Theflowersellingboy

Rabu, 5 Ogos 2015

Lupakan Saja Kereta Itu. Belilah Kereta Yang Baru.




Saya gagal untuk mencari perkataan mahu pun prasa kata yang tepat dan sesuai sama ada dalam bahasa Melayu apatah lagi bahasa Inggeris yang dapat menceritakan keadaan dan kedudukan negara kita ketika ini.
 
Namun begitu saya memilih perkataan atau prasa kata 'huru hara dan kacau bilau'. Adakah ianya membawa makna yang sama dengan perkataan Inggeris 'chaotic'?
 
Lupakan saja masalah saya itu. Yang penting saya mahu berbicara tentang keadaan negara kita ketika ini. Sudah tentu saya akan merujuk sama pada masa yang lepas, kerana ketika ini adalah sebenarnya lanjutan dari masa yang telah berlalu.
 
Bagi saya kita tinggal dalam sebuah negara yang huru hara dan kacau bilau, ketika ini.
 
Huru hara dan kacau bilau ini jangan kita hadkan apabila kita hanya berada pada tahap atau dititik puncak.  Awalannya, pertengahannya dan puncaknya jangan dibiarkan berlaku. Hapuskan awalannya untuk menyekat ia mara ke tengah dan seterusnya sampai ke puncak.
 
Pertempuran atau pergaduhan antara puak yang bertentangan; perpecahan atas dasar kaum, agama, kelas dan daerah; rampasan kuasa; serangan dari negara luar; tunjuk perasaan ganas yang tidak dapat dibendung; tekanan penguasa atas hak dan kebebasan rakyat, dan kezaliman penguasa;  rusuhan antara kaum atau kelas; dan berbagai lagi keadaan/hal yang menyempit dan menyusahkan kehidupan rakyat, membahayakan keselamatan rakyat secara fizikal dan mental, ekonomi yang tidak menentu dan merudum, perlu dengan tegas dan berani , dengan secara bersama dan sepadu sebagai sekutu dalam sebuah negara yang kita cinta, disekat, dihalang dan tidak dibiarkan mengambil tempat dalam kehidupan kita.
 
Bagi saya ini bukan kali pertama  menghadapi suasana huru hara ini. Ini adalah kali yang kedua.
 
Kali pertama, semasa Anwar Ibrahim dipecat, didakwa dengan berbagai kesalahan yang tidak masuk akal dari segi bilangan dan jenisnya, apatah lagi sebagai penjawat Timbalan Perdana Menteri. 
 
Kemudian dibicarakan, yang berakhir dengan hukuman penjara, yang tidak mudah bagi orang yang rasional, yang beragama yang mengambil pertimbangan dosa pahala dan kepentingan ukuran moral, untuk percaya.
 
Saya orangnya yang secara tegas dan yakin mengatakan kita berada pada kedudukan huru hara, ketika itu. Diawal, dipertengahan atau dipuncak tidak penting bagi saya.
 
Peraturan dan hukum alam semula jadi, peraturan dan undang-undang negara  dan hukum Allah sudah diinjak-injakkan demi mempertahankan kepentingan dan kedudukan seorang perdana menteri dan mereka yang bersekutu dengannya.
 
Hitam dikatakan putih dan putih dikatakan hitam.  Ramai pula yang mengangguk-anggukkan kepala seolah-olah itu saja yang mampu dibuat oleh kepalanya. Menggeleng kepala adalah satu taboo.
 
Mereka yang terus berani mengatakan putih itu tetap putih, ada tempat khas untuk mereka, lokap dan penjara. Atau paling minima di pecat dan sebagainya yang hanya bertujuan merosakkan periuk nasi mereka. Ugut!

Kes Anwar ini,  hanya bagi mempertahankan seorang perdana menteri dan juak-juaknya agar kelangsungannya berterusan. Demi kuasa politik. Kerana kuasa politik menjaminkan segala-galanya, disebuah negara bernama Malaysia Boleh!

Sekarang ini kita juga dalam keadaan huru hara dan kacau bilau.
 
Demi mempertahankan kuasa politik juga!
 
Orang kata sejarah berulang kembali. 

Saya tidak percaya. Kerana sejarah adalah dicipta dan dicorakkan oleh manusia semasa. Apa gunanya kita dianugerahkan otak? Bukankah untuk membolehkan kita berfikir, dan sudah tentu kita berfikir bagi sesuatu yang terbaik yang tidak merosak dan mencemarkan kewujudan kita sebagai makhluk ciptaan Allah yang terbaik?
 
Sejarah adalah  adalah peristiwa atau rentetan berbagai peristiwa lepas untuk dijadikan teladan dan sempadan. 
 
Jika baik , dijadikan teladan dan disebar luaskan. 
 
Jika buruk, jangan diulang atau lupakan saja agar tidak membangkitkan perasaan sakit hati yang jika tidak dikawal boleh membawa kepada perbuatan balas dendam.
 
Jangan diulang, itulah sempadan yang baik.  Namun amat susah untuk melupakan peristiwa yang pahit. Jadi yang terbaiknya, peristiwa yang pahit itu diambil iktibar dan jangan diulang.
 
Oleh itu jangan salahkan sejarah. Sejarah bukan satu jalan keluar mempertahankan kejelikan perbuatan kita atau yang berlaku pada tempoh kehidupan kita.
 
Kita menguasai dan mencipta sejarah, bukan sejarah menguasai kita.

Menolak hujah sejarah berulang kembali, keadaan huru hara dan kacau bilau yang kita hadapi ketika ini, pada zaman DS Najib sebagai PM,  tidak banyak beza dengan yang berlaku semasa Tun Mahathir menjadi PM selama 22 tahun.
 
Kerana apa?
 
Kerana penyebabnya adalah sama: Demi mempertahankan kuasa politik seperti yang dinyatakan diatas, bukan kerana sejarah berulang kembali.
 
Siapa yang Tun Mahathir pecat dan penjarakan?
 
Anwar Ibrahim yang berjawatan TPM, dipercayai boleh menggugat Mahathir sebagai PM.
 
Siapa pula yang DS Najib pecat?
 
Muhyiddin yang berjawatan TPM, yang secara terang-terang tidak bersetuju dengan PM dalam kes 1MDB.
 
Apakah alasan yang digunakan Mahathir dan Najib mendakwa Anwar, musuh ketat mereka, untuk disumbat dalam penjara?
 
Liwat, sehingga liwat sudah menjadi cerita bersiri.
 
Hal diatas berkaitan dengan personaliti yang digeruni yang boleh menggugat kuasa, Mahathir dan Najib.
 
Lihat pula dari segi yang lain. Urus tadbir negara dalam aspek ekonomi, kewangan , kebebasan hak bersuara rakyat dan campur tangan dalam berbagai institusi.
 
Tidak ada beza diantara Mahathir dan Najib. Sama saja. 
 
Antara kes urus tadbir kewangan yang merosakkan negara di zaman Mahathir adalah seperti berikut:
 
i) BMF , ii) Perwaja iii) MAS iv) PKFZ  

Zaman Najib pula? Memadai disebutkan satu saja 1MDB.

Menyekat kebebasan hak bersuara rakyat?
 
Ianya terlalu banyak , pada zaman Mahathir dan Najib kerana undang-undang yang sama digunakan. Ingat peristiwa pembunuhan Memali dan operasi Lalang di zaman Mahathir? 
 
Zaman Najib, tidak perlu pergi jauh, cukup dengan kes dihadapan mata, kes 1MDB saja. Disana macam-macam yang boleh kita lihat. 
 
Penangkapan keatas rakyat yang menyatakan tidak bersetuju dengan Najib.
 
Pemecatan TS Gani Patail sebagai Peguam Negara dan  penyiasatan yang dilakukan keatas pegawai yang diberi tugas untuk menyiasat kes 1MDB.
 
Dan sembahayang hajat dan memohon doa kepada Allah secara berjemaah oleh anggota SPRM agar mereka dilindungi dari musibah dan diberi kekuatan untuk menjalankan tugas.
 
Kita yang rasional sudah tentu dapat menilai mengapa jadi begitu. 
 
Anda mesti bertanya mengapa jadi begini?
 
Saya sudah ada jawapan dan jalan penyelesaian. 
 
Jika anda juga sudah ada jawapan dan jalan penyelesaian dengan mengatakan bahawa kita perlu menukar DS Najib sebagai PM. 
 
Anda sebenarnya mahu mengekalkan keadaan yang ada, dan mungkin lebih teruk dari apa yang kita hadapi sekarang, yang saya kata sebagai huru hara.

Saya menjawab secara memberi analogi bahawa negara kita ini adalah sebuah kereta yang telah rosak. 
 
Jurutera mekanikal JKR setelah memeriksa kereta tersebut akan mengeluarkan sijil yang dipanggil BER -Beyond Economic Repair atau tidak ada nilai ekonomi jika kereta itu diperbaikki.

Dan kereta itu dicadang dilupuskan secara lelong misalnya. Ertinya masih ada orang yang mahu menggunakannya.

Saya pula mengatakan bahawa kereta itu langsung tiada gunanya lagi waemah dijual sebagai besi buruk. Lupakan saja kereta itu, beli yang baru.

Itulah jawapan saya. 
 
Huru hara dan kacau bilau wajib disekat. Caranya dengan bersatu padu, semua kita rakyat Malaysia  membeli kereta baru.

 
 

Selasa, 4 Ogos 2015

Tolong Kami Bantu Kami, Kami Anak Yatim Piatu



 
Tolong Kami , Bantu Kami
Kami Anak Yatim Piatu 
 
Berbaris sekumpulan 10 orang anak-anak yang tiada bapa dan tiada emak menyanyi yang amat mendayu, merayu   di hadapan rumah seorang billionan (billionaire) berbangsa Arab memohon agar diberi bantuan. 
 
Mendengar nyanyian yang merayu dan mendayu itu, ia membuatkan pak sheikh itu, yang telah menjadi warga Malaysia dan fasih berbahasa Melayu merasa amat hiba dan simpati. Hatinya melonjak-lonjak untuk segera memberi bantuan.
 
Lalu pak sheikh itu menanyakan nama anak yang di baris hadapan, yang dianggap sebagai ketua kumpulan, dan nombor kad pengenalannya. Setelah mencatatkan maklumat-maklumat itu beliau terus masuk ke dalam bilik, mengambil buku ceknya. 
 
Beliau segera menulis nama anak tadi serta nombor kad pengenalannya diatas sekeping cek dengan nilai RM 2.6 billion. Cek segera ditandatangani, seolah-olah bantuan yang diperlukan oleh anak-anak yatim itu tidak wajar ditangguh-tangguhkan. Ianya semacam satu keadaan hidup dan mati.
 
Lalu dia melangkah panjang, segera membawa cek yang sempurna itu untuk diberikan kepada ketua kumpulan. 
 
"Terimalah cek ini yang bernilai RM2.6 billion sebagai derma ikhlas dari saya untuk anak-anak sekalian", kata pak syeikh itu sambil memeluk ketua kumpulan anak yatim itu.

Walaupun cek itu diterima, tapi ketua anak yatim itu dan sahabat-sahabatnya tidak menunjukkan rasa gembira malahan terpinga-pinga kehairanan kerana wang yang diminta tapi sekeping kertas pula yang diberi.

Namun begitu mereka tidak tahu apa mahu dikatakan kepada pak sheikh dermawan yang baik hati itu.

Pak sheikh pula merasa hairan mengapa tidak ada keceriaan pada air muka anak-anak yatim itu sedangkan nilai bantuan yang diberi terlalu besar. 
 
"Tak mungkin tidak mencukupi", bisik hati kecil pak sheikh.
 
Beliau bukannya mengharapkan apa-apa balasan, kalau itulah yang dirisaukan oleh anak-anak yatim itu. Tidak perlu menjadi tukang kebun atau buat apa-apa kerja sebagai balasan. Beliau juga tidak perlukan resit penerimaan bagi tujuan mendapatkan pengecualian cukai pendapatan.  
 
Ucapan terima kasihpun bukan syarat dia menderma. Lagipun dia tahu orang Melayu memang halus budi bahasanya. Ucapan terima kasih adalah satu yang otomatik, tidak perlu diminta.
 
"Cek ini atas nama anta", pak sheikh menepuk bahu ketua kumpulan yang masih kehairanan itu. 
 
Pak sheikh seterusnya menyatakan bahawa ketua kumpulan itu adalah sebagai pemegang amanah dan wang itu hendaklah dibahagikan sama banyak diantara mereka. 
 
"Masukanlah dalam akaun peribadi anta. Anta adalah pemegang amanah. Kemudian keluarkan untuk dibahagi sama banyak".
 
Semakin bingung anak-anak yatim itu. Tiada seorang pun yang faham apa itu cek, akaun dan pemegang amanah. Yang mereka tahu apa yang diberi oleh pak sheikh itu hanya sekeping kertas dan bukan duit.  Kertas itu tidak ada makna kepada mereka.

Pak Sheikh bersalaman dengan setiap orang anak yatim itu sebagai tanda bantuan yang diberi itu adalah ikhlas. Beliau tidak perlu risaukan tentang wajah mereka yang tidak ceria atau rasa terkilan kerana tiada ucapan terima kasih. Mungkin anak-anak yatim itu terperanjat dan tidak sangka mereka diberi bantuan sebanyak RM2.6 billion.

"Ok, assalamualaikum", Pak Sheikh melambai tangan dan terus masuk ke dalam rumah, Beliau merasa terlalu gembira kerana telah dapat membantu insan yang amat memerlukan bantuan.

Anak-anak yatim itu beredar. Dalam perjalanan mereka bersungutan meluahkan perasaan kecewa kerana bantuan wang yang diminta dan diharapkan, sekeping kertas pula yang diberi.

Ketau kumpulan itu mengoyakkan saja cek itu.

"Beri singgit dua pun tak apa. Ini beri kertas. Dia ingat kita bodoh. Arab kedekut", lalu disepaknya cek yang telah koyak dan dilenyek-lenyek dengan kaki diatas permukaan jalan. 

"Geramnya aku".
 

Isnin, 3 Ogos 2015

Yang Penting Angguknya, Bukan Otaknya.




Yang penting angguknya, bukan otaknya. Yang penting taat setianya , bukan kecerdikan dan kebijaksanaan otaknya.

PM Najib yang juga Presiden UMNO secara jelas meletakkan syarat ini kepada ahli-ahli UMNO, dan secara implikasi mahu semua rakyat Malaysia mengamalkannya.   

Beliau amat menghargai taat setia mengatasi kecerdikan seseorang. Tapi katanya bukan taat setia yang membuta tuli.

Apa itu taat setia yang membuta tuli?

Sebenarnya, pentafsiran bagi banyak hal dan perkara diantara seseorang  dengan lain tidak selalunya sama. Bahkan dalam mentafsirkan hal-hal berkaitan agama pun termasuk soal yang halal dan haram, dosa dan pahala, terdapat perbezaan dikalangan mereka yang dikatakan bertaraf ulama' yang tinggi pendidikan dan ilmu agamanya. Apatah lagi yang mempunyai pendidikan dan ilmu agama yang sedikit atau tiada langsung.

Sama juga dengan taat setia membuta tuli -taat setia yang tidak berasaskan kepada apa sebenar yang dilihat dan diketahui dan apa sebenarnya yang didengar.

Katakan berlaku kecurian. 

Seseorang itu melihat dengan matanya sendiri bahawa yang melakukan kerja mencuri itu adalah bapanya ; 
dia juga diberitahu oleh orang lain yang juga ada maklumat/melihat sendiri kejadian itu; 
dia pun telah mendengar hiruk pikok orang-orang menceritakan hal yang sama, yang kenal dan tahu siapa pelakunya; 
bahkan dia juga telah diberi tahu oleh yang punya harta yang kena curi itu siapa pelakunya;

Tapi oleh kerana bapanya yang melakukan pencurian itu, yang amat disayangi, atas pertalian darah maka dia tidak akan mengakui atau memberitahu atau mengiyakan bapanya sebagai pencuri.

Dia sayang pada bapanya, apatah lagi bapanya meminta agar dia taat mematuhi kehendak bapanya demi kelansungan sebuah keluarga.

Ianya tidak menghairankan kerana semua orang pada kedudukan begitu, melainkan mereka yang percaya bahawa mencuri itu adalah perkara/perbuatan hina yang hukumnya disisi undang-undang negara adalah salah, berdosa  dari segi hukum Allah, akan melakukan perkara yang sama.

Adakah itu boleh dikatakan taat setia yang membuta tuli? 

Bagi saya, taat setia seperti itu adalah termasuk dalam kategori taat setia yang membuta tuli walaupun saya sendiri tidak pasti akan mampu  untuk tidak berbuat demikian.

Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh DS Najib tentang taat setia yang membuta tuli.  Bagaimana perlu kita lakukan ketaatsetiaan yang diperlukan oleh beliau.

Kita ada kepala , di dalamnya ada otak yang dikurniakan Allah bagi kita berfikir kerana Allah sentiasa bertanya dalam banyak ayat-ayat al-Quran, "Tidak kah kamu mahu berfikir".

Ertinya otak yang dikurniakan itu adalah untuk kita berfikir. Sudah tentu asas dan tujuan berfikir kita itu adalah bagi maksud 'menyeru kepada kebaikan dan menghalang/menghindar kemungkaran'.

Dan bukan hanya kepala kita itu digunakan untuk mengangguk-anggukkan saja. Ada kala kita mengangguk-anggukkan dan ada kala kita menggeleng-gelengkan.

Anggukan itu adalah bahasa batang tubuh (body language) yang perbuatan mengangguk  kepala ke atas  dan ke bawah itu bertujuan untuk menyampaikan mesej bahawa kita  bersetuju, yang kita berkenan, suka, mahu terlibat sama, luluskan, dan segala yang bersifat positif mengikut penilaian kita, yang baik.
Kita menggeleng-gelengkan kepala tanpa berkata sesuatu, mesejnya juga jelas bahawa kita tidak bersetuju. Apatah lagi jika sambil mengegeleng kita berkata, 'no I don't agree with that'--mesejnya bertambah jelas sejelas terang lagi bersuluh.

Apabila DS Najib mengatakan yang penting ialah taat setia, dan bukan kecerdikan dan kebijaksanaan seseorang, khususnya kepada ahli UMNO, dan kita pula terutamanya ahli UMNO menganggukkan kepala sama ada diiringi dengan kata-kata atau tanpa kata-kata maka kita telah menyatakan persetujuan dengan pendirian/prinsip kepimpinan beliau.

Itu yang beliau mahu. Ertinya fungsi kepala telah terhad kepala melakukan anggukan saja.

Dalam kepala ada otak. Otak kita juga akan terheret sama untuk ke atas dan ke bawah -angguk.

Merugikan tak?

Bagi saya ianya amat merugikan. Satu dari senaman badan yang boleh dilakukan oleh kepala telah tidak dilakukan, bukan kerana kepala itu tidak mampu melakukannya tapi kepala itu disekat dari melakukannya. Urat kepala menjadi tegang dibuatnya.

Tak pening kepala dibuatnya? 

Kalau saya, sudah tentu pening. Saya amat memerlukan kepala itu digerakkan ke kanan dan ke kiri disamping ke atas dan ke bawah bagi mendapat kepala yang sihat. Kepala yang sihat akan tidak mudah pening dan mabuk. Kepala yang sihat saja yang mampu  melahirkan otak yang sihat. Otak yang sihat saja yang mampu mencetus dan melancarkan daya dan kemampuan berfikir.  

Jadi saya akan mengangguk dan menggelengkan kepala. Ertinya ada masa saya bersetuju dengan PM dan ada masanya saya tidak bersetuju dengannya. 

Tapi saya tetap mengakui DS Najib sebagai pemimpin. Sekurang-kurang mengakui yang beliau adalah PM Malaysia yang dipilih menurut sistem yang ada.

Namun begitu,  saya ingin menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PM untuk memberikan taat setia kepada pemimpin secara begitu saja. Taat setia diantara pemimpin dan yang dipimpin mestilah bersyarat, ada timbal balik.

Saya percaya DS Najib maklum akan perjanjian diantara Demang Lebar Daun (Rakyat) dengan Sang Si Purba (Raja) seperti yang di ceriterakan dalam Sejarah Melayu yang menjadi asas ikatan hubungan diantara pemimpin dan rakyat bawahan. 

"Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah".

Sembah itu melibatkan perbuatan tunduk dan angguk kepala. Sanggah itu melibatkan perbuatan geleng kepala dan angkat dan menghunus senjata.

Tanggungjawab seorang PM ialah untuk sentiasa berlaku adil jika mahu rakyat memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi.

PM tidak boleh berlaku zalim terhadap orang yang dipimpinnya jika beliau tidak mahu di tentang dan disanggah.

PM mengeluarkan kata-kata taat setia  mengatasi kecerdasan , ialah selepas menyingkirkan TPM TS Muhyiddin kerana tidak sealiran dengan pemikiran dan tindakan berkaitan dengan 1MDB.

Dalam hal ini (1MDB), apa pun kenyataan yang dikeluarkan oleh PM dan mereka yang menyokongnya, sebahagian besar rakyat meragui kebenaran kenyataan itu. Ini adalah fakta, bukan fitnah atau direka cipta atau dipengaruhi oleh orang putih bukan warga negara.

Ketidakpercayaan rakyat/krisis keyakinan inilah yang sepatutnya difikirkan oleh PM dan penyokong setia. Jangan cuba mengalih pandangan rakyat kepada hal taat setia kepada pimpinan. 

PM dan geng perlu diingatkan bahawa sebahagian besar rakyat masih lagi percaya bahawa fungsi kepala yang didalamnya ada otak bukan saja untuk diangguk-anggukkan ke atas ke bawah, ada masanya perlu di geleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan. Itulah fungsi kepala yang sihat.

Rakyat masih lagi mampu berfikir dan mahu berfikir seperti yang di seru oleh Allah. Dengan itu saya menyanggah pendirian PM yang mahukan ahli UMNO dan rakyat untuk memberikan taat setia dan mengenepikan kecerdikan dan kebijaksanaan dalam membentuk satu pasukan bagi mentadbir urus negara.

Cara berfikir saya adalah lebih selamat berbanding cara yang PM dan geng-gengnya. Ianya selamat untuk saya dan keturunan, selamat untuk ahli UMNO dan orang Melayu bukan ahli UMNO dan selamat untuk semua warga, negara bangsa dan agama. 

Sekarang selamat dan masa depan pun selamat.

Saya percaya rakyat Malaysia tidak suka orang yang melakukan pencurian seperti contoh yang dinyatakan diatas. Kejahatan mesti didedahkan, dan jika didapati benar dengan bukti melalui siasatan dan perbicaraan yang adil, orang yang mencuri itu perlu menerima hukuman yang setimpal.

Amat memalukan apabila ada pihak atau orang yang menggunakan berbagai kata, istilah sama ada yang melucukan mahupun yang boleh merendahkan harga diri atau pun memperlekehkan orang lain dari segi kemampuan daya berfikir,  dan mengatakan kononnya ada peruntukan dalam perlembagaan parti yang membenarkan perbuatan yang didakwa tidak betul itu, semata-mata untuk bertaat setia kepada pemimpin.

Oleh itu jangan sentiasa suka mengangguk. Ada masanya kita perlu menggelengkan kepala, dari dulu, kini dan selama-lamanya.

Gelengkan kepala untuk 1MDB.