Theflowersellingboy

Khamis, 3 Oktober 2013

Kita berpolitik Mesti Sentiasa Ingat: Jangan Amal Budaya Kerbau, i) Jangan Mandi Kerbau, ii) Memalitkan lumpur , agar tidak menyesal kemudian





Tidak ada cerita atau perkhabaran yang menyenangkan hati selepas pilihanraya 2013 yang lepas. Sepatutnya selepas menang dan menubuhkan kerajaan, pihak yang menang itu membawa perkhabaran yang baik dan menyenangkan rakyat. Memberi kesenangan kepada rakyat adalah janji pilihanraya yang dibuat oleh UMNO/BN dan PR. Tiada mana-mana pihak yang berjanji untuk meyusahkan rakyat.

UMNO/BN ada pakej yang ditawarkan untuk kesejahteraan rakyat. Ketika merayu undi UMNO/BN telah menunjukkan bukti yang nyata akan betapa bersungguhnya mereka untuk menyenangkan rakyat. Contoh pemberian BR1M kepada golongan yang susah; meluluskan projek segera seperti sekolah, masjid dan jalan raya, menurunkan harga kereta dan sebagainya.

Begitu juga PR. Banyak  yang ditawarkan. Antaranya dasar pelajaran percuma, menghapuskan PTPTN dan hutang pelajar kepada Tabung itu, menurunkan harga minyak dan harga kereta, menghapuskan tol dan sebagainya.

Ringkasnya UMNO/BN dan PR menawarkan pakej bagi kesejahteraan rakyat. Sudah tentu rakyat akan gembira jika pakej itu dilaksanakan selepas menang pilihanraya.

Banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang memilih pakej UMNO/BN berbanding pakej yang ditawarkan oleh PR walaupun majoriti pengundi memilih PR. Tapi dalam sistem yang ada yang digunapakai di Malaysia, UMNO/BN yang menang kerana memperolehi bilangan DUN dan Parlimen mengatasi PR.

Selepas pilihanraya kita dapat perkhabaran yang tidak baik. Antaranya:

i) Subsidi minyak dikurangkan yang menyebabkan harga minyak naik; harga kereta tidak diturunkan; banyak harga barang dan perkhidmatan naik berikutan dengan kenaikan harga minyak; 

ii) Jenayah semakin meningkat, senjata api banyak yang hilang ; 

iii) Tata kelola negara semakin teruk, hutang negara  meningkat yang akan membebankan rakyat terutama jenerasi akan datang, salah guna kuasa, rasuah dan pembaziran seperti yang dilaporkan oleh ketua Audit Negara.

iv) Pindaan keatas Akta Pencegahan Jenayah yang membolehkan pihak berkuasa menahan tanpa bicara sama seperti ISA yang telah dihapuskan. Semangat Akta itu baik tapi pelaksana itu tidak baik Bukti telah sedia ada seperti kes tahanan ISA dulu. Sebab yang melaksanakan itu ialah orang dari parti yang sama iaitu BN. Kalau mereka ini baik, tidaklah berlaku salah guna kuasa, rasuah dan membazir.

v) GST cukai perkhidmatan dan Barangan besar kemungkinan akan tiba. Sebab kerajaan kekurangan wang ketika ini kerana terlalu banyak hutang. Dengan GST nanti semua orang tanpa kecuali kena bayar cukai keatas semua barang dan perkhidmatan melainkan beberapa item saja (dengar khabar 40 item).

Harapkan dapat hidup senang dan boleh ketawa selepas pilihanraya tapi beban yang dapat. Ini semua orang-orang di DUN dan Parlimen yang mengundi UMNO/BN punya fasal. Sebab mereka yang lain pun terpaksa susah sama. 

Mereka yang memilih UMNO/BN ini  bolehlah diibaratkan seperti seekor kerbau. Kerbau suka bermain lumpur dalam kubang. Itu cara kerbau mandi. Mengotorkan badan dengan lumpur dianggap sebagai membersihkan badan. Bau busuk dan hanyir tapi lumpur itu dikatakan wangi. Itu budaya kerbau.

Jika budaya itu untuk sang kerbau saja, kita tidak perlu risau. Tapi si kerbau yang berbangga dengan budaya kotor itu, suka berpelisiran di rumah kita. Kerbau yang berlumpur itu menggesel-geselkan badannya ketiang rumah kita bagi menghilangkan rasa gatal. Maka kotorlah tiang rumah kita.

Kita nak marahpun, dia kerbau. Jadi kita halaulah kerbau itu masuk kandang. Cara pengasingan inilah yang sesuai. Tak perlu kita marah-marah sebab dia kerbau. Kalau marah pun dia tersengeh saja.

Namun begitu geselan kerbau itu menyusahkan kita. Sama juga orang-orang di DUN dan Parlimen yang mengundi UMNO/BN itu. Mereka menyusahkan kita. Kalau mereka saja yang susah seperti kerbau yang dikurung dalam kandang, tak apalah. Sebab itu pilihan mereka. Kita pilih selain UMNO/BN iatu PR.

Orang tua-tua selalu melarang: Jangan Mandi Seperti Kerbau.

Orang tua-tua tidak suka perangai : Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit 'kekotoran'( 'kekotoran'---yang ini saya tambah).

Rabu, 2 Oktober 2013

Laporan Audit Tahunan : SIAPA YANG KENA TIBAI?




Laporan Audit Tahunan memang menjadi satu kegusaran kepada Pegawai Pengawal. Gusar, kerana penggunaan wang termasuk pengurusan aset dibawah kawalannya, dilaporkan kepada rakyat. Dalam banyak hal, perkara yang dilaporkan adalah tentang ketidakcekapan menguruskan perkara-perkara tersebut yang menyebabkan kerugian dan pembaziran. Mungkin ada berlaku salah guna kuasa, pengambilan rasuah dan penipuan (fraud).

Pihak audit juga tidak lupa untuk melaporkan pengurusan yang baik dan berjaya.

Parlimen yang sedang bersidang sekarang ini telah dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara (KAN) bagi tahun 2012. Maka banyak hal telah berbangkit dan dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen. Sudah tentu hal-hal salah urus,  salah guna kuasa, tidak cekap, pembaziran, kerugian, kenaikan kos projek kerana kelewatan perlaksanaan dan segala yang memberi kesan negatif keatas kewangan dan aset negara seperti yang dilaporkan oleh KAN menjadi perkara yang mendapat perhatian ahli parlimen dan menjadi liputan media.

Rata-rata rakyat tidak menyukai pengurusan seperti yang dilaporkan itu. Ada yang marah dan meminta tindakan diambil keatas mereka yang bertanggungjawab.

Siapakah mereka yang bertanggungjawab?

Mungkin semua pihak sedia maklum, struktur organisasi sesebuah kementerian diketuai oleh Menteri (politik), diikuti dengan timbalan menteri (politik) jika  ada,  dan dituruti Ketua Setiausaha/Ketua Pengarah (penjawat awam) dan seterusnya penjawat awam yang lain.

Ada lagi satu struktur organisasi. Struktur organisasi ini diketuai oleh penjawat awam. Ianya melibatkan tanggungjawab dan kawalan keatas kewangan termasuk aset kerajaan. Maknanya apa-apa saja yang menyentuh tentang perkara itu, misalnya perkara yang dilaporkan oleh KAN, penjawat awam yang mengetuai organisasi itu temasuk orang-orang dibawah kawalannya adalah pihak yang dipertanggungjawabkan.

Ada 3 peringkat penjawat awam dalam sesebuah agensi yang bertanggungjawab dalam operasi bagi sesuatu agensi.

Peringkat pertama ialah Ketua Agensi yang secara amnya ialah juga pegawai pengawal. Tetapi pegawai pengawal tidak semestinya terhad kepada ketua agensi atau ketua agensi itu semestinya seorang yang dilantik sebagai pegawai pengawal.

Semua Penjawat Awam dari berbagai peringkat yang diwartakan sebagai Pegawai Pengawal adalah orang yang bertanggungjawab keatas pengurusan kewangan dan aset agensi, jabatan atau kementeriannya. Ertinya jika ada perkara yang dilaporkan tidak kena oleh KAN maka Pengawai Pengawal itu mesti mengambil tanggungjawab. Jika sebaliknya, ucapan tahniah sepatutnya untuk pegawai pengawal itu.

Pegawai Pengawal tidak mampu melakukan semua kerja agensinya. Tidak pula mampu untuk menyelia setiap kerja dan orang bawahannya. Tidak ada masa yang cukup untuk memberikan perhatian keatas perkara-perkara sistem, proses, dan prosedur secara terperinci. 

Pegawai pengawal banyak terlibat dalam peringkat dasar, dan tugas-tugas berbentuk makro misalnya menyediakan garis panduan agensi, memantau kedudukan peruntukan dan perbelanjaan serta baki pada sesuatu tempoh, biasanya suku tahun atau setiap bulan, pemantauan perlaksanaan projek bagi sesuatu tempoh dan sebagainya. Dia tidak telibat dalam hal-hal yang terperinci misalnya proses membuat bayaran, melakukan perolehan dan pembelian dan sebagainya.

Jadi untuk menguruskan kewangan dan aset agensinya dengan lebih terurus bagi pihaknya, Pegawai Pengawal akan mewakilkan kuasa kawalannya kepada pegawai-pegawai tertentu secara spesifik. Had kuasa kewangan juga adalah sesuatu yang akan ditentukan oleh Pegawai Pengawal dalam perwakilan kuasanya.

Pegawai Yang diWakilkan Kuasa ini adalah peringkat kedua dalam struktur pengoperasian agensi. 

Pegawai Pengawal boleh mewakilkan kuasa. Tapi pegawai pengawal tidak boleh mengelak dari mengambil tanggungjawab keatas apa yang berlaku keatas pengurusan kewangan dan aset agensinya. Ertinya kuasa boleh diwakilkan, dan tanggungjawab mesti juga dipikul oleh pegawai pengawal.(The controlling officer can delegate his authority and responsibilities but he can not shirk his responsibilities).

Kuasa yang telah diwakilkan itu juga tidak boleh diwakilkan kepada orang lain.

Satu lagi peringkat ialah pegawai dan warga kerja  yang diberikan tugas dan tanggungjawab yang dinyatakan dalam senarai tugas masing-masing tanpa perwakilan kuasa.

Ringkasnya dalam pengoperasian sesebuah agensi ianya melibatkan Pegawai Pengawal, Pegawai Yang diWakilkan Kuasa dan Pegawai dan Warga kerja yang menjalankan tugas menurut senarai tugas yang ditentukan.

Maknanya ketiga-ketiga peringkat kepegawaian ini mempunyai tanggungjawab masing-masing. Ini bermaksud bahawa tidak ada mana-mana peringkat pun yang boleh lepas dari tanggungjawab jika berlaku salah urus, kecuaian, salah guna kuasa atau sebagainya seperti yang dilaporakan oleh KAN.

Dalam bahasa kasarnya, merekalah yang kena tibai, jika berlaku salah urus.

Kita tinjau pula laporan KAN 2012. Antara yang telah dilaporkan ialah salah memilih keutamaan dalam membelanjakan wang awam sehingga boleh dianggap sebagai membazir. Contoh, i) perbelanjaan sebanyak 1.6 juta ringgit bagi membayar kepada penghibur dari Korea atau K-Pop dalam sambutan Hari Belia. Jika diambil perbelanjaan-perbelanjaan lain yang berkaitan dengan sambutan itu jumlah yang terlibat menghampiri 3 juta.

Belanja seperti ini adalah membazir. Jumlah ini boleh digunakan bagi memperbaikki kedudukan ekonomi belia khususnya yang menganggur. Itulah yang lebih utama kepada beliau daripada dihidangkan dengan hiburan, dari budaya asing pula.

Contoh ii) salah pengendalian perkhidmatan keselamatan dibawah Kementerian Pelajaran (Pendidikan) yang melibatkan 2.051 bilion ringgit bagi tempoh 2010-2012. Bilion, bukan sedikit yang sepatutnya dimenfaatkan untuk membina sekolah-sekolah luar bandar yang daif dan menyediakan berbagai alat kemudahan persekolahan, menyediakan pengajaran kelas tambahan dan sebagianya demi meningkatkan pelajaran anak-anak.

Contoh iii) kempen atas talian menggunakan facebook dan twitter oleh Kementeria Kesihatan bagi dua program iaitu Kempen Tak Nak Merokok yang melibatkan 199,688 ringgit dan Kempen Intervensi Penyakit Tidak Berjangkit yang melibatkan wang awam sebanyak 120,500 ringgit. Kos yang terlibat tidak sepadan dengan khidmat yang diberi. Sepatutnya wang itu diutamakan bagi digunakan dalam hal yang lebih utama misalnya menyediakan bekalan ubat yang mencukupi.

Selain dari pembaziran KAN juga melaporkan kecuaian dalam menjaga keselamatan aset awam seperti senjata api, gari dan kenderaan Jabatan Polis sehingga melibatkan kehilangan dan kerugian serta membahayakan keselamatan awam. Kehilangan itu melibatkan kerugian 1.33 juta ringgit. 

KPN menafikan bahawa ada senjata api yang telah jatuh ketangan penjenayah. Mungkin betul setakat yang diketahui ketika ini. Boleh jamin pada masa depan?

KAN juga membangkitkan 'value for money' dimana penggunaan wang awam dalam penyelenggaraan itu tidak setara dengan khidmat yang diberi dalam kes yang melibatkan penggunaan 3 dari 5 pesawat Jabatan Polis dalam kerja membanteras jenayah. Kos yang terlibat ialah 175 juta.

Satu hal lagi ialah tentang kenaikan kos disebabkan kelewatan perlaksanaan dalam kes projek Rangkaian Pembentungan di Kuala Sawah Negeri Sembilan. Naik dari 81.45 juta kepada 121.6 juta ringgit.

Pembaziran, kecuaian, wang yang diguna tak setara dengan tugas yang dijalankan, dan kenaikan kos ini adalah menjadi tanggungjawab Pegawai Pengawal dan pegawai-pegawai dibawah kawalannya. Dan jika dapat dikesan secara spesifik dan khusus pegawai yang bertanggungjawab dan jika ianya benar seperti yang didakwa maka orang itu sepatutnya dikenakan tindakan menurut prosedur dan peraturan yang ada. Antara hukuman ialah 'surcharge'.

Tapi dalam hal ini, ada keadaan-keadaan diluar kemampuan penjawat awam untuk melakukan sesuatu menurut yang sepatutnya. Ertinya ada campur tangan luar yang menyebabkan perkara salah aturan, salah urus dan membazir itu berlaku. Biasanya campur tangan politik misalnya menteri.

Siapakah penjawat awam itu yang boleh menolak kemahuan menteri untuk membelanjakan sesuatu yang tidak menjadi keutamaan atau yang boleh dikategorikan sebagai membazir.  Contoh, belanja 1.6 juta bagi mendapatkan khidmat hiburan K-Pop dari Korea dalam sambutan Hari Belia.

Ada banyak lagi contoh. Dalam hal seperti ini, menurut pengalaman, pihak audit akan menyatakan bahawa jika ada arahan dari menteri yang tidak selaras dengan peraturan dan yang membazir misalnya, penjawat awam itu mesti meminta menteri itu mengeluarkan arahan secara bertulis.

Audit boleh bercakap seperti itu. 

Mana menteri yang akan berbuat seperti itu? 

Berapa ramai penjawat awam yang berani berbuat seperti itu?  

Mana menteri yang berani membuat arahan secara bertulis untuk melakukan sesuatu bayaran yang bersalahan dengan peraturan?

Memang ada penjawat awam yang meminta menteri supaya membuat arahan secara bertulis bagi hal-hal yang menyalahi peraturan atau yang ditafsirkan sebagai membazir.  Risikonya terlalu tinggi. Hanya yang tidak sayangkan jawatan dan peluang kenaikan pangkat, yang akan melakukan. Berapa ramai? Satu pun susah nak cari.

Sebab itu ramai yang menjadi tukang angguk malah mendahului angguknya sebelum arahan dikeluarkan menteri. Golongan penjawat awam inilah yang mempunyai peluang naik pangkat yang terbuka luas.

Dalam kes pembaziran wang awam seperti yang ditafsirkan oleh audit, misalnya dalam kes K-Pop itu, siapakah pegawai awam untuk mengatakan program itu sebagai membazir jika menteri mengatakan sebaliknya.

Saya berikan satu senario. Satu projek pembinaan yang melibatkan jutaan ringgit. Menurut peraturan, bayaran kepada kontraktor hanya boleh dibayar apabila sesuatu kerja itu disahkan oleh jurutera atau pihak professional yang kompeten dalam sesuatu bidang sebagai sudah sempurna  dan layak dibayar.

Ada banyak keadaan peraturan itu dipaksa langgar bagi mempercepatkan bayaran apabila ada desakan dari pihak yang berkuasa atau yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa.  Arahan bayaran dikeluarkan. Tapi bukan secara bertulis. Dalam banyak keadaan penjawat awam yang bermotokan 'Saya Yang Menutut Perintah' akan secara tidak rela melakukan bayaran.

Siapa yang kena bantai nanti? 

Apabila sesuatu bangunan itu tidak sempurna, dan runtuh, semua jari akan menuding kepada penjawat awam. Siapa lagi yang perlu disiasat oleh SPRM kalau tidak penjawat awam kerana dialah yang meluluskan bayaran bagi binaan yang simennya belum cukup kering atau campuran konkritnya banyak pasir dari simen.

Siapakah yang dilaporkan sebagai tidak cekap dan membazir oleh KAN kalau tidak penjawat awam.

Siapakah yang akan diambil tindakan dan dibuang kerja kalau tidak penjawat awam.

Pernahkah menteri dibicarakan dalam hal-hal membazir atau salah guna wang awam? Kes NFC bagaimana.

Begitulah duduk perkara antara laporan KAN dan penjawat awam. Yang pasti kena bantai ialah penjawat awam. Yang betul bersalah, sepatutnya begitu. Tapi yang terpaksa buat salah macam mana. Jawapan audit senang saja: Buktikan secara bertulis.

Begitulah nasib penjawat awam.

Selasa, 1 Oktober 2013

CGPA 3.85...ada MBA.....So what?





Saya hanya membaca dari satu sumber berita mengatakan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sangat marah kerana rakyat tidak berterima kasih kepada Kerajaan BN diatas pemberian subsidi seperti subsidi minyak. Dia bertambah naik angin apabila mendapat kritikan dari berbagai pihak yang tidak bersetuju dengannya terutama kritikan yang memperkecilkan dirinya dengan panggilan 'bodoh' atau yang membawa pengertian seperti itu.

Saya sendiri tidak mendengar akan kata-kata timbalan menteri itu. Oleh itu saya harap berita yang saya baca adalah betul. Kalau silap saya mohon maaf.

Rengkasnya, rakyat tidak berterima kasih atas subsidi kerajaan , Ahmad Maslan marah. Rakyat kritik beliau atas sikap dan sifat pemarahnya itu  , dia pun lagi marah, penuh angin satu badan.

Bila angin sudah penuh satu badan, dia menjadi terlalu pening dan sesak nafas lalu tidak dapat berfikir secara tenang untuk berhujah dengan baik sesuai kedudukan dia sebagai timbalan menteri. Beliau telah hilang punca iaitu punca sebenar yang menyebabkan berlakunya hujah menghujah dan kritik mengkritik diantara beliau dan rakyat.

Puncanya ialah kata-kata beliau tentang rakyat tidak tahu berterima kasih atas subsidi yang diberikan kerajaan, lalu rakyat yang mendengar sudah tentu akan memberi respons. Ada respons yang sejalan dengan pemikiran beliau. Maka tersenyum lebarlah bibirnya terlaku suka, tanda setuju. Ada juga respons yang tidak sejalan dengan pemikirannya. Maka dia pun marah, tanda tidak bersetuju.  

Beliau mesti dapat menjangkakan seperti itu. Jangan harapkan semua orang bersetuju dengannya. 

Bukankah dari kenyataannya itu sendiri telah memberi gambaran bahawa ada orang yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak? Maka beliau boleh menjangkakan dan kena bersedia untuk menerima reaksi dari orang atau pihak yang tidak bersetuju dengan kenyataannya itu. 

Mungkin beliau tidak ada masalah menerima kritikan dan pandangan yang berbeza jika disampaikan dengan cara yang berkhemah, yang membina dan tidak emosional, mengikut tafsiran beliau. 

Tetapi beliau juga mesti menerima hakikat bahawa tafsiran emosional, berkhemah dan membina itu adalah subjektif sifatnya. Lagipun macam mana hendak dileraikan tekanan hidup, kesan dari kenaikan harga minyak disebabkan  pengurangan subsidi minyak dengan emosi keluh kesah seseorang terutama yang berpendapatan kecil.

Rakyat jadi emosional, sama seperti Ahmad Maslan yang emosional memarahi rakyat yang tidak berterima kasih itu. Bukankah marah itu satu emosi?

Hujah Ahmad Maslan mengatakan kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Harga minyak itu adalah ketetapan pasaran dunia. Kerajaan hanya mengurangkan subsidi.

Inilah sebenarnya yang membuatkan emosi marah rakyat membuak-buak. Rakyat mahu di perbodohkan.

Takkan Ahmad Maslan yang CGPA 3.85 yang ada MBA tidak dapat kaitkan antara harga dan subsidi. Bila tarik atau kurang subsidi harga minyak naik. Tidak ada saling hubungan ke? Sudah tentu ianya saling hubungan. Kedudukan tahap subsidi minyak mempunyai kaitan langsung dengan  harga minyak di Malaysia.

Sebahagian besar rakyat memang faham, subsidi tidak memberi gambaran sebenar harga sesuatu barang dan perkhidmatan. Subsidi adalah satu dasar memberi perlindungan, menolong buat sementara akan sesuatu keadaan sebelum keadaan itu menjadi kukuh dan stabil dalam persaingan terbuka.

Cuma panggilan untuk membantu rakyat dipanggil subsidi seperti subsidi minyak ini. Bagi sektor industri dipanggil insentif dengan berbagai kaedah dan nama. Ada yang dipanggil pioneer status, capital allowance, tax holiday dan macam-macam lagi. Semuanya itu ialah bagi membantu industri berkenaan dalam memulakan dan menjalankan perusahaan mereka dengan memberikan beberapa pengecualian. Ertinya untuk membantulah. Sama dengan subsidi itu minyak kepada rakyat.

Dalam keadaan sara hidup yang meningkat ini sudah tentu rakyat, terutama yang berpendapatan rendah merasa tertekan jika harga minyak naik atau harganya lebih tinggi dari sebelum subsidi dikurangkan. Jangan cakap fasal harga pasaran dunia. Jangan bandingkan dengan harga minyak negara luar. Itu satu tindakan yang tidak adil dan tidak betul. 

Baik. Jika mahu juga bandingkan dengan negara luar misalnya Singapura bandingkan secara keseluruhan kehidupan seseorang menurut taraf kedudukan dan taraf sosial orang itu. Mudah kata, kehidupan pemandu di Malaysia dengan pemandu di Singapura (apple to apple). Agak-agak pemandu negara mana yang mempunyai kehidupan yang lebih baik

Saya pasti tanpa teragak-agak mengatakan pemandu Singapura mempunyai kehidupan yang lebih baik walaupun harga minyak di negara itu lebih tinggi berbanding dengan harga minyak di Malaysia.

Jadi Ahmad Maslan dan kerajaan jangan main silap mata.

Tentulah rakyat marah. Bila marah, bolehkah kita harap rakyat nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan? Terima kasih secara perli, mungkin ada. Saya percaya Ahmad Maslan faham jenis terima kasih seperti ini. Lagi menyakitkan hati berbanding dengan hamburan marah secara langsung dan terang.

Makanya dari rasa amat marah yang bersebab itulah terhamburnya kata-kata yang kurang enak seperti memperkecilkan kemampuan dan kelayakan Ahmad Maslan sebagai timbalan menteri kewangan. Misalnya penggunaan perkataan 'bodoh'.  Saya pun tidak bersetuju.

Namun hal seperti itu patut boleh dijangka. Sebab cara Ahmad Maslan menggunakan hujah subsidi untuk meraih terima kasih adalah sudah jauh ketinggalan. Itu cara dulu-dulu dimana ramai rakyat Malaysia tidak tahu apa sebenarnya tanggungjawab sebuah kerajaan. Kerajaan diamanahkan untuk menguruskan WANG RAKYAT  sebaik mungkin. Bukan wang peribadi atau wang sesuatu parti. Maka rakyat ada hak untuk mendapat menfaat dari wang itu.

Ahmad Maslan pun kena ingat bahawa rakyatlah yang meletakkan beliau pada kedudukannya hari ini. Tanpa beliau dimenangkan dalam pilihanraya, beliau tidak mungkin boleh dilantik jadi seorang timbalan menteri. 

Jadi siapa sebenarnya yang sepatutnya mengucapkan terima kasih.

Maka setengah rakyat yang marah menjadi bertambah marah apabila Ahmad Maslan menggunakan hujah pemberian subsidi bagi meraih terima kasih, bukan kerajaan yang naik harga minyak, dan harga minyak negara luar adalah lebih tinggi. Saya tidak hairan ada orang yang mampu untuk mengatakan Ahmad Maslan 'bodoh', walaupun saya tidak bersetuju.

Sekarang ini Ahmad Maslan menggunakan tahap kejayaan pendidikannya dengan memperolehi CGPA 3.85 dan MBAnya bagi makluman orang yang kata dia bodoh bahawa dia tidah bodoh. Lihat saja CGPA dan MBA saya.

Pendirian saya sekarang ini telah mula bertukar dari tidak bersetuju dengan perkataan yang digunakan oleh pengkritik Ahmad Maslan itu kepada bersetuju. Seorang timbalan menteri berhujah cara begitu. "Siapa pandai. Aku dapat CGPA 3.85 dan ada MBA".

Eh apa ada kena mengena dengan punca perbalahan antara rakyat dengan Ahmad Maslan. Tidak relevant langsung.

Sesungguhnya Ahmad Maslan sudah mati hujah.  Maka dimashurkan CGPAnya, MBAnya.

Sebenarnya, pemashuran seperti itu, bukan perkara baru yang diamalkan oleh orang-orang yang sejenis dengan Ahmad Maslan apabila tidak mampu berhujah secara yang lebih sihat.  Bagi pegawai kerajaan ianya satu perkara biasa yang meloyakan. 

Saya teringat akan seseorang yang sejenis dengan Ahmad Maslan , berjawatan menteri, selalu menggunakan jawatan menterinya apabila tidak mampu berhujah secara baik dan sihat atas sesuatu pandangan atau cadangan. 

Maka kata menteri yang telah mati hujah itu,"Siapa menteri? Siapa bos? Kau ke aku?" Maka senyap sunyilah pegawai itu. Loya nak muntah.

Begitulah yang dilakukan oleh Ahmad Maslan. "Siapa kamu berbanding dengan aku., CGPA 3.85, MBAlah".

Tapi Ahmad Maslan silap odien. Beliau bukan berhadapan dengan pegawai kerajaan yang sentiasa berikrar "Saya Yang Menurut Perintah" seperti  yang dihadapi menteri yang berkenaan itu. Ahmad Maslan berhadapan dengan rakyat yang bebas memberi pandangan.

Sebab itu pengkritiknya segera bertanya sebagai reaksi kepada pemashuran CGPA dan MBAnya. "So what? Harga minyak pun tak boleh jaga. Bikin orang susah".

Harap jangan marah lagi.