Theflowersellingboy

Isnin, 9 Jun 2014

Bergaduh dengan monyet, beruk, kera dan lotong yang tidak berada di zoo.




Hari-hari bergaduh dengan monyet, kera dan lotong. 

Pada sebelah pagi, biasanya pukul lapan keatas, binatang-binatang itu bergayut -gayutan dan melompat-lompat diantara satu pokok ke pokok yang lain. Lagak binatang-binatang itu tamat sehingga pukul sepuluh lebih , kemudian beralih ke tempat lain, entah ke mana tidak dapat dipastikan.

Pada sebelah petang pula, binatang-binatang itu akan muncul pada pukul empat petang , melakukan lagak gaya yang sama, bergayutan dan melompat diantara pokok ke pokok. Tidak cukup dengan lagak seperti itu, binatang-binatang itu , mematah-matah ranting-ranting kecil dan membiarkannya jatuh ke bawah. Sambil makan , ada sebahagiannya menjatuhkan najis. Ada yang jatuh diatas jalan.

Binatang-binatang itu kekal diatas pokok-pokok tersebut untuk bermalam. Esoknya, pukul lapan pagi mereka melakukan rutin yang sama.

Saya seronok melihat gelagat binatang-binatang itu. Saya seronok jika mereka lakukan diatas pokok-pokok yang bersebelah dengan rumah saya. Malah saya jadikan binatang-binatang itu sebagai daya bagi mengujakan cucu-cucu untuk balik ke rumah saya.

"Rumah tokpa ada banyak monyet", begitu selalunya saya beritahu kepada asyef dan aqib sebagai bahan cerita untuk menguja mereka balik ke rumah saya. Bukan main teruja mereka berdua untuk balik ke Melaka, untuk melihat monyet, kera, beruk dan lotong. Tidak perlu keluar wang untuk ke zoo bagi melihat  binatang-binatang tersebut.

Cucu-cucu saya itu masih kecil, 4 dan 3 tahun. Kedua-duanya tidak takut untuk berdepan dengan binatang-binatang tersebut, tidak seperti nenekya iaitu isteri saya. Neneknya apabila nampak binatang-binatang itu, dengan segera masuk kedalam rumah dan menutup pintu dan tingkap, takut monyet-monyet itu masuk menyerang.

"Kalau monkey tu datang, asyef tembak", kata Yousef dengan begitu yakin.
"Aqib tembak pakai gun tokpa, mati dia", kata aqib pula.

Merekapun ketawa suka kerana tidak takut berdepan dengan monyet. Pada mereka binatang-binatang tersebut boleh ditewaskan saja dengan melakukan tembakan. 

' Macam mana nak tembak. Tembak dengan apa"? Saya tanya mereka.

'Teng, teng, teng, teng, tengggggg', keluar dai mulut usyef sambil jari ibu dan jari hantu tangan kirinya masing-masing tegak dan lurus ke depan seolah-olah selaras pistol.

"Aqib ambik gun tokpa, aqib tembak, peng peng, penggggg, mati dia".

Saya ketawa. Mereka segera mengajak saya balik.

Begitulah menariknya binatang-binatang beruk, monyet ,kera dan lotong itu. Saya tertari dan cucu-cucu sayapun begitu teruja untuk berdepan dengan binatang yang suka melompat dan bergayut itu.

Setakat gelagat mereka diatas pokok-pokok disebelah rumah itu, sesungguhnya binatang-binatang menghiburkan.

Tapi, mereka membuatkan saya marah dan sakit hati.

Semenjak kembali semua menduduki rumah saya itu, selepas meninggalkannya lebih 3 bulan, perangai binatang-binatang itu sungguh menyakitkan hati.

Pokok mangga yang lebat berbuah yang berhampiran dengan pokok gayutan binatang-binatang itu, tidak pernah sempat masak. Habis semuanya digasak oleh binatang jahat itu. Kalau dimakan buah itu, ok juga. Tapi. digigit-gigit, kemudian buah itu di jatuhkan kebawah, tidak dmakan semuanya. Dilakukan pada buah-buah yang lain.

Saya sungguh sakit hati dan marah.

Maka saya halau binatang-binatang itu dengan mengeluarkan susara kuat. Ada yang lintang pukang terjun dari pokok mangga itu terjun ke atas atap sebuah setor berdekatan dengan pokok mangga itu. Maka atap zing yang berlapekkan 'adex' pun kemek dan pecah.

Saya marah kerana, atap itu baru saja saya ganti  setelah atap yang lama menjadi musnah disebabkan oleh beruk itu juga. Saya berbelanja hampir satu ribu. Punah dibuatkan oleh binatang-binatang itu.

Saya semakin marah apabila talian talipon dari tiang talipon ke rumah saya menjadi titian binatang-binatang untuk ke rumah saya. Talian itu halus tidak sepadan dengan berat badan beruk itu. Maka putuslah talian itu.

Untuk menyambungnya semula, saya terpaksa membayar seseorang dengan kos RM 150.00.

Saya marah tapi masih lagi belum sampai ke puncak.

Ada seekor binatang itu  begitu berani dan terlalu degil. Tiap-tiap hari, pagi dan petang, meniti talian letrik memasuki balkoni rumah saya, dan menenggek diatas bahu ruang balkoni.

Cermin rumah saya, termasuk cermin tingkap, tidak membolehkan sesiapa termasuk beruk itu untuk nampak orang di dalam rumah melainkan ada cahaya dalam rumah. Jadi beruk itu tidak tahu yang saya sedang memerhatikannya.

Saya mengambil sebatang penyapu . Dengan perlahan saya membka tingkap bagi menyergah dan mengacah beruk itu. Tapi telinga beruk itu sungguh tajam. Apabila terdengar bunyi tingkap dibuka, dengan segera beruk itu melompat kearah talian letrik dan bergayut dengan cepat menyelamatkan diri. Sungguh pantas pergerakannya untuk berada dipokok tempat gayutannya.

Saya sangat marah.

Saya lantas mengambil senapang , turun kebawah untuk menakutkan beruk-beruk itu, untuk menghalau jauh ke semuanya. Saya menembak hanya untuk menaktkan beruk-beruk itu, bukan untuk mengenai tubuh badan bagi mencedera atau membunuh. Saya tembak keatas. Kesian, tidak sampai hati.

Tapi, cara saya itu tidak langsung menakutkan binatang-binatang itu. Ada yang masih bersuka ria bergayutan termasuk yang menenggek dibalkoni rumah tadi.

Saya semakin marah. Tapi, masih lagi dapat mengawal perasaan. Saya tetap tidak mahu mencederakannya.

Saya masuk ke rumah menonton tv.  Tiba-tiba muncul lagi beruk yang dihalau tadi, menenggek di bahu balkoni.

Nampaknya beruk ini terlalu degil dan tidak tahu takut. Beruk ini semacam mahu mencabar saya.

Saya membuka tingkap dan dengan penyapu yang sama saya cuba memukulnya. Tapi beruk itu lebih pantas, melompat dan bergayaut diatas talian letrik itu.

Saya keluar rumah dan mengejarnya yang begitu seronok menunjukkan kecekapan bergayut  satu pokok ke pokok yang lain.

Saya menjadi penat dan mengah. Beruk itu masih lagi berada diatas pokok.

Yang terlalu sangat menjadi kemarahan saya dan menimbulkan permusuhan ketat dengan binatang-binatang itu ialah sifat degil mereka., kerosakan keatas atap rumah, atap setor dan talian talipon serta letrik. Banyak belanja yang telah saya keluar.

Tentang buah mangga, saya tidak sangat mengambil hal. Itu makanan binatang itu. Lagipun kawasan rumah saya itu  mungkin dulunya kawasan beruk-beruk itu cari makan.

Jadi kalau hendak buat rumah, jangan buat dikawasan yang menjadi tempat beruk mencari makan.

Tapi jangan silap, rumah saya bukan di pinggiran hutan. Rumah saya di dalam kawasan bandar raya berdekatan dengan sebuah hospital swasta yang terkenal.
 





Ahad, 8 Jun 2014

GURU BERPOLITIK MENGUNTUNGKAN UMNO?




Setiausaha Agong UMNO mencadang supaya guru dibenarkan berpolitik. Ertinya aktif dalam parti politik (UMNO) seperti yang telah berlaku pada suatu ketika dulu. 
 
Cadangan beliau begitu serious sekali dan dilakukan dalam sebuah majlis yang dihadiri guru-guru. Nada beliau adalah nada merayu.
 
Sebagai Setiausaha Agong UMNO, beliau sedia tahu tentang kedudukan sokongan orang Melayu terhadap parti itu ketika ini. 
 
Adakah UMNO dalam keadaan terdesak untuk mendapat sokongan dari orang Melayu? Dalam bentuk pertanyaan lain, adakah  sokongan orang Melayu kepada UMNO telah merosot seperti yang dipamerkan dalam PRU 13 dan beberapa pilihanraya kecil selepasnya?
 
Kita tafsirkan dulu cadangan setiausaha agong UMNO itu.
 
Pertama, cadangan dan rayuan beliau itu ianya memberitahu kita atau kita boleh menafsirkannya bahawa UMNO menghadapi masalah dalam mendapatkan kepercayaan dan sokongan dari orang Melayu walaupun UMNO mempunyai bilangan 3.5 juta ahli orang Melayu dan mempunyai bilangan kerusi di DUN dan Parlimen yang lebih banyak dari parti-parti lain.
 
Maknanya bilangan sokongan dari orang Melayu pada PRU 13 dan pilihanraya-pilihanraya kecil selepasnya tidak menggalakkan, malah menurun walaupun calun BN yang memenangi pilihanraya tersebut seperti di Teluk Intan.

Kedua, cadangan itu dengan jelas bermaksud bahawa UMNO boleh mengharapkan sokongan dari guru-guru Melayu. Maka usaha untuk menarik dan membenarkan guru-guru untuk aktif dalam politik (maksudnya UMNO) perlu dilakukan segera.
 
UMNO memerlukan sokongan pengundi Melayu yang meningkat. UMNO, khususnya Setiauasaha agongnya yakin bahawa guru-guru adalah kelompok yang boleh diharapkan.

Ketiga,  setiausaha agung UMNO itu mengatakan salah satu sebab merosotnya sokongan kepada UMNO datangnya dari guru-guru. Ertinya beliau 'menyalahkan' guru kerana tidak menyokong UMNO. Guru tidak menyokong UMNO kerana tidak dibenarkan aktif berpolitik (bergiat dalam UMNO).
 
Keempat, cara berfikir Setiauasaha agung ini masih tidak berubah dan dikongkong oleh pemikiran lama bahawa pengundi Melayu itu adalah seperti ikan dalam lubuk yang laparkan umpan di mata kail. 
 
Oleh itu UMNO mesti mencari LUBUK dimana banyaknya Melayu. 
 
Itulah cara penyelesaian Setiausaha agung UMNO itu bagi memenangi dan mendapat sokongan orang Melayu yang lebih ramai.
 
Penyelesaian itu memberi fokus hanya ke luar saja. Ertinya yang tidak kena ialah sokongan orang Melayu dan bukan disebabkan kegagalan pimpinan UMNO dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kepentingan orang Melayu. 
 
UMNO tidak bertanya mengapa orang Melayu termasuk yang dulunya dianggap sebagai ikan laparkan umpan tidak lagi menyokong UMNO. UMNO tidak melihat ke dalam.
 
Kalaupun UMNO melihat ke dalam, apa yang UMNO jelas nampak ialah berbagai kemudahan yang disediakan kerajaan seperti pinjaman mudah, projek dan kontrak kerajaan. 
 
Itupun tidak semua ahli UMNO diberi peluang, apatah lagi orang Melayu yang bukan ahli dan mereka yang terpaksa menyokong parti lawan disebabkan terlalu benci dan meluat akan gelagat dan kelakuan pimpinan UMNO yang berkuasa, yang menyapu semua kemudahan, projek dan kontrak untuk diri, keluarga dan mereka yang hidup dalam lingkaran kepimpinan itu.   
 
Banyak contoh boleh diberikan. Kes lembu NFC paling mudah difahami kerana ia membabitkan pinjaman mudah seperti pinjaman Tabung Pendidikan.
 
Bezanya, yang mendapat pinjaman kes lembu itu ialah dari kepimpinan UMNO. Yang mendapat pinjaman Tabung Pendidikan itu adalah anak-anak orang yang tidak berkemampuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran diperingkat lebih tinggi.
 
Bezanya juga, yang gagal dalam mengurus dan menggunakan pinjaman kes lembu itu tidak dikejar ke lubang cacing menuntut agar pinjaman lebih 350 juta itu dibayar balik. 
 
Tidak seperti kegagalan membayar balik pinjaman tabung pendidikan, dikejar sampai ke lubang cacing. Belum dapat kerja, dengan segera notis menuntut bayaran balik diterima. Peduli apa dengan anak muda yang menganggur itu, pinjaman mesti bayar segera. 
 
Gagal bayar, nama disenarai hitamkan dan disebar kepada institusi kewangan supaya ambil tahu anak muda itu tidak layak diberi bantuan kewangan. Gagal bayar, diheret ke mahkamah untuk 'mencari keadilan'.
 
Bolotan berbagai peluang kemudahan, projek dan kontrak itu dilakukan dengan cara batil dan monopoli. Hanya diri pimpinan dan mereka dalam lingkungan saja yang menikmatinya.
 
Jadi sudah tentu orang UMNO yang lain marah dan benci. Mereka benci lalu tidak mengundi UMNO.
 
Jadi sudah tentu orang Melayu dari parti bukan UMNO naik berang dan marah. Mereka tidak perlu diyakinkan untuk menolak UMNO.
 
Sudah tentu juga orang Melayu yang tiada parti marah. Mereka juga ada anak yang mendapat pinjaman tabung pendidikan yang dikejar oleh pihak tabung untuk segera bayar hutang. Mereka beralih mengundi selain UMNO.
 
Tapi tidak dinafikan ada yang masih mengundi UMNO walaupun berlaku seperti yang dinyatakan diatas. Sebab mereka orang susah, kurang cerdik dan terbatas capaian maklumat. Mereka inilah dijadikan ikan oleh UMNO dalam setiap pilihanraya. Berbagai janji, pemberian dan projek melulu diluluskan.
 
Sebenarnya UMNO ada dua LUBUK Melayu yang menjadi harapan kepada UMNO. Lubuk pertama ialah di kawasan-kawasan kampong dan pedalaman. Lubuk kedua ialah dikalangan guru-guru Melayu.
 
UMNO tidak boleh bergantung harap pada orang Melayu dibandar dan dipinggir-pinggir bandar terutama dikalangan anak-anak muda dan mereka yang berpendidikan tinggi dan mempunyai capaian maklumat yang berbagai; mereka yang tahu apa sebenarnya tanggungjawab sebuah kerajaan.
 
Bagi UMNO, orang-orang Melayu di kampong-kampong adalah ikan atau orang yang berkelakuan seperti ikan yang mudah  tertarik dengan umpan dimata kail (pancing), lalu 'dingapnya' (cuba ditelan) umpan dimata kail itu, yang akhirnya ikan itu disentap dan disantap sebagai hidangan paling enak.   
 
Dalam pemikiran UMNO atau kepimpinan UMNO seperti Setiausaha agong parti itu, lubuk yang paling banyak Melayu jenis ikan itu ialah dikampong-kampong dan kawasan pedalaman yang banyak ketinggalan dalam berbagai keperluan hidup.
 
Orang Melayu dalam lubuk ini sebahagian besarnya adalah orang Melayu yang kurang berpendidikan, yang hanya bergantung dan disuapkan dengan maklumat dan penerangan dari media kawalan kerajaan (BN), yang miskin yang sentiasa mengharapkan pertolongan dan tahu mengenang budi dan membalas jasa atas bantuan yang diterima walaupun hanya sehelai kain batik atau wang BR1M RM 500 sekali bagi tempoh antara satu pilihanraya.

UMNO tahu dan sedar bahawa orang Melayu dalam lubuk ini tidak ambil kisah atau mengambil ringan saja tentang perlunya sebuah kerajaan yang menjalankan tadbir urus negara yang baik, bertanggungjawab dan amanah. Orang Melayu dalam lubuk ini tidak memandang rasuah dan salah guna kuasa sebagai perkara yang hina dan perlu ditentang; mereka tidak melihat boros belanja wang negara dan pembaziran wang tersebut sebagai antara penyebab utama mereka berkeadaan miskin dan hidup serba kekurangan sehingga kini.

Orang Melayu lubuk ini laparkan projek pembangunan. Mereka mahu air dalam paip, letrik, jalan dan jambatan. Mereka terhutang budi apabila diberikan bantuan wang tunai walaupun sedikit cuma, walaupun sehelai kain batik, walaupun sekampit beras 10 kg, walaupun sekilo gula.
 
Yang penting bagi orang Melayu dalam lubuk ini ialah pertolongan dan bantuan yang memudahkan kehidupan mereka walaupun keenakan itu dirasa dalam waktu yang singkat,  walaupun sekali sekala dan bermusim, walaupun kecil dan sedikit, antaranya pemberian BR1M, projek parit dan longkang, jalan dan jambatan sekolah dan balai raya. 
 
Orang Melayu dalam lubuk ini tidak menganggap segala bantuan, pertolongan dan projek pembangunan yang dilaksanakan itu adalah merupakan tanggungjawab sebuah kerajaan terhadap rakyat dan negara. Paling malang sekali, ada juga yang menganggap wang dan bantuan yang diterima itu datangnya dari poket pihak yang memberi atau yang melaksanakan projek tersebut, dan bukan wang hasil negara yang mereka ada hak keatasnya.
 
Maka berhutang dan terhutang budilah mereka selama-lamanya, selagi hayat dikandung badan. Kata mereka, "Ada ubi ada batas, orang berbudi kita membalas", lalu terus mereka memberi undi dari dulu, kini dan selama-lamanya kepada pihak yang dikatakan berbuat budi itu.
 
Lubuk kedua pula ialah guru-guru. Sekarang UMNO fokus kepada guru-guru pula.
 
Sehingga kini, UMNO percaya, seperti yang dijelmakan dari pemikiran setiausaha agung UMNO itu, ialah bahawa satu lagi LUBUK Melayu yang menjadi tempat mengail yang lumayan bagi UMNO ialah dikalangan guru-guru. Kerana sebahagian besar guru-guru itu adalah orang Melayu.
 
Berbeza dengan orang-orang kampong, guru-guru ini berkehidupan sederhana, dan ada setengahnya mewah, berpendidikan baik dan amat berpengaruh dikalangan masyarakat. 
 
Guru berpengaruh dalam masyarakat. Umno dapat dua keuntungan dari guru. 
 
Pertama mengundi UMNO.  (Itulah yang terus dipercayai UMNO berdasarkan cerita silam).
 
Kedua menjadi agen UMNO untuk mengajak pengundi Melayu lain mengundi UMNO.
 
Itu cerita pada zaman dahulu. Sekarang sudah ada lain ceritanya walaupun ada guru-guru yang mengambil peranan tradisi itu iaitu mengundi dan ajak orang Melayu mengundi UMNO.
 
Pada suatu masa dulu memang guru-guru adalah kelompok yang memenangkan UMNO. Mereka boleh diharap. 
 
Apa kata guru, itulah kata masyarakat Melayu. Guru kata dan ajak undi UMNO, orang Melayu akan heboh-heboh dan ajak undi UMNO. Guru kata parti PAS itu tidak betul, sebahagian besar orang Melayu memanjangkan kata-kata itu. Guru Melayu kata DAP anti Melayu dan Islam, orang Melayu sangat marah dan benci DAP dari dulu, kini dan mengharapkan selama-lamanya.
 
Sikap dan pendirian guru itu dipengaruhi oleh semangat mahu berjuang demi kepentingan orang Melayu , agama Islam dan tanah air. Sama juga dengan semangat ahli-ahli UMNO dan orang Melayu lain pada suatu ketika dulu.
 
Tapi ianya hilang lesap. Bila bermulanya hilang lesap tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun tahun-tahun 80 an dimana kerancakan pembangunan fisikal mengambil tempat yang hebat, sehinggalah sekarang ini, semangat juang dulu nyata telah terhakis dan dilupakan saja. 
 
Terciptalah jutawan Melayu. Hanya beberapa orang saja. Itupun sudah reput.
 
Kepimpinan Melayu UMNO memberi fokus mengejar dan mendapat kuasa serta mengekal kuasa demi kekayaan diri, kemewahan hidup yang mudah diperolehi secara yang tidak teratur dan batil. 
 
Lahirlah juga kumpulan kecil elit Melayu yang hidup dalam lingkaran pemimpin UMNO, menjaga kepentingan diri dan kepentingan kepimpinan itu.
 
Maka sebahagian besar orang Melayu yang diluar lingkongan diatas menjadi terpinggir, hidup dalam kesusahan, rendah pendidikan, rendah tahap kesihatan, dan terbatas capaian maklumat. Mereka ini miskin.
 
Ada pihak menganggarkan, bilangan Melayu dalam kelompok ini adalah 40% dari jumlah semua orang Melayu.
 
Keadaan semacam itu amat menyedihkan. Setelah negara merdeka lebih 56 tahun, majoriti kehidupan orang Melayu adalah seperti itu.

Maka orang Melayu sudah meluat dengan perangai UMNO dan kepimpinan. Lalu mereka beralih kepada parti lain, bukan UMNO/BN. Ini jelas dalam PRU 13 dan pilihanraya kecil selepasnya.
 
Lalu setiausaha agung UMNO mengemukakan cadangaan agar guru-guru dibenarkan aktif berpolitik seperti suatu masa dulu.

Dia lupa atau tidak sedar kerana kemabukan dik kemewahan hidup. Guru-guru bukanlah ikan yang laparkan umpan. 
 
i) Mereka bijak berfikir. 
ii) Mereka tahu mana yang hak dan mana yang batil. 
iii) Mereka tahu apa yang berlaku dalam negara termasuk dalam hal penggunaan wang dan aset negara. 
iv) Mereka tahu banyak yang tidak betul dan teratur dalam urus tadbir negara. 
v) Mereka tahu kerajaan yang ada ini boros. 
vi) Mereka tahu beban hutang negara sudah tenat. 
vii) Mereka tahu perlakuan rasuah dikalangan pimpinan begitu meluas dan besar sekali tanpa tindakan.
viii) Mereka tahu dan ada maklumat tentang salah guna kuasa dan campur tangan serta pengaruh dan tekanan yang dikenakan ke atas berbagai institusi penguatkuasa dan keadilan.
 
Banyak yang mereka tahu kerana capaian maklumat mereka tidak terbatas.
 
Jika UMNO mengharapkan semua guru-guru akan menyokong UMNO jika diberi kebenaran aktif berpolitik, maka UMNO sebenarnya cari nahas menggali kubur sendiri. Sebahagian besar guru tidak akan menyokong BN/UMNO kerana perangai UMNO/BN masih lagi perangai UMNO.
 
Apa dia perangai UMNO itu?
 
 Fikir-fikirkan sendiri.
 

Isnin, 2 Jun 2014

Keputusan Pilihanraya Teluk Intan : BN menang tapi DAP memenangi pengundi Melayu.




Calun DAP kalah di Teluk Intan. Tahniah kepada calun BN yang menang.

Saya meramalkan calun DAP menang dengan majoriti lebih 7,000 seperti yang diperolehi calun DAP pada PRU 13 lalu. Ramalan saya itu dengan andaian bilangan keluar mengundi sama seperti PRU 13 dan berlaku tambahan pengundi Melayu mengundi DAP.

Bagi saya BN sudah tenat dengan membawa berbagai masalah yang menyusahkan rakyat. 

Nyata bahawa pengundi Malaysia tidak ambil berat menggunakan hak bagi menentukan kepimpinan negara. Sebahagian besar tidak mahu hidup dalam kesengsaraan disebabkan kos sara hidup yang tinggi: kenaikan harga barang dan perkhidmatan dan beban cukai GST. Mereka juga tidak suka dengan salah guna kuasa kerajaan, rasuah dan beban hutang negara yang tinggi. 

Tapi mengapa di Teluk Intan ini BN masih dihati rakyat?  Mengapa BN boleh menang? Adakah BN bersedia mengurangkan kos sara hidup rakayat? Adakah BN tidak akan melakukan rasuah?

Bagi saya BN tetap dengan perangai dan sikap yang ada.  BN gelojoh dan bernafsu mengayakan diri daripada menyenangkan rakyat. Memang berbagai program dan projek dilaksanakan. Tapi perlaksanaan program dan projek sebahagian besarnya mengenyangkan perut BN.

Jadi BN menang di Teluk Intan bukanlah kerana pengundi sukakan BN.

Yang memenangkan BN ialah i) ramai pengundi khususnya Cina yang selesa dan yakin DAP boleh menang; ii) pengundi Cina yang tidak selesa dengan calun Melayu DAP itu, lantas tidak mahu keluar mengundi;  iii) pengundi India yang telah beralih angin menyokong BN.

Sebenarnya BN khususnya UMNO telah kalah kerana bilangan pengundi Melayu menyokong BN telah merosot 3 peratus. Ini adalah satu petanda tidak baik kepada BN dan satu petanda yang baik untuk DAP meletakkan calun Melayu pada pilihanraya akan datang bagi kawasan Teluk Intan. 

Saya percaya pilihanraya akan datang pengundi akan ramai keluara mengundi dan pengundi Cina secara majoriti akan undi DAP/PR kecuali UMNO/BN berubah menjadi sebuah kerajaan yang tidak menyusahkan rakyat.

UMNO/BN nampak gaya, dari apa yang ditunjukkan melalui dasar dan perlaksanaan serta tabiat yang suka rasuah dan membazir tidak akan berubah..
.