Theflowersellingboy

Isnin, 5 Oktober 2015

Adakah Berita Baik Yang Akan Diberitahu Oleh Doktor IJN Pada Esok Hari?




Saya telah menjalani pembedahan CABAG (pembedahan terbuka pintasan jantung) pada tahun 2006. Ertinya sudah 9 tahun.  Alhamdulillah jantung saya sihat.
 
Perjumpaan dengan doktor bagi rawatan susulan diadakan setiap tiga bulan bagi 5 tahun pertama, dan dikurangkan kepada dua kali selepas itu, dan akhirnya pada tahun ke 7 dan berikutnya dikurangkan kepada sekali setahun. Pengurangan itu adalah disebabkan jantung saya sihat, lagipun bilangan pesakit telah semakin bertambah. 
 
Pada tahun pertama sehingga tahun ke 7 saya amat patuh dengan nasihat yang diberi oleh doktor, dari segi makan ubat, mengelak atau mengurangkan makanan berlemak dan berminyak, mengurangkan kandungan garam dan gula, dan melakukan senaman.

Tapi selepas itu saya telah melanggar pantang larang.
 
Minggu lepas saya sudah beri darah pada IJN. Esok hendak tahu apa yang darah itu beritahu tentang kesihatan jantung saya. 
 
Doktorlah yang akan beritahu -bacaan kolesterol berapa, berapa kolesterol baik dan berapa kolesterol jahat; kandungan gula setinggi mana; bagaimana dengan tekanan darah tinggi dan macam-macam lagi.
 
Yang penting, saya hendak tahu jantung saya ok, semua ok, terkawal.
 
Tapi adakah berita baik yang akan disampaikan? Kalau berita baik, senanglah hati.
 
Sebaliknya, jika berita kurang baik? Susahlah hati.
 
Berita baik atau tidak baik, tidak sepatutnya saya fikirkan sekarang ini atau esok hari kerana ianya langsung tidak akan merubah bacaan darah saya oleh doktor. Terima sajalah apa yang akan diberitahu oleh doktor.
 
Keputusan bacaan dari darah itu adalah hasil dari cara hidup yang saya telah jalani sebelum menyerahkan darah untuk pemeriksaan doktor.
 
Ertinya bacaan pemeriksaan darah itu adalah hasil dari: Pertama, adakah saya mematuhi dari segi memakan ubat yang telah ditentukan. Kedua, apa jenis makanan yang saya ambil dari segi kandungan makanan itu misalnya yang tinggi lemak dan berminyak, kandungan garam, gula dan banyak sedikitnya makanan itu yang saya makan. Ketiga, adakah saya melakukan senaman.
 
Dari segi makan ubat, saya patuh sekali. Tidak pernah tertinggal. Selesai.
 
Tentang makanan pula, semenjak setahun yang lepas saya tidak memberikan perhatian yang berat. Boleh kata semua saya makan sama ada yang tinggi lemak, masin dan yang manis. Saya berpantang juga tetapi tidak seperti diawal melakukan pembedahan jantung sehinggalah pada tahun yang kelima.
 
Dan semenjak setahun yang lepas juga saya telah berhenti melakukan senaman.
 
Jadi saya tidak nampak doktor akan memberitahu sesuatu yang menggembirakan tentang jantung saya pada esok hari. Saya kena terima. Salah sendiri. Namun masih mengharapkan yang terbaik, insya Allah.







 
 
 
 
 
 
 
 

Ahad, 4 Oktober 2015

Malaysia Yang Berjerebu: Alam Berjerebu, Ekonomi Berjerebu, Politik Berjerebu, dan Kita Rakyat Sisihkan Yang berjerebu Ini.




Jerebu. Alam jerebu, politik jerebu, ekonomi jerebu. Pendek kata semua berjerebu di Malaysia ini.

Jerebu alam mengelabukan pandangan persekitaran dan mengurangkan kejelasan jarak jauh pandangan. Mata menjadi gatal dan pedih berair.

Hidung menghidu bau asap, jadi gatal-gatal dan berair. Tekak gatal-gatal dan kering. Jika terlalu lama terdedah dengan jerebu, ruang pernafasan menjadi sempit membuatkan seseorang itu susah bernafas dan diserang semput terutama penghidap penyakit asthma.

Langit menjadi kelabu kerana jerebu menghalang sinaran matahari dari kelihatan dengan terang dan jelas, seolah-olah langit berada  dalam keadaan mendung mahu tunggu saat hujan. Tapi persekitaran terasa panas berbahang.

Maka dikeluarkan arahan dan nasihat agar jangan terlalu lama mendedahkan diri dari jerebu ini. Aktiviti luar dikurangkan atau seboleh-bolehnya dielakkan. Sekolah diistiharkan tutup.

Jerebu alam memberi kesan yang buruk bukan saja kepada kebersihan udara persekitaran yang menyebabkan kemerosotan mutu kesihatan dan pertambahan bilangan penyakit dan pesakit bahkan juga kepada produktiviti tenaga kerja, pengeluaran hasil tanaman dan ternakan, penghasilan tangkapan nelayan dan gerak kerja luar yang membabitkan kerja-kerja pembinaan dan aktiviti sukan padang/ruang terbuka termasuk pembelajaran.

Oleh itu finomina jerebu ini wajar diatasi segera. Semua pihak mestilah bertanggungjawab dan memberi kerjasama agar keadaan berjerebu ini tidak berterusan. 

Orang awam jangan melakukan pembakaran terbuka. Tuan punya syarikat perladangan seperti kelapa sawit dan sebagainya hendaklah memberhentikan amalan menggunakan kaedah pembakaran sebagai cara untuk mempercepatkan penyediaan kawasan tanaman dan pada kos yang rendah.

Pihak berkuasa pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan mengambil tindakan keatas mana-mana pihak yang melakukan kerja-kerja pembakaran terbuka.

Selain dari jerebu alam, ketika ini, kita juga berada dalam persekitaran jerebu politik.  Politik yang kelabu yang menyerang parti pemerintah dan parti pembangkang, yang kedua-duanya tidak jelas di mana arah yang hendak dituju. 

Dari segi parti yang memerintah, BN, kejerebuannya amat teruk sekali. Hubungan diantara mereka terutama antara UMNO dan parti komponen yang lain khususnya MCA adalah berjerebu sekali. 

Pandangan mereka sudah jadi kelabu, dan dengan itu selalu berlanggar di perjalanan yang menyebabkan masing-masing tuduh menuduh menyalahkan diantara satu dengan yang lain. Lagak mereka  seperti anjing dengan kucing, saling serang menyerang dan sentiasa bersangka buruk. 

Kalau pandangan jarak dekat pun sudah berjerebu, apatah lagi untuk mampu melihat jarak yang lebih jauh.

Kejerebuan hubungan ini bukan saja berlaku diantara parti, bahkan hubungan sesama ahli parti pun telah lama dan masih bereterusan melanda terutama UMNO. Boleh dikatakan keadaan jerebu UMNO sekarang ini adalah pada tahap kritikal dimana ada pihak dalam parti itu yang mahu menyingkirkan presiden UMNO yang juga pengerusi BN, dan Perdana Menteri.

Begitulah juga dengan MCA dan MIC yang semacam hilang arah. 

Oleh kerana parti BN menjadi pemerintah, kejerebuan yang menghinggapi parti-parti itu boleh, telah dan sedang memberi kesan buruk keatas kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Apa yang berlaku dan kita alami sekarang ini? Hendak dikatakan politik kedamaian tapi dalam masa yang sama menggalakkan permusuhan. Hendak dikatakan politik kemakmuran tapi dalam masa yang sama melakukan salah guna sumber dan pembaziran. Hendak dikatakan politik bermaruah, merdeka  dan kesejahteraan rakyat tapi dalam masa yang sama mengongkong dan menyekat kebebasan melalui berbagai cara dan undang-undang. 

Kelabu, sungguh kelabu. Ramai rakyat jadi keliru.

Parti-parti pembangkang yang dulunya kelihatan berkesan untuk dapat memainkan peranan menyeimbangkan tindak tanduk kerajaan demi negara dan rakyat, telah juga dilanda jerebu, sehingga masing-masing mempunyai arah tuju bukan untuk kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya untuk kepentingan ego masing-masing -siapa lebih besar dan berpengaruh.  Rakyat jadi mangsa.

PR sudah hancur. DAP dan PAS sudah mengambil peranan sebagai kucing dan anjing, bahkan lebih teruk dari dua makhluk Allah itu. 

PKR, dalam usaha untuk memulihkan kesepakatan pembangkang dengan bersama-sama merestui penubuhan parti Amanah dan menubuhkan pakatan baru pembangkang yang diistiharkan sebagai Pakatan Harapan (PH), dan dalam masa yang sama masih mahu bekerjasama dengan PAS yang berulang kali menolak kerjasama dengan PH, sekarang ini diberitakan terbahagi kepada dua kumpulan.
 
Jadi harapan rakyat untuk sebuah kerajaan bagi menggantikan BN yang berjerebu itu, dan paling kurang sebagai sebuah pakatan pembangkang yang kuat bersatu padu demi mengimbangi BN, kelihatan tinggal harapan saja kerana angin membawa jerebu semakin kuat menguasai persekitaran pembangkang.

Jerebu yang melanda BN dan jerebu yang melanda pembangkang, risikonya negara dan rakyat yang tanggung. 

Ekonomi kita tidak mudah pulih dan tumbuh segar. Lihat saja masalah 1MDB -ianya tidak akan segera dapat diatasi. Lihat saja kedudukan nilai ringgit kita, dianya lebih ke arah menurun. Lihat sahaja bilangan pekerja yang diberhentikan kerja, semakin bertambah. Lihat saja anak-anak muda yang tidak dapat kerja sama ada pada tahap SPM, STP, Diploma, Ijazah dalam berbagai bidang. Bahkan ketika ini banyak lulusan doktor perubatan yang tertunggu-tunggu untuk mendapat kerja.

Dan lihat saja kepada kos sara hidup. Indeks harga barang keperluan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah terlalu tinggi diluar kemampuan sebahagian besar rakyat.

Mengapa jadi begini? Jawabnya jerebu. Jerebu alam, jerebu politik, jerebu ekonomi dan berbagai jerebu lagi. Dan jerebu yang paling merosakkan ialah jerebu politik terutamanya parti politik yang menjadi kerajaan.

Jadi, kita rakyatlah yang bertanggungjawab untuk menentukan jerebu ini tidak berterusan. Bagaimana caranya? Jangan lakukan pembakaran terbuka untuk kita dapat hidup selesa dalam persekitaran tanpa jerebu.

Dan paling utama , rakyat mesti menolak parti politik yang suka hidup dalam keadaan jerebu, khususnya BN kerana parti itu lebih cenderung kepada jerebu - menimbulkan permusuhan dikalangan rakyat, menyalahgunakan sumber negara dan menyediakan persekitaran bagi menakut-nakutkan rakyat.

Tapi apa yang boleh diharapkan kepada pembangkang yang lebih mementingkan ego -siapa besar dan siapa yang ada pengaruh? 

Menjadi kerajaan? Entahlah, pandangan saya masih diliputi jerebu.

Menjadi pembangkang yang kuat agar kerajaan tidak boleh sesuka hati membuli rakyat? Entahlah, situasi yang kelihatan setakat ini tidak meyakinkan saya ianya mudah kearah itu, jerebu juga jawabnya.
 
Tapi kita mesti sentiasa ada harapan. Jika kita bersama-sama menyisihkan jerebu-jerebu itu dari kalangan ahli politik, insya Allah kita akan dapat sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan persekitaran yang bersih, penggunaan sumber yang berkhemah dan kehidupan rakyat yang bersatu padu. 
   

Khamis, 1 Oktober 2015

IJN, Saya Datang.....Macam mana Jantung Saya?




7 Oktober 2015, temu janji dengan doktor IJN. Untuk tujuan itu kena ambil darah lebih awal, sekurang-kurangnya 2 hari dari tarikh temu janji..
 
Maka pada hari ini, pukul 8 pagi bergerak dari rumah anak di South View Ampang menuju ke IJN . Sampai di IJN, tempat letak kereta yang terbuka sudah penuh. Namun masuk juga ke kawasan itu dengan harapan ada yang akan keluar.  
 
Selain saya, ada dua orang yang menunggu untuk ruang tempat letak kereta. Kami menunggu dalam kereta dengan injin kereta terus hidup.
 
Dua orang yang lebih awal menunggu itu , mungkin sudah jemu menunggu, beredar, meninggalkan saya seorang. Ertinya jika ada yang keluar, saya akan dapat tempat yang dikosongkan itu nanti. Saya tersenyum sendirian.
 
Namun begitu dalam beberapa minit dua buah kereta berhenti dibelakang kereta saya, menunggu bagi tujuan yang sama.
 
Lebih dari 20 minit menunggu, masih lagi tiada ruang kosong, saya memutuskan untuk keluar dari kawasan meletak kereta terbuka itu untuk ke ruang letak kereta tertutup iaitu dalam bangunan kompleks IJN.
 
Sebelum sempat keluar dari kereta untuk membayar tiket letak kereta,  seseorang menuju ke keretanya untuk keluar. Saya berasa lega kerana akan dapat meletakkan kereta di tempat kosong itu.
 
Tiba-tiba kereta yang dibelakang saya terus maju ke hadapan dan memberi lampu isyarat untuk masuk ke ruang yang akan dikosongkan itu.
 
Saya tidak berbuat apa-apa hanya memandang saja. Saya tidak percaya tindakan sebegitu mampu dilakukan oleh seseorang yang menunggu, yang juga tahu ada orang lain yang telah lama menunggu.
 
Tidak mengapa. Telah ditakdirkan rezeki orang itu, saya berhujah sendiri , lalu segera membayar tiket dan keluar dari kawasan itu menuju ke tempat kereta dalam bangunan. Jantung saya berdenyut seperti biasa. Saya senyum.
 
Hanya beberapa minit saya dapat satu ruang tempat letak kereta. Seronok sekali.
 
Saya menuju ke makmal mengambil darah.
 
Setelah mengambil number giliran, saya duduk diatas kerusi di ruang menunggu. Ada tiga orang sedang menunggu. 
 
Dalam masa menunggu, perasaan ngeri mula datang walaupun ini bukan kali pertama darah saya diambil. 
 
Saya memang tidak berapa suka jika disuntik. Bukan takut, tapi rasa  semacam ngeri apabila membayangkan jarum itu dicucuk ke dalam kulit/urat darah. Saya merasa seronok jika ada orang lain yang terkemudian dari saya mendahului saya. Lagi lambat lagi baik.
 
Sayang, harapan saya hancur. Number saya naik menurut turutan. Tidak ada pintasan number . Tidak seperti apa yang berlaku di kawasan letak kereta terbuka tadi dimana orang itu potong que.
 
Maka masuklah saya ke dalam bilik mengambil darah. 
 
Saya diminta duduk diatas kerusi yang ada sandar kepala. Perawat menanyakan nama saya untuk mengesahkan sayalah orangnya yang perlu diambil darah. 
 
Perasaan ngeri saya semakin meningkat, tambah-tambah lagi apabila melihat jarum yang dipegang oleh perawat itu.
 
Tidak sampai 3 minit darah saya telah dapat disedut oleh jarum dan dimasukkan ke dalam satu bekas. 
 
Sakit? Sakit sikit saja, fasal apa saya perlu rasa ngeri, bisik hati saya menyoal pada diri sendiri.
 
Selesai. 7 hari bulan nanti jumpa doktor. Harap-harap mudah dapat tempat letak kereta. Harap-harap darah yang telah diambil itu akan membawa berita gembira.

IJN, saya datang....macam mana jantung saya?
 
Tapi , rasanya.........sebab lebih enam bulan tidak buat senaman harian....lemak berkumpul tidak dihancurkan. Berdoa sajalah. Tapi cukup dengan doa saja tanpa usaha bagi mendapatkan badan yang sihat?