Theflowersellingboy

Jumaat, 4 Julai 2014

Pemgemis, Penderma dan Perasuah: Sinario di Malaysia.




Meminta salah dan memberi salah. Itu adalah perbuatan rasuah..

Meminta salah dan memberi salah. Itu adalah pengemis/peminta sedekah dan penderma.

Yang pasti perbuatan itu adalah sama iaitu ada yang meminta dan ada yang sudi memberi.

Yang pasti juga ialah perbuatan itu adalah salah.

Tapi sebab menjadi salah ada bezanya.

Rasuah menjadi salah kerana ada undang-undang yang mentafsirkan perbuatan meminta dan memberi itu adalah salah.

Peminta sedekah yang meminta dan orang yang sudi memberi/menderma itu menjadi salah kerana ada menteri di malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah. Tidak ada dikanunkan oleh mana-mana undang-undang negara atau perintah dari mana-mana ajaran agama yang perbuatan seperti itu adalah salah.

Melakukan rasuah boleh ditangkap. Ada diperuntukkan dalam undang-undang.

Mengemis dan menderma kepada pengemis pun boleh ditangkap. Ini ditentukan oleh seorang menteri Malaysia.

Perasuah ditangkap kerana ianya satu perbuatan yang boleh merosakkan negara.

Pengemis dan orang yang membantu/penderma ditangkap kerana perbuatan itu mencacatkan nama baik , kecantikan dan kebersihan kuala lumpur.

Jadi perasuahan dan pengemisan/pendermaan adalah merosakkan negara.

Dengan demikian tangkaplah mereka itu.

Tapi apabila mahu tangkap perasuah, jangan pilih-pilih.

Begitu juga apabila tangkap pengemis dan penderma , jangan pilih-pilih.

Dakwa mereka dan beri mereka peluang membela diri:

Tanya perasuah (yang meminta dan yang memberi) mengapa melakukan perbuatan yang merosakkan negara itu.

Tanya pengemis dan penderma , mengapa melakukan perbuatan yang merosakakan imej negara itu.

Jika perasuah (orang yang meminta) menjawab mereka perlu wang tambahan bagi membantu menjalani kehidupan kerana mempunyai tanggungan yang banyak sedangkan gaji tidak sebanyak mana, tambah-tambah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan menekan, maka lepas dan maafkan saja mereka itu. Mereka tidak merosakkan negara.

Tapi mesti sentiasa ingat, peminta diatas itu adalah dalam keadaan ketiadaberadaan (memerlukan), hidup yang terdesak oleh cara pembahagian kekayaan negara yang tidak adil.

Tapi ada juga yang meminta itu hidupnya adalah dalam keberadaan (mencukupi, tidak susah) malah ada yang hidup mewah , dan ada yang mempunyai kekebalan dari dakwaan. Jenis ini adalah merosakkan negara.

Jika yang memberi menjawab kerana ada yang meminta maka tanya soalan tambahan. Tanya sipemberi , jika orang miskin dan pengemis yang meminta, relakah dia memberikan kepada orang miskin itu.

Sudah tentu dia akan berkata, dia tidak sanggup berbuat begitu kerana memberi/menderma kepada orang miskin/pengemis adalah salah di malaysia.

Maka penjarakan orang yang memberi itu. Sebab, dia itu memang orang yang tidak ikhlas dan jujur. Dia tahu rasuah itu salah tapi dia berikan juga.

Dia juga tahu di malaysia, memberi/menderma kepada simiskin/pengemis adalah salah.

Kedua-duanya salah. Mengapa pilih melakukan rasuah saja? Sudah tentu ada faedah dan kepentingan diri.

Kepada orang miskin/pengemis  tanya mengapa dia mengemis, tak malu kah?

Sudah tentu pengemis itu menjawab bahawa dirinya tidak penting. Dia mahu menjaga nama baik negara. Dia tidak mahu mati kebuluran dalam sebuah negara yang kaya. Malulah negara kita.

Kalau itu jawapannya maka dakwalah orang/pihak yang membuatkan dia itu jadi peminta sedekah, hidup susah dan miskin kerana orang/pihak itu telah gagal mengagihkan pendapatan negara dengan saksama dan adil. Orang/pihak itu telah gagal menjaga nama baik negara ada pengemis dalam negara yang kaya..

Namun begitu, sentiasa mesti ingat bahawa ada orang yang diupah untuk jadi pengemis. Maka dakwalah orang yang ambil upah jadi pengemis itu. Jangan pula sekali-kali lupa mendakwa dan memenjara majikannya juga kerana majikannya itulah perosak kepada nama baik negara.

Kepada sipenderma, jangan dakwa mereka kerana mereka mahu menjaga nama baik negara. Kalau pun yang diberi derma itu adalah pengemis yang diupah, tapi pemberian mereka adalah ikhlas ingin membantu, cuma dia tidak ada perasaan sangka buruk sipeminta sedekah itu. Hadiahkan kepada mereka ini doa agar murah rezeki, rezeki yang halal lagi barakah.

Namun perlu juga ingat, tidak semua penderma/pemberi itu mahu menjaga nama baik negara. Mereka ini menderma/membantu dengan balasan mahu diri dikenang, diberi ucapan kesyukuran dan terima kasih dengan cara menaik dan menempatkan mereka ke satu kedudukan yang berkuasa.

Pemberi seperti diatas itu tidak sewajarnya dihargai kerana mereka akan melakukannya bukan sebenarnya untuk membantu tapi hanya bagi mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa. Akhirnya mereka akan menyalahgunakan kuasa. Mereka juga perosak negara.  


Rabu, 2 Julai 2014

LIVING IN THE SKY: Berapa Harga?




Berapa harga?

Dua ratus sembilan puluh lapan ribu. Ada dua bilik.

Dua bilik, jual harga hampir tiga ratus ribu?

Saya duduk disebuah kerusi panjang berdekatan dengan meja promoter menjual rumah bangunan tinggi yang diberi tag sebagai  'living in the sky'. Hanya ada seorang promoter saja. Ada sebuah skrin menayang dan memperihalkan 'tinggal diatas langit' itu'. Ditunjukkan peta lokasi bangunan, kawasan kejiranan , rangkaian jalan raya dan berbagai kemudahan dalam kawasan kediaman,  yang kesemuanya dikatakan amat strategik lagi menarik untuk dijadikan tempat kediaman sama ada untuk tinggal sendiri ataupun disewa.

Antara yang dikatakan strategik dan menarik ialah rangkaian jalan raya yang baik yang mempunyai hubungan dan dekat dengan lebuh raya utara selatan , berdekatan dengan sebuah universiti swasta, tidak jauh dari pusat bandar dan berdekatan dengan kontinjen polis negeri. Dan dalam kawasan kediaman disediakan taman permainan dan kolam renang dan perkhidmatan spa, sesuai dengan cara dan gaya hidup terkini.

Promoter itu kelihatan tidak sibuk dan sedang melayan dengan begitu asyik sekali taliponnya, mungkin sedang bermain 'game', ketika mana saya sedang melihat skrin dan mendengar apa yang diperihalkan tentang bangunan itu.

Kemudian, tiba-tiba saya disapa oleh promoter. Beliau mencadangkan agar saya mendaftar untuk menempah (booking) bangunan 'tinggal atas langit' itu.

Secara spontan saya bertanyakan harga. Jawapan dua ratus sembilan lapan ribu dari promoter itu, sesungguhnya amat mengejutkan saya. Tidak mungkin harga boleh setinggi itu kerana sedikit sebanyak saya ada maklumat mengenai harga dipersekitaran bangunan itu. Harga ini terlalu mahal.

Apabila bangunan itu hanya ada dua bilik, ia meyakinkan saya bahawa harga itu 'tidak sepadan dan terlalu tinggi. Mana ada bangunan tinggi yang dibina ketika ini menyediakan dua bilik saja? Paling kurang tiga bilik. Rumah pangsapun ada tiga bilik.

Dua bilik dan harga hampir tiga ratus ribu. Saya segera menyatakan bahawa ianya terlalu mahal. Maka promoter mencadangkan kepada saya untuk mengambil pinjaman bank.

Saya sudah tualah, tidak ada bank yang mahu memberi pinjaman.

Kata-kata saya itu membuatkan promoter tidak lagi berminat untuk meneruskan perbualan.

Saya berpendapat: 
i) bangunan itu terlalu mahal tidak sepadan dengan lokasi dan luas ruang binaan. Malah jika bangunan dua bilk dibina diKL atau Putra Jaya, saya rasa harga tidak setinggi itu, dan tidak mungkin ada bangunan dua bilik dibina di KL atau Putra Jaya. 
ii) Bangunan 2 bilik tidak sesuai bagi sebuah keluarga. Paling kurang tiga bilik iaitu satu bilik itu ibu bapa dan dua bilik lagi bagi anak-anak terutamanya jika ada anak lelaki dan perempuan, 
iii) bangunan itu adalah sesuai untuk disewa oleh para pelajar universiti yang boleh tinggal beramai-ramai, misalnya satu bilik 5 orang untuk mengecilkan kos bayaran sewa, 
iv) tidak ramai orang/ atau masih belum ada orang yang mendaftar untuk membeli rumah itu kerana tidak ada orang lain yang datang ke meja itu selain dari saya yang duduk agak begitu lama di kerusi panjang berdekatan dengan meja promoter itu.

Ada pertanayan kepada pihak berkuasa yang meluluskan pelan bangunan:
i) Mengapa pelan bangunan yang hanya menyediakan dua bilik perlu diluluskan. Ada kah faktor sosial tidak diambil pertimbangan?
ii) Harga ditentukan oleh pasaran -demand and supply. Tapi adakah pihak berkuasa boleh menerima harga seperti itu? 

Saya mengharapkan pemaju tidak hanya memikirkan keuntungan yang terlalu tinggi. Fikirkan juga kemampuan pembeli sesuai dengan luas ruang yang disediakan. Fikirkan juga keperluan sosial masyarakat kita. Dua bilik adalah tidak sesuai. Hargapun terlalu tinggi.

Adakah harga itu ditetapkan sebegitu tinggi kerana ;kediaman itu bertaraf kediaman atas langit? dekat dengan syurga ke?

Saya rasa ianya dekat dengan neraka kerana harganya harga yang memanaskan seluruh anggota badan.

 Berapa Harga?
  



Selasa, 1 Julai 2014

Kasih dan Sayang Orang Melayu Terhadap Yang Seagama.




Kitalah bangsa (Melayu) yang paling pengasih dan penyayang terhadap sesama agama. Maksud saya sesama agama Islam.

Kasih sayang kita sesama Islam tidak boleh ditandingi oleh bangsa lain yang beragama Islam. Ini bukan satu kenyataan kosong atau suka buat-buat saja. Kita ada bukti yang boleh dilihat, ditunjuk dan diketengahkan.

Rasa sayang dan cemburu kita semakin bertambah jika orang yang seagama itu mendapat perhatian atau sudah bersama dengan orang beragama lain. Kita berang dan sentiasa mempersoalkan kenapa orang seagama kita itu sanggup mengadu hal dan meminta pertolongan dari orang atau pihak bukan Islam. Apatah lagi orang itu sudah tidak bersama dengan agama kita, yang kita panggil murtad.

 Maka naik berang dan marahlah kita sebagai tanda kecewa kita diatas keadaan itu. Sebab kita sayang saudara kita itu. Kita mahu ke syurga bersama.

Orang atau pihak yang kita marah sangat ialah orang/pihak bukan Islam yang telah dapat memikat hati dan nurani saudara Islam kita itu. Maka kita akan melakukan berbagai reaksi dan tindakan. Kita keluarkan kenyataan menyerang bukan Islam itu. Kita mengeluarkan kata-kata ancaman akan mengambil tindakan terhadap pihak itu kerana telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan agama lain disebarkan dikalangan orang Melayu.

Ancaman itu tidak terhad kepada tindakan undang-undang saja. Kita bersedia untuk melakukan kekerasan dengan merosak harta benda dan mencederakan pihak tersebut.

Jika kita mendapat berita ada orang Islam yang berkahwin dengan bukan Islam, dengan segera kita bertindak untuk menghalangi perkahwinan itu, walaupun status Islamnya orang itu masih lagi kita belum tahu dengan jelas. 

Sebab apa kita berbuat begitu?

Sebab kita adalah bangsa yang paling pengasih dan penyayang. Kita seolah-olah tidak mahu berpisah dan dipisahkan, hidup mahupun mati. Dari dunia hingga akhirat.

Itulah caranya kita menumpahkan kasih sayang.

Menakjubkan?

Tidak pasti perkataan 'menakjubkan' itu menepati cara kita menumpahkan kasih sayang. Atau itukah cara yang terbaik yang perlu kita teruskan.

Namun satu hal yang pasti ialah kita sayang dan kasih apabila orang itu telah tiada. Maksudnya i)orang itu tidak bersama kita lagi, dan ii) orang itu telah mati.

Sebelum berlaku salah satu dari dua keadaan itu, kita tidak ambil peduli. Susah ke, ada makan minum ke, sakit ke, perlu bantuan wang ke, perlu bantuan ilmu agama ke dan berbagai-bagai lagi termasuk nama orang itu kita tidak ambil kisah.

Yang paling malang sekali pihak yang mempunyai kekuatan kewangan seperti Jabatan agama (Pusat Zakat) tidak juga memberi perhatian baik tentang perkara ini. Hanya berbangga tentang jumlah kutipan zakat yang bertambah dari tahun ke setahun sedangkan keperluan orang yang susah ini tidak mendapat perhatian yang baik.

Jadi salahkah orang itu menerima bantuan dari pihak lain yang tidak seagama misalnya dari orang/gereja keristian?

Mengapa orang itu dikatakan murtad hanya semata-mata menerima bantuan dari gereja? Jika sebenarnya orang itu murtad kerana telah begitu tertarik diatas kebaikan gereja, tidakkah kita orang Islam juga mengambil tanggungjawab? Kenapa mesti menyalahkan pihak lain?

Apabila berlaku kematian saudara-saudara baru, kita berebutan mayat dengan kaum keluarga saudara baru yang masih bukan Islam. Kita sanggup gali kubur untuk mendapat mayat itu untuk dikuburkan diperkuburan Islam. Tidakkah tindakan itu sudah terlambat?

Mengapa sebelum orang itu mati kita tidak tunjukkan bahawa orang itu sebenarnya saudara se Islam yang perlu kita dekati, dan jika susah kita beri bantuan, dan jika masih kurang ilmunya, kita bantu tambahkan.