Theflowersellingboy

Khamis, 10 November 2011

Mereka Sebenarnya Tahu , Cuma......

Dalam paparan saya bertarikh 08 November 2011 yang lepas atas tajuk 'Sifat-sifat Seorang Peraih Undi Pilihanraya' menyimpulkan bahawa peraih undi itu tiada masalah untuk melakunkan sifat-sifat sebagai seorang manusia yang terpuji pada masa dan ketika yang diperlukan.

Peraih itu boleh memperlihatkan dirinya sebagai  seorang yang baik hati, seorang penyayang, pemurah, yang prihatin, suka menolong dan membantu, berbudi bahasa ,sopan santun dan pandai menghormati orang . Seorang yang mudah mesra sehingga boleh mewujudkan rasa setiakawan.


Cuma peraih itu belum tentu boleh menjadi seorang yang amanah.


Namun amanah atau tidak , ianya bukanlah satu perkara yang kritikal bagi sebahagian pengundi-pengundi dalam menentukan sikap sokongan mereka semasa memangkah membuat pilihan wakil mereka. Bukannya mereka ini tidak mementingkan sifat beramanah itu. Mereka juga sukakan orang yang bersifat demikian.


Mereka juga tahu akan lakunan dan kepuraan si peraih undi itu.

Tapi mengapa pula mereka memilih peraih-peraih yang bersifat demikian?

Saya tidak mempunyai jawapan. Cuma , entahlah, mungkin hanya mungkin saja, mereka tercandu wang/bantuan/pertolongan. Maka buat seketika mereka menjadi khayal , hilang ingatan akan kepuraan-kepuraan si peraih itu. Apa tah lagi kebanyakan mereka orang yang susah-susah yang hanya ada maklumat dari satu sumber saja, dari yang memberi bantuan. Maka khayalannya berterusan.

Rabu, 9 November 2011

Suntikan Prolotherapy: Katanya Sakit.

Sudah hampir masuk sebulan saya megidap rasa kesakitan ditumit dan tapak kaki kanan. Terlalu sakit untuk memijak dan berjalan terutamanya semasa untuk memulakan pijakan. Ada masanya rasa sakit yang berdenyut sewaktu duduk atau tidak bergerak. Tapak kaki sentiasa rasa berbahang yang membuatkan saya suka memijak tempat-tempat yang sejuk untuk mengurangkan rasa panas ditapak kaki itu.

Saya difahamkan bahawa saya mengidap penyakit arthritis. Satu dari penyakit orang yang meningkat usia tua. Ubat yang biasa diberikan ialah ubat penahan sakit saja. Ada juga di rawat secara pembedahan.

Tapi saya tidak mahu kedua-dua cara itu. Maka saya 'google' untuk mendapatkan cara rawatan yang lain. Banyak maklumat yang saya telah dapati berkaitan sakit arthritis ini dan rawatan serta ubat-ubat yang boleh digunakan bagi menyembuhkannya. 

Satu dari ubatnya ialah sejenis minyak yang didakwa boleh menghilangkan kesakitan dalam tempoh 20 minit setelah disapu di tempat yang sakit. Saya dengan cepat membuat pesanan dalam internet kerana 'sample' pertamanya adalah percuma. Sebenarnya saya tidak yakin kemujarrabannya.


Dalam tempoh seminggu saya telah menerima pesanan tersebut iaitu dua peket kecil (  seperti uncang mengisi daun teh/rempah ratus) berisi 'kain putih' yang menyerap minyak. Dengan segera saya sapukan di tempat yang sakit dan mengharapkan dalam tempoh 20 minit nanti sakit saya itu akan hilang. 

Selepas tempoh 20 minit saya tunggu sehingga satu hari namun ianya tidak juga mengurangkan kesakitan barang sedikit pun. Jadi sahlah keraguan saya bahawa minyak ini bukan jawapan kepada penyakit saya itu.

Satu lagi bentuk rawatan dikenal sebagai prolotherapy. Rawatan ini melibatkan suntikan ubat ditempat yang sakit itu. Maka saya menghubungi sebuah klinik untuk bertanyakan  sedikit sebanyak  bentuk rawatan itu walaupun secara terperinci telah saya baca dalam internet. Sebenarnya yang saya hendak pengesahan ialah tentang  suntikan yang akan dilakukan itu sakit atau tidak. Mengikut maklumat dalam internet suntikan itu menimbulkan rasa kesakitan. Jawapan yang diberi mengesahkan bahawa suntikan itu menyakitkan. Ini merunsingkan saya.

Jadi  saya tidak pasti sama ada mahu menerima rawatan prolotherapy atau tidak   walaupun temu janji telah dibuat. Tujuan mendapat rawatan ialah untuk menghilangkan kesakitan. Tapi yang ini pula kena rasa sakit dulu, sembuh belum tentu. Agaknya jenis rawatan ini mempunyai konsep yang sama dengan konsep  orang Melayu dalam pantun/kata-kata: Berakit-rakit kehulu, berenang-berenang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Betul juga Ye! Takkan tidak mahu terima rasa sakit untuk menghilangkan kesakitan. Takkan tidak mahu berpenat lelah untuk dapatkan habuan.

Tapi kalau tidak baik macam mana? "Positiflah sedikit", hati saya memujuk untuk meneruskan temu janji bagi rawatan prolotherapy pada esok hari.

Selasa, 8 November 2011

Sifat-sifat Seorang Peraih Undi Pilihanraya.

Dia seorang yang baik hati. Seorang yang penyayang. Dia seorang yang pemurah. Seorang yang perihatin. Suka menolong orang. Berbudi bahasa dan sopan santun. Pandai menghormati orang. 
Seorang yang amat mesra dan mudah pula mesra.

Dia seorang yang baik hati kerana jarang sekali apa yang diminta tidak diberi. Anak kecil, yang muda ,dewasa, yang tua , yang susah, yang miskin, yang tidak sihat, berpenyakit dan diserang penyakit, yang  terbaring merana , yang cacat segala- mata, telinga , suara, lumpuh dan sebagainya adalah menjadi dakapan dan pelukan   apabila tiba masanya kerana apa gunanya jadi seperti dia kalau ketika itu kasih sayang tidak mahu dicurahkannya.


Tidak akan menjadi satu kerugian rezeki yang melimpah ruah 
dikongsikan sedikit pada waktu ini dengan segala orang dimana saja bersua. Kata orang cara itu akan menambahkan rezeki, murah rezeki.


Pada masa ini semuanya dia ambil tahu kerana itulah sifat orang prihatin.

Apa lagi soal bantu dan tolong, semua yang hadir tiada yang hilang dimata, yang tiada hadir ditanya khabar berita dengan pesan akan datang tengok segera  kerana dia faham akan keperluan hidup mereka waktu ini. Dia tahu waktu ini amat berharga , tolong dan bantu adalah tepat masanya.

Dia tahu, apalah  ada pada budi kalau tiada manis bahasa, tiada santun dalam berbicara. Tangan sentiasa mendahului menghulur salam, badan sedikit membongkok tanda hormat, bibir merekah mengukir senyum, tepuk menepuk badan dan berpelukan kerana dia pun tahu pada waktu ini kemesraan adalah kesetiakawanan.

Dan kesetiakawanan terlalu berharga dalam waktu-waktu yang diperlukan. 

Dia tahu siapa dirinya yang sebenar. Dia adalah peraih undi untuk menghadapi pilihanraya. 

Dan dia pun tahu menjadi orang yang baik hati, penyayang, pemurah, prihatin, suka membantu, berbudi bahasa, bersantun menghormati orang dan senyum bergaul mesra itu boleh saja dilakunkan apabila masa memerlukan.

Hanya dia seboleh mungkin untuk mengelakkan berbicara soal AMANAH. Entah mengapa.