Theflowersellingboy

Khamis, 2 Februari 2012

Al kisah Anwar Ibrahim Yang Dikatakan Tidak Relevan

1. Mereka mengatakan Anwar Ibrahim (AI) Ketua Pembangkang ketika ini tidak relevan. Tidak ada pengaruh. Sudah masuk dalam lipatan sejarah. Parti yang dipimpinnya iaitu PKR telah mereka gelar dengan berbagai-bagai gelaran antaranya Parti Kian Runtuh dan Parti Kian Rebah.  Siapa mereka itu? Mereka ialah orang-orang politik.

2. Semua orang politik dan parti politik? Tidak dapat dipastikan. Tapi yang terlalu pasti ialah  orang-orang ini mengatakan AI mempunyai moral yang rendahMereka kata Malaysia tidak akan membenarkan AI yang bermoral rendah itu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dan dengan itu perlu disingkirkan dari aktif dalam politik.

4. Bagaimana atau cara mana atau kaedah apa yang terbaik untuk menyingkirkannya? Begini ceritanya.

5. Mereka kata mereka ada bukti yang kukuh dan saksi yang boleh di percayai, yang kredibel yang mengesahkan AI ini bermoral rendah. Malah mereka ada menyediakan dan mengemukakan video yang disahkan kesahihannya oleh pakar sebagai bahan bukti. Semuanya telah disiasat dan nyata benar akan kata-kata mereka, menurut kepercayaan, kiblat dan cara mereka. 

6. Mereka berani masuk gelanggang bicara. Maka sahlah kata-kata mereka bila AI dikatakan bersalah. AI masuk penjara. Mereka suka ketawa kerana AI tersingkir dari aktif dalam politik.


7. Agak lama juga AI dalam penjara, dia dilepaskan kerana pembicara yang paling tinggi mengatakan AI tidak bersalah. Mereka berhenti ketawa. Muka menjadi masam dahi berkedut semula. AI aktif semula dalam politik. Itu yang mereka tidak suka dan pening kepala.


8. Tetapi mereka kata mereka ada lagi bukti yang AI ini berakhlak rendah. Telah tersedia video lucah yang mereka kata pelaku babak lucah itu AI. Mereka telah tayang dan disaksikan oleh berbagai pihak termasuk kaki sebar. Kata mereka video ini adalah sahih dan pelaku itu 99% disahkan  sebagai AI oleh pakar luar negara. Ingat pakar luar negara, bukan Jalan Chow Kit. Oleh itu mereka ugut AI dan isterinya supaya tidak aktif dalam politik. AI perlu disingkirkan.
   
9. Itu adalah serangan menggunakan bom bermoral rendah yang mereka harapkan kesannya seperti bom buatan Amerika yang termasuk dalam kategori 'Senjata Pemusnah Besar-besaran (Weapon of Mass Destruction), hancur lebur, berkecai mengalahkan C4.

10. Tapi si AI ini masih lagi duduk dan berdiri tegak. Pantas pula ke mana-mana walaupun dilaporkan ada masaalah sakit belakang. Mereka lagi bertambah pening. Kena cari hal. AI dibuntuti ke mana saja dengan berbagai cara. Tidak semestinya ikut belakang buntut AI sebab nanti dikatakan mereka juga mempunyai minat tentang liwat-meliwat sedangkan itu lah modal utama mereka untuk menyingkirkan AI. Buka mata luas-luas mengekori pergerakan AI. Pasang telinga lintah, telinga gajah atau telinga yang punya deria dan sesungut yang boleh menangkap suara AI di bumi, di laut dan di udara waemah di mana-mana saja. 

11. Pada mereka itu kerja mudah. Sudahpun diperolehi. Ceritanya atau hal nya bukan yang baru . Ianya sesuatu yang diperbaharui, dikemaskini supaya hal yang dulu yang telah dikenakan kepada AI sebenarnya bukan dari bohongan mereka. Ini cerita benar. Kali ini panglima-panglima yang terlibat pun sama juga. Tapi kali ini ada panglima  yang rasa gementar dalam serangan yang dibuat kerana bersungguh-sungguh nampak gaya dan caranya seolah-seolah jika serangan tidak berkesan juga, 'habislah dan matilah aku, keturunanku dan kawan-kawanku'.

13. Rupa-rupanya panglima-panglima ini mempunyai barisan-barisan penyerang utama terdiri daripada berbagai kategori juak dan pencacai dari berbagai seks dan keturunan. Ada yang dulunya akrab dengan AI, ada orang yang satu parti tapi sudah bercerai, ada kawan sedemonstrasi di zaman pelajar dulu dan ada pula yang baru muncul.   

14. Cerita lama yang diperbaharui mereka ialah bahawa AI bersekongkol dengan Israel dan Amerika. Justeru itu dia seorang yang tidak menyokong perjuangan Palestin. Tidak menyokong Palestin bermakna tidak menyokong Islam. Tidak menyokong Islam bermakna tidak menyokong orang Melayu yang semuanya Islam mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Dia anti Islam dan anti Melayu. Dia mementingkan keselamatan Israel. Sekali lagi dia perlu disingkirkan

15. Seperti biasa mereka kata mereka ada bukti. Temubual AI dengan akhbar AWSJ kata mereka, bahawa jelas AI tidak pedulikan keselamatan Palestin. Israel saja perlu dilindungi. Tidak kisahlah mereka juga terlalu akrab dengan Israel melalui hubungan surat menyurat memohon bantuan seperti yang diberitakan. Tidak kisahlah mereka juga menggunakan perkhidmatan syarikat yang ada hubungan dengan Israel. Tidak kisahlah mereka juga berbaik-baik dengan Amerika. Mereka semua boleh atas dasar Malaysia boleh. Sebab itu mereka boleh buat apa saja , berbohong, putar belit, rasuah merasuah dan semua yang senilai dengannya. Semuanya boleh dan bersih, kata mereka. AI, waspada kamu cakap fasal mahu tolong China susah, kamu anti Melayu. Anti Melayu bermakna anti Islam. AI mesti disingkirkan.


16. Satu lagi modal singkiran yang mereka gunakan terhadap AI ialah katanya AI mahu tubuh negara republik. Menubuh negara republik bermakna akan terhapuslah raja-raja Melayu. AI anti raja Melayu kata mereka.  Apa yang mereka kata ini selari dengan perjuangan mereka demi agama, bangsa dan negara dari dulu, kini dan selama-lamanya. AI perlu disngkirkan. 

17. Tetapi mereka sebenarnya sudah nyanyok bahawa merekalah perosak agama, bangsa dan negara (termasuk institusi raja). Saya tidak akan lupa cerita memburuk dan menghina  raja-raja pada satu masa dulu.


18. Maka mereka sesungguhnya yakin bahawa modal putar belit tentang akhlak rendah, tentang akrab Israel dan musuh raja  yang dikenakan kepada AI akan menjadi senjata berkesan menyingkir AI dari arena politik tanah air. Pemberitan, penceritan, pengkesahan dalam berbagai bentuk oleh berbagai juak dan pencacai dari berbagai taraf keilmuan dari yang tidak bersekolah sehinggalah yang ada gelaran professor begitu rancak, kerap diadakan dan diulang-ulang.


19. AI masih lagi boleh duduk dan berdiri. Rancak dan pantas kesana sini. Maka mereka itu bertambah sakit hati kerana jika AI gagal disingkirkan mereka akan sakit dan mati nanti.


20. Jadi apa yang mereka perlu buat. Senang saja, dengan menghebuhkan bahawa AI tidak lagi relevan. Sebab jika AI relevan (dalam hati yang penuh gusar mereka mengatakan begitu) , mereka akan tidak relevan. Yang paling jelas ialah yang seorang ini yang dikatakan tidak relevan itu, diserang bertubi-tubi oleh terlalu banyak panglima , yang telah bersara dan yang masih ada kuasa. Mereka  mengajak  sama ramai lagi juak dan pencacai . Hasilnya setakat ini mereka terlalu kecewa. Tapi masih lagi berkokok senyum.














 

Rabu, 1 Februari 2012

Winnable Candidate- Calun Boleh Menang Formula BN. PR bagaimana?

1. Winnable Candidate (wc) -Calun Boleh Menang sekarang ini kerap menjadi tajuk percakapan terutama dikalangan orang-orang politik. Siapakah gerangan yang patut menjadi calun bagi mewakili parti yang boleh menang dalam pilihanraya yang akan datang ini . Katanya sudah dekat, bukan bau bacang lagi tapi sudah bau durian meresap kebatang hidung. Cuma parti atau khusussnya kepimpinan parti yang sibuk memperkatakan wc ini adalah dari parti BN. Parti-parti di bawah PR tidak pula terdengar memperkatakan calun wc ini. Mungkin saya terlepas pandang atau tiada maklumat mengenai hal ini. Buat ketika ini saya mengatakan PR  tidak sibuk dengan hal wc ini.     

2. Selain dari PM dan beberapa orang kepimpinan tertinggi UMNO dan BN , baru-baru ini bekas TPM Tun Musa juga ada menyentuh tentang wc ini. Masing-masing yang memperkatakan wc ini tidak pula secara spesifik memberikan ciri-ciri yang macam mana dikatakan seseorang itu boleh menjadi wc. Hal itu pada saya tidak menghairankan kerana wc ini hanya terpakai dan berkuatkuasa jika ianya  ditentukan oleh mereka yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukannya. Itu saja. Kalau misalnya sekadar mengatakan calun itu mesti boleh memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat, mempunyai keperibadian terpuji, berakhlak baik dan sifat-sifat positif yang lain , saya rasa semua orang akan kata dia mempunyai kesemuanya itu. Bukan mereka saja, saya sendiri akan mengatakan sayalah yang terbaik dari orang lain dan boleh menjadi wc. Asalkan saya memang gila untuk bertanding.

3. Jadi apa alasan pihak yang menentukan seseorang itu wc apabila mereka yang tidak terpilih mengatakan mereka juga wc. Adakah akan dikeluarkan segala rekod buruk orang itu? Saya percaya jika itu dilakukan, orang itu juga ada maklumat tentang perkara-perkara buruk dari orang yang dikatakan wc itu. Itu perkara mudah saja kerana yang hendak menjadi calun dalam pilihanraya ini adalah mereka yang hendak mencari kekayaan secara mudah. Tidak benar? Tidak perlu buka mata, hidung kita boleh menghidunya. Ini termasuklah mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan wc itu. Tidak benar juga?  Semua orang ketawa terbahak-bahak.

4. Jadi penentuan wc berasaskan kepada keperibadian yang terpuji memang tidak mampu dipertahankan. Tetapi untuk mendapat calun yang mempunyai keperibadian terpuji memang boleh cuma sukar sedikit kerana bilangannya agak sedikit. Bukan saja bilangan sedikit malah golongan ini tidak tergila-gila untuk menjadi calun. 
5. Mungkin dalam keadaan sebegini ada suara-suara yang meminta supaya sesiapa saja yang dipilih untuk menjadi calun oleh kepimpinan maka calun itu hendaklah disokong. Tidak kisahlah orang itu ahli parti atau bukan ahli parti. Tapi adakah pilihan seperti ini akan menjadikan orang itu wc? Jika dari ahli parti dan mempunyai jawatan yang penting dan telah berada dalam parti begitu lama, saya rasa untuk mendapat sokongan mungkin tidak sukar. Tapi kalau yang bukan ahli walaupun dikatakan berkeperibadian terpuji, orang itu tidak mungkin akan jadi wc. Banyak halangan yang akan dihadapi. Itu tidak menghairankan dan sepatutnya timbul kerana mereka yang tealah lama berkhidmat dalam parti tidak semena-mena diketepikan dan berikan kepada orang yang tiada kaitan dengan parti.

6. Nampaknya BN khususnya UMNO akan memakai konsep wc dalam memilih calun bagi pilihanraya akan datang. Kalau begitu timbul soalan: Adakah bermakna piliharaya-pilihanraya yang telah berlalu hal wc ini tidak ada dalam batu jemala orang UMNO atau sekurang-kurangnya dipihak kepimpinan?

7. Saya ingin meneka jawapan kerana tidak mungkin saya membaca apa yang ada dalam batu jemala mereka. Ada dua kemungkinan. Pertama , dulu-dulu orang UMNO begitu yakin sekali. Siapa saja yang diletakkan jadi calun, tentu menang. Malah ada gurauan (bagi saya sendaan) yang dibuat bahawa hantar tali pinggang, batu atau apa saja sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa mewakili UMNO , kemenagan sudah pasti. Sekarang jangan buat begitu. Mesti cari yang bernyawa yang dikatakan wc. Ketakutan atau kerisauan itu membawa kepada kemungkinan kedua iaitu tidak ada keyakinan untuk menang atau keyakinan untuk menang telah merudum laju kedalam gaung. Sebab itu cari yang betul-betul boleh menang mengikut tafsiran kepimpinan. Jangan persoalkan. 

8. Kenapa kepimpinan tidak menyatakan bahawa sesiapa yang hendak menjadi calun mestilah mempunyai kriteria-kriteria berikut:
i) Ahli parti
ii) Telah memberi khidmat kepada parti dengan penuh setia dan baik.
iii) Mendapat penghormatan yang baik dikalangan masyarakat yang akan diwakili.
iv) Mempunyai ilmu dan pendidikan yang baik misalnya mempunyai sekurang-kurang diploma.
v) Tidak terlibat dalam jenayah
vi) Tidak mengamal rasuah
vii) Tidak terlibat dalam perlakuan fitnah memfitnah
viii) Tidak terlibat dalam pembikinan dan penyebaran video lucah.
xi) Sanggup mengistiharkan harta/aset kepada rakyat kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.
x) Berkata benar dan memihak kepada yang benar.

9. Saya percaya jika ini dilakukan maka semua pihak akan jelas kriteria pemilihan wc. Dan kriteria itu mesti juga menaklukki semua calun yang bertanding. Maka ianya memberi kepuasan kepada semua kerana ianya jelas lagi terang, dan semua adalah tertakluk kepada kriteria pemilihan yang sama. Tidak ada seorang calun dikecualikan. Macam mana? Saya percaya pusing kepala mereka yang hendak membuat pilihan calun yang wc. Pusing , disebabkan mereka adalah diantara yang pertama tidak termasuk dalam kriteria wc itu.

10. Yang menghairankan kenapa PR tidak heboh dengan wc. Terlalu yakin menang ke macam perasaan UMNO dulu-dulu? Berhati-hati dijalan raya, maksud saya dalam pilihanraya. Kalau dijalan raya kemalangan/musibah boleh berlaku terutama dihari-hari kebesaran seperti hari raya dan tahun baru China kerana mahu mengejar duit raya/angpau maka dalam pilihanraya pun boleh jadi begitu, boleh tergelincir kerana benda semacam duit raya/angpau memang bermaharaja lela. Cuma bezanya yang memberi itu terlalu pemurah, baik hatinya pada ketika itu dan yang menerima pula menjadi cair. Maka tergelincirlah PR dik pelincir itu.
 
 

Ahad, 29 Januari 2012

Saya Anak Seorang Doktor: Berikan Saya Perasaan dan Akal Budi Anda Kepada Saya, Tolonglah


Ini bukan gambar yang terkini. Saya sedang terbaring diatas katil menanti kepulangan mama dari kerja. Teka berapa lama saya menunggu. Tapi saya bersedia memberitahu anda bahawa anda perlu punya kekuatan yang melampau untuk berbuat demikian jika tidak....... tapi saya masih mampu menampilkan muka yang tersenyum.
Saya adalah anak seorang doktor, doktor wanita, doktor perubatan. Sebahagian anda yang telah mengikuti blog datuk saya atau yang terus mengikutinya sudah tentu mengetahui nama saya, dan cerita mengenai saya. Sungguhpun begitu, izinkan saya mengingatkan semula tentang diri saya bagi maksud lebih membiasakan lagi atau kepada mereka yang secara kebetulan melayari blog yang seadanya ini, sebagai orang pendatang baru.

Ya, nama saya Ahmad Naqib. Saya dilahirkan pada 23 Mac 2011. Bapa saya seorang jurutera bernama Ahmad Sanihi. Bapa memilih untuk dipanggil sebagai 'Ayah' yang bermaksud bapa atau papa. Sementara emak saya bernama Hazlin Azzamiza seorang doktor perubatan yang masih muda. Dia ialah mama saya. Kedua-dua mereka adalah sebaya, cuma jarak tiga bulan yang menjadikan mama sedikit lebih muda.

Saya tidak mungkin boleh menggugurkan dua lagi personaliti yang terlalu penting dalam senarai ingatan saya,  yang terlalu rapat dengan saya serapat kedua ibubapa saya. Merekalah yang menguruskan saja semenjak hari pertama saya dilahirkan sehingga....sebenarnya saya tidak tahu bilakah hari  yang 'menakutkan' itu akan tiba. Saya menaruh harapan pada yang mustahil kerana saya sedar bahawa pada suatu hari nanti mereka tidak akan bersama saya. Itu satu kepastian. Mereka tiada pilihan begitu juga saya. Apa-apa pun kita mesti hidup berdikari. Itu adalah ketentuan semula jadi. Tapi saya tidak akan lupa kasih sayang mereka, layanan yang diberikan  sungguh manja, lembut sekali sepenuh perasaan and kasih sayang. Dan mereka melakukan hampir kesemua rutin  harian- anda boleh membayangkannya. Mereka adalah datuk nenek saya, pesara kerajaan. Mereka bersama saya, semata-mata kerana saya.

Jadi anda boleh kata saya seorang anak kecil yang amat bertuah kerana saya mempunyai seseorang untuk menjaga saya ketika ibubapa bekerja. Seseorang yang amat penyayang. Memang benar, sesungguhnya saya terlalu amat beruntung sekali, bersyukur kepada Allah.. Doa saya agar Allah  mengurniakan kesihatan keatas mereka.

Tapi adalah menjadi harapan saya agar setiap orang didunia ini merenung sejenak, sejenak cuma, tanyalah kepada setiap anak-anak kecil, kawan sebaya saya, sezaman saya, Anda tidak perlu risau memikirkan tentang soalan yang sepatutnya di tanya. Saya tahu anda tidak mungkin dapat melakukannya kerana cuma kami bayi seperti saya mamapu melakukannya. Kami juga faham bahawa sentiasa dalam delima, anda sungguh sibuk yang kadang-kadang membuatkan anda jadi pelupa , banyak yang anda perlu uruskan, masa tidak menyebelahi anda, kehidupan yang penuh masaalah dan amat meggerunkan tapi ada masanya anda meyifatkannya sebagai kehidupan yang mencabar untuk keluar dari perasaan yang tertekan, satu tangkal  yang amat mujarrab dan ajaib sekali. Dan kami memahami apa yang anda hadapi kerana kami adalah salah satu penyebabnya. Kami amat bersimpati sekali, itulah yang dapat saya pastikan melebihi seratus peratus.

Kami cuma anak-anak kecil. Perasaan kami, pergerakan kami , keperluan kami dan emosi kami adalah mutlak sama, bukan satu persamaan. Kami merasakan lebih baik kami  menyediakan soalan untuk anda menggunakan bahasa kami dan  kami menaruh harapan agar anda memahaminya.Namun sejenak kami fikirkan untuk keselesaan anda kerana anda sentiasa kesuntukan masa, kami memutuskan untuk menterjemahkan bahasa kami ke dalam bahasa anda , warga dewasa dunia lelaki dan perempuan.

Apakah ertinya seorang ibu dan bapa dalam hubungannya dengan anak-anak kecil. Satu soalan yang mudah dan jelas sekali. Tidak memerlukan sifir, tidak perlu buku log dan tidak juga mata pena, kertas dan pensil untuk merangka jawapan kepada soalan itu. Bagaimanapun , sebagai anak kecil yang sentiasa  bermurah hati dan yang menyayangi , saya berikan imbasannya: Saya anak kecil seorang doktor, tolong berikan saya perasaan dan akal budi anda.
 
(Ikuti cerita seterusnya).