Theflowersellingboy

Isnin, 13 Februari 2017

Mengurus Perbezaan Pandangan.




Saya mahu bicara apa itu berbeza pandangan dan kesan dari berbeza pandangan.

Bagi saya berbeza pandangan itu ertinya mempunyai pandangan yang tidak sama dalam sesuatu hal yang sama.

Kesan berbeza pandangan itu , boleh jadi positif dan boleh juga negatif.

Menurut setengah pihak, berbeza pandangan adalah sesuatu yang perlu diraikan kerana ianya menghidangkan berbagai corak pemikiran dan penilaian keatas sesuatu perkara atau isu.

Berbeza pandangan juga boleh menghasilkan perbalahan, permusuhan dan pergaduhan kerana masing-masing pihak yang berbeza pandangan mahu memaksa pandangan atau pendapat masing-masing diterima.

Jadi perlukah kita berbeza pandangan?

Bagi saya berbeza pandangan tidak dapat dielakkan sama ada ianya menghasilkan kesan negatif atau positif. 

Cuma yang perlu ada ialah satu mekanisma yang boleh mendamaikan/mengharmonikan perbezaan itu atau mengambil pendirian sebagai pemutus dalam sesuatu hal atau isu yang menjadi perselisihan yang perlu diterima oleh pihak yang berbeza. Mekanisma itu akan berfungsi dalam mengurus perbezaan pandangan.

Mekanisma asas ialah satu mekanisma yang tidak berstruktur yang merupakan kawalan dalaman yang mesti ada pada seseorang. Ianya apa yang selalu dipanggil sebagai semangat berlapang dada dan berfikiran terbuka. 

Mekanisma ini memerlukan seseorang itu mempunyai kekuatan untuk mampu menerima kebenaran dan menerima seadanya akan keperluan berbeza pandangan walaupun kebenaran dan sikap menerima seadanya itu tidak menyebelahi pandangannya dan amat menyakitkan. Ego dan kesombongan serta ketaksuban pada sesuatu pegangan atau prinsip perlu dikorbankan.

Ianya mudah diperkatakan tapi berat untuk dipraktikkan. 

Ramai orang cenderung untuk memberi nasihat supaya seseorang itu perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menghadapi perbezaan pandangan. Tetapi apabila perbezaan pandangan itu melibatkan dirinya, tidak semudah seperti yang dicakapkan untuk diterimanya. 

Mekanisma yang lebih berkesan dalam menguruskan perbezaan pandangan ialah mekanisma yang berstruktur dalam bentuk instutusi dan perundangan/peraturan.

Misalnya institusi Mufti dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dalam bentuk fatwa. Tidak dinafikan ada kelemahan dalam hal-hal tertentu tapi melalui fatwa dari institusi mufti ini banyak perbezaan pandangan tentang atau yang berkaitan agama Islam telah dapat diuruskan dengan baik.

Seterusnya perbezaan pandangan yang diselesaikan melalui peraturan dan undang-undang negara. Perbezaan ini adalah perbezaan yang serious yang boleh menjejaskan kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara. 

Keberkesanan penyelesaian berbentuk undang-undang ini sangat bergantung kepada mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya iaitu agensi pelaksana undang-undang. 

Dan yang paling penting mestilah ujud dan diamalkan konsep pengasingan kuasa (separation of power) diantara eksekutif, kehakiman dan perundangan (parlimen). 

Jika mana-mana pihak mencampuri bidang kuasa pihak yang lain, misalnya eksekutif iaitu parti yang menjadi kerajaan mencampuri bidang kuasa kehakiman atau mencampuri diperingkat agensi pelaksana undang-undang maka penyelesaian melalui undang-undang akan tercemar. 

Bermakna undang-undang itu telah gagal berfungsi untuk menjaga kepentingan individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Banyak contoh yang boleh diketengahkan tentang campur tangan ini. Cari dan fikirlah sendiri.

Kesimpulannya, perbezaan pandangan wajarlah diuruskan dengan sebaiknya walaupun sekecil mana apatah lagi perbezaan pandangan yang membawa kepada kerugian dan mengancam kepentingan  dari segi nama baik, nyawa, harta benda keselamatan dan keamanan serta ekonomi individu, kelompok/kumpulan dan negara.

Wallahualam.
 
 
 
 







Jumaat, 10 Februari 2017

POLITIK


POLITIK........satu perkataan yang memberi berbagai makna dan guna, positif mahupun negatif. 

Saya tidak akan menghuraikan kenyataan saya diatas kerana ianya tidak akan memberikan jawapan yang boleh digunapakai , yang boleh dipegang dan dipercayai mahupun ditolak oleh semua dalam apa pun keadaan dan ruang masa.

Politik adalah politik. Itu sahaja yang mahu saya nyatakan.

Ketika ini, di negara kita, politik menguasai setiap dari hembusan dan tarikan nafas rakyat. Ia satu petanda bahawa rakyat Malaysia masih hidup.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Tun Mahathir bisa sahaja menghulurkan tangan kepada Anwar Ibrahim, dengan selamba. Anwar Ibrahim pula yang pernah disumbatkan oleh Mahathir ke dalam penjara , menyambut dengan bersahaja salam politik Mahathir. 

Lim Kit Siang , manusia Cina DAP yang selalu dimashurkan oleh Mahathir pada suatu  ketika dulu sebagai musuh utama Melayu , yang perlu dijauhi , diiringi dengan cacian dan hinaan, sekarang bisa duduk bersebelahan bahu membahu begitu mesra sekali.

Najib Razak, orang yang dipilih oleh Mahathir untuk menggantikan Abdullah Badawi atas kepercayaan bahawa Najib boleh melakukan yang lebih baik menurut ukuran Mahathir, ketika ini sedang menjadi sasaran serangan Mahathir untuk dinyahkan kerana prestasinya tidak mencapai standard yang dimahukan Mahathir.

Sebenarnya untuk sebuah Malaysia yang selamat, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang telah lebih awal mendahului Mahathir dengan menyatakan bahawa Najib bukan orang yang boleh diharapkan untuk menjadi PM.

Sekarang Mahathir sudah akur dan bersetuju dengan musuh ketat politiknya bukan saja tentang kenyataan mengenai Najib bahkan UMNO (Baru) parti yang ditubuhkannya dulu. Najib dan UMNO, kata Mahathir, membawa bencana kepada negara.

Antara Anwar dan Lim Kit Siang, Anwar sentiasa membayangi perjalanan hidup Mahathir, baik sewaktu berjaga mahupun sewaktu tidur.

Pada hari ini Mahathir diberitakan mengadap Anwar di mahkamah, berbincang selama 45 minit, saya yakin, untuk satu matlamat menyingkirkan Najib.

Tanpa restu Anwar, Mahathir tidak mempunyai daya untuk mengenepikan Najib, apatah lagi untuk  menjatuhkan UMNO.

Ini adalah merupakan siri kedua Mahathir mengadap Anwar.

Untuk terus berbicara dan memberi kesan dihati apa yang dibicarakan,  saya perlu mengingatkan kembali, kerana kata Mahathir Melayu mudah lupa, bahawa Anwar adalah  manusia yang Mahathir kata tidak bermoral yang tidak layak menjadi PM. Jangan lupa kenyataan ini.

Bahkan seluruh ahli UMNO dan penyokong Mahathir bersetuju tanpa soal dan menggunakan akal fikiran serta pertimbangan dosa pahala, termasuk mereka yang dikatakan alim ulamak, sentiasa mengulangi ayat bahawa  Anwar adalah manusia rendah moral.

Najib pada peringkat awal memiliki kuasa, bersama dengan geng UMNOnya meneruskan 'kepercayaan rendah moral' Anwar itu, lalu bertindak dengan cara yang sama, menggunakan isu yang sama sebagai justifikasi untuk menyumbat Anwar dalam penjara.

Najib berjaya. Dan Mahathir ketika itu bersama Najib. Najib , Mahathir dan UMNO senyum bangga.
 
Masa berjalan. Mahathir telah mengesan bahawa Najib sudah melencong dari jajaran yang dikehendakinya.

Sebagai PM 22 tahun, lencongan itu amat menyakitkan hati Mahathir. 

Selepas pujuk rayu untuk kembali kepada jajaran yang dikehendakinya tidak dilayan oleh Najib, Mahathir berpatah arang berkerat rotan, bukan sahaja dengan Najib bahkan juga dengan UMNO kerana UMNO berterusan menyokong Najib walaupun UMNO sendiri , saya percaya, mempercayai apa yang Mahathir dakwa tentang Najib.

Mahathir adalah Melayu mudah lupa. Dialah yang telah mengajar ahli UMNO untuk sentiasa taat  kepada pemimpin. Dalam apapun keadaan, pimpinan mesti dipertahankan. Maka apa yang dilakukan oleh ahli UMNO ketika ini adalah taat kepada Najib sebagai pemimpin tertinggi UMNO. 

Bagi UMNO taat itu adalah taat yang diajar oleh Hang Tuah. Taat itu tidak bermaksud mempertahankan kebenaran. Taat itu adalah bagi mempertahankan institusi yang bernama UMNO supaya terus berkekalan walaupun buat seketika institusi itu diterajui oleh pemimpin yang bermasalah. 

Pemimpin boleh datang dan pergi. Institusi tempat berteduh dan bernaung, mesti dipertahankan.

Apabila nanti Najib tidak menjadi presiden UMNO/PM, sedikit silap yang dilakukan oleh Najib akan diulang sebut dan dikatakan telah melakukan kesalahan besar dan perlu dihukum. 

Samalah dengan Mahathir yang bukan lagi presiden UMNO. Habis kisah-kisah lama mahu dibangkitkan oleh ahli UMNO. Bahkan ada yang mengeluarkan kata-kata bahawa Mahathir perlu dihadapkan ke mahkamah.

Sekarang Mahathir bersama Lim Kit Siang bekerja keras untuk menjatuhkan Najib dan UMNO. Gabungan dua tenaga yang bermusuh bertukar menjadi kawan ini, tidak cukup untuk menjatuhkan Najib.

Anwar Ibrahim adalah tenaga yang sebenarnya yang jika digabungkan bersama dengan Mahathir dan Lim Kit Siang, Najib sudah pasti pada kepercayaan umum akan merengkok dalam penjara.

Mahathir menyedari perkara ini. Sebab itu dua kali mengadap banduan Sg. Buluh yang pada suatu ketika dulu beliau sumbatkan ke dalam penjara.

Bayangkan seorang bekas PM 22 tahun sanggup mengadap seorang banduan rendah moral. Bukan sekali tapi dua kali. Mungkin berterusan.

Mengadap adalah perkataan yang hanya sesuai bagi tujuan mendapat persetujuan atau arahan yang hanya dilakukan oleh orang bawahan terhadap orang atasan.

Tapi mengadap seorang banduan oleh bekas PM adalah satu perkara luar biasa dalam pengertian dan kamus mana-mana sistem sosial.

Mahathir sanggup melakukannya.  Anwar pula memperkenankannya . Lim Kit Siang turut menyokong.

Hidup Malaysia! Selamatkan Malaysia!

Bagaimana caranya? 

Bebaskan Anwar terlebih dulu!

Itulah Politik.
 
 

 












Jumaat, 3 Februari 2017

Harga Minyak Naik Dua Posen Jer....Mengapa Marah Pada Kerajaan BN




Harga minyak naik dua puluh sen jer. Bukan banyak pun. Satu Malaysia hebuh, marah-marah.  Tapi dapat BR1M satu ribu lebih tak pulak mahu puji kerajaan BN . Aper lah , tak tahu bersyukur.

Kerajaan BN bukan tak prihatin. Naik sajer minyak, kita beri minyak percuma. Berbaris orang ambil minyak percuma. Sebab kiter tak mahu susahkan rakyat. Berapa banyak wang kita keeluarkan untuk beri minyak percuma. Itu pun dia orang tak nampak. Pandai komplen sajer.

Dia orang ni ingat kita sajer suka-suka naik harga minyak. Dia orang tak tahu minyak kita , minyak bertapis, kualiti tinggi berbanding dengan minyak di negara lain. 

Walaupun harga minyak dunia turun kita tak boleh ambil contoh harga minyak dunia yang turun. Kita mesti lihat dari segi kualiti minyak yang ada di pasaran kita. Minyak kita minyak bertapislah.

Pembangkanglah yang kaki fitnah, menyalahkan kerajaan BN. Pada hal kerajaan BN memahami denyut nadi rakyat. Tahu apa yang rakyat mahu.
 
Rakyat mahu BR1M. Pembangkang kata BR1M tu rasuah. Tapi penyokong pembangkang lah yang cepat berbaris minta BR1M. Penyokong BN tak lah macam tu. Tak pelahap macam penyokong BN. 

Apa yang kerajaan BN semua tak baik. Kerajaan BN mahu jaga kesihatan rakyat, pembangkang tak setuju. 

Tengok bila kerajaan BN minta rakyat kurang penggunaan gula kerana gula itu tidak baik kepada kesihatan, pembangkang marah sangat. Dia orang kata kita nak naikkan harga gula. Pada hal tujuan Kerajaan BN adalah suci murni  bagi mengelakkan sakit kencing manis, obis dan sakit jantung.

Jadi Kerajaan BN hapuslah subsidi gula , bukan naikkan harga. Itulah cara yang terbaik berbanding dengan membiarkan rakyat tidak sihat. Bila rakyat tak sihat, produktif akan menurun. Jadi macam mana nak mencapai negara maju berpendapatan tinggi jika rakyat tidak sihat.

Memang kerja pembangkang suka buat fitnah.

Kerajaan BN menarik pelabur dari negara Cina pun pembangkang tak suka. Kerajaan BN dituduh menjual negara kepada Cina hanya kerana Kerajaan BN buat pinjaman dari bank negara China.

Pembangkang ni tak tahu tentang perkara asas bagi membangunkan negara. Nak bangunkan negara mestilah pakai wang. Tambah-tambah melibatkan projek yang besar seperti kereta api pantai timur dan bandar Malaysia.

Negara tak boleh membangun secara retorik air liur. Kerajaan BN perlukan wang. Pinjaman perlu kerana hasil kerajaan yang ada misalnya dari kutipan GST kita mahu pulangkan kepada rakyat. Kerajaan BN bukan dari jenis spesis joli katak.   

Pembangkang juga tuduh kerajaan BN menjual aset negara kepada negara China seperti tanah di Sg Besi. Bodohnya pembangkang ni. Macam mana nak membina bangunan kalau tak ada tanah. Bodoh tahap gila pembangkang ni.

Langsung pembangkang tak terfikir akan pengurbanan yang telah dibuat oleh kerajaan BN dengan membuaat hutang sehingga menghampiri tillion ringgit demi pembangunan negara untuk keselesaan rakyat. Bukan billion. Trillion lah oiii.

Beri contoh, mana satu kerajaan didunia sanggup memikul beban hutang yang tinggi. Semuanya untuk negara dan rakyat. Jadi jangan  kelirukan rakyat dengan mengatakan rakyat terbeban dengan hutang. Generasi akan datang akan terbeban dengan hutang. Semua itu pembohongan besar dari pembangkang.

Kerajaan BN berhutang bukan sajer suka berhutang tapi berhutang untuk membangunkan negara. Pembangkang ader faham?

Sekarang marah pula kat Felda dan TH yang telah memberi jasa kepada orang Melayu. Felda yang telah lama membantu ekonomi Melayu, yang telah banyak menjadikan orang Melayu jutawan, dituduh menghadapi kerugian. Eiih kalau rugi macam mana boleh hasilkan ramai jutawan.

TH pula dikatakan rugi. Oii kalau rugi macam mana boleh bayar dividen dan bonus.

Ini semua perancangan jangka panjang DAP untuk menjatuhkan ekonomi orang Melayu dan Islam. 

Sebenarnya DAP lah yang akan jadi ketua kerajaan jika pembangkang menang dalam PRU 14. Abislah jawatan PM dan TPM dibolot oleh DAP. PKR jadi kuda tunggangan sajer. Amanah, parti nyamuk itu aper ada kuasa. Ikut sajer lah hidung ditarik oleh Cina DAP.

Jadi mengapa mahu percaya kepada pembuat fitnah. Bukankah fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh?

Tengok sekarang ni kerajaan BN begitu serious dalam memerangai rasuah. Dah banyak tangkapan dibuat. Tapi pembangkang terus menerus bangkitkan fasal 1MDB yang kisahnya banyak dongeng dari kebenaran. 

Pembangkang lebih percaya pada kuasa asing berbanding dengan peguam negara sendiri yang telah dengan jelas menyatakan bahawa tiada kes rasuah yang melibatkan PM dan 1MDB. Sebab itu kes tutup. Aper pembangkang mahu?

Tak habis-habis suruh tangkap MO1. Aper da pembangkang ni, dah bengkrap isu dan tak ada modal ker. Terpengaruh sangat dengan mainan kuasa asing. Entah-entah ada konspirasi dengan kuasa asing bagi menjatuhkan kerajaan BN pilihan rakyat secara demokrasi.

Pembangkang kata 1MDB rugi dan banyak masalah. Ini semua dusta. Ini semua cerita rekaan dari pihak asing untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. 

Negara luar sebenarnya cemburu dengan kejayaan 1MDB yang mana satu dari personaliti penting yang menggerakkan 1MDB ialah rakyat Malaysia berketurunan China. Jadi difitnahlah personaliti itu   dengan sesuatu yang tidak masuk akal bertujuan untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap personaliti China rakyat Malaysia itu. Matlamat akhir untuk memecahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Perkara baik yang telah dilakukan oleh 1MDB melalui Yayasan 1MDB yang menghantar beribu orang jemaah haji ke Mekah tidak pula disebut oleh pembangkang. Bukankah ini satu kerja baik? 

Tengok jahatnya pembangkang. Oleh itu pilihlah BN pada PRU 14. Jangan jadikan kenaikan harga minyak dua posen sajer itu sebagai satu kebencian dan tidak mengundi BN. 

Tak caya pada BN ker? Caya pada pembangkang?