Theflowersellingboy

Rabu, 16 Februari 2011

Petua Untuk Jadi Kaya: Skim Konvensional Untuk Jadi Kaya

                                ....... .  dipadang pasir inilah gamaknya Mat Jenin disemadikan

 
Semua orang nak jadi kaya. Paling tidak, angan-angan nak jadi kaya.

Ingat tak cerita penglipurlara Melayu watak Mat Jenin panjat pokok kelapa sambil berangan-angan nak jadi kaya. Sudahnya mati katak jatuh dari atas pokok kelapa. Tambah cerita, Mat Jenin ni mati mukanya senyum suka. Agaknya dia mati terus jadi kaya.

Tapi sayang isterinya tak ada sama, waemah  jiran sebelah pun tak ikut serta. Kalau mereka ada bolehlah Mat Jenin tayang-tayang dan banding-bandingkan 'kaya' yang ada. Lihat siapa lebih kaya!

Apa ukuran kaya? Sebenarnya Mat Jenin telah sedia beri jawapan. 'Kaya' mesti ada perbandingan, mesti ditayang-tayangkan. 'Kaya' Mat Jenin mesti lebih dari isteri dan jirannya. Tiada bandingan, tiada tayangan, 'kaya' tidak punya makna. Kesian Mat Jenin. Dah jadi kaya, tapi tiada pesaingnya. 

Tapi ada persoalan 'kaya' yang tidak dijawab atau mahu dijawab oleh Mat Jenin. Misalnya, apa itu kaya; macam mana  nak jadi kaya; siapa boleh jadi kaya; berapa lama boleh jadi kaya; apakah risiko jadi kaya.

Sebelum menjawab apa itu kaya, peningkan kepala sedikit dengan meluaskan perspektif 'kaya' itu. Ada orang suka tambah kata kaya itu menjadi kaya raya, kaya budi, kaya harta, kaya anak kaya bahasa dan macam-macam boleh ditambah selepas kata kaya itu. Tapi yang selalu kita dengar dan amat diminati orang ialah macm mana nak jadi kaya raya. Kalau kaya harta, ramai yang gembira. Kaya anak, itupun boleh juga. Bila dua sahabat berjumpa, soalan wajib ditanya ialah berapa orang anak. Soalan berapa banyak harta, selalunya mengekori kemudian selepas serasi diantara pembicara. Tak boleh tanya sebaik berjumpa. Kurang adab tak tahu bicara.. Orang seperti ni tak kaya bahasa, sama ertinya tak berbudi bahasa.

Lihat, 'kaya' diatas tidak jadi masalah. Kaya anak memang membanggakan; kaya budi, kaya bahasa itu yang dicari. Apatah lagi kaya raya. Namun ada kata 'kaya' yang menggerunkan bila diikuti dengan kata yang dianggap boleh membunuh. Ingat tak kata-kata ini: Kalau tak kaya kayap. Mungkin kayap itu sejenis penyakit yang membunuh.

Sekarang tiba masanya kita cuba menjawab macam mana nak jadi. Ini bukan skim cepat kaya Pak Man Telo yang terkenal suatu ketika dulu. Skim ini satu skim konvensional yang telah ujud sebelum zaman Pak Man Telo lagi. Skim ini tidak susah. Tak perlu ada ijazah MBA atau yang setaraf dengannya.Cuma tengok-tengok, pandang-pandang dan banding-banding.  Dengan cara itu ianya meransang untuk kita turut sama.Tapi tengok-pandang-banding ada formulanya seperti yang diperturunkan dibawah ini:

Renjis merenjis, garu menggaru, siapa tau
Acah-acah tolak, salam menyalam, sorong masuk
Serapah jampi: puh sana, puh sini
Umpan terbaik lagi terpilih, buat kerenah, buat susah, biar dia naik lelah
Ancak dihulu tunggulah dihilir, nasib untung terkaitlah dia, jadi kita punya
Hati-hati, jaga-jaga, ada Jaga nanti susah.

Hendak jadi kaya mesti ada gaya, pandai bicara, bernafsu selera dan ada formula. Rupa-rupanya ada Rukun Kaya macam Rukun Negara, Rukun Sembahyang dan yang lainnya. Cuma Rukun Kaya agak istimewa dan berbeda. Tidak ada tertib yang dahulu didahulukan. Boleh segala.  Kalau anda percaya kepada formula ini anda akan jadi kaya. Tapi Awas anda juga boleh jadi KAYAP.Yang pasti hanya Allah SWT sajalah yang MAHAKAYA.

Mat Jenin terus tersenyum.

Selasa, 15 Februari 2011

Sekadar Kenangan...........

                                     eeeh.........eeeh......eeeh dah bangun rupanya Yousef


Seorang guru yang mengajar bahasa Inggeris tiba-tiba muncul dihadapan rumahku. 'Congratulation' spontan  terkeluar dari mulutnya sambil menghulurkan tangan yang dengan segera ku sambut. 'Awak berjaya dalam peperiksaan darjah enam. Awak dan Sham yang lain gagal' sambungnya. Wajahya ceria bangga. Mana tidak inilah kali pertama murid disekolah itu lulus dalam peperiksaan tersebut.

"Thank you sir" aku menyambut tangannya sambil mempersilakan duduk dibalai. "Awak nak masuk  aliran mana, Inggeris ke Melayu. Tapi saya cadangkan masuk aliran Inggeris, peluang kerja besar. Boleh belajar oversea" . Soalan beliau bertali arus. Beliau tidak sabar  menunggu jawapanku. Nampaknya ada kecenderungan untuk mempengaruhiku.

"Tengoklah, saya nak tanya abah dulu". Itu yang diajar bapaku. Mesti taat .Tidak boleh buat keputusan sendiri. Jangan memandai katanya. Wajah ceria guru tadi menjadi sedikit pudar. Dahinya digaru-garu macam orang gatal digigit nyamuk. Suasana sepi sebentar.

" Awak jangan takut. Mula-mula masuk remove class. Setahun" . Beliau cuba meyakinkanku yang memang telah yakin. Yang menjadi hasrat dihati yang tersimpan untuk diri sendiri. Cikgu tadi mohon diri dah pukul sebelas katanya dengan pesanan supaya aku memujuk bapaku. Aku tak sempat mempelawanya naik kerumah. "Thank you sir" sekali lagi aku menyatakan penghargaan.

Aku tertanya-tanya kenapa tidak guru besar sendiri yang datang menyampaikan berita gembira ini. Ini satu sejarah. Sebelumnya semua murid gagal dan sebahagian besarnya menjadi penurih getah membantu pendapatan keluarga. Mungkin juga guru besar nak pencen setelah sepuluh tahun memimpin sekolah. Dah kurang minat. Tapi mengapa guru bahasa Inggeris. Hanya baru setahun mengajar. Beliau masih muda remaja, belum berumahtangga. Entahlah, keluhan jalan keluar yang biasa ku gunakan.

Aku telah pasang angan-angan, mahu belajar sungguh-sungguh, nanti boleh belajar oversea. Boleh masuk asrama penuh. Sudah tentu boleh cakap orang putih. Aku tersenyum sendiri sambil mula melangkah menuju kedapur. Emakku sedang memasak untuk makan tengah hari. Seperti biasa menunya sama sambal tumis ikan bilis. Itu saja. Kadang-kadang adalah seekor dua ikan kembong yang digoreng. Cukup menyelerakan.

Kejayaanku telah segera ku sampaikan. Emakku terus dengan kerjanya. Adik-adikku  kejar mengejar dihalaman rumah. "Mak beritau abah, orang nak masuk sekolah orang putih" aku mendekati makku. Beliau menjadi saluran hubungi rasmi anak dan bapa. Kalau nak minta belanja sekolah, nak beli buku, pensil atau apa saja saluran itu perlu dimanfaatkan. Itulah yang ada terbuka. Tidak boleh hubungan langsung. Tiada apa-apa reaksi diterima. Aku yakin emakku setuju dengan cadanganku tadi.

Jam 12.30 tengah hari bapaku muncul. Bau sekerap menusuk hidung sebaik saja bapaku melangkah naik kerumah. Hidangan telah sedia ada. Seperti biasa bapaku pergi mandi dahulu sebelum sama-sama menikmati hidangan.

Selepas makan bapaku perlu rehat dan tidur.Beberapa minit pun cukup asalkan dapat lenakan mata. Terlalu keletihan agaknya.

Aku berehat dibalai tempat pertemuan dengan guru tadi. Terasa diri hebat. Macam mana tak boleh pass.. Bodoh betul dia orang ni. Terbayang muka si Kassim, Yasin, Daud, Minah dan Ali yang duduk berdekatan dengan mejaku.Mereka  pemegang kekal number 25 keatas dalam setiap kali peperiksaan.  SiKassim pula adalah mangsa kekalku. Setiap kali ada soalan ilmu hisab, beliau akan menghampiri untuk meniru jawapan. Padaku tidak jadi masalah selagi ada yang dihulur, lima sen sekali tiruan. Tak kesah berapa soalan sekalipun. Lima sen sudah cukup untuk nasi lemak sebungkus. Aku mana ada duit. Jangan nak mengada , dapat pergi sekolah pun dah cukup kata makku mematikan hasratku untuk mendapat belanja.

Paling mewah dan lumayan ketika pelajaran bahasa Inggeris. Wah aku menjadi hero semua soalan beres. Tambah-tambah soalan 'fill in the blank'. Akulah yang pergi dulu kehadapan menyerahkan kertas jawapan sedang kawan-kawan yang lain terkebil-kebil, terkial-kial memikirkan jawapan. Sesetengahnya tak faham apa perlu buat. Aku melebarkan senyuman sebaik saja melintasi meja duduk kawan-kawan selepas menyerahkan jawapan. Ada kawan-kawan yang bernasib baik dapat menjawab sebahagian daripada soalan-soalan itu. Jawapannya sama yang telah ku jawab. Belum pasti ianya betul tapi mereka yakin dengan jawapanku. Lagipun apa pilihan yang mereka ada.Oh ya sebelum menyerahkan jawapan, Si Kassim yang duduk disebelahku, minta bantuan. Tiada masalah,syaratnya ada upah lima sen bukan banyak. Satu lagi jangan tiru semua. Si Daud yang duduk disebelah kanan Kassim akan meniru SiKassim. Seteusnya jawapan itu ditiru oleh si Yasin dan Aminah. Perjanjian tidak bertulis telah dibuat bahawa siapa saja yang meniru jawapanku kena bayar upah lima sen. Lagi ramai pelanggan, lagi banyak masuk.Lumayan.

Biasanya markah yang ku perolehi tak kurang daripada 90. Markah 100 bukan luar biasa. Mungkin inilah yang menyebabkan guruku minta aku memasuki aliran Inggeris. Ya aku mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum.

"Jangan nak mengada-ngada. Banyak duit dia nak sekolah orang putih" terdengar tengkengan yang memutuskan lamunanku. "Aduhhh habislah". Terdengar bunyi langkahan kaki menuju kebalai tem
pat aku sedang mengelamun. "Abah kau panggil". Aku siap sedia, melangkah perlahan menuju keruang dapur. Belum sempat duduk "ha banyak duit kau nak masuk sekolah orang putih. Naik sekolah pun tak tentu". Terkebil-kebil mataku dibuatnya. Aku sedia tahu kalau nak selamat jangan beri jawapan. Semua jawapan adalah salah melainkan akur apa saja kehendak bapaku tadi. Emakku senyap sunyi dah kena sebiji agaknya.  

"Lebih baik kau ikut aku potong getah. Tengok  dak Daud tu", bapaku merujuk kepada kawan sekelasku Daud yang membantu bapanya menoreh. Si Daud pun sudah nekad untuk menoreh malah selalu ponteng sekolah membantu bapanya menoreh.

Ikut potong getah. Maknanya aku kena berhenti sekolah. Tak boleh naik sekolah menengah. Jangan cuba nak  cakap masuk sekolah orang putih. Macam mana ni. "Kita minta bantuan welpe" terketar-ketar suaraku mencadangkan untuk memdapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Seperti petir menembak sasaran  "Ape kau jangan nak mengajau aku. Kau ingat welpe tu bapak tiri kau". Kakiku lemah tidak terdaya, kelopak mata mula digenangi air. Jatuh menitis kelantai. Hendak melangkah , longlai rasanya. Lagipun menjadi pantang bapaku jika anak-anaknya cuba meninggalkannya pada saat ledakan kemarahannya. Mesti taat tunggu, sehingga disuruh pergi.

"Dah...... pergi". Tidak ku kira berapa lama aku menunggu. Yang pasti ia menyeramkan. Entah macam mana kakiku yang lemah tadi dapat digerakkan melangkah keluar menuju ke balai. Sambil bersandar, menutup mata , aku menarik nafas panjang. Sejuk air mata mengalir dipipi.

Eeeh....eeh...eeh. terdengar suara Yousef cucuku.  Aku segera berhenti menaip. "Yousef  sayang, dah bangun rupanya" aku lantas mendukungya.








 

    

Isnin, 14 Februari 2011

Kesejahteraan untuk pewaris

                        Apakah cucuku ini akan mengecapi satu  kehidupan yang aman dan sejahtera
                                         

 Saya percaya semua orang tidak kira kedudukan, peranan dan tanggongjawab mengimpikan malah mengharapkan supaya dapat mengecapi kehidupan yang bahagia, aman dan sejahtera. Tidak ada seorangpun yang mahu jadi susah, miskin dan papa kedana.Semua orang berimpian atau berharap untuk menjadi senang, kaya dan berharta. Sekurang-kurangnya hidup selesa. Satu kehidupan yang aman dan sejahtera.Mungkin ada kekecualian. Yang ini luar biasa.

Tidak sekadar mengecapi, mereka juga mengharapkan supaya generasi pewaris akan juga menikmati kesejahteraan yang sama, malah mengharapkan lebih baik dari yang dikecapi.

Secara umum orang menganggap pembangunan ekonomi atau  ekonomi yang tumbuh dan berkembang boleh memungkinkan atau faktor yang boleh menjadikan sesebuah negara dan rakyat mendapat taraf kehidupan yang baik, kalau pun tidak semua jadi kaya.  Kita akan lihat kenyataan ini berdasarkan pertanyaan yang dikemukakan.

Apakah itu Pembangunan Ekonomi? Apakah input/input yang perlu ada dan penting bagi  ekonomi sesebuah negara itu untuk maju dan berkembang? Apakah ekonomi yang berkembang sahaja matlamat akhir kewujudan dan kesinambungan sesebuah negara?
 
Berbagai pandangan telah diberikan  berkaitan dengan pengertian pembangunan ekonomi ini. Ada yang melihat pembangunan ekonomi itu dari perspektif input yang perlu bagi mencapai pertumbuhan (kita panggil golongan ini sebagai 'growth focus') dan satu pihak lagi dari segi pertumbuhan dan agihan atau 'growth and distribution f ocus.

Golongan 'growth focus' ini sebahagiannya berpendapat  bahawa sumber kewangan yang mencukupi dan penggunaannya yang cekap adalah  merupakan syarat (pre-condition) bagi pertumbuhan ekonomi. Dengan demikian bagi memmpertingkatkan kadar pertumbuhan ekonomi, sesebuah negara itu wajar mempunyai sistem kewangan yang berkembang maju dan moden bagi membolehkan penggembelingan sumber tersebut dengan cekap.

Ada juga yang mempunyai  pendapat yang bertentangan yang menyatakan bahawa sistem kewangan tidak mempunyai peranan yang besar dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara malah ianya  memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk  mencari keuntungan.

Seterusnya ada yang berpandangan bahawa sumber kewangan bersama-sama dengan  input-input lain seperti sumber semula jadi, buruh, pasaran, pengurusan, teknologi dan kemampuan keusahawanan adalah input-input yang diperlukan untuk sesuatu ekonomi itu berkembang. 

Golongan 'growth and distribution focus' pula melihat pembangunan ekonomi dari segi kadar pertumbuhan dan agihan kekayaan ekonomi negara tersebut hasil daripada penggembelingan (mobilisation) sumber-sumber yang ada.

Ada juga yang menggunakan pendapatan per kapita bagi mengukur pembangunan atau perkembangan sesebuah ekonomi.

Samada golongan itu berpegang kepada hujah  'growth focus' atau 'growth  and distribution' atau pendapatan per kapita, yang penting ialah kesejahteraan rakyat negara tersebut. Pembangunan  ekonomi  itu mestilah  menjurus kearah mengurangkan atau  mengecilkan jurang pendapatan dikalangan rakyat.  Terdapat dua elemen yang penting sekiranya kita mahu pembangunan ekonomi itu memberi makna dan menfaat kepada rakyat iaitu i)ekonomi mesti tumbuh/berkembang dan ii) mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat. 'Growth with equity'.

Bagi persoalan kedua dan ketiga iaitu apakah input yang diperlukan dan adakah hanya pembangunan ekonomi sahaja bagi kesinambungan sebuah negara bangsa?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini lebih menjejak ke bumi jika kita buat rujukan kepada negara kita Malaysia.

Pada pendapat saya secara amnya terdapat empat  input yang penting bagi membolehkan ekonomi sesebuah negara itu berkembang iaitu kewangan, sumber manusia, teknologi, kesetabilan politik.

Tanpa penyelidikan dan kajian yang terperinci, saya percaya kita mempunyai kelebihan dan kekuatan dalam kesemua aspek yang dinyatakan itu. Berbagai pembaharuan yang telah diperkenal dan di buat oleh kerajaan misalnya Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi serta sasaran Keberhasilan Utama Negara dan liberalisasi sektor ekonomi tertentu dan yang lainnya adalah menjurus kearah meransang kepada  pertumbuhan ekonomi negara. Matlamat kerajaan pun jelas iaitu menjadikan Malaysia Negara berpendapatan Tinggi.

Kerajaan juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan dengan mendirikan berbagai institusi pendidikan dan latihan. Usaha terbaru yang diperkenalkan kerajaan ialah mempelawa warga Malaysia yang berada diluar negara yang mempunyai berbagai kepakaran untuk kembali ketanah air menyumbangkan khidmat mereka.

Dari segi teknologi juga ia bukan menjadi satu halangan kepada Malaysia untuk bergerak selaras dengan keperluan dan kaedah berurusan semasa samada diperingkat domestik mahupun global.

Dari segi kesetabilan politik kelihatan  ianya setabil. Namun beberapa  ubahsuaian dan pembaharuan perlu dilakukan. Politik Malaysia berteraskan demokrasi iatu pemerintah dipilih oleh rakyat. Ada kewajarannya untuk melihat tahap keberkesanan institusi-institusi mahu pun instrumen yang ada dalam menyokong proses dan penegakan demokrasi itu sendiri. Bahawa tidak dinafikan, kita tidak boleh mengambil sepenuhnya model demokrasi dan cara mentadbir dari mana-mana negera samada di barat atau di timur waemah dari negara jiran Singapura tapi kedudukan/ranking amalan demokrasi Malaysia seperti yang disenaraikan oleh World Democracy Audit ditakok 80 adalah merimaskan. Kedudukan kita baik sedikit daripada negara Mesir yang disenaraikan pada takok 91. Ranking ke 42 dari segi  amalan rasuah juga mungkin tidak akan meransang dan satu daripada kekangan untuk ekonomi berkembang.

Merujuk kepada persoalan ketiga iaitu adakah  pembangunan ekonomi saja yang boleh menentukan kesinambungan kehidupan negara bangsa?

Ekonomi kita berkembang tahun demi tahun dan pendapatan kita bertambah selaras dengan cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Adakah itu jaminan yang ampuh untuk kita mewariskan negara kita kepada generasi yang akan datang. Atau dalam bahasa yang mudah adakah kita dan generasi pewaris akan menikmati kehidupan penuh sejahtera.

Makanya fokus kita tidaklah kepada meningkatkan pendapatan negara ketahap yang tinggi semata-mata. Malah pendapatan per kapita yang tinggi bagi sesebuah negara tidak memberi gambaran sebenar tahap dan taraf kehidupan rakyat sesuatu negara. Ianya tidak sihat  jika kekayaan itu dimonopoli oleh sebahagian kecil rakyat. Lagi bertambah buruk  sekiranya kekayaan itu berada pada pihak penguasa dan berkepentingan, apatah lagi diperolehi secara tidak sah.  Satu perkara yang amat berbahaya di Malaysia jika kekayaan itu melebarkan jurang berdasarkan kaum.

Jadi apakah fokus kita yang sebenarnya. Seperti yang telah kita hujah diatas bahawa ekonomi perlu tumbuh dan berkembang.Tetapi tumbuh dan berkembang tanpa sasaran dan matlamat yang tepat ia tidak memberi makna  bagi mengujudkan satu kehidupan yang sejahtera. Kehidupan yang berkualiti.

Oleh itu sasaran yang perlu diberi fokus ialah mereka yang kehidupannya daif, miskin dan tidak mempunyai keupayaan untuk  bersaing tanpa memilih kaum, agama mahupun perbedaan politik tanpa meminggirkan mereka yang menggerakkan kerancakan ekonomi negara. Matlamat kita hanyalah untuk kesemua mereka dapat menikmati bersama kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang kita sama-sama cintai.

Bersetuju, dasar-dasar dan program yang telah dan sedang dibuat adalah menuju kesasaran dan matlamat yang dimaksudkan. Namun ada bahagian-bahagian yang perlu ditambahbaik , diubahsuai, diubah dan ditukarganti samada diperingkat dasar, program mahu pun pelaksanaan. Saya tidak bertujuan untuk memperincikan bahagian-bahagian tersebut, hanya cukup sekadar membangkitkan ranking yang dikeluarkan oleh World Democracy Audit berkaitan amalan demokrasi dan rasuah di negara ini.

Secara ringkas dan am kita perlu melihat dan mengkaji perkara-perkara berikut:
i) memberi pelajaran percuma disemua peringkat pendidikan kepada semua rakyat. Skim pinjaman daripada berbagai institusi telah melahirkan generasi muda yang berhutang,
ii) undang-undang dan peraturan yang boleh menyekat perkembangan dan potensi individu.
iii) meneruskan sekolah wawasan.
iv) kesesuaian menghadkan tempoh perkhidmatan ketua kerajaan diperingkat negeri dan persekutuan.

Sesungguhnya apa yang saya/anda impi dan harapkan ialah  satu kehidupan yang aman dan sejahtera untuk kita kecapi bersama yang merangkumi pembangunan ekonomi,  kehidupan sosial yang terurus sempurna dan kesuburan politik yang memberi nilai kepada keterbukaan dan integriti. Sebahagiannya telah dan sedang kita kecapi atau sekurang-kurangnya sebahagian besar rakyat  dinegara ini. Ianya akan menjadi lebih manis apabila pewaris kita nanti akan mewarisi satu kehidupan yang lebih baik daripada kita. InshaAllah.