Theflowersellingboy

Selasa, 9 Ogos 2011

Dapat RM500.00: Pemberian Khas Hari Raya Kepada Pesara. Pencen Bulanan Naikkan Juga.

Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian wang khas RM 500.00 bagi pesara kerajaan. Alhamdulillah. Bagi penjawat awam yang sedang berkhidmat akan dibayar bonus setengah bulan gaji. Alhamdulillah.

Kedua-dua kategori penjawat awam, yang bersara dan yang berkhidmat akan menerima bayaran itu sebagai penghargaan keatas sumbangan yang telah diberikan kepada negara. Terima kasih kerana Kerajaan masih lagi tidak lupa akan sumbangan sedikit sebanyak yang telah disumbangkan oleh pernjawat awam.

Pemberian ini dapat sedikit sebanyak menceriakan penjawat awam terutama yang telah bersara dalam menyambut dan meraikan hari raya yang akan datang ini.

Kalau dikira kos barang dan perkhidmatan yang semakin meningkat pemberian itu tidaklah membantu sangat. Apalah ada dengan wang RM500.00 itu yang diberi sekali saja  berbanding dengan harga ayam, daging ,gula, minyak dan banyak lagi yang terus meningkat naik tidak henti-henti. Setiap hari itulah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam. 

Terlalu perit bagi pesara yang pencen bulanannya tidak sebesar mana dan mereka yang berpendapatan rendah sedangkan anak-anak ada yang masih belajar. 

Pemberian khas itu tetap dihargai. 

Cuma tidakkah terlintas dihati pihak kerajaan untuk melihat dan mengkaji pesara awam yang menerima pencen sebulan kurang dari RM1,000.00. 

Apakah yang dapat dilakukan oleh pesara yang menerima 400 atau 500 ringgit sebulan . Tambah-tambah pula pada usia emas macam-macam penyakit yang datang. Memang benar mereka boleh ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan percuma. Tapi untuk ke hospital mereka tidak ada wang untuk bayar tambang bas atau teksi. Jadi sebahagian besar mereka pergi ke kedai yang berdekatan membeli panadol, tidak kira apa jenis penyakit. 

Dengan demikian disamping pesara mengucapkan terima kasih kepada kerajaan keatas pemberian khas itu, pesara juga mengharapkan Kerajaan menaikkan bayaran pencen paling rendah ialah RM1,000.00 sebulan. Takkan Kerajaan tidak merasa sedih dan malu jika bekas penjawat awam yang telah memberi perkhidmatan yang begitu lama, yang sentiasa taat semasa berkhidmat , yang mengikrarkan kata-kata 'Saya Yang Menurut Perintah', menjalani kehidupan dibawah garis kemiskinan. 

Bantulah mereka dari golongan ini. Naikkan pencen mereka tidak kurang RM1,000.00 sebulan. Kalau harga barang dan perkhidmatan boleh naik dan selalu naik kenapa pencen mereka tidak dibuat penyelarasan. Takut implikasi kewangan yang besar? Membebankan kewangan Kerajaan?

Kalau itulah alasannya maka ianya tidak boleh diterima. KERANA kita sebenarnya boleh melakukannya kalau sumber kewangan kita betul-betul diurus dan diuruskan secara adil.

Ahad, 7 Ogos 2011

Mencakar Dinding: Masih Ada Lagi Perangai Buruk

Telah lama saya tidak melihat cakaran-cakaran di dinding khususnya dinding tandas dengan kata-kata yang tidak sopan penuh carutan. Maka telah lama juga saya buat kesimpulan bahawa masyarakat kita telah menunjukkan satu sikap yang terpuji selaras dengan kehendak moral dan ajaran agama. Itulah dia rakyat Malaysia, rakyat yang mempunyai maruah dan kehormatan sebagai satu bangsa yang beradab.

Rupa-rupanya pagi tadi lebihkurang jam 9 didalam sebuah tandas yang dikunjungi oleh berbagai bangsa dan agama, dari merata dunia, di Kuala Lumpur International Airport , KLIA, kesimpulan saya itu tergugur dengan sendirinya. Masih ada juga cakaran didinding tandas yang amat memalukan, amat biadap dan menjijikkan. Cakaran yang merupakan carutan dalam bahasa Inggeris.

Saya berani menuding jari walaupun saya tidak melihatnya bahawa yang menulis itu ialah orang Malaysia melihat dari kata-kata dan gaya bahasanya. Bukan orang putih atau orang hitam dari warga asing. Saya yakin orang Malaysia cuma saya tidak pasti dari keturunan etnik apa.

Namun saya amat sedih sekali kerana sudah hampir menuju negara maju minda kita masih tidak maju. Sukakan kepada yang buruk-buruk, tidak senonoh dan yang jelek. Perbuatan mencakar dinding itu tidak langsong memberi nilai tambah malah semakin menghodohkan pemandangan. Dinding yang cantik bersih menjadi kotor bukan saja kotor dari segi fizikal malah kotor dari segi minda.

Saya tidak ada kamera atau talipon tangan yang berkamera untuk mengambil gambar sebagai bukti. Maaf, kalau ada pun saya tidak akan mengambil gambar kerana ia boleh mencemarkan kamera saya nanti dengan menyimpan dan merakam kata-kata yang terlalu hanyir dan busuk itu.

Ada juga tergerak dihati untuk bertanya pihak yang bertanggongjawab di KLIA . Mengapa tidak dibuat pemeriksaan kebersihan tandas? Atau adakah fahaman pihak berkenaan kebersihan itu hanya dari sudut membersih najis saja? Atau yang berkaitan tidak pernah membuat pemeriksaan? 

Saya tidak ada kain atau perkakas atau bahan untuk menghilangkan tulisan yang memalukan itu kerana sememangnya saya tidak menjangkakan sebuah tandas disebuah stesyen kapalterbang antarabangsa kita boleh menjumpai gejala yang seburuk itu.

Untuk makluman tandas itu ialah dikawasan meletak kereta Blok B tingkat 2 berhampiran dengan lif dan tempat membayar tiket letak kereta.

Berbalik kepada siapa yang melakukan perbuatan jijik itu saya rela menuding jari kepada saya sendiri sebagai akibat saya seorang Melayu. Saya amat yakin yang melakukannya itu orang Melayu kerana Bahasa Inggeris itu ada gaya bahasa Melayu dari segi susunan ayatnya. Kalau orang Melayu bermakna ianya orang Islam. Kalau benarlah begitu maka terlalu rendahnya kita orang Islam dalam mempamirkan imej kita kepada yang bukan Islam. Rendah sungguh moral kita yang tidak ada langsong menampakkan ciri-ciri Islam yang sebenarnya. Harap-harap sangkaan saya itu salah. 


Siapa pun rakyat Malaysia yang melakukannya kita semua mesti menyatakan rasa benci kita kepada perbuatan seperti itu.




 

Sabtu, 6 Ogos 2011

Dakwah Bulan Puasa?

1. Sebuah keluarga 5 orang terdiri dari seorang bapa, seorang ibu dan tiga orang anak yang tinggal dalam sebuah rumah kayu beratapkan zing yang disulam dengan kertas kotak buangan yang dikutip, bersila diatas lantai sedang menunggu saat untuk berbuka puasa.

Dihadapan mereka telah sedia ada nasi putih, sepinggan tidak penuh setiap seorang dan air suam segelas. Untuk menaikkan selera makan disediakan juga semangkok pucuk ubi masak asam rebus.

Apabila saat berbuka tiba maka mereka pun menjamahlah hidangan yang ada dengan penuh kesyukuran kerana akhirnya pada hari itu mereka telah berjaya menahan lapar dan dahaga, dapat memulihkan tenaga . Makanan yang dihidan tiada yang berbaki semuanya telah menjadi rezeki selera dan perut. Cuma yang ada ialah didalam periuk yang sengaja diasingkan untuk keperluan sahur esok hari.

2. Pada petang itu lebih kurang jam 5.30 seorang ketua keluarga telah bergegas ke pasar Ramadhan untuk membeli makanan untuk berbuka puasa . Berbagai makanan yang sungguh menarik dimata, meliurkan tekak dan menaikkan selera. Maka dibelinya 5 bungkus nasi dagang, 5 keping roti murtabak, 10 butir berbagai jenis kueh. Dan tidak lupa juga 5 bungkus air tebu. Dalam perjalanan balik, singgah pula di kedai runcit untuk membeli sekotak rokok berjenama Dunhill kerana bekalan telah kehabisan.

Sewaktu dipejabat tadi beliau telah dimaklumkan akan berbagi jenis makanan yang boleh dibeli di pasar Ramadhan itu. Semuanya sedap-sedap belaka. Maka dengan sebab itulah beliau terus saja ke pasar Ramadhan sebaik saja waktu pejabat berakhir. Lagipun isteri juga bekerja. Tiga anak masing-masingnya remaja masih lagi belum bekerja.

Waktu berbuka dimulakan meminum air tebu setelah menjamah sebiji kurma. Diikuti dengan makanan mengikut kegemaran masing-masing.

Ketua keluarga tidak lama menikmati makanan.Malahan selepas kurma dan air tebu kotak rokok Dunhill di buka segera. Maka bermulalah hembusan asap rokok itu menerawangi persekitaran menandakan kepuasan selera ketua keluarga sambil yang lain menepis-nepis dengan tangan menghalau pergi asap yang berkepul-kepul itu.

Perut mereka semuanya mengening kekenyangan. Tapi banyak lagi makanan yang tidak sempat disentuh kerana tekak dan perut mereka tidak boleh terima. Kalau terus dimakan, muntahlah jawabnya. 

Makanan yang berlebih itu di bungkus untuk dimasukkan kedalam tong sampah kerana kalau disimpan ianya akan basi. Yang basi jika dimakan dikhuatiri menyebabkan keracunan. Lebih baik dibuang dalam tong sampah. Menjadi rezeki kucing atau pun anjing. Mungkin para pengutip makanan yang berkeliaran yang memang hari-hari kelaparan.

3. Untuk bersama-sama menghormati bulan puasa sebuah hotel telah mengadakan satu promosi berbuka puasa dihotel dengan menawarkan pakej makanan berharga RM45.00 satu kepala. Disamping itu para tetamu yang berbuka akan diiringi dengan muzik ringan oleh para pemuzik tradisional. Dan tidak lupa disediakan juga bilik untuk bersolat.

Pakej makanan ini memberi peluang kepada tetamu untuk makan sebanyak yang mereka mahu. Cuma tidak boleh dibungkus untuk dibawa balik.

-Itulah 3 senario berbuka puasa yang dipaparkan untuk sama-sama kita fikir dan renungi.-

Sama-sama kita membuat soalan dan sediakan jawapan setiap satu dari senario itu. Soalan dan jawapan itu sewajarnya boleh menimbulkan kesedaran kepada kita semua Muslimin akan tujuan kita berpuasa.

Adakah iman kita bertambah atau biasa-biasa saja atau merudum.
Setiap tahun kita berpuasa. Mungkin kalau panjang usia tahun depan kita berpuasa juga. Mahukah kita lihat senario yang sama?