Theflowersellingboy

Sabtu, 6 Ogos 2016

Pak Jan Dengan Empat Ekor Lembunya (3)



Pak Jan mengayuh basikal menuju ke rumah pasong di kampong sebelah. Dia mahu segera membawa balik empat ekor lembunya. 
 
Sambil mengayuh basikal tuanya Pak Jan tersenyum diikuti dengan pujian kepada isterinya, "Bijak sungguh isteriku , tak sangka".
 
Mak Mah sedih amat sangat apabila ditengking oleh Pak Jan sehingga beliau menangis. Bagi Mak Mah, kata 'pompuan' yang keluar dari mulut suaminya itu adalah satu panggilan yang bersifat memandang rendah terhadap kaum perempuan, khusus dirinya. Panggilan seperti itu seolah-olah memberi tahu bahawa orang perempuan tidak mampu berfikir dalam menghadapi masalah, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah.
 
"Apa masalahnya bang?" Mak Mah bertanya sebaik dapat menenangkan diri dan berhenti dari menangis akibat dari ditengking oleh Pak Jan.
 
"Takkan awak tak tahu", suara Pak Jan masih tinggi bernada marah. "Awak setuju kita jual sekor dua lembu tu untuk membayar ganti rugi yang diminta oleh menejer estet orang putih tu?"

"Abang.....", mak Mah bingkas bangun. Suaranya tinggi, bukan lagi suara seorang isteri bercakap dengan suaminya. Dia semacam sudah mempunyai kekuatan baru untuk berhadapan dengan suaminya, bukanlah sebagai seorang 'pompuan'. "Tidak setuju". Mak Mah tegas.

Pak Jan yang masih lagi sedang bersandar didinding serambi rumahnya memandang Mak Mah. Dia sedikit terpinga dan tidak percaya Mak Mah berani bersuara tinggi. Dalam ingatannya, sepanjang mereka bersama belum pernah dia mendengar Mak Mah bersuara tinggi walaupun dalam hal-hal yang tidak menyebelahi isterinya itu. Kali ini lain sekali pompuan ini.

"Semua empat ekor lembu itu sudah ada yang punya. Tak boleh di jual". Tegas Mak Mah.
 
Pak Jan tidak mahu berhujah balas. Dia pun telah bersetuju dengan apa yang telah dirancang oleh isterinya keatas empat ekor lembunya itu. Cuma dia jadi buntu untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi seperti yang diberitahu oleh Tok Ali Ketua Rumah pasong kampong sebelah, jika mahukan empat ekor lembunya dilepaskan dan dibawa balik ke rumah.
 
"Duitnya Mah. Mana nak cari?", Suara Pak Jan seperti orang merayu.
 
"Macam ni bang. Saya setuju lembu yang bunting itu di jual. Tapi dengan syarat lembu itu masih ditangan kita. Setuju? Kata-kata Mak Mah ini lagi membingongkan otak kepala Pak Jan. Macam mana lembu yang dijual masih lagi jadi miliknya? Gila kah isteriku ini?
 
"Awak ni mengigau kah?" Tanya Pak Jan.
 
"Saya pompuan bang, otak sentiasa berjalan", Pedihnya tikaman kata-kata sindiran dari Mak Mah bahawa jangan anggap orang pompuan mudah buntu dalam menghadapi sesuatu masalah.
 
Pak Jan senyap, tidak berkata apa-apa. Dia sedang menunggu penjelasan Mah Mah tentang formula 'jual dan milik semula' lembu yang bunting itu.
 
Mak Mah menghuraikan formula magiknya itu, jual dan milik. Dia bermula dengan mengenalpasti apakah matlamat mereka dalam kes lembu yang kena tangkap itu, dan cara mencapai matlamat.
  
Matlamatnya: Empat ekor lembu boleh dilepaskan dan dimiliki semula dan bayaran ganti rugi boleh dibayar.
 
Cara mencapai matlamat: Jual lembu yang sedang bunting.
 
Justifikasi: Lembu yang bunting boleh mendapat harga yang baik. Mungkin boleh laku lebih dari satu ratus. Tapi terima sahaja harga satu ratus sebagai daya menarik orang minat membelinya.
 
"Bila dah jual, lembu itu pembeli yang punya. Dan siapa yang nak membeli lembu tu", Pak Jan meragui formula Mak Mah boleh menjadi realiti.
 
"Bang, kita rundinglah dengan Tok Ali, ketua Rumah Pasong tu. Minta dia beli. Saya percaya dia akan bersetuju. Sebab dia beli dua ekor lembu pada harga yang murah. Kita minta lembu itu kita yang jaga tak payah kena bayar apa-apa. Nanti kalau lembu itu dah biak kita bagi dua", Mak Mah menjelaskan formulanya sedikit panjang.
 
Pak Jan menganggok-anggok kepala, termakan diotak kepalanya bahawa ini satu jalan penyelesaian yang baik.
 
Kemudian datang satu lagi persoalan. Adakah Tok Ali berminat untuk membeli?
 
"Dua ekor lembu bang. Tapi kita jual dengan harga seekor saja. Takkan tak terliur Tok Ali", Pak Jan terasa bahunya dipicit-picit oleh isterinya semacam memujuk.
 
"Bagaimana jika Tok Ali mahu bela lembu itu sendiri", keraguan terakhir akan formula Mak Mah itu disuarakan oleh Pak Jan.
 
Mendengarkan kata-kata Pak Jan itu , Mak Mah ketawa besar lalu berkata, "Manalah ada tempat Tok Ali itu nak bela lembu, bang. Dia kan polis", Mak mah terus ketawa. Pak Jan tersengeh-sengeh sedikit malu kerana tidak mampu berfikir perkara semudah itu.

Melihat Pak Jan melangkah  menuju ke basikal untuk ke rumah pasong berjumpa Tok Ali, Mak Mah meminta Pak Jan membawa dua tiga biji buah durian sebagai buah tangan kepada Tok Ali.
 
Pak Jan menganggok dan tersenyum.
 
Krikkkkk bunyi brek sebuah kereta mengelak dari melanggar Pak Jan.
 
Wuuuuuuh......nasib baik.
 
Pemandu kereta itu tidak berhenti. Dan Pak Jan pula terus kayuh basikalnya ke rumah pasong yang sudah jelas kelihatan. Harap harap Tok Ali bersetuju.
 
 
  
 

Jumaat, 5 Ogos 2016

Pak Jan Dengan Empat Ekor Lembu (2)




Pak Jan menyandarkan badannya di serambi rumahnya. Dia berfikir kuat sekali. Dahinya berkerut. Dia cuba mencari jalan menyelesaikan kebuntuan yang dihadapi. 
 
'Macam mana empat ekor lembunya dapat diselamatkan, untuk dibawa balik dan dimasukkan ke dalam kandang di belakang rumahnya'.
 
Apa masalahnya? Pak Jan menyoal dirinya sebagai langkah pertama bagi memecahkan kebuntuannya.
 
Sudah tentu  bukan fasal mendapatkan semula empat ekor lembunya yang kena tangkap. Kalau itu , ianya mudah diatasi. Jalan penyelesaian telah pun diberikan oleh Tok Ali ketua rumah pasong kampong sebelah. Bayar saja ganti rugi yang diminta oleh menejer estet itu. Selesai.
 
Jalan kedua, masuk mahkamah. Selesai.
 
Jadi apa masalahnya?
 
Duit oh duit. Mana nak ambil duit.
 
Jual lembu?
 
Tiba-tiba wajah Mak Mah terbayang dihadapannya sebaik saja idea jual lembu diketengahkan. Mukanya masam bercampur sedih, memberi isyarat tidak bersetuju idea menjual  lembu itu. Mak Mah sudah sedia dengan rancangan sendiri bagi memenfaatkan empat ekor lembunya itu.
 
"Bang, esok kalau ada jodoh si Leman nanti saya nak tumbangkan sekor lembu ni. Si Itamtu.  Si Kuning tu, buat kekah bakal cucu pertama kita tu. Bulan depan katanya Si Milah tu bersalin. Si Moo yang jantan itu kita buat baka, jangan jual. Si Kuyu tu kita biakkanlah. Nampaknya macam dah bunting".

Waduh, itu masalahnya!
 
Duit! Duit ! Duit! Mana nak cekau ni!
 
Suara keluhan Pak Jan kuat sekali sehingga menghinggapi telinga Mak Mah yang sedang sibuk di dapur.

"Nak cekau apa bang?" Muncul Mak Mah, menghilangkan bayangan wajah Mak Mah yang ada dalam otak Pak Jan. Pak Jan sedikit keliru. Adakah ini bayangan atau Mak Mah yang sebenar. Dia menggosok-gosok matanya. Benar, tidak silap. Yang berdiri di hadapannya ialah isterinya Mak Mah.
 
"Apa yang nak cekau tu bang"? Tanya Mak Mah.
 
"Tak boleh selesai masalah", Pak Jan tidak menjawab apa yang ditanya oleh isterinya. Dia menambahkan satu lagi pertanyaan.
 
"Masalah apa bang?"
 
Pucat jadinya muka Mak Mah apabila ditengking olah Pak Jan yang telah naik darah dengan pertanyaan yang menyakitkan hatinya. Takkan isterinya tidak mahu memikirkan soal empat ekor lembu yang kena tangkap itu. Macam mana nak keluarkan lembu itu dari kandang di rumah pasong.
 
"Pompuan!" Keluh Pak Jan
 
"Apa salah saya?" Air mata Mak Mah mula mengalir
 
........bersambung

Selasa, 2 Ogos 2016

Nasihat Dari Seorang Kawan: Jangan Gatal Gatal Tangan.




Menerima satu kiriman mesej dari seorang kawan. Beliau ingatkan, 
 
"Jangan gatal-gatal tangan tulis ikut hati nurani  dan timbangan fikiran atas nama kebenaran bagi menegakkan yang makruf dan menghalang serta mencegah yang mungkar. 
 
Selagi yang diperkatakan itu ada kaitan dengan pemerintah, lebih baik buat diam, jangan ambil kisah. Melainkan kau nak masuk penjara, nasihat ini kau ketepikan".

Begitulah antara lain nasihat yang diterima. Nasihatnya amat panjang sekali dengan memberi sebab-sebab mengapa saya jangan gatal-gatal tangan.

Saya faham. Saya pun maklum akan keadaan sekarang ini. Mana mungkin mentimun boleh melawan durian. Digolek hancur, menggolek pun lebur.

Ya, mengapa saya perlu ambil kisah tentang hal ehwal negara. Siapa saya? Hanya warga biasa. Saya bukan  ahli politik. 
 
Biarlah orang politik yang sentiasa mahu berebut kuasa itu yang ambil kisah. Kalau ada yang kena masuk jel, berbaloi juga kerana 'stake'nya tinggi iaitu ada kuasa yang hendak direbut.
 
Apa yang saya dapat kalau saya gatal-gatal tangan tulis fasal amanah dan salah guna kuasa? Dapat jel saja.
 
Apa pula yang saya dapat jika saya mendiamkan diri bila saya tahu ada pihak yang diberi amanah telah pecah amanah? 
 
Sudah tentu saya bebas tak masuk dalam jel. Bukankah ini pilihan yang paling baik.
 
Betul juga nasihat kawan saya itu. Lebih baik duduk diam, ontok-ontok saja.
 
Tidak mengapa dalam hati rasa sakit yang membengkak. Biarlah denyutan jantung semakin cepat. Biarlah kemarahan itu dipendam saja.  Asalkan segala-galanya tidak diminta tangan untuk menulisnya.
 
Kena strok? Itu sudah ditakdirkan.
 
Saya kena terima realiti. Bukan merealisasikan satu ideal bagi sebuah negara yang menjadi idaman setiap warga negaranya. 
 
Lupakan ideal itu. Lagipun tiada sebuah negara di dunia ini yang mampu mencapai tahap yang ideal. Ada saja kelemahan dan kekurangan. 
 
Penyebab utamanya ialah persaingan untuk merebut kuasa dan terus mahu mengekalkan kuasa walau apa pun keadaan sekalipun. Masing-masing apabila ada kuasa dan berkuasa mempunyai kebebasan untuk memberi tafsiran kepada tindakan yang mereka lakukan termasuklah memberi makna dan liputan kepada perkataan dan istilah yang digunakan.
 
Misalnya apa yang boleh dimasukkan sebagai 'yang merosakkan nama baik dan keselamatan negara'?
 
Apa saja boleh dimasukkan meliputi keadaan diatas. Yang hitam boleh menjadi putih.
 
Ianya bukan satu perkara yang pelik. Ada saja penyokong jika hitam iu dikatakan putih. 
 
Ertinya jika ada kain berwarna hitam dan ada pula yang mengesahkan bahawa kain itu berwarna hitam, jangan hairan jika ada pihak lain pula mengatakan kain hitam itu putih. Dan jangan jadi bingong bila mendapati  bilangan yang menyokong hitam itu putih mengatasi mereka yang mengatakan hitam itu hitam. .

Itulah sebabnya, jika anda mahu dikenakan, walaupun apa yang anda kata itu sesuatu yang benar, tindakan anda itu boleh saja sewenang-wenangnya ditafsirkan sebagai boleh merosak dan meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

Itulah nasihat akhir kawan saya itu. Dan saya percaya.
 
Oleh itu saya tidak lagi ada nafsu untuk terus menulis. Kalaupun mahu gatal-gatal tangan saya hanya  menggatal tangan menulis cerita-cerita kartun dan berbagai dongengan seolah-olah saya berada dalam alam fantasi.