Theflowersellingboy

Ahad, 11 Mac 2012

Zon Selesa dan Matlamat Hidup

Jari-jari saya memicit dahi. Sekejap jari-jari tangan kanan kemudian diganti pula jari-jari tangan kiri . Bukan untuk meredakan sesuatu kesakitan atau mengurangkan pening kepala atau ada rasa gatal-gatal di dahi . Alhamdulillah masih sihat wal afiat lagi.

Setelah bersarapan pagi , menikmati minuman milo yang tidak bergula dan gorengan jemput-jemput , saya memasuki bilik tidur, bukan untuk melelapkan mata. Saya menyandarkan badan ke dinding sambil mata memandang ke arah komputer riba bersaiz kecil yang terbaring diatas tilam. Sambil membongkok, komputer itu saya capai dan diletakkan diatas riba. Swis komputer dipasang.

Bermula dari saat ini , jari-jari saya telah bersedia untuk menekan mana-mana huruf di papan komputer menurut arahan dari otak bagi memperlihatkan perkataan yang tersembunyi di otak kepala. Tapi sayang , jari-jari itu tidak mahu ke situ. 


Kerutan dahi yang tidak nampak dimata merangsangkan jari-jari untuk pergi ke situ, memicit dengan menggerakkan berulang kali jari-jari ke atas dahi yang berkerut itu. Namun tiada perkataan yang dapat di cipta oleh otak kepala untuk diperlihatkan di skrin komputer. Maka jari-jari itu masih bergerak didahi yang terus berkerut itu.

Ini bukanlah pengalaman baru. Bukan juga cerita baru. Dulu-dulu pun begitu juga misalnya semasa menyediakan tugasan menyiapkan kertas kerja atau rencana untuk keperluan pemarkahan bagi tujuan mendapatkan ijazah. Atau semasa diminta oleh bos menyediakan teks ucapan untuk di baca oleh pak menteri. Terkial-kial di buatnya. Dahi berkerut dan jari dengan setia memberi khidmat urut. 

Tapi akhirnya mampu juga otak kepala mengeluarkan kata-kata yang tersusun menjadi ayat-ayat yang boleh difahami apabila di baca dan didengar. Tambah-tambah lagi ada angka-angka, carta, dan graf yang menyokong kata-kata itu. Sama ada benar atau tidak , bernilai atau sebaliknya, hal itu menjadi hak mereka yang mendengar dan yang membaca menentukannya. Tugasan saya adalah menyiapkan kerja untuk diberikan markah bagi satu ijazah. Tugasan saya adalah ketentuan yang telah diberikan oleh bos, menurut perintah seperti yang diarah.

Otak kepala saya terdesak untuk menyempurnakan sesuatu matlamat. 

Matlamat untuk mendapat markah bagi satu ijazah. Sudah tentu hasrat saya ialah untuk markah yang terbaik. 

Matlamat bagi sebuah teks ucapan untuk dibaca pak menteri. Sudah tentu banyak pernyataan-pernyataan yang menyeronokkan pendengar. Yang lunak sekali penuh dengan berita dan janji yang penuh kasih sayang demi kesejahteraan rakyat.    

Dulu kedua-duanya saya mampu melakukan. Otak kepala saya mampu mengeluarkan kata-kata yang disusun dengan begitu cantik sekali dalam ayat-ayat yang boleh difahami.


Terdesak? Matlamat? Ya, kedua-duanya telah merangsang saya untuk melakukannya. Otak kepala walaupun dalam keadaan terkial-kial mampu melakukannya. Demi survival? Ya, demi survival untuk sekeping ijazah untuk diperagakan, melamar sebuah pekerjaan. Untuk cari makan. Tapi cara yang halal lah.


Cuma pada hari ini, selepas menikmati sarapan pagi, selepas melayan selera dan mengisi kantung perut, sambil bersandar di dinding dan duduk diatas tilam yang empuk, meriba komputer kecil, jari-jari saya masih lagi mengurut dahi dan tidak mampu untuk menekan huruf-huruf di papan komputer. 


Saya dalam zon selesa. Sudah ada rumah. Ada rumah sewa. Ada dua buah kereta. Ada dusun yang tidak diurus. Dua dari empat anak sudah berumah tangga dan tiga telah mempunyai kerjaya, hanya seorang saja yang masih bertungkus lumus di pengajian. Ada wang persaraan, mencukupi untuk menyara hidup diri dan isteri.

Jadi apa lagi yang saya mahu. Mengapa perlu otak kepala saya diperah untuk memikirkan kata-kata, membuat kira-kira, atau mencari angka-angka dan fakta-fakta cerita , yang disusun atur dalam  ayat-ayat  untuk diperlihatkan di skrin komputer, kemudian disebar dialam maya untuk di baca oleh sesiapa yang mencari atau terjumpa? Mengapa saya perlu berblogging?    


Tiba-tiba jari-jari saya berhenti mengurut dahi. Bukan kerana dahi sudah licin tiada kerutan. Otak kepala saya sudah mula memberi arahan kepada jari-jari kedua-dua tangan untuk berpindah kepapan komputer untuk menekan huruf-huruf yang sudah begitu lama tidak di usik. Mata saya sudah memberi tumpuan kearah mana jari-jari itu perlu digerakkan. 

"Selesa atau tidak selesa, saya mempunyai matlamat hidup. Selagi saya masih bernyawa, selagi nyawa dikandung badan, selagi masih sihat fizikal dan mental dan selagi mampu jari ini digerak-gerakkan maka saya akan atur-aturkan kata-kata membentuk ayat-ayat yang boleh difahami untuk dapat dilihat dan dibaca dialam maya".


Saya tersenyum membaca semula ayat-ayat 'mula' itu. Macam satu ikrar pula. Ikrar untuk memenuhi matlamat hidup . Apa dia? Jawapannya disisipkan dicelah-celah paparan dalam blog saya. Sudi apalah kira mengikutinya.

Sabtu, 10 Mac 2012

Adakah Kenaikan Saraan Penjawat Awam Merengankan Beban?

SBPA tidak akan dilaksanakan. Itu yang telah diputuskan kerajaan dan telah diumumkan pada 8 Mac 2012.  Satu Suruhanjaya akan di tubuhkan bagi mengkaji dan memperakukan saraan penjawat awam ini. CUEPACS yang mewakili penjawat awam mengharapkan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Buat sementara penjawat awam akan merasa kenaikan gaji dengan menggunakan kaedah penyelarasan berasaskan SSM dengan memberi kadar peratusan yang tinggi kepada penjawat awam di peringkat rendah dan kadar peratusan yang rendah bagi peringkat tinggi.

Bagi CUEPACS yang mewakili penjawat awam, ada kecacatan pada SBPA ini. 

Bagi saya kecacatan yang paling ketara ialah SBPA melebarkan jurang pendapatan diantara peringkat rendah dengan peringkat tinggi dikalangan penjawat awam. Ianya tidak berlaku adil dan tidak ada ikhsan keatas mereka yang berpendapatan rendah yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Saya percaya jurang pendapatan yang melebar ini jugalah yang tidak dipersetujui oleh CUEPACS. Ianya tidak adil. 

Mengapa disaat-saat akhir kerajaan memutuskan SBPA tidak dilaksanakan? Saya mengatakan disaat-saat akhir ialah kerana penjawat awam telahpun diminta untuk membuat pilihan sama ada kekal dalam SSM atau menerima SBPA. 

Saya berpendapat bahawa Kerajaan dalam kedudukan tertekan. Desakan CUEPACS untuk satu saraan yang boleh diterima adalah satu tekanan. Tetapi ianya bukan satu tekanan sehingga membuatkan kerajaan membatalkan SBPA. Dulupun CUEPACS pernah membuat desakan untuk mendapat bayaran bonus dan kenaikan gaji. 

Apa respons kerajaan ketika itu?

Kerajaan dengan mudah memberi jawapan bahawa kerajaan akan berbelanja mengikut kemampuan. Dan jika layanan CUEPACS diterima maka tanggongan kewangan kerajaan akan meningkat, negara boleh jadi bengkrap. Kerajaan tidak melaksanakan  diluar kemampuan walaupun kerajaan tidak jadi popular. Mudah saja kerajaan mengenepikan permintaan CUEPACS ketika itu.

Itu jawapan kerajaan sebelum mendekati pilihanraya. Itu juga jawapan kerajaan semasa kekuatan parti pembangkang dirasakan tidak dapat mencabar kekuatan parti kerajaan.

Respons ketika ini nadanya agak lunak pada saat-saat akhir. Bermakna pada peringkat awal kerajaan merasakan kenaikan gaji penjawat awam adalah merupakan satu beban dan boleh menjadikan negara bengkrap.  Malah kerajaan memperlekehkan cadangan parti pembangkang untuk menaikkan elaun guru dengan mengatakan cadangan parti pembangkang itu adalah satu tindakan 'populist'.

Ia menjadi lunak adalah kerana ada saingan yang hebat dari parti pembangkang. Parti pembangkang menyatakan persetujuannya dengan apa yang dipohon oleh CUEPACS. 

Apa pilihan yang ada pada kerajaan dalam suasana untuk berhadapan dengan pembangkang dalam pilihanraya yang akan datang dari segi mendapat sokongan dari penjawat awam? Jawapannya jelas sekali bahawa permintaan dari CUEPACS itu perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Maknanya pendirian kerajaan adalah sama dengan pendirian parti pembangkang.

Kalaulah begitu pendirian kerajaan, ianya bermakna bahawa kerajaan bertindak disebabkan kekhuatiran terhadap undi penjawat awam yang akan berpindah pada pembangkang. Ertinya tekanan dari pembangkang.Dalam kata lain bukanlah hasrat mula kerajaan untuk melayan tuntutan CUEPACS itu. Hasratnya adalah pada penghujung setelah mendapat tekanan.

Tetapi mampukah wang negara? Tidak bengkerapkah negara? Bukankah itu alasan yang selalu digunakan oleh kerajaan dalam berhujah menolak sesuatu cadangan misalnya tidak mengurangkan subsidi petrol?

Atau negara telah mengenalpasti sumber baru bagi membiayai tambahan tanggongan kewangan berikutan dengan perlaksaan saraan baru penjawat awam yang melibatkan kenaikan  perbelanjaan awam ?

Saya berpendapat bahawa sekiranya polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat  dalam mengurus tadbir harta negara masih lagi dikekalkan seperti sediakala, seperti yang diwarisi dan yang sedia ada ini, negara tidak akan mampu untuk membiayai kenaikan saraan penjawat awam. Negara akan bengkerap.

Polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat urus tadbir yang ada dan yang diwarisi adalah terarah kepada penyalahgunaan kuasa, rasuah, tidak ada pertanggongjawaban, tidak telus, menggalakan pembaziran, dan tidak adil dan berat sebelah. 

Disebabkan itu, maka negara telah mengalami kerugian berbilion ringgit.  Tidak perlu rasanya ditunjukkan contoh. Pertama sebahagian besar kita sudah maklum. Kedua, senarainya terlalu panjang.

Adakah kita perlu berhutang bagi membiayai kenaikan saraan penjawat awam ini? Saya berpendapat, kita tidak wajar berhutang untuk membiayai belanja mengurus. Kita buat pinjaman untuk tujuan pembangunan bagi menjana hasil. 

Adakah kita mampu berhutang lagi dalam kedudukan negara yang mempunyai hutang yang terlalu tinggi? Kita ada had dari segi undang-undang untuk berhutang. Difahamkan hutang negara telah sampai ketahap yang maksima.

Jadi bagaimana kerajaan mendapatkan sumber tambahn bagi membiayai kenaikan saraan penjawat awam seperti yang dituntut CUEPACS nanti? 

Jalan yang ada ialah melalui pengenalan sumber baru. Satu darinya ialah dengan mengenakan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada. Maka cukai barangan dan perkhidmatan yang tertangguh dulu akan sudah tentu menjadi pilihan yang terbaik.

Itulah cara yang menjadi pilihan utama kerajaan. Kenakan cukai. 

Untuk menyemak dan membetulkan polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat bagi memandu tadbir urus negara  kearah yang lebih bersifat kebertanggongjawaban bukan menjadi pilihan.

Maka bersedialah kita untuk cukai baru dan kadar cukai tambahan nanti. Maknanya kos sara hidup rakyat termasuklah penjawat awam akan menjadi lebih tinggi. Kenaikan gaji itu tidak memberi kuasa beli yang bertambah. Ada kemungkinan wang yang bertambah yang akan diterima nanti  akan hanya boleh memberikan kita barangan dan perkhidmatan yang berkurangan dari segi kuantiti dan mutu. 

Melainkan kerajaan berubah dari segi polisi, sistem, cara, kaedah dan tabiat dalam mengurus tadbir negara, kenaikan saraan penjawat awam ini dan apa-apa bentuk program dan skim yang dilaksanakan untuk rakyat tidak banyak membantu merengankan beban sara hidup rakyat. 


 

Rabu, 7 Mac 2012

Debat debat debat....banyak pula 'songehnya'.

Sebelum saya berpanjangan cerita fasal debat, molek rasanya di perjelaskan dulu pengertian perkataan 'songeh' yang saya gunakan dalam tajuk diatas. Ianya mungkin tidak sama seperti yang difahami sebahagian besar orang. Tapi saya masih mahu menggunakan perkataan itu bagi menggambarkan sifat dan sikap seseorang dalam cara, gaya, kaedah dan kesungguhannya menyatakan sifat dan sikapnya itu semata-mata untuk tidak dikatakan seorang yang cuba mengelak, melepaskan diri dan paling dirisau dikatakan sebagai pengecut dalam persemukaan.

'Songeh' disini membawa maksud mencari atau merekacipta helah bagi mengelak dan melepaskan diri dengan mengemukakan berbagai alasan dan syarat serta sebab musabab. Boleh juga dikatakan membuat kerenah. Kadang-kadang sifat dan sikap songeh itu melahirkan satu kecenderungan untuk memperlekehkan pihak lain dengan kata-kata misalnya 'saya tahu hal dia (maksudnya yang buruk-buruklah) dan kalau saya telanjangkan sudah tentu dia demam'.

Banyak pula 'excuses'nya, si songeh ini.


Debat dan songeh?

Sudah semakin hangat rakyat Malaysia menyuarakan hal perdebatan diantara pemimpin politik dari pihak kerajaan dan pemimpin pembangkang. Lebih tepat lagi diantara Najib dan Anwar. Kajian pungutan suara juga menunjukkan majoriti rakyat mahukan perdebatan diantara doa pemimpin ini mengambil tempat diatas pentas, ruang dan waktu serta tarikh yang sama. Malah berbagai pihak telah menyatakan kesanggupan untuk menguruskannya. 

Anwar yang mencabar telah menyatakan kesediaan.  Najib juga telah menyatakan 'kesediaan'. Maka nampaknya tidak ada masaalah dalam mengadakan debat diantara kedua pemimpin ini. Makanya juga rakyat Malaysia perlu menyediakan diri dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan satu budaya baru dalam politik Malaysia dalam proses menilai dan memilih kepimpinan negara. Dan apabila tarikh, masa dan tempat  debat dimaklumkan, hendaklah kita semua bersiap sedia untuk merai dan mengimarahkan debat itu. 

Sebelum itu perlu kita buat bacaan dan semakan dari berbagai sumber akan fakta dan pernyataan berkaitan dengan tajuk debat yang dipersetujui supaya boleh memudahkan kita mengikuti dan mencerna serta menggarap hujah-hujah pendebat itu. 

Tidak perlu bawa emosi marah dan benci. Tidak juga perlu mencari telur tembelang atau telur busuk untuk dilemparkan ke pentas debat. Juga tidak perlu buat kerja tidak senonoh mengumpul air kencing dalam botol untuk dilempar ke khalayak ramai atau ke pentas debat. 

Dengan disiplin seperti ini barulah kita layak memashurkan diri kita sebagai manusia dan bangsa yang bertemaddun, berakhlak mulia, lembut budibahasa dan baik tingkah lakunya. Kita juga tidak akan menyusahkan pihak keselamatan seperti polis untuk membuat jagaan dan kawalan kerana polis tidak perlu bimbang suasana menjadi tidak menentu, tiada yang patah riuk atau darah keluar mengalir dari badan. Bukankah polis ada banyak hal lagi yang perlu diuruskan.
 
Tetapi kesediaan yang ditunjukkan Najib  untuk berdebat itu diiringi dengan 'songeh'nya. Inilah penghalang kepada debat untuk mengambil tempat. Najib tidak bersendirian dalam hal ini. Bekas PM yang telah menerajui negara selama lebih 22 tahun pun ada sifat dan sikap songeh juga. Pemimpin kerajaan terutama dari parti UMNO sudah tentu siap sedia yang bersiaga berdiri dibelakang Najib dengan songehan mereka. Hal itu kita fahami kerana mereka adalah orang bawahan Najib yang perlu setia. Tidak kisahlah setia yang benar-benar tulus atau yang bersifat fulus.

Adalah tidak adil dan tidak benar kita kumpulkan semua orang UMNO banyak songeh berkaitan dengan debat ini. Saya percaya majoriti dari mereka mahukan debat ini mengambil tempat kerana ianya melibatkan nama baik dan maruah parti. Ketua parti membawa dan mengibarkan nama baik dan maruah parti. Tidak perlu gentar atau cuba tunjuk berani dengan cara yang songeh. 

Apabila ketua  tidak ada kesanggupan untuk bersemuka dengan pihak lawan dan hanya berani memperlekehkan pihak lawan diatas pentas sendiri, saya rasa itu bukan semangat yang telah tersemai dalam jiwa orang-orang UMNO.  Malayan Union pun berani ditentang dan disanggah , inikan pula Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.  

Cuma dari jumlah ahli UMNO yang ramai itu hanya seorang saja yang berani berbeza dengan Najib dan  mereka yang seikutan dengan Najib . Pemimpin ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Saifuddin Abdullah. Beliau mahu debat mengambil tempat tanpa songeh-songeh. Malah beliau mengemukakan 10 sebab mengapa debat itu perlu. Saya kira YB ini adalah terlalu setia kepada UMNO, parti yang menjadi wadah perjuangannya. Beliau sayangkan parti dan mahu menjaga maruah dan nama baik parti. Beliau juga sayangkan pemimpin dengan cara berbeza pendapat demi maruah parti. Setia beliau inilah  yang tulus dan bukan fulus. 

Jadi tidak perlulah Najib dan yang seikutan dengannya songeh-songeh mengatakan antara lain 'Anwar akan demam', 'debat bukan budaya Malaysia', 'tidak perlu berdebat macam dalam pemilihan presiden Amerika', 'debat tidak mendatangkan hasil yang baik' dan macam-macam songeh lagi. Songehan yang terbaru pula ialah Najib mahu berdebat dengan orang yang 'berfikiran munasabah'.


'Berfikiran munasabah'? Apa maksud dua perkataan ini tidak pula dijelaskan. Saya tidak pula menafikan hak Najib untuk menggunakan perkataan-perkataan atau rangkai kata itu. Tapi terangkanlah maksudnya seperti yang saya lakukan bagi penggunaan perkataan 'songeh'.

Bagi saya yang menyebabkan UMNO khususnya Najib jadi songeh dalam menyahut debat ini adalah tangongan/liabiliti/beban/begej UMNO yang terlalu besar, berat dan menjijikkan berbanding dengan aset/kekuatan/maruah. Atau direngkaskan,  nilai bersih aset UMNO adalah pada tahap negatif yang terlalu besar. Maknanya kalau UMNO ini sebuah syarikat ianya tidak laku dalam mana- mana pasaran untuk dijaja. Bukan salah entiti itu tetapi salah Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan pengurusannya termasuklah pemegang saham yang sentiasa menadah tangan hendakkan yang mudah dan percuma.


Salah urus, hendakkan yang mudah dan percuma telah merosakkan UMNO sebagai sebuah parti yang dulunya mempunyai wadah perjuangan yang dihormati oleh orang Melayu dan kaum yang lain. Yang merosakkan parti ialah ahli UMNO dari semua peringkat. 


Adakah kenyataan diatas melulu dan tidak benar? Jawapan saya hanya melihat dari satu aspek saja untuk jadi renungan. Apa dia? Pecah amanah dalam menguruskan harta negara khususnya wang negara. Lihat kerugian berbilion ringgit misalnya yang berkaitan dengan MAS; pengaliran wang haram yang juga berbilion ringgit; rasuah dan banyak lagi kerosakan yang telah dan sedang dilakukan dalam pengurusan kewangan. 

Bagaimana pula kepimpinan UMNO mengatasi kerosakan itu? Pertama menafikan. Kedua saling tuduh menuduh diantara pemimpin bahawa bukan dia saja yang menyebabkan kerosakan orang/pemimpin UMNO yang lain pun buat kerosakan, malah katanya lebih teruk. Yang terakhir, buat masa ini yang ketiga lah, Najib memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

Maknanya dalam kesungguhan kepimpinan UMNO menafikan perbuatan yang menjijikkan itu mereka juga mengaku telah melakukan kerosakan. Jadi kenyataan saya diatas adalah selari dengan pengakuan kepimpinan UMNO sendiri.

Maka mana ada kekuatan Najib yang mewakili UMNO/BN untuk berdebat dengan Anwar. Terlalu berat begej/beban yang hendak diheret dan diletakkan diatas batu jemalanya. Bukan saja begej buatannya bahkan mewarisi begej-begej yang terlalu banyak dari zaman sebelumnya. Dan yang paling banyak begej selepas Tun Hussein Onn. Tak terangkat Najib.

Sebab itulah Najib sanggup berdebat dengan bersongeh. Debat debat debat .....banyak pula songehnya.