Theflowersellingboy

Jumaat, 4 September 2015

Membuka Restoran Yang Santai: Konsep dan Nama---ahhh penat saya berfikir.




Nak buka restoran. Restoran masakan Thai dan Pantai Timur. Buka di Melaka. Restoran berkonsepkan santai.

Wah, anak memberi tugas kepada saya untuk merealisasikan keinginannya untuk masuk dalam dunia perniagaan. Dia mahu buka restoran.

Saya mahu kepastian darinya dengan soalan: Nak berhenti kerja ke?

Jawabnya ya, dengan tegas. Katanya akhir Oktober.

Saya tidak mahu tanya mengapa dia mahu berhenti kerja. Saya percaya bukan kerana pendapatan, kerana pendapatannya lumayan sekali. Cuma saya ada dengar projek yang dia terlibat akan siap pada Oktober. Siap projek, tamatlah kerja kerana dia hanya bekerja secara freelance, bukan pekerja tetap.

Ah , lupakan saja tentang sebab berhenti kerja itu. Kerana jika difikirkan banyak soalan boleh ditanya, misalnya kenapa tidak minta di tempat lain atau projek lain?

Fikirannya muktamad, tetap mahu berhenti kerja. Isteri saya paling risau sekali. Maklumlah sekarang ini tidak mudah untuk dapat kerja. Lagipun anak saya itu bukan bujang lagi, baru saja dapat anak pertama.

Berita berhenti kerja ini selalu mengacau fikiran isteri saya, banyak menungnya. Begitulah hati seorang ibu walaupun anak sudah dewasa.

Saya risau juga. Tapi amat yakin anak saya itu telah fikir panjang. Keinginannya wajar disokong, dibantu mana yang boleh, diberi ransangan.

Soalan penting yang saya  tanya ialah: Ada modal ke?
Ada, jawab anak saya dengan yakin.

Dah bincang ke dengan isteri?

Isteri bersetuju dan sokong. 

Lagi pun katanya, dia tidak seronok dengan persekitaran Pasir Gudang terutamanya bagi masa depan anaknya.

Ok. Saya tak perlu tanya soalan lain. Tugas saya ialah membantu menjayakan keinginannya itu.

Apa yang saya boleh bantu? 

Wang? Kemungkinan paling tipis. 

Tapi saya boleh membantu untuk dapatkan modal dari sumber lain. Sumber pertama, pinjaman mudah dari agensi kerajaan. Saya akan gunakan pengalaman semasa bekerja, dan ilmu yang diperolehi semasa belajar.

Saya tahu, apabila bersara, dah lama pula, rangkaian kenalan dan sahabat dalam agensi pemberi pinjaman, semakin berkurangan, mungkin tiada langsung. Namun bagi saya itu bukan faktor yang kritikal. Faktor yang kritikal ialah menyediakan satu kertas cadangan yang meyakinkan agensi pemberi pinjaman bahawa pinjaman yang akan diberi itu mampu dibayar balik. Itu saja.

Ertinya bukan saja cadangan itu cantik diatas kertas saja dengan menunjukkan aliran tunai keluar masuk yang garis bawahnya (bottom line) akan menunjukkan keuntungan dalam operasi, yang penting bagaimana 'bottom line' itu boleh diperolehi.

Kerja kuat, yakin dan bersungguh-sungguh melalui pengurusan dan warga kerja yang berkemahiran dalam bidang yang dilaksanakan. Sudah tentu ada modal  mula, dari kita sendiri.

Modal, tiada masalah, beres.

Tugas saya mencari tempat yang strategik. Tempat yang mudah dikunjungi. Persekitaran yang telah sedia ada bilangan penduduk yang agak ramai, misalnya berdekatan dengan berbagai jabatan kerajaan , pejabat dan institusi swasta seperti hospital, klinik, bank , hotel. Kemudahan tempat letak kereta juga perlu diambil kira.

Mendapatkan maklumat dari Majlis Tempatan tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk operasi sebuah restoran. Kontraktor, bagi membuat ubahsuaian.

Sebelum operasi adalah lebih baik mengenalkan diri terlebih dulu dengan menggunakan berbagai saluran media. 

Pra pelancaran ini adalah mustahak bagi memasukkan maklumat restoran ini ke dalam minda pelanggan. 

Maklumat tentang lokasi dan kemudahan yang disediakan, jenis hidangan makanan, hari dan waktu operasi, latarbelakang ringkas syef dan pasukannya, dan menjanjikan khidmat layanan yang di harapkan oleh pelanggan- sudah tentu mesra, cepat untuk menikmati hidangan dengan santai dan selesa.

Sudah tentu nama restoran mesti di beritahu.

Anak saya belum pula ada nama yang sesuai. Cuma katanya konsep restoran itu adalah santai, beroperasi waktu malam.

Berdasarkan itu saya cuba memikirkan nama yang dapat dihubungkan dengan kesantaian. Ertinya ia mesti melibatkan persekitaran dan kemudahan yang disediakan --mengambilkira lokasi yang mudah di kunjungi, tempat letak kereta, khidmat layanan, susun atur dan hiasan dalaman, dan yang paling penting makanan yang sedap dan menyelerakan semata-mata untuk pelanggan bersantai-santaian. 

Tugas ini paling mencabar, ia memerlukan daya kreativiti minda untuk menggarapkan berbagai elemen kesantaian untuk menghasilkan satu konsep santai dalam operasi sebuah restoran.

Ertinya konsep santai itu mestilah mudah, boleh dan praktikal untuk dioperasikan, yang mampu dan berjaya memberi kepuasan kepada   pelanggan yang sebelum meninggalkan restoran akan berkata: Rasanya Sedap Menyelerakan.

Rasanya Sedap Menyelerakan (RSM).

Setelah mengambil sedikit masa akhirnya saya berhasil juga menghasilkan konsep santai yang praktikal dan mudah serta boleh dioperasi untuk sebuah restoran yang Rasanya Sedap Menyelerakan. 

Dari pendekan kata-kata Rasanya Sedap Menyelerakan maka saya mencadangakan kepada anak nama restoran itu : RESTORAN  SANTAI MALAM (RSM).

Dia (anak) ketawa. Isteri pula kata buat apa susah-susah sangat. Anak perempuan pula ketawa. Ketiga-ketiga mereka tidak langsung menunjukkan satu 'curiousity', atau ingin tahu lebih lagi tentang nama restoran dan hubungkait dengan konsep santai itu. 

Mungkin juga mereka anggap tidak ada keperluan untuk berbuat begitu. Nak buka restoran , buka sajalah-- ada kedai, ada tukang masak dan pekerja, ada peralatan hidangan sudah cukup untuk operasi sebuah restoran.

Nama? Berilah apa nama saja. Apa ada pada nama. Nama yang tak senonohpun boleh menarik banyak pelanggan. Mungkin itu cara berfikir mereka.

Betul juga, cara berfikir mereka itu. Tapi mengapa perlu beritahu saya tentang konsep santai dan mencari nama restoran? Ahhh penat saya berfikir.

Namun begitu saya faham kerana yang penting adalah sebuah restoran. Ini bukan keperluan akademik bagi memperolehi kesarjanaan dalam bidang tertentu , bukan Sarjana Dalam Pembangunan Kewangan (Masters in Development Finance).
 
Tunggulah saja langkah anak saya seterusnya. Masih serious atau cuma angan-angan saja. Saya tetap akan membantu dan menyokong.   

Khamis, 3 September 2015

Cucu-cucu Yang Disayangi: Dari Ampang , Putra Jaya dan Pasir Gudang




Sudah sebulan di sini, di Pasir Gudang, Johor, di Taman Sierra Perdana, rumah anak (rumah sewa), menjaga cucu.

Kerjaya menjaga cucu ini bermula di South View Ampang, Kuala Lumpur, cucu yang pertama. Kemudian di Saujana Aster, Precint 11, Putra Jaya, cucu yang kedua. Sambung lagi di Putra Jaya bagi cucu ketga. Berpindah pula ke Ampang, cucu yang keempat.

Keempat cucu itu adalah lelaki. Mereka semua sedang membesar. Dua cucu yang pertama sudah berusia 5 dan 4 tahun, ditempatkan di nursery sementara ibubapa mereka selesai bekerja di pejabat masing-masing.

Dua lagi masing-masing berumur lebih satu tahun dan 10 bulan. Seorang di nursery dan seorang lagi dibawah jagaan suri rumah.

Alhmadulillah, setakat sekarang tiada masalah besar yang perlu penglibatan kami suami isteri untuk menjaga mereka lagi, kecuali sesekali jika diperlukan.

Sekarang , di Pasir Gudang, menjaga cucu yang ke 5, seorang puteri.

Sekali lagi kami menghadapi masalah yang sama  iaitu cucu tidak mahu menyusu melalui botol walaupun susu emaknya sendiri.

Di Putra Jaya dulu, disebelah malam pukul 11 atau 12 malam kami akan ke hospital membawa cucu untuk mendapat susuan dari emaknya. Emaknya sentiasa 'on call', jadi menyusulah cucu kami dalam kereta di tempat letak kereta di hospital Putra jaya. Disebelah siang kami gunakan syringe.

Sekarang di Pasir Gudang. Kami risau sekali.

Tetapi kerisauan kami tidak lama. Cucu telah mahu menerima susuan melalui botol. Kami tidak pasti sebab berlaku perubahan itu.

Cuma boleh agak-agak saja. Mungkin berpunca dari susu itu. Bukan disebabkan susu ibu tapi susu itu mesti 'fresh' bukan yang sudah disejukbeku.

Setiap kali diberi susu yang disejukbeku, dia akan menolak. Tapi apabila diberi susu 'fresh' (yang baru saja dipam dari ibunya, dan belum disejukbeku) dia akan menyusu , sama seperti menyusu langsung dari ibunya.

Kami terlalu suka sekali.

Soal penyusuan selesai. Perkara ini amat penting bagi saya dan isteri. Ianya sebagai faktor menentukan tempoh kami berada bersama cucu, disini.

Di Putra Jaya, kami paling lama di sana. Dua tahun meninggalkan rumah. Sebabnya cucu tidak mahu menyusu melalui botol.

Sekarang , isu mencari penjaga pula. Setakat sekarang telah berjumpa dua orang penjaga. Masih lagi belum ada keputusan muktamad, dalam proses penilaian.

Penjaga pertama, seorang ibu tunggal. Tinggal di rumah teres dua tingkat bersama dengan dua orang cucu yang sudah bersekolah. Ketika ini menjaga seorang anak berusia 3 tahun. Menurut penjaga itu, menjaga anak-anak telah lama dilakukan, tiada masalah. Dia tahu cara nak memberi susu, makan dan menidurkan anak-anak.

Selain dari susu (susu ibu atau susu formula) makanan lain tidak perlu dibawa, dia akan sediakan. Pakaian, lebih banyak lebih baik. Dia akan basuh dan keringkan pakaian.

Yang menariknya, beliau menyatakan bahawa kerja-kerja laian seperti masak memasak dan kemas rumah, telah dilakukan terlebih dulu. Ertinya, tugasnya adalah menjaga anak saja melainkan untuk makan dan solat.

Upah? Empat ratus katanya.

Cucu saya hanya akan dihantar pada pukul 11.30 pagi dalam perjalanan emaknya ke sekolah untuk mengajar. Pukul 6.30 petang akan diambil semula. Tempoh penjagaan 6 jam.

Waktu cuti sekolah sama ada dua minggu atau cuti panjang, bayaran yang sama akan dikenakan.

Rasa-rasanya upah RM 400.00 itu agak tinggi kerana tempoh penjagaan cuma 6 jam saja. Begitu juga bayaran sewaktu cuti, sepatutnya boleh dirundingkan dengan mengenakan hari yang dia menjaga anak itu. Tapi itu yang dia tetapkan. Dan itulah, katanya yang dipersetujui oleh orang lain.

Kami tidak membuat apa-apa keputusan.

Beberapa hari kemudian, dengan pertolongan seorang kawan, kami pergi ke sebuah rumah teres dua tingkat juga. Kali ini terlalu dekat dengan rumah tempat sewa anak.

Saya dan isteri amat suka sekali kerana rumahnya yang berdekatan.

Kami berjumpa dengan penjaga itu, sepasang suami isteri yang mana suami telah bersara. 

Kami diberitahu bukan dia yang hendak menjaga sebab dia telah pun ada tugas menjaga anak orang lain. Dia mencadangkan anak saudaranya yag tinggal di sebuah rumah pangsa tingkat dua.

Beberapa kali dia menalipon anak saudaranya itu untuk mendapat pengesahan bersetuju atau sebaliknya. Tapi tiada jawapan. Oleh kerana terlalu lama menunggu, kami minta no. talipon anak saudaranya itu untuk kami hubungi. Kami mohon diri.

Sekarang kedua-dua anak saya suami isteri belum buat keputusan. Nampaknya mereka mahu cari lagi. Yang pasti penjaga kunjungan kedua kami itu sudah gugur tanpa kami menghubunginya. Penjaga yang pertama masih lagi dalam simpanan. Usaha mencari yang lain masih diteruskan.

Hujung minggu ini kami diberitahu, besan dari Kelantan akan datang. Sudah tentu untuk menjaga cucunya, cucu saya juga, untuk tempoh tertentu. Dan kami bolehlah buat sementara waktu balik ke rumah di Melaka. Banyak kerja yang menunggu --sudah tentu membersih dan mengemas rumah satu daripadanya, termasuk memesin rumput.

Waduhhhhhhh.....






  

Rabu, 2 September 2015

PM DS Najib Tidak Mungkin Boleh Diturunkan Melalui Demonstrasi, Kata Tok Nujum Tanpa Tauliah.




Saya bukan tok nujum, dan saya pun tidak percaya pada tok nujum. Namun begitu saya nak buat telahan masa depan. Oleh itu jangan percaya sangat kerana hanya Allah saja yang tahu apa yang akan berlaku. Anggaplah telahan saya ini sebagai mainan sorok dan cari  (hide and seek) kegemaran anak kecil. 

Telahan saya tentang PM kita sekarang ini. PM kita selamat bertahta sehingga ke pilihanraya ke 14. Cerita ini dapat menggembirakan penyokong-penyokong PM. Tapi ingat, ini hanya nujuman saya, yang bukan ahli nujum.

Dalam masa yang sama, ini tidak bermakna BERSIH 4.0 telah gagal sepenuhnya. BERSIH 4.0 telah berjaya mengumpulkan bilangan rakyat yang ramai , menyatakan kepada PM dan kerajaan bahawa ada yang tidak kena dalam urus tadbir negara. Kerajaan tidak wajar mengambil sikap memandang rendah pengaruh BERSIH 4.0 dengan mengenepikan begitu saja tuntutan mereka.

PM tidak akan jatuh. PM tidak akan berundur. Itu saya yakin. Bukan kerana PM mempunyai sokongan yang kuat dari rakyat umum, tidak juga sokongan padu dari UMNO. Sehingga ke PRU 14, kita akan berPMkan DS Najib. 

Jadi buat sementara ini sehingga ke PRU 14, rakyat yang mahukan PM Najib berundur, wajar menelan rasa kecewa, sebaik-baiknya kita kata'bersabarlah' dulu. BERSIH 4.0, usah rasa serik kerja-kerja baik yang anda telah lakukan.

Tun Mahathir yang terlalu sangat hendakkan PM Najib berundur wajar rasa kecewa, kerana itulah matlamat sebenarnya beliau mengambil kesempatan gunakan pentas BERSIH 4.0. 

Tun Mahathir, bukan sangat bersetuju dengan BERSIH 4.0. Tetapi oleh kerana terlalu marah dengan PM Najib atas sebab-sebab beliau sendiri tahu, beliau mengorbankan prinsip yang dipegangnya dulu, bahawa demonstrasi bukan jalan penyelesaian mengurus atau mengatasi sesuatu masalah.

Sepatutnya Tun Mahathir sedia tahu bahawa usaha menjatuhkan PM Najib cara berdemonstrasi tidak akan berhasil, kerana beliau ada pengalaman menjadi PM selama 22 tahun.

Mana mungkin seorang PM Malaysia yang berkuasa boleh dibuang begitu senang melalui laungan dan pekikan suara rakyat waemah setengah juta rakyat menjerit siang malam berterusan selama 34 jam.

Kuasa PM Malaysia adalah kuasa mutlak walaupun secara berpura kita kata tiada siapa yang mengatasi undang-undang, semua sama, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan begitu. Yang tersurat dan tersirat tidak sama yang hakikat, iaitu apa yang sebenarnya berlaku.

Malaysia unik bukan? Yang nyata diperuntukkan dalam Perlembagaan boleh saja PM Malaysia mengecualikan diri.

Itu adalah sebab pertama mengapa PM tidak akan mampu diturunkan melainkan melalui pilihanraya, kerana PM ada kuasa mutlak.

Kuasa mutlak ini memanjangkan jangkauan tangan PM bukan saja terhadap Eksekutif, ianya boleh mencengkam Parlimen dan Kehakiman. Agensi-agensi penguatkuasa dan yang lainya, adalah dibawah taklukan PM , terlalu kecil untuk tidak bersama atau menurut telunjuk dan arahan PM.

PM boleh mengadakan pertuduhan, mengarah siasatan, mendakwa dan membicarakan serta mempengaruhi keputusan perbicaraan. Sebalik dari itu, PM boleh melepaskan sesiapa saja yang berkenan di hati atau melepaskan diri dari proses-proses perundangan itu, jika berlaku apa-apa salah laku atau perbuatan yang sejenis dengan itu.

Apa kata PM, jarang sekali dibantah khususnya dari kalangan satu parti atau gabungan parti-parti, BN. Membantah dan menggeleng kepala saja akan menerima sergahan dari ahli-ahli lain dengan amaran tindakan kerana tidak bersama dengan PM. PM adalah ketua yang mesti diberi taat setia.

Tapi, amaran itu berhujahkan bahawa berbeza pandangan dengan PM tidak ada salahnya, cuma mesti berkhemah dan beradab.

Seronok kan jadi PM Malaysia!

Kuasa yang mutlak memudahkan PM meneruskan budaya parti yang telah diterima, diamal dan selalu diingatkan kepada ahli parti, bahkan sentiasa mahu diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia.

Budaya itu ialah budaya MENGENANG BUDI dan BERTERIMA KASIH. Bersyukurlah kamu semua atas segala jasa dan pertolongan yang telah diberi!

Ini adalah sebab kedua yang menjadi penghalang kepada hajat mana-mana pihak untuk menyingkirkan PM.

Tidak boleh dinafikan terutama dikalangan ahli, lebih-lebih lagi ahli yang diberi kedudukan dalam parti atau kerajaan, banyak budi dalam berbagai bentuk yang telah dinikmati. Jangan pula mahu ambilkira cara budi itu diterima dengan melihat dari segi hukum halal haramnya, teratur atau tidaknya dari segi undang-undang atau nilai moralnya.

Budi tetap budi walau bagaimana pun cara ia diterima, ianya patut disyukuri, diucapkan terima kasih dan wajar dikenang. Jasa mu tetap dikenang.

Siapakah dalam Malaysia ini yang mampu memberikan semaksima budi kalau tidak PM sendiri. 

Kata orang politik yang pernah saya dengar, salam orang politik adalah salam berisi. Mengambil dari kata-kata itu, tidaklah keterlaluan untuk merumuskan bahawa nilai 'isi' dalam salam seorang perdana menteri tidak mungkin dapat ditandingi oleh seorang menteri biasa. Jika sebaliknya berlaku, secara protokol ianya satu tindakan melawan ketua.

Melawan ketua, termasuk berbeza pendapat dengan PM atas apa garisan sekalipun, waemah atas garisan hak dan benar, adalah satu taboo, satu dosa politik yang amat besar, padahnya hilang tempat dan kedudukan -hilang lesaplah semua kesenangan dan keselesaan hidup.

Ini bukan kata-kata imiginasi yang terbentuk dari sakit hati dan dengki. Ini adalah realiti dengan bukti. Yang terbaru adalah penyingkiran TS Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana tidak sejalan dengan PM DS Najib. 

Tidak beradab dan berkhemah? Khabar berita dari TSM sendiri bahawa ianya dilakukan secara empat mata, cara yang beradab dan berkhemah.

Peristiwa PM, DS Najib memecat Timbalannya, TSM ini adalah satu ulangan cerita. Cerita yang sama telah dilakukan juga oleh perdana menteri Malaysia yang lain, khususnya Tun Mahathir dalam kes melibatkan timbalannya Tun Musa Hitam dan DS Anwar Ibrahim. 

Budaya politik BN khususnya UMNO ialah taat setia yang tidak berbelah bagi kepada ketua iaitu Perdana Menteri. Apa kata ketua itulah kata orang dibawah, sama ada secara sukarela mahupun tidak rela tetapi terpaksa, demi kedudukan.

Kesimpulannya ialah bahawa usah bermimpi untuk menjatuhkan PM dengan cara demonstrasi seperti yang dilakukan oleh BERSIH 4.0. Tun Mahathir telah membuktikannya. Sebab itu beliau boleh berkuasa selama 22 tahun.

Tapi mengapa Tun Mahathir terlibat sama dalam demonstrasi BERSIH 4.0? Bukankah beliau mahu menyingkirkan PM DS Najib?

Benar, itu hajatnya. Namun dalam ketaksuban untuk mencapai hajatnya, Tun telah meninggalkan prinsip-prinsip yang dia sendiri percaya dan bina.

Tunggulah sehingga PRU 14. Usahakan sebaik-baiknya untuk memastikan PM sekarang DS Najib tidak lagi menjadi PM.

Ini adalah pandangan dari tok nujum yang tiada tauliah.