Theflowersellingboy

Jumaat, 7 November 2014

SELANGOR:PM Najib Telah Letih dan Malu. Bekas PM Dr. Mahathir Minta UMNO Selangor Dirombak. Ketua UMNO Selangor Noh Omar Tanya Semenjak Bila UMNO di COP Parti Rasuah




Semalam saya telah perkenalkan 3 watak manusia yang berbeza status , pengaruh dan kuasa, X, Y dan Z yang mana X adalah manusia berstatus rendah  yang bekerja sebagai pemandu kereta kuda kepada tuannya Y. Z adalah manusia yang paling berkuasa dan kaya serta berpengaruh, tuan kepada X dan Y.

Z yang kentut sangat itu busuk secara selamba bertanya bau apa yang busuk ini.  Y pula memandang X seolah-olah memnita X mengaku bahawa bau yang sangat busuk itu adalah bau kentut X. Kemudian memberi amaran kepada X agar lain kali jangan kentut depan tuan besar.

Ada 3 inti pati cerita ini:

i) Ada tuan besar yang buat salah (kentut) tapi selamba dan berpura-pura tidak tahu.

ii) Ada kaki bodek dan pengampu yang dengan segera membersihkan perbuatan salah ketuanya dengan meletakkan kesalahan kepada orang yang bawahannya yang tiada kuasa.

iii) Ada orang bawahan yang tiada kuasa yang sanggup memikul kesalahan orang lain yang lebih berkuasa kerana percaya bahawa sumber rezekinya dari orang yang berkuasa.

Cerita ini memperihalkan status, kedudukan dan kuasa yang membentuk pola perhubungan.

Najib adalah PM Malaysia ketika ini. Manusia yang paling berkuasa di Malaysia ketika ini. Dr. Mahathir adalah mantan PM yang telah menjadi PM selama lebih 22 tahun dan orang yang paling berkuasa selama tempoh tersebut. Noh Omar, pernah satu masa dulu jadi menteri , dan manusia yang paling berkuasa di kementeriannya dulu.

Ketiga-tiga mereka adalah ahli UMNO, dan kelihatan tersangat sayang akan UMNO. UMNO Selangor pula dikatakan amat lemah sekali diukur dari kegagalan menguasai Selangor dalam 2 PRU. Kedudukan seperti ini (kalah kepada PR) membuatkan PM Najib mengeluh merasa letih dan malu. Perasaan PM Najib ini disambut oleh bekas PM Dr. Mahathir yang menyatakan UMNO Selangor penuh dengan rasuah dan oleh itu menyarankan agar UMNO Selangor dirombak dengan kepimpinan yang baru.

Kata-kata bekas PM Dr. Mahathir ini amat menusuk dada dan hati Ketua UMNO Selangor Noh Omar yang antara lain bertanya bekas PM itu semenjak bila parti UMNO di cop sebagai parti rasuah. Ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar itu.

Hubungan diantara PM Najib dan Noh Omar adalah sama seperti pola hubungan diantara X dan Y, atau diantara Y dan Z atau diantara X dan Y dengan Z. Ertinya diantara orang bawah dengan ketua (bos) yang ada kuasa.

Apabila PM Najib mengeluh merasa letih dan malu, keluhan itu sudah tentu keluhan bersasar. Noh Omar sebagai ketua UMNO Selangor sudah tentu dengan mudah tahu siapa yang disasarkan oleh PM Najib itu. Tapi beliau tidak pula memberi reaksi atau respons secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan rasa letih dan malu PM Najib itu.

Sebaliknya apabila bekas PM Dr. Mahathir mengatakan UMNO Selangor perlu dirombak kerana rasuah, Noh Omar secara terang dan segera menanya semula bekas PM itu dengan soalan semenjak bila UMNO dikatakan/ di cop sebagai parti rasuah. Pada Noh Omar bekas PM itu ada jawapan kerana telah berkuasa selama tempoh lenih 22 tahun.

Lihat, Noh Omar tidak berani memberi reaksi kepada  PM yang ada ketika ini , Najib, sebaliknya menunjukkan keberaniannya yang luar biasa kepada bekas PM.  Apa sebabnya?

Saya katakan keberaniaan yang luar biasa ialah kerana ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar kepada bekas PM yang tiada kuasa lagi itu.

Beranikah Noh Omar melakukan sedemikian rupa pada Dr. Mahathir semasa Dr. Mahathir jadi PM? Sudah tentu tidak. 

Dalam hikayat lama mengenai cerita raja dan rakyat jelata terdapat dialog  seperti berikut:

"Apa saja kata tuanku itulah kata hamba pacal yang hina", sembah mamak bendahara.

Ertinya kalau raja kentut , raja itu boleh saja mengatakan rakyat yang kentut.

Dalam UMNO pun begitu juga, "Kita serahkan saja kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan", kata ahli-ahli UMNO.

Ertinya kalau pemimpin mengatakan ambil  wang hasil dari pengaruh kedudukan seseorang dalam jawatan sebagai bukan rasuah maka ianya bukan rasuah.

Sebab itu X yang tidak kentut pun mengaku kentut. Kalau tidak kena buang kerja, habislah sumber rezeki.

Sebab itu lebih selamat diserahkan kepada pucuk pimpinan, kalau tidak jawatan yang diidamkan tidak menjadi kenyataan.

Jadi kalau ada kuasa orang akan ikut dan tidak berani bantah, macam Noh Omar dan PM Najib.. Kalau tiada kuasa, macam bekas PM Dr. Mahathir, orang seperti Noh Omar berani menyindir pula.. 

Ertinya dalam politik, dan juga dalam sebahagian besar kehidupan seseorang, BERANI itu bukanlah kerana BENAR. 

Yang BENAR sekarang ini ialah jika seseorang itu berdiam diri , bersama dan bersubahat dalam hal-hal yang buruk dan keji seperti salah guna kuasa, rasuah, fitnah memfitnah dan lain-lain yang buruk kerana dengan berbuat demikian kedudukan dalam bentuk jawatan dan sumber rezeki akan terjamin.

Siapa berani menyanggah Dr. Mahathir semasa beliau jadi PM dulu? Tiada seorang yang berani.

Jawapan itu salah. Hanya ada seorang manusia saja yang berani menyanggah Mahathir semasa beliau berkuasa. Siapakah orang itu?

Yang saya tahu ialah orang yang menyanggah Dr. Mahathir semasa Mahathir tiada kuasa ialah Noh Omar.
 
 

Khamis, 6 November 2014

SELANGOR: PM Najib Telah Letih dan Malu. Bekas PM Dr. Mahathir Minta UMNO Selangor Dirombak. Ketua UMNO Selangor, Noh Omar Tanya Semenjak Bila UMNO di COP Parti Rasuah




Biar saya mulakan cerita berikut bagi memudahkan pencernaan tajuk diatas.

Sebermula ada tiga orang manusia yang berbeza status sosial dan kuasa serta pengaruh. Manusia pertama, kita panggil X sajalah, adalah seorang pemandu kereta kuda yang bekerja dengan seorang lagi manusia yang kita beri nama Y. Ketaatan X terhadap Y tidak perlu dipersoalkan kerana bagi X , Y sajalah sumber rezekinya, lantas tidak ada niat di hati X untuk menaikkan kemarahan atau untuk berbeza pendapat atau menyanggah Y walaupun X berada dipihak yang benar.

Seorang lagi manusia bernama Z, tuan kepada Y dan tuan besar kepada X. Z paling berkuasa lagi kaya. Apa saja kata Z itulah juga kata Y dan Z. X dan Y tidak akan membantah atau berbeza pendapat dengan Z pada bila-bila masa saja. Kalau warna hitam Z kata putih, X dan Y pun kata putih juga. Apatah lagi jika X dan Y memandai-mandai memberi buah fikiran kepada Z yang menganggap mahu mengajar itik berenang. 

Malah bukan satu perkara luar dari biasa apabila kedua-dua  orang X dan Y menyatakan sokongan atau persetujuan sebelum Z menghabiskan ayat bagi sesuatu cadangan atau arahan.

Begitulah bentuk hubungan X, Y dan Z. Hubungan ini tahan diuji sama ada dalam keadaan ribut petir, kilat sabung menyabung dan laut bergelora mahupun dalam keadaan angin sepoi-sepoi bahasa, udara nyaman dan suasana tenang dan damai. Ketaatan X pada Y tetap seperti isi dengan kuku. Begitu juga X dan Y pada Z, tidak akan bercerai berai.

X dan Y begitu taat menuruti perintah Z bukan saja melalui lisan dan tulisan bahkan juga melalui isyarat bunyian, misalnya bunyian paluan gong. Jika gong dipalu 3 kali ia memberi isyarat kepada X dan Y untuk segera berjumpa dengan Z, ada perkara penting yang hendak diuruskan.

Maka berbunyilah paluan gong 3 kali.

Mendengarkan bunyi paluan gong itu, bersegeralah X menyiapkan kereta kuda dan kudanya untuk ke rumah Y. Setiba di rumah Y, Y telah bersedia  menuruni tangga dan tanpa membuang masa menaikki kereta kuda itu dan duduk dibahagian tengah. Kereta kuda dipacu ke rumah Z.

Setiba di rumah Z, pintu rumah masih belum terbuka. X dan Y berkali-kali memberi salam sebagai isyarat mereka telah sampai dan bersedia untuk menjalankan apa saja arahan yang diberikan oleh Z. Tapi Z masih lagi belum memunculkan diri.

Setelah hampir setengah jam, barulah pintu hadapan rumah terbuka. Kelihatan Z yang berbaju panjang dan berkain pelikat  berjalan mahu menuruni tangga sambil tangan kanan menggosok-gosok perut seperti orang sedang mengalami sakit cirit birit.

Maka X dan Y menjangkakan Z perlukan bantuan untuk dihantar ke hospital. Tapi seperti biasa X dan Y tidak berani mengeluarkan sangkaan, takut-takut sangkaan meleset, padah besar jawabnya.

X dan Y segera mendekati Z untuk segera menerima perintah Z, sebelum Z sempat menuruni tangga. Bagaimanapun Z terus menuruni tangga bagi menunjukkan kepada X dan Y bahawa dia kuat dan bertenaga.

Semasa menuruni tangga itu, Z terkentut. Baunya sangat busuk.

X dan Y tidak menutup hidung walaupun bau kentut Z itu tersangat busuk. Dan Z pula bermuka selamba sambil berkata, "Bau apa yang sangat busuk ini?'.

Y dengan segera memandang pada X. Dan X faham akan makna pandangan Y itu lalu seperti kilat menundukkan kepala melakukan sembah mohon maaf dengan berkata,"Mohon maaf tuan, saya yang kentut sebab memang tadi saya sakit perut tak sempat ke tandas".

"Lain kali jangan buat macam tu,di depan tuan", marah Y pada X.

X terus tunduk dan mengangguk.
 

Sambung pada esok hari.

Sabtu, 1 November 2014

Lakukan Sendiri Kerja-kerja Memperbaikki Kerosakan Kecil

 


Sebatang pokok yang mati, tumbang menimpa pagar sebelah sisi kanan rumah. Berlaku sedikit kerosakan pada pagar.

Pokok itu adalah dari kawasan tanah jiran yang masih belum dibina rumah walaupun telah melanggar syarat nyata kelulusan tanah yang . menghendaki rumah dibina dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan. 

Begitu juga disisi kanan dan belakang rumah, tuan punya tanah masih lagi belum membina rumah. Oleh itu, kawasan tanah terbiar itu ditumbuhi pokok-pokok liar yang tinggi membesar serta tumbuhan kecil yang merata dan menjalar menjadi semak, yang menyemakkan mata memandang. 

Ular, biawak dan binatang kecil yang lain seperti tikus dan nyamuk menjadikan kawasan itu tempat tinggal mewah bagi mereka untuk membiak. 

Beruk, monyet, kera, lotong, ungka dan yang sejenis dengannya menjadikan kawasan tanah terbiar itu sebagai tempat cari makan sambil bermain bergayutan, mematahkan dahan-dahan kecil yang sebahagiannya jatuh diatas jalan dihadapan rumah., yang terpaksa dibersihkan pada setiap pagi oleh pekerja syarikat yang mendapat kontrak pembersihan dari pihak bandaraya.

Saya sedikit kecewa dengan sikap jiran-jiran saya ini.

Sebenarnya sudah dua hari pokok itu tumbang. Kerja mengemas dan membaikki pagar tidak dilakukan segera. Ada tugas lain lebih utama.

Tapi malam tadi isteri mencadangkan untuk memanggil dan mengupah pekerja Indonesia untuk mengemas dan membaikki pagar itu. 

Saya dengan segera  menyatakan akan melakukannya sendiri. Jika pekerja Indonesia itu boleh buat, saya juga boleh buat, kerana ianya tidak perlu kemahiran apatah lagi kepakaran yang tinggi. Cuma, pekerja Indonesia itu mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal yang tinggi berbanding dengan saya.

Memang begitulah yang selalu dilakukan jika hendak memperbaikki kerosakan kecil dan melakukan pemasangan di rumah. Misalnya menukar mentol lampu yang terbakar,  memasang langsir, saluran air tersumbat, pintu pagar yang tidak boleh dibuka, aliran air paip yang perlahan kerana tersumbat dan macam-macam lagi. Rujukan pertama ialah panggil orang lain melakukannya. Sudah tentu tidak percuma.

Selepas sarapan dan menelan 4 biji ubat yang berkaitan jantung dan darah tinggi, saya memulakan kerja. Beberapa dahan yang menimpa pagar dipotong menggunakan parang. Lama juga satu-satu dahan itu berjaya dipotong. Sebab parangnya tumpul. Sebab selalu  berhenti untuk mengambil nafas baru memulihkan stamina.

Batang pokok dan dahan yang menimpa pagar berjaya dipotong dan dikumpul di kawasan tanah jiran itu. Kemudian saya memperbaikki dawai pagar, menariknya untuk berkeadaan seperti asal. Walaupun tidak berjaya membentuk seperti keadaan asal, saya berjaya mengukuh pagar itu menjadi tegak dengan mengikat pada tiang-tiangnya dengan menggunakan paku dawai. 

Saya merasa puas melakukannya walaupun memakan masa yang panjang sehingga masuk waktu zohor.

Penat? Sudah tentu penat pada usia lebih enam puluhan ini. Tambah-tambah lagi sudah buat pembedahan jantung terbuka. Tapi, ini juga adalah satu cara untuk menguatkan jantung dan menghancurkan lemak-lemak dalam anggota badan.

Rupa-rupanya ada menfaat pokok itu tumbang dan  menimpa pagar saya.  Menfaat yang saya nampak adalah 
i) saya dapat buktikan bahawa kerja-kerja kecil seperti itu saya boleh lakukan sendiri. Mungkin pada masa depan isteri akan meminta saya melakukan terlebih dahulu sebelum berhasrat memanggil orang luar. Kerja percuma saja. 
ii) menyihatkan anggota badan, walaupun sedikit penat.  Kalau tidak penat, bukan kerja namanya.

Yang penting sekali ialah bahawa setelah siap kerja saya merasa puas. Dan saya tidak lagi merasa kecewa dengan sikap jiran-jiran yang masih belum membina rumah. Mungkin mereka ada keutamaan lain yang perlu didahulukan.