Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Mac 2014

BENAR dan SALAH yang ditukarganti.




Hari ini, lebih tepat lagi selepas jam 5 petang , 7 Mac 2014, aku tidak lagi ambil kisah tentang setengah orang yang berkata soal BENAR dan SALAH atau HAK dan BATIL sebagai panduan dalam sebuah kehidupan. Itu semua kata-kata kosong yang tidak ada makna.
 
BENAR atau SALAH boleh saja bertukar ganti sesuka hati. Mereka selalu menyatakan yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah, walaupun mereka tahu mereka lakukan tukarganti.  
 
Mereka membataskan BENAR itu hanya sifat eksklusif yang mereka saja miliki lantas tidak akan ada SALAH yang mereka dan puak-puak mereka lakukan. Lalu mereka memilih untuk berkata bahawa yang SALAH itu adalah selain dari mereka dan puak-puak mereka.
 
Dan mereka juga selalu berhujah jika mereka melakukan kezaliman kerana menukarganti BENAR dan SALAH, mengapa tiada balasan dari Allah kerana kata mereka bukankah doa orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan oleh Allah? 
 
Lihat mereka masih sihat, segar bugar, kaya raya, berkuasa dan hidup bahagia. Jadi mereka adalah orang BENAR.
 
Hari ini berlaku lagi tukarganti BENAR dan SALAH.
 
Aku tidak mahu ambil kisah akan kat-kata mereka. Aku hanya mendoakan sahabat aku itu bersabar dan teruskan perjuangan dimana saja anda berada. Aku turut sama walaupun secara kecil yang terdaya.


Apa Itu Makanan Yang Haram?

Apa itu makanan yang halal?

Pertanyaan diatas terlalu mudah sangat, kata sebahagian besar orang Melayu.

Bagi orang Melayu, secara amnya akan terbayang daging babi. Maka mereka cepat merasa loya lalu mahu muntah walaupun daging babi itu tidak ada dihadapannya. Mereka tidak akan melalui jalan yang terdapat jualan daging babi. Tapi kalau terpaksa juga, mereka akan menutup mulut dan hidung dan melangkah cepat ketika melalui kawasan babi itu. Dan paling mereka marah dan benci, jika ada pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan babi. 

Babi bukan saja haram malah amat jijik sekali. Pantang orang Melayu dihinakan dengan babi maka naik darah dan bencilah mereka kepada yang cuba menggunakan babi bagi menghinakan orang Melayu, misalnya daging babi di baling ke dalam masjid. Hebuh seluruh dunia kalau berlaku hal seperti itu. Boleh jadi pergaduhan dibuatnya.

Sikap benci  dan tidak suka orang Melayu terhadap babi itu memang ada asas. Tidak salah. Dalam al-Quran menyatakan babi haram untuk dimakan. Ertinya orang Melayu patuh pada perintah Allah.

Benarkah begitu?

Adakah hanya tidak makan babi kita sudah patuh dengan perintah Allah dari memakan/meminum bahan/barang yang haram?

Banyak lagi benda/barang/bahan yang haram tapi sikap orang Melayu adalah berbeza sekali berbanding dengan daging babi. 

Arak itu haram, tapi ramai juga orang Melayu yang meminum arak atau sekurang-kurangnya terlibat dalam memperkembangkan/memajukan  perniagaan arak, misalnya bekerja ditempat-tempat yang ada menjual arak, tidak pula dipandang hina atau dibenci. Tetapi kalau ada orang Melayu, katakanlah seorang saja yang menjual daging babi atau bekerja dalam restoran yang menjual daging babi, sudah tentu orang itu dikecam, dibenci, dihina dimarahi dan dimusuhi sampai mati.

Tapi sepanjang yang diketahui belum ada lagi orang Melayu yang berniaga babi. Tak tahulah jika ada orang Melayu yang terlibat dalam perniagaan penternakan babi melalui pemilikan saham syarikat perternakan babi itu. 

Dalam hal arak pula, ada juga berita mengatakan bahawa ada orang Melayu mempunyai saham dalam perniagaan arak. Tapi tidak ada pun tentangan yang berkesan dalam hal ini. Tidak juga terdengar luahan perasaan benci danmarah kepada mereka ini.

Arak dan babi adalah makanan/minuman yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran sebagai haram. Tapi bagi orang Melayu , babi saja yang menjadi 'musuh'nya.

Oleh itu pemahaman tentang halal dan haram ini khususnya tentang pemakanan termasuk minuman perlu difahami dan diketahui oleh orang Melayu agar tidak mudah hanya menjawab bahawa babi saja makanan yang haram. Makanan/minuman dan perbuatan-perbuatan yang haram dan ditegah dalam Islam dianggap sebagai ringan saja, boleh lebih kurang.

Cuba kita ambil satu contoh tentang makanan yang kita makan hasil dari kerja merompak dan mencuri atau dari perbuatan rasuah atau dari salah guna kedudukan atau dari pendapatan hasil dari syarikat judi yang orang Melayu itu mempunyai saham.

Halal atau haram tak makanan itu?

Rabu, 5 Mac 2014

Keliru dan Mengelirukan




Tanyalah kepada sesiapa pun waemah kepada anak kecil yang berusia 2 atau 3 tahun, kita akan dapat jawapan yang sama.
 
Nak jadi baik atau jahat? Semua akan memilih untuk menjadi baik.
 
Tanyalah kepada perompak yang merompak harta orang lain, adakah dia rela harta atau barangnya dirompak? Sudah tentu dengan pantas dia akan berkata bahawa dia tidak rela. Ertinya perompakitu tidak suka perlakuan yang tidak baik dan menyusahkan pihak lain walaupun dia sendiri melakukan pernuatan tidak baik dan menyusahkan orang lain.
 
Tanya pula kepada seorang guru, adakah dia suka melihat anak didiknya terkandas dalam peperiksaan? Sudah tentu jawabnya, tidak.
 
Begitu juga kepada mereka yang diberi amanah memimpin negara. Tanya kepada mereka adakah mereka sanggup mungkir janji dan pecah amanah? Sudah tentu mereka menjawab tidak kerana itu janji dan sumpah mereka semasa menerima amanah itu.

Tanya pula kepada ibubapa, apakah yang doa mereka apabila dikurniakan zuriat? Jawabnya ialah anak yang soleh/soleha.
 
Tanya pula kepada seorang isteri/suami apakah harapan dalam berumahtangga? Ya, antara lain isteri/suami akan berkata untuk menjadi isteri/suami yang bertanggung jawab.
 
Tapi apa yang berlaku, yang kita tahu, yang kita dengar , yang kita lihat dan yang kita lakukan, sebahagian besarnya tidak begitu. Banyak yang tidak baik, menyusahkan diri sendiri dan orang lain walaupun kita  tahu dan sedar perbuatan itu bertentangan dengan nilai seorang yang mahukan perkara yang baik. Malah dalam banyak keadaan kita memberi berbagai alasan bagi mempertahankan perbuatan atau perlakuan tidak baik itu.
 
Berbagai alasan kita gunakan. Semua alasan itu hanya semata-mata untuk membela diri, cuba menutup kesalahan kita. Tujuannya ialah untuk menampakkan kita seorang yang baik. Sebab, kita sukakan yang baik sama seperti  perompak. Perompak tidak suka hartanya dirompak kerana dia percaya orang yang merompak hartanya itu adalah orang yang tidak baik.
 
Ada yang menggunakan alasan dengan mengambil ayat-ayat al-Quran menurut tafsiran yang dibuat yang memihak kepada diri sendiri. Paling tidak mereka akan mangatakan bahawa perbuatan jahatnya itu adalah satu yang telah ditakdirkan.
 
Tengok! Bagaimana orang yang tidak mahu dikatakan jahat sanggup menyalahkan Allah diatas perbuatan jahatnya itu.
 
Ini adalah realiti. Perlakuan-perlakuan jahat yang ditunjukkan itu tidak terhad menurut taraf sosial, kedudukan ekonomi dan kuasa, tahap dan bidang pendidikan yang diterima mahupun dari segi bangsa dan agama. 

Sebab itu kita menjadi keliru. Dan kita juga terlibat sama secara sedar atau tidak  dalam mengelirukan orang lain. Contohnya macam saya yang sentiasa menasihatkan anak-anak agar jangan merokok kerana merokok adalah satu perbuatan tidak baik. Tapi saya juga seorang perokok dan selalu juga menyuruh anak saya membeli rokok untuk saya.

Anak-anak pernah mempersoalkan kenapa saya merokok kalau iainya perbuatan tidak baik? 

Saya segera menjawab menurut jalan fikir seorang perompak, bahawa jangan ikut perbuatan ayah yang salah ini. Ayah tidak mampu berhenti hisap rokok kerana telah ketagih. Sebab itu ayah tidak mahu anak-anak jadi macam ayah.

Anak-anak saya yang sudah boleh berhujah, kelihatan senyum saja. Dan saya faham makna senyumannya itu. Anak yang masih mentah, nampak gaya macam termakan dengan alasan saya itu.

Jadi huru haralah pemikiran anak-anak saya itu, jadi celaru.
 
Untuk mengelakkan anak-anak jadi celaru, orang jadi keliru, anda fikirlah sendiri bagaimana untuk menjalani kehidupan di dunia ini.