Theflowersellingboy

Ahad, 15 April 2018

Sebelum Memberi Undi Ingatlah Pengundi Tidak Pernah Terhutang Budi Kepada Mana-mana PARTI. Pengundi Berkorban dengan Menyerahkan KUASA Kepada Parti Politik Yang Berjaya Menubuhkan Kerajaan. Dan Menjadi Kewajipan Kepada Kerajaan Untuk Memberi Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat Demi Kesejahteraan Rakyat dan Kemakmuran Negara.




Saya tidaklah suka sangat bicara tentang politik. Tetapi saya tidak boleh lari dari realiti bahawa ketika ini cerita politik memonopoli ruang bicara dalam apa sahaja media sama ada media arus perdana atau media baru atau alternatif seperti fb dan twitter. 

Lantas , saya tersangkut dan terkait sama, turut mahu menambah cerita dalam bicara politik tanah air dalam perjalanan kita menuju PRU 14 pada 9 Mei 2018.

Sebelum terus berbicara, saya memberi jaminan bahawa bicara saya tidak ada maki hamun, dan menggunakan kata-kata dan ayat-ayat yang amat jelik dan memalukan sehingga ke tahap menjatuhkan harga diri, kesantunan masyarakat dan kesucian agama khususnya agama Islam, yang anda boleh ketemu dalam media sosial itu, bukan sedikit tetapi jumlahnya terlalu banyak. 

Malang sekali, bicara politik kita amat menjijikkan.

Baik. Sebelum mengundi kita mesti jelas apa itu pilihanraya dan pengundi. 

PRU adalah satu proses demokrasi  dimana PENGUNDI melalui peti undi memberi atau menyerahkan KUASA kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang menang dalam persaingan untuk membentuk kerajaan bagi mengurustadbir aset dan kekayaan negara demi kesejahteran rakyat dan kemakmuran negara.

Saya gunakan pengundi dan bukan rakyat kerana tidak semua rakyat layak mengundi. Hanya rakyat yang diterima daftar untuk menjadi pengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) dan namanya terdapat dalam daftar pengundi yang ditentukan oleh SPRM sahaja yang layak mengundi. 

Ertinya jika seseorang yang telah diterima sebagai layak jadi pengundi tetapi tidak termasuk dalam daftar pengundi yang dipersetujui oleh SPRM, anda tidak layak mengundi. 

Oleh itu sesiapa sahaja yang termasuk dalam daftar mengundi SPRM sebagai layak mengundi dalam PRU 14 ini wajar keluar mengundi. Jangan sia-siakan undi anda kerana anda adalah rakyat yang telah diberi keistimewaan untuk menentukan parti yang akan mengurustadbir negara demi kesejahteraan anda dan kemakmuran negara.

Lagi sekali saya ingatkan jangan sia-siakan undi anda sama ada secara tidak keluar mengundi atau merosakkan undi. Anda juga mensia-sia undi anda jika anda salah pilih parti untuk diberi kuasa menubuhkan kerajaan.

Oleh itu berhati-hati dan nilaikan dengan menggunakan fikiran yang waras tanpa banyak dikuasai emosi dalam memberikan undi anda itu.

Sekarang, semak sama ada nama anda ada dalam daftar pengundi yang telah ditetapkan oleh SPRM itu dan tempat mengundi anda, jika anda belum melakukannya.  Jangan lakukan pada minit-minit terakhir.

Anda boleh sahaja memilih mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang anda yakin boleh membentuk kerajaan dan yang mempunyai kemampuan untuk memberi kesejahteraan hidup kepada anda dan memakmurkan negara.

KUASA yang anda berikan itu adalah satu PELABURAN. Anda mengambil risiko atau meraih pulangan (faedah) dalam tempoh tertentu iaitu sehingga boleh menjangkau  5 tahun, menyerah untung nasib anda sama ada hidup sejahtera atau sebaliknya. 

Risiko atau pulangan itu memberi kesan bukan sahaja dalam jangka pendek bahkan dalam jangka panjang. Oleh itu anda perlu menilai sebaik mungkin pihak mana yang perlu anda beri undi demi kebaikan anda dan rakyat terbanyak.

Anda mesti sentiasa ingat bahawa  anda memberi dan menyerahkan kuasa anda. Anda sebenarnya yang berkorban dan bukan parti yang anda undi dan menang. Anda tidak pernah terhutang budi atau tiada mana parti yang berbudi pada anda. Andalah yang berbudi kepada parti yang anda undi. 

Parti yang menang dan berjaya membentuk kerajaan wajib memberikan perkhidmatan kepada anda dengan sebaik-baiknya tanpa menyalahguna kuasa dan kedudukan kerana mereka diberikan  AMANAH untuk menguruskan aset dan kekayaan negara. 

Ingat juga bahawa semua parti yang bersaing untuk mendapatkan kuasa anda itu akan menyatakan masing-masing pihak adalah yang terbaik dengan menawarkan berbagai-bagai tawaran termasuklah menjadikan kaum atau bangsa dan agama sebagai antara yang mereka perjuangkan. 

Jangan sekali-kali terperangkap dengan retorik yang melampau yang kesannya memecahbelahkan rakyat dalam sebuah negara yang berbilang kaum , budaya dan kepercayaan (agama). 

Undi anda untuk kesejahteraan rakyat, bukan memecahbelahkan rakyat. Undi anda adalah demi kemakmuran negara dan bukan menuju kepada negara yang gagal dan muflis.

Akhir sekali gunakan akal fikiran yang waras tanpa emosi melampau menguasai pertimbangan dalam memberikan undi anda.

Esok, bicara saya adalah tentang parti mana yang boleh difikirkan untuk menjadi pilihan bagi menubuhkan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Sudah tentu dari sudut pandangan saya.

Rabu, 11 April 2018

MENGUNDI PRU 14 ADALAH SATU KEWAJIPAN SETIAP DIRI YANG LAYAK MENGUNDI



Tarikh dan hari mengundi PRU 14 telah diistiharkan oleh Suruhanjaya Pilhanraya Malaysia iaitu pada 9 Mei 2018, hari RABU bagi pengundi selain dari undi pos/awal. 

Rakyat yang layak mengundi perlu dan hendaklah menjadikan mengundi adalah  satu kewajiban diri.  Jangan sia-siakan undi anda.

Hari RABU yang ditetapkan mungkin menjadi satu kerumitan bagi setengah pengundi kerana ianya hari bekerja. Tapi jangan jadikan itu satu alasan untuk tidak keluar mengundi kerana undi anda akan menentukan masa depan anda dan generasi anda. 

Undilah mana-mana parti yang anda yakin boleh memberikan kesejahteraan kepada anda dan rakyat terbanyak dan kemakmuran pada negara. Bermakna tolaklah  parti atau gabungan parti yang anda yakin tidak mampu melakukan sedemikian.

Ingat, anda mengundi bagi memberi mandat kepada parti atau gabungan parti-parti untuk membentuk kerajaan dan seterusnya mengurus tadbir aset dan kekayaan negara. 

Ertinya anda mesti menilai kemampuan parti atau gabungan parti itu bagi menubuh kerajaan. Sebaik mana manifesto dan janji yang ditawarkan, jika parti itu tidak ada angka yang cukup untuk menubuh kerajaan, undi anda menjadi sia-sia jika anda mengundi parti itu.

Jangan sia-siakan undi anda.

Di Malaysia angka paling minima untuk menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan ialah memenangi 112 kerusi. Ertinya parti atau gabungan parti mesti bertanding dan memenangi paling kurang 112 kerusi.  

Ingat juga sistem pengundian di negara ini adalah mana-mana parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi parlimen yang lebih banyak, parti atau gabungan parti itu diistiharkan sebagai yang menang dan boleh membentuk kerajaan. 

Ianya bukan berdasarkan sokongan popular pengundi. Parti yang mendapat undi pengundi yang paling banyak tetapi tidak memenangi kerusi yang paling tinggi tidak  diistiharkan parti yang menang , lantas tidak layak menubuh kerajaan.

Menurut penilaiaan saya, kedudukan ketika ini, parti atau gabungan parti yang mempunyai potensi bagi membentuk kerajaan Persekutuan hanya ada dua parti atau gabungan parti sahaja iaitu UMNO/BN dan PH (PKR, DAP. AMANAH dan PPBM). 

Undilah satu daripada 2 parti ini agar undi anda tidak menjadi sia-sia.

Buatlah perbandingan antara  2 parti ini dari segi perkhidmatan dan penyampaian ketika menjadi kerajaan. 

Oleh kerana PH belum pernah menjadi kerajaan Persekutuan berbanding dengan UMNO/BN yang telah berpengalaman semenjak merdeka sehingga kini, perbandingan yang adil dan realistik boleh dibuat dengan melihat pentadbiran di peringkat negeri.  

Di Semenanjung, PH telah menjadi kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor semenjak memenangi pada PRU 12 yang sebelumnya dikuasai oleh UMNO/BN. UMNO/BN menguasai Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis , Terengganu dan Pahang.

Nilaikan perkhidmatan antara Selangor dan Pulau Pinang dan 
bandingkan dengan negeri-negeri di bawah UMNO/BN.

Apa yang dilakukan oleh Selangor dan Pulau Pinang untuk rakyat dan bandingkan negeri-negeri dibawah UMNO/BN.

Misalnya Selangor: memberikan  antara lain perkhidmatan bas percuma, air percuma bagi penggunaan 20 meter padu dan bantuan perubatan dibawah skim yang dipanggil KISS.

Bagaimana dengan Johor atau Melaka atau Negeri Sembilan?

Bagaimana pula dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan diantara Pulau Pinang dan Johor? 

Lihat  kadar pertumbuhan ekonomi, jumlah pelaburan asing dan tempatan dari segi bilangan dan nilai kewangan, simpanan wang yang terkumpul, kedudukan hutang dan kemampuan membayar balik . Laporan Ketua Audit boleh dijadikan rujukan.

Anda sebagai pengundi perlu tahu sebelum membuat keputusan memberi undi anda.

Dan anda juga boleh menilai secara realistik tanpa emosi dan membuat keputusan demi kesejahteraan anda dan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara iaitu dengan:

mengambil kira isu-isu berat yang sedang dihadapi oleh kerajaan UMNO/BN diperingkat Persekutuan seperti kes 1MDB, Felda, kos sara hidup yang meningkat disebabkan penarikan subsidi bagi berbagai barangan antara lain seperti gula, bahan api (petrol dan gas), gandum , minyak masak dan ditambah pula GST yang  membebankan semua rakyat, apakah ada rasional dan logiknya untuk meneruskan UMNO/BN menerajui kerajaan Persekutuan selepas PRU 14.

Ini tidak termasuk beban hutang negara yang sudah meningkat hampir RM800 bilion tidak termasuk hutang yang ditanggung oleh agensi-agensi luar belanjawan (off budget agencies).

BERSERABUT BUKAN?

Anda sebagai pengundi mesti banyak bertanya dan cari jawapan dengan merujuk dari barbagai sumber maklumat sebelum memberi undi anda. Antaranya:

Apakah kerajaan seperti ini yang serabut dengan berbagai isu negatif perlu diberi peluang untuk meneruskan pemerintahan?

Dan setelah PH membuktikan pentadbirannya di Selangor dan Pulau Pinang lebih baik berbanding dengan negeri-negeri yang ditadbir UMNO/BN apakah pentadbiran PH yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran itu  tidak mahu dipanjangkan ke peringkat Persekutuan sedangkan peluang itu terbuka luas pada PRU ke 14 yang akan datang ini. 

Ketika ini anda dalam persekitaran yang BERSERABUT. Sudah tentu anda mahu dan rindukan persekitaran yang tenang yang menyenangkan anda dan rakyat Malaysia. 

Mudah sahaja untuk menjadikan hajat dan rindu anda itu sebagai satu realiti. Anda hanya perlu mengundi PH berlogokan Mata Berwarna Biru Cerah. Selain dari undi PH,  undi anda setaraf dengan undi rosak

Jangan LEPAS PELUANG ini dan jangan SIA-SIAKAN UNDI ANDA . 



Jumaat, 6 April 2018

PARLIMEN 13 BUBAR, PRU 14 MENJELANG, SIAPA MENANG SIAPA KECUNDANG :RAKYAT YANG MENENTUKANNYA



Dalam sebuah negara yang demokratik, rakyat yang berkuasa. Rakyat yang menentukan siapa yang mereka mahu membentuk kerajaan untuk menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Rakyat mesti jelas akan hal ini iaitu: 

"Parti politik yang mereka pilih mestilah bertanggungjawab memikul amanah bagi menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Tidak ada lain selain dari itu".

Apabila sudah  jelas, maka buatlah penilaian dengan adil dan saksama tanpa emosi tetapi berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.  

Panduan terbaik untuk membuat pilihan ialah undilah parti yang bukan sahaja bercakap fasal menegakkan kebenaran dan melawan kemungkaran tetapi parti yang benar benar melaksanakannya. 

Oleh itu rakyat mesti ada dan perlu mendapatkan maklumat dari berbagai sumber yang dikeluarkan oleh setiap parti yang bertanding dan menilainya sebaik mungkin.

Ingat bahawa parti yang dipilih mesti mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara. Itu asas yang mesti digunakan oleh rakyat.

Ingat juga bahawa rakyatlah yang berkuasa. Dengan itu gunakan kuasa mengundi ini dengan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan undi dengan cara tidak keluar mengundi, merosakkan kertas undi. 

Ingat juga, mengundi ialah bagi membolehkan mana mana parti untuk menubuh kerajaan dan seterusnya bagi mentadbir dan menguruskan aset dan kekayaan negara demi rakyat dan negara.

Rakyat wajib tahu:

i) Parti politik yang masuk bertanding dan bilangan kerusi yang di tandingi. 
ii) Syarat minima untuk menubuh kerajaan.
iv) Prestasi yang ditunjukkan oleh parti politik semasa menjadi kerajaan.

Bagi PRU 14 parti politik yang bertanding adalah terdiri dari UMNO/BN ; PH (PKR, DAP , AMANAH dan PPBM): PAS dan BEBAS.   

Walaupun PPBM atau Bersatu tidak mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan , ahli parti itu tetap bertanding bersama dengan parti parti dalam gabungan PH.

Calun Bebas boleh saja diketepikan kerana ianya tidak mampu menubuhkan kerajaan. 

Syarat minima untuk menubuh kerajaan Persekutuan ialah memenangi 112 daripada 222 kerusi parlimen. Ertinya calun bebas tidak boleh tubuh kerajaan. BN, PH dan PAS sahaja yang berpotensi menubuh kerajaan dengan syarat menang kerusi minima 112.

PAS menyatakan akan bertanding 130 kerusi. Tetapi jika PAS menyatakan keyakinan untuk hanya menang 40 kerusi dan jika menang sebanyak itu maka PAS juga tidak layak membentuk kerajaan.

PAS juga boleh diketepikan. Lagipun PAS tidak mungkin akan menang kerana pengundi PAS hanya terdiri dari orang Melayu yang terpaksa berkongsi dengan UMNO dan PH (PKR, AMANAH dan Bersatu) sedangkan parti parti lain mempunyai sumber pengundi dari bukan Melayu.

Jika mahu tubuh kerajaan, PAS tidak dapat melakukannya. Sia-sia undi diberikan kepada PAS.

Dengan demikian persaingan bagi menubuh kerajaan adalah diantara UMNO/BN dan PH sahaja.

Oleh itu pengundi jangan buang masa menilai selain dari UMNO/BN dan PH. Nilai prestasi parti parti ini. 

UMNO/BN telah menjadi kerajaan semenjak merdeka sehingga Sabtu esok (7 April 2018). Bagaimana prestasi UMNO/BN dalam memberi dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat?

Adakah pada tahap terbaik? Sederhana? Atau setakat 'bolehlah' atau buruk?

Nilaikan perkara atau kes berikut:
i) Kos sara hidup membebankan atau dalam kemampuan rakyat terbanyak.
ii) Bagaimana dengan GST? Membantu turun harga atau harga meningkat sehingga bertambah beban.
iii) Peluang kerja kepada warga negara. Pengangguran meningkat atau tiada pengangguran.
iv) Tahap gaji atau upah berbanding dengan kos sara hidup. Upah atau gaji meningkat seimbang dengan sara hidup atau terlalu rendah.
v) Tadbir urus aset dan kekayaan negara. Adakah  berlaku salahguna kuasa, rasuah , ketirisan dan pembaziran. Ambil contoh kes NFC, 1MDB, MARA dan FELDA. Bagaimana dengan kedudukan hutang dan simpanan negara.
v) Faedah kepada rakyat dari pertumbuhan ekonomi negara. Adakah faedah itu dinikmati oleh sebagian besar rakyat atau sebaliknya.
vi) Adakah bantuan kepada rakyat seperti BR1M sudah mencukupi bagi mengatasi kos sara hidup? 
vii) Bagaimana pula dengan kebebasan institusi penguatkuasaan termasuk kehakiman dalam menjalankan tanggungjawab. Adakah campur tangan atau bebas dari pengaruh eksekutif. Misalnya dalam kes penyiasatan dan pendakwaan rasuah.

Bagaimana pula dengan PH yang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang?

Amat baik, sederhana atau buruk?

Fikir dan nilai perkara perkara berikut:

Bantuan bantuan seperti bas percuma, air percuma dan berbagai bantuan bagi kumpulan tertentu seperti bantuan hospital tidak membantu bagi merengankan beban sara hidup? Bagaimana pula layanan kepada penjawat awam di Selangor misalnya dari segi bayaran bonus tahunan. Adakah bayaran yang lebih dari yang diberikan oleh kerajaan persekutuan itu tidak membantu penjawat awam di Selangor atau Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan pengurusan kewangan? Tahap salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan lebih tinggi dari persekutuan atau negeri negeri di bawah UMNO/BN.

Bagaimana kedudukan hutang dan kemampuan membayar balik berbanding dengan persekutuan dan negeri negeri dibawah UMNO/BN. 

Parti manakah yang lebih baik?

Parti yang lebih baik itulah yang anda patut beri undi untuk menang dan menubuh kerajaan selepas PRU 14. Ingat , jangan sia-siakan undi dengan memilih parti yang mempunayi rekod yang buruk demi kebaikan rakyat dan kemakmuran negara , bukan sahaja bagi jangka masa pendek tetapi bagi jangka masa panjang, demi generasi yang akan datang.

Adalah tidak adil jika kita mewariskan hutang yang terlalu tinggi kepada generasi akan datang . 

Masa depan negara dan rakyat sama ada hidup sejahtera dan makmur atau sebaliknya amat bergantung kepada parti yang dipilih untuk mengurustadbir negara ini. Berhati hati memilih parti itu. 

Selamat Mengundi.