannya lebih baik. Cuma pendengarannya agak merosot yang membuatkan kita terpaksa bercakap kuat seperti orang menengking-nengking. Kalau tidak dia tidak tahu biji butir yang kita cakapkan. 

Semasa emak masih mempunyai ingatan yang agak baik juga saya pernah bertanya mengapa emak tidak sesihat Maklang (kakak emak). Emak jawab mudah saja. "Dia ada 5 orang anak. Aku ada 14 orang anak. Banyak urat-urat yang telah putus." Mendengar jawapan emak itu saya merasa insaf akan kepayahan yang telah dialami oleh emak terutama semasa mengandung kami yang 14 kesemuanya. Sembilan dari kami adalah lelaki. Dari 14, 2 telah meninggal semasa kecil. 

Walaupun kami dari kalangan yang hidup agak daif tapi kami dibesarkannya dengan penuh kasih sayang. 

Semua kami yang lelaki adalah anak-anak yang nakal dan selalu menyusahkan emak. Macam-macam kerenah dan perangai yang boleh menyusahkan emak telah kami lakukan. Tidak takut dengan gertakan dan marahan emak. Semua dapat kami uruskan. Emak tidak boleh buat apa-apa kerana kami cepat cabut lari jika emak cuba menangkap kami.  Kami hanya berani lakukan atau berperangai degil itu hanya untuk emak saja. Kalau abah ada semuanya menikus. Angkat muka jauh sekali. Pandang muka abah pun takut. Abah seorang yang garang. Tapi bekerja kuat mencari nafkah untuk kami semua.

Itulah yang terpaksa dilalui oleh emak semasa membesarkan kami sehinggalah kami semua faham akan tanggungjawab sebagai seorang anak apabila usia semakin meningkat, memasuki usia   15 tahun keatas.  Tapi emak lalui dengan penuh kesabaran. Mungkin inilah yang menyebabkan banyak urat-uratnya yang putus.

Bercakap tentang urat yang putus ini , saya teringat akan keluhan emak untuk  memulihkan pandangan matanya. Maka saya pun bawa emak menemui doktor pakar mata di hospital kerajaan. Doktor mencadangkan supaya emak menjalani pembedahan mata sebelah kanan. Setelah dibuat pembedahan, penglihatannya tidaklah meningkat baik seperti yang diharapkan. Maka emak minta supaya dibedahmata sebelah kiri. Tapi setelah dibuat pemeriksaan doktor mengatakan mata sebelah kiri tidak akan dapat dipulihkan  kerana ada urat yang telah putus.

Siapa yang putuskan? Sudah tentu akibat dari melahirkan anak-anaknya. Mungkin juga disebabkan kerenah kami anak-anaknya terutama yang lelaki.

Saya bertambah insaf. Bahawa pengorbanan emak tidak dapat dinilai.

Jadi mengapa perlu jemu dan rasa kurang sabar apabila emak bertanya berulang kali soalan bagi perkara yang sama? 

Cucu cicit sekalian ketahuilah kamu bahawa tanpa nenek dan nyang yang kamu semua ketawa dan jemu ini, kamu tidak akan lahir. Sayanglah nenek dan nyang kamu ini kerana banyak uratnya yang telah putus kerana melahirkan emak dan bapa kamu. Apatah lagi melayan kerenah emak bapa kamu ini.

"Maaf zahir batin emak. Dan maafkan juga anak-anak dan cucu cicit emak itu", permohonan maaf dari kami semua.

Emak pernah berkata, "  Setiap hari emak sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahgiaan kau semua".

Maknanya emak memafkan kesalahan kami semua. Begitulah hati seorang emak.