Theflowersellingboy

Rabu, 13 Jun 2012

BERSIH 3.0: Satu Perhimpunan Yang Tidak Perlu Di Pandang Berat dan Tidak Juga di Fatwakan Haram. Yang Berat ialah Bila Rakyat Tak Suka.

Dalam persidangan parlimen semalam, dua jawapan dari kerajaan yang menarik perhatian saya. Pertama jawapan bagi soalan yang di kemukakan oleh ahli parlimen Ipoh Timur, YB Lim kit Siang yang bertanya PM tentang kenyataan kerajaan bahawa 'Perhimpunan Bersih 3.0 bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sedangkan mereka yang berhimpun hanya membawa garam dan botol air mineral (botol yang berisi air untuk di minum). 

Makna soalan itu adalah tidak logik, tidak masuk akal, tidak munasabah, tidak rasional mereka yang berhimpun itu berniat atau mampu menggulingkan kerajaan dengan hanya membawa dua barang yang terlalu penting dalam menghadapi situasi kemungkinan serangan/tembakan ges pemedih mata dari pihak polis yang bersenjata lengkap. 

Jika kerajaan percaya dengan kata-kata atau kenyataan itu maka kerajaan tidak rasionallah. Tidak rasional sama juga tidak berfikiran munasabah. Sama juga tidak logik. Sama juga tidak masuk akal. Sama juga dengan mereka yang tidak menggunakan akal. Dan sama juga kenyataan itu dari mereka yang tidak berakal. 

Saya percaya kerajaan atau menteri yang ada ketika ini mempunyai akal, yang mampu berfikiran munasabah, yang menggunakan logik dan yang mempunyai akal untuk berfikir secara rasional.
Tetapi mengapa pula perhimpunan Bersih 3.0 yang ahli perhimpunan itu tidak membawa senjata dan sebaliknya hanya berbekal garam dan berbotolkan air mineral dikatakan mahu menggulingkan kerajaan. Ada kemampuan ke? Ada berani ke? Ada ilmu kebal ke? 

Bila berhadapan dengan polis yang lengkap bersenjata mereka mampu mara kedepan dan merampas senjata polis. Bila polis tembak ges, air berkimia dengan gagah berani mereka tetap ke hadapan mengerumuni polis. Bila kena ges pemedih mata,  mata mereka tidak berasa pedih, air mata tidak meleleh dan tekak tidak kering.  Bila dihambat, dikejar dan diburu kemudian ada yang kena tangkap dan dihumban dalam van dan lokap mereka tidak lari. Kalau lari dan terjatuh pun mereka tidak luka cedera. Dan kalau mereka ditendang, diterajang, disepak, dibelangkong waemah jika ditembak dengan peluru hidup mereka tidak akan cedera luka jauh sekali mati terbontang. Sebab mereka kebal tak lot dik peluru. 

Hebat sungguh peserta Bersih 3.0. Sebab itu kerajaan takut. Sebab itu polis mesti bertindak menyahhalau mereka dari Dataran Merdeka.

Adakah menteri atau kerajaan berfikir begitu. Maksud saya peserta bersih itu dari manusia yang kebal?

Jawapan saya sama sifatnya seperti diatas bahawa kerajaan ada fikiran dan berfikir secara rasional serta logik. Ertinya kerajaan tahu bahawa peserta Bersih 3.0 itu tidak mampu mengalahkan pasukan polis yang bersenjata itu. Peserta itu bukanlah berani sangat dan mampu bertahan jika diserang oleh polis. Peserta itu akan lari lintang pukang apabila polis menembak ges pemedih mata dan air berkimia. Peserta itu takut kena tangkap. Peserta itu kalau kena hentam, belangkong, pukul, tendang , terajang, sepak dan herdik akan meninggalkan kesan pada fizikal dan mental. Kalau kena pukul dimata, mata akan lebam dan boleh juga keluar darah. Kalau kena herdik dan tengking, mental jadi takut dan trauma.

Sesungguhnya kerajaan atau menteri-menteri kerajaan termasuk juga polis boleh berfikir secara betul dan rasional. Mereka tidak akan dapat menunjukkan bukti bahawa peserta Bersih 3.0 yang dipukul oleh polis tidak menunjukkan kesan pukulan/terajang/sepakan/hentakan/herdikan, misalnya dalam bentuk cedera luka, keluar darah, bengkak dan benjol serta trauma ketakutan.

Jadi memang benarlah apa yang dikatakan oleh Menteri Nazri Aziz seperti yang dipetik dari sebuah berita dalam jawapannya di parlimen antara lain beliau berkata "Dengan botol pun kalau rakyat tak suka, kerajaan boleh jatuh. Sebab itu jangan pandang rengan".


Ya, betul kata menteri itu. Mesti pandang berat. Sebab katanya kalau rakyat tak suka kerajaan, kerajaan boleh jatuh. Tepat sekali jawapan menteri itu. Sebab itu saya katakan menteri kerajaan berakal, punya akal dan berfikiran rasional. Bahawa kerajaan menyedarai rakyat telah tidak suka kepada kerajaan. Jangan tidak ambil pusing akibatnya parah sekali, kerajaan boleh jatuh.


Ada mana-mana pihak mahu berhujah mengatakan tidak logik alasan menteri itu bahawa kerajaan akan jatuh jika rakyat tidak suka? Atau mengatakan menteri itu bercakap bohong? Tidak berdasarkan logik? Ada yang berani dan mahu berhujah? 

Kalau ada orang macam ini, orang itu  tidak ada akal. Tapi tidak mungkin begitu sebab manusia adalah makhluk Allah yang terbaik yang diberi akal. Jadi orang seperti ini  ada akal tapi suka mengakal. Suka mengakal ini maknanya salah gunakan akal yang dikurniakan oleh Allah lah. Ertinya yang putih dikatakan hitam dan hitam pula dikatakan putih. Paling mudah suka menipu, berbohong dan yang sekerabat dengannya.

Jadi jawapan menteri itu mengesahkan bahawa peserta himpunan Bersih 3.0 itu tidak mampu menjatuhkan kerajaan. Yang mampu menjatuhkan kerajaan ialah rakyat yang bencikan kerajaan. Cuma menteri itu gunakan perkataan 'tak suka' menggantikan perkataan 'benci'. Beliau nampaknya memilih perkataan yang 'lembut' (polite) sesuai dengan pembawaan beliau kot.


Sebab itu kerajaan mesti beri pandangan yang berat. Tetapi Kerajaan menterjemahkan pandangan yang berat itu dengan merujuk kepada peserta perhimpunan dan bukan kepada kebencian rakyat Malaysia seperti yang diakui oleh menteri itu. Oleh kerana salah rujukan maka yang menjadi mangsa ialah peserta Bersih 3.0 yang berhimpun secara aman. Maka kerajaan menggunakan pendekatan menyahhalaukan peserta perhimpunan secara kasar, dan ada yang kata zalim. Ini lah sebenarnya yang berlaku. Kerajaan takut kepada kebencian rakyat. Bila rakyat sudah 'tak suka' (kata menteri), kerajaan akan ditimpa celaka, akan jatuh (kata saya).

Itulah sebenarnya hakikat perhimpunan Bersih 3.0 iaitu satu perhimpunan yang aman bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Kerajaan juga sama ada secara sedar atau tidak sedar mengesahkan melalui jawapan menteri Nazri bahawa yang perlu dipandang berat, yang perlu ditakuti ialah kebencian rakyat kepada kerajaan. Dan kerajaan tahu, rakyat sudah naik mual dan bencikan kerajaan. Benci kerajaan akan menyemarakkan cita-cita dan azam rakyat untuk diterjemahkan dalam undian pilihanraya yang akan datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kerajaan yang telah berkuasa lebih dari 50 tahun, tapi banyaaaaakkkk buat susah kepada rakyat. Itulah sebenarnya yang ditakuti kerajaan. Maka peserta Bersih 3.0 jadilah mangsa. Tapi tidak mengapa. Mana ada satu perjuangan yang tidak makan korban?


Jawapan kedua yang menarik perhatian saya ialah tentang fatwa berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0. Sebelum ini semua media dibawah kawalan kerajaan mengatakan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengatakan perhimpunan Bersih 3.0 itu haram. Bukan saja fatwa disebarkan bahkan diadakan perbincangan dan forum oleh orang-orang yang dikatakan berilmu yang kesemuanya menyokong fatwa itu. Nah pada persidangan parlimen ini, kerajaan melalui seorang timbalan menteri wanita pun berkatalah bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mengeluarkan fatwa, cuma nasihat saja.


Macam mana ni? Siapa yang cakap benar? Atau boleh kah dulu cakap fatwa dan hari ini cakap nasihat? Pihak lain atau orang lain misalnya Perdana Menteri tidak boleh keluar nasihat ke? Orang tak percaya ke cakap PM? Kita hanya boleh percaya nasihat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan saja ke ? Kalau macam ni susahlah. Bila ada sesuatu isu timbul maka terpaksalah Jawatankuasa Fatwa bersidang membincangkan isu tersebut dan keluarkan nasihat. Bukan fatwa. Jawatankuasa itu bertukar fungsi jadi penasihat.

Jadi pada hari ini jelaslah bahawa akal yang dianugerahkan Allah itu terlalu amat penting. Sebab itu dalam al-Quran Allah selalu meminta kita sentiasa berfikir. Gunakan otak secara yang terbaik untuk tujuan yang baik. Macam saya kata diatas tadi jangan gunakan akal untuk mengakal. Akibatnya selain dari dosa, rakyat hilang percaya. Bila rakyat hilang percaya, rasa benci atau tak suka kepada kerajaan akan meluap-luap seperti gunung berapi mengeluarkan bahang mengorbankan siapa saja yang dirempuh. Cuma rakyat tidaklah bertindak seperti gunung berapi. Rakyat bertindak melalui peti undi melepaskan luapan benci mereka kepada kerajaan.

Peserta Bersih 3.0 anda didapati tidak bersalah. Bukan perhimpunan anda yang perlu dipandang berat tetapi kebencian rakyat kepada kerajaanlah yang menjadi kerisauan. Dan perhimpunan anda juga disahkan tidak difatwakan sebagai haram. Anda cuma diberi nasihat. 


Mengawal Kolesterol, Gula dan Sakit Betis

130612, seperti biasa, selepas solat Subuh , pukul 6.20 pagi saya dan isteri bersiap sedia untuk melakukan senaman pagi dengan berjalan cepat mengelilingi kawasan kolam renang. 
 
Dari tingkat 12 kondo kediaman, kami turun kebawah menaikki lif menuju ke kawasan kolam renang. Isteri memulakan senaman dengan memanaskan badan dahulu sebelum membuat langkahan cepat mengelilingi kawasan kolam renang. Sebaliknya saya tidak berbuat demikian tapi terus membuat langkahan cepat mengelilingi kawasan kolam renang itu.

Berjalan secara cepat mengelilingi kawasan kolam renang,  saya perlu melakukan sebanyak 233 langkahan bagi setiap pusingan. Jarak setiap langkahan hampir 2 kaki. Bagi 7 pusingan pertama, langkahan saya diiringi dengan sebutan Subhanallah; 7 pusingan kedua dengan lafaz Alhamdulillah dan seterusnya 7 pusingan terakhir Allah Akbar. Jadi jumlah berjalan cepat saya itu adalah sebanyak 21 pusingan . Masa yang diambil bagi satu pusingan kurang lebih hampir 2 minit. Bagi 21 pusingan saya mengambil masa diantara 40 minit dan 41 minit bergantung kepada kelajuan . Biasanya saya mula berjalan perlahan pada awal pusingan khususnya pusingan pertama, dan ianya semakin cepat bagi pusingan-pusingan seterusnya.

Saya membuat pusingan bagi kawasan yang lebih besar dan isteri melakukan kawasan yang agak kecil sesuai dengan kemampuan tenaga masing-masing.

Walaupun senaman berjalan kaki ini adalah merupakan rutin harian pagi, tapi pada hari ini  betis kedua-dua kaki, kiri dan kanan terasa sakit setiap kali langkahan dibuat. Maka ada juga terdetik  dalam perasaan hati sanubari, saya perlu berhenti dan berehat pada hari ini. Tetapi otak saya berkata jika saya berhenti dan berehat maka proses pembakaran tenaga bagi mengeluarkan peluh tidak akan berlaku. Kata orang pembakaran tenaga yang menghasilkan peluh itu adalah baik untuk kesihatan. Peluh yang menjijir itu membawa sama toksid.

Itu kata orang. Saya tidak pasti dari segi kebenaran saintifik. Tetapi itulah yang selalu dipesan oleh doktor dan pengamal-pengamal kesihatan yang lain agar kita sentiasa melakukan senaman disamping mengamalkan makanan yang seimbang.

Maka atas keyakinan itu saya meneruskan langkahan. Otak saya telah berjaya mengalahkan perasaan yang mahu berhenti berjalan dan berehat pada hari ini.

Saya perlu sihat. Saya perlu mengawal tahap kolesterol dari meningkat. Bacaan tahap kolesterol saya menurut rekod catatan setahun yang lepas adalah terkawal pada bacaan 3.8. Terkawal kerana saya mengambil ubat sebiji satu hari disebelah malam. Pesan doktor bahawa disamping makan ubat, saya juga perlu melakukan senaman dan menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak. Dihadapan doktor saya mengangguk seperti orang taat akan pesanan itu. 
 
Tetapi sebenarnya saya agak lama juga tidak melakukan senaman pagi ini. Hanya baru memulakan pada bulan lepas saja. 
 
Saya juga melanggar pantang dengan makan apa saja yang saya mahu sama ada berminyak atau tidak. Makan banyak pula. Saya selalu menggunakan alasan, 'sesekali apa salahnya'. Malangnya 'sesekali itu', sentiasa disebut bila mana saya berhadapan dengan makanan yang dipantangkan terutamanya makanan yang dihidangkan dimajlis kenduri kahwin. Makan nasi minyak, bukan main menyelerakan sehingga lupa bahawa saya adalah pesakit jantung dan darah tinggi.

Bacaan tahap gula dalam darah pun telah meningkat. Bacaan terakhir pada 3 minggu yang lepas ialah 10.9. Tapi ketika darah diambil saya tidak berpuasa pada sebelah malamnya. Jadi jika berpuasa mungkin rendah sedikit dari 10.9. Setahun yang lepas bacaan gula saya ialah 6.5. Kata doktor ok.
 
Tekanan darah tinggi saya terkawal kerana saya mengambil ubat, dua biji satu hari pada sukatan18mg.  Dan saya juga memantau tekanan darah tinggi ini dengan sentiasa mengambil bacaan menggunakan mesin/alat mengukur tekanan darah yang saya beli. Bacaan terendah yang pernah dicatatkan ialah 130/70 dan yang tertinggi 150/80.  Maknanya tekanan darah terkawal.

Bacaan gula amat merisaukan, 10.9. Kolesterol belum tahu. Cuma rekod setahun lepas ianya ok. Darah tinggi adalah terkawal seperti yang diberitahu oleh alat pembaca tekanan. Dan saya yakin. Ia tidak merisaukan.
 
Gula nampaknya ada masalah. 
 
Isteri telah membeli alat untuk membaca tahap gula dalam darah. Tahap gulanya dikawal melalui pengambilan ubat. Tapi tiga minggu yang lepas bacaan gula semasa berpuasa telah meningkat kepada 9.9. Maka doktor menambah dos lagi bagi menurunkan tahap gula itu. Isteri mengambil dos tambahan itu. Kepalanya menjadi terlalu sakit. Tidak mampu bangun dengan cepat, pening kepala rasa nak rebah. Dia memutuskan untuk tidak mengambil dos tambahan itu. Dia percaya keputusannya itu lebih baik dari tambahan dos yang dibuat oleh doktor. 
 
Sebenarnya isteri tidak bersetuju dengan dos tambahan itu. Tapi doktor buat keputusan menambah dos, dia terima saja. Bila ambil dos tambahan, sakit kepala yang amat sangat. 
 
'Badan sendiri, sendiri tahulah. Kalau makan ubat, tambah lagi sakit apa gunanya. Doktor main tambah ubat saja. Bukan dia yang  sakit'. Itulah antara ayat-ayat yang dileterkannya bagi menolak mengambil dos tambahan.
 
Apa pilihan lain yang ada selain makan dos tambahan?
 
Maka kami telah sepakat untuk mencari jalan lain bagi mengatasi masalah kesihatan ini. Ya, kami perlu memulakan senaman yang telah kami tinggalkan hampir setahun, bersamaan usia cucu kami Ahmad Naqib. Kami berhenti melakukan senaman apabila anak perempuan kami telah memasuki hari-hari untuk melahirkan anaknya. Dan seterusnya sehinggalah bulan lepas barulah kami memulakan senaman pagi semula.
 
Dan kami juga perlu menjaga makanan.

Untuk tujuan memantau bacaan tahap gula, isteri telah membeli satu alat/mesin.

Isteri telah mula mengambil minuman air buah peria hijau tiga kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari dan malam. Air peria ini dibuat sendiri dengan mengisar dua tiga biji peria. Rasanya pahit. Tapi saya dan isteri sudah biasa dengan rasa pahit peria. Tidak ada masalah untuk meminum air peria itu.

Dengan melakukan senaman pagi, mengawal makanan dan meminum air peria, isteri mahu melihat kesannya terhadap bacaan gulanya. Dia meminta anak (seorang doktor perubatan) untuk mencucuk satu dari jarinya untuk mengambil sedikit darah untuk dibaca oleh mesin yang telah dibeli itu. Dia terlalu gembira bacaan gula telah turun kepada 7.8. Isteri bertambah yakin bahawa dengan senaman, dengan mengawal makanan, dan dengan meminum air peria, bacaan gulanya boleh turun. Maka katanya keputusan untuk tidak terus mengambil dos tambahan seperti yang ditentukan oleh doktor itu adalah tepat dan betul sekali.

Saya pula bagaimana? Saya tidak mahu jari dicucuk untuk mengambil darah bagi tujuan bacaan tahap gula. Sebab? Saya terlalu ngeri jika ia dilakukan oleh anak sendiri. Itulah imiginasi saya. Doktor lain, tidak mengapa kerana terpaksa. 

Pada 200612 saya ada temujanji dengan doktor di IJN. Genap setahun barulah pertemuan dengan doktor dibuat untuk memantau kesihatan saya, khususnya jantung saya. Ulangan temu janji tempoh setahun ini terpaksa dibuat kerana orang yang mengidap sakit jantung terlalu ramai. Doktor tidak cukup. Itulah yang dimaklumkan kepada saya. 
 
(Saya telah menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2006. Terdapat 4 saluran darah yang tersumbat. Semuanya telah diganti dengan yang baru).
 
Jadi pada hari ini saya terus menjalani senaman pagi walaupun betis terasa sakit. Saya mengharapkan senaman ini boleh membantu mengurangkan kolesterol dan gula saya. Ini amat penting kerana 200612 saya akan diberitahu oleh doktor akan tahap gula dan kolesterol saya. Saya mengharapkan yang terbaik. Saya tidak mahu doktor menambahkan dos atau mencadang sesuatu yang saya tidak sanggup hadapi, misalnya menjalani pembedahan sekali lagi. Tidak, saya tidak mahu melaluinya lagi, dengan izin Allah. Pembedahan tidaklah sakit sebab saya dikhayalkan dengan ubat. Nyenyak tidur selama 6 jam, bermimpi yang seronok-seronok pula. Ada rumah besar dan jadi orang kaya.

Tapi antara mimpi yang seronok dengan pembedahan lagi sekali, saya pilih supaya tidak dibedah dan rela melepaskan peluang untuk bermimpi yang seronok.
 
Sakit betis, sakitlah. Senaman mesti diteruskan. 
 
Saya telah berjaya mengalahkan perasaan lembik yang mengacum supaya berhenti melakukan senaman, untuk hari ini saja. Kepala otak saya yang berfikir mahukan badan sihat telah berjaya mengalahkan perasaan yang lembik longlai itu.

Tapi benarkah begitu? Bukankah kerana saya hendak jumpa doktor pada 200612 yang membuatkan saya ada kekuatan melakukan senaman? Kalau kerana itu, nampak gayanya saya jaga kesihatan  demi doktor . Bukan untuk diri sendiri.  Satu sikap yang tidak baik. 

'Kenapa untuk doktor sedangkan yang sakit diri sendiri, bukan doktor'. 

'Jadi kalau doktor tambah dos dan cadangkan pembedahan sekali lagi, salah sayalah'.

'Itupun sudah baik. Tapi kalau doktor buat tak tahu, macam mana? Cepatlah jalan. Tapi ajal ditentukan Allah'.

Semua bisikan-bisikan di hati kecil itu tidak penting. Yang penting kaki saya berjaya digerakkan melangkah sehingga 4,893  langkah. Setelah 'cooling down', kami naik keatas. Saya terus mendekati mesin urut untuk mengurut betis yang sakit itu.

Jadi betis diharapkan tidak sakit lagi. Kolestterol akan terkawal. Gula akan menurun ketahap yang sihat. Esok saya akan teruskan senaman pagi. Betis tak sakit lagi setelah diurut oleh mesin. Harap-harap begitulah.


  
 
 
 

Ahad, 10 Jun 2012

Penyubur Jiwa: Zakat

Tajuk paparan, Penyubur Jiwa : Zakat, adalah inti pati yang dapat saya simpulkan semasa mendengar khutbah Jumaat disebuah masjid ( surau dinaikkan taraf sebagai masjid) di Precint 11, Putra Jaya pada 080612 yang baru berlalu. Saya percaya khutbah itu telah disediakan oleh pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan. Imam hanya sekadar menyampai dan membaca teks yang disediakan itu.

Seperti biasa ada jemaah yang memberi fokus dan ada juga yang terlena dik buaian dan angan-angan mimpi masing-masing sewaktu imam menyampaikan khutbahnya. Saya pun kadang-kadang tidak terkecuali. Tetapi pada hari yang dimaksudkan, alhamdulillah saya dapat mengikuti khutbah yang disampaikan dari awal sehingga ke akhir. Dan faham apa yang disampaikan oleh imam itu. 

Ceritanya ialah mengenai tanggungjawab membayar zakat dan kebaikan zakat sebagai alat untuk membantu ummah meningkatkan tahap sosial dan kedudukan ekonomi. Wang zakat yang dikutip telah diagihkan bagi membantu ummah yang memerlukannya. Jutaan wang zakat telah dimenfaatkan.

Saya percaya angka-angka dan fakta-fakta yang disampaikan itu benar belaka. Tahniah.

Tetapi ada satu hal yang saya ingin bicarakan disini iaitu tentang kecenderungan orang Melayu Islam atau pihak berkuasa Islam di negara kita yang begitu enak menyatakan sesuatu kebaikan yang dibawa oleh Islam itu, misalnya dalam hal zakat dan kewajipan berzakat, tanpa lupa merendah dan memperlekehkan pihak bukan Islam. 

Jangan silap tafsir kenyataan saya ini. Saya tidak sesekali berbangga dengan cara dan kaedah orang bukan Islam dalam menyusun dan mengatur kehidupan mereka walaupun banyak yang baik dan boleh diteladani. Sebab asas kebaikan mereka itu berbeza dengan kita. Kita melakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Apa yang telah disampaikan dalam khutbah itu? Bahawa zakat dalam Islam telah dapat membantu dalam menangani kemiskinan dan keadilan sosial tidak seperti dibarat. Sebaliknya, kata khutbah itu , di barat, pembahagian kekayaan tidak dilakukan secara adil dan berlaku penindasan.

Ini bukan kali pertama perlekehan kepada orang barat, sudah tentu maksudnya orang bukan Islam. Perbuatan jenayah, perogolan , penipuan, perjudian, penindasan, perlakuan sumbang, rasuah dan segala jenis keburukan adalah monopoli orang barat. Mereka itu terlalu rendah moralnya. Mereka itu zalim.

Saya tidak menafikan perlakuan-perlakuan tidak senonoh itu berlaku disana, dikalangan orang barat yang bukan Islam. Saya juga malu untuk menidakkan perlakuan seperti itu dikalangan orang Islam secara amnya, dan orang Melayu Islam di Malaysia khususnya. Tidak keterlaluan jika saya katakan perangai buruk kita kadang-kadang lebih dahsyat dari apa yang dipertunjukkan oleh orang barat bukan Islam. 

Tidak percaya? Baik, kalau begitu saya cadangkan orang yang berfikiran demikian pergilah ke negara barat misalnya England, duduk disana sebulan. Lagi lama lebih baik. Duduk dikawasan dimana banyak orang Islam (bukanlah majoriti) misalnya beberapa tempat di Birmingham, di Sheffield, di Brighton dan beberapa bandar yang lain. Duduk juga di kawasan mat salleh.  Buat pemerhatian tanpa prasangka keatas dua golongan ini. Kemudian fikir-fikirkanlah demi kebaikan dan mertabat orang Islam.

Kemudian pergilah menunaikan fardhu haji atau buat umrah bersama jemaah-jemaah yang lain.  

Waktu dilapangan terbang di Jeddah buatlah pemerhatian tanpa prasangka. Beri perhatian kepada cara kerja dan layanan petugas imigresen Arab Saudi itu yang kesemuanya Islam. Catatkan. Waktu menaikki bas atau koc untuk ke Mekah atau Madinah buatlah pemerhatian terhadap lagak laku para jemaah dan juga petugas tabung haji yang menguruskan perjalanan. Waktu dalam bas catatkan juga perlakuan yang dizahirkan oleh pemandu koc. Apabila bas berhenti untuk memberi kerehatan dan peluang untuk jemaah buang air kecil, air besar atau menyegarkan mata, buat juga catatan khususnya keadaan tandas yang disediakan. 

Dan catatkan apa saja perlakuan dan perangai jemaah termasuk peniaga-peniaga tempatan, pemandu teksi. Jangan lupa buat pemerhatian keatas bilangan orang-orang hitam yang sebahagian besarnya terdiri dari anak-anak kecil yang menadah sebelah tangan minta ikhsan sewaktu anda dalam perjalanan pergi ke Masjidil Haram dan balik ketempat kediaman. Perhati betul-betul anak-anak itu dan gerakkan otak anda untuk bertanya mengapa tangan anak-anak itu sebelah saja. Mana lagi satu. Sudah kena potong ke kerana mencuri? Catatkan pemerhatian anda itu tanpa prasangka. Ingat, anda berada dalam sebuah negara Islam yang kaya.

Dihotel kediaman anda, khususnya pada waktu makan (tengah hari atau malam ) buatlah pemerhatian akan lagak laku dan perangai jemaah semasa hendak menaikki lif untuk menuju dewan makan. Catatkan tanpa prasangka apa yang anda lihat termasuk semasa jemaah mengambil makanan.

Akhirnya anda buatlah kesimpulan tanpa prasangka : Masyarakat mana iaitu diantara Islam dan barat yang bukan Islam yang mempamirkan perlakuan dan moral yang jelek. Adalah tidak adil jika saya menyata dan menyimpulkan  kesan yang diperolehi dari pemerhatian dan catatan keatas dua golongan itu, Islam dan orang barat bukan Islam, kerana bukan saya yang melakukannya. 
 
Orang barat yang bukan Islam jika melakukan perbuatan tidak senonoh seperti yang dinyatakan diatas tadi,  (tidak semua berperangai tidak senonoh) saya mudah untuk memahaminya kerana asas mereka mengatur hidup  lebih memberatkan kehidupan dunia dari kehidupan selepas mati. Tapi orang Islam yang mengambil berat tentang kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat nampaknya tidaklah boleh kita bangga telah berjaya menzahirkan perlakuan dan moral yang lebih baik dari orang barat bukan Islam.

Dengan demikian rasanya tidak perlu kita memperlekehkan orang atau ajaran agama lain, sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan kesungguhan dalam melakukan dan mengamalkan ajaran agama kita yang suci ini. Jangan menyalahkan orang lain iaitu orang bukan Islam diatas kegagalan kita orang Islam menghayati dan mengamalkan ajaran agama kita. Betulkan diri kita terlebih dahulu, dan jika ada perkara yang baik yang dipamir dan diamalkan oleh bukan Islam dimana saja, dan tidak pula bertentangan dengan ajaran Islam, kita patut contohi.

Berbalik kepada khutbah yang telah dibaca oleh khatib dan telah saya ikuti sepenuhnya pada hari Jumaat itu, jelas bahawa zakat telah banyak memberi menfaat kepada ummah. Menfaat itu telah dapat dinikmati oleh ummah  kerana pengurusan wang zakat itu telah dilakukan dengan baik, sama ada dari segi kutipan mahu pun agihan. Tidak perlu kita memperlekehkan pihak lain untuk menyatakan kita yang terbaik.

Hanya, sanya saya ada satu persoalan: Sebenarnyakah pengurusan zakat dinegara kita (semua negeri) telah dilakukan menurut yang dikehendaki oleh Islam? Tiada penyelewengan?

Saya mahu juga menjawab soalan saya itu dengan berkata: Saya dengar berita ada yang tidak sihat tapi perkara ini saya perlu buat pemerhatian dan catatan terlebih dahulu. Cuma saya tidak ada kepakaran dalam membuat siasatan.