Theflowersellingboy

Khamis, 4 April 2013

DIA DAH SAMPAI, KITA DAH SEDIA KE?

Akhirnya dia yang kita tunggu dah sampai. Siapa dia tu? Pagi tadi kurang lebih pukul 11.30 pagi ada orang beri tahu bahawa saatnya telah pun tiba, dia dah sampai. Telah sampai masanya Parlimen Malaysia dibubarkan seperti yang diumumkan oleh PM, DS Najib .

Sebelum 11.30 pagi , Rabu 3 April 2013, Najib masih lagi PM Malaysia yang sah. Tapi selepas diumumkan bahawa parlimen dibubarkan , Najib bukan lagi PM Malaysia seperti yang disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk menjadi PM, seseorang itu mestilah seorang ahli dewan rakyat yang mendapat kepercayaan ramai dari kalangan mereka dan yang diperkenankan oleh YDA. Sekarang, Najib dan yang lain-lainnya telah lupus tarikh sah menjadi ahli dewan rakyat. 

Maknanya tidak layak menjadi PM. Tapi mengapa masih lagi meneruskan tugas sebagai PM? Adakah YDA mempunyai budibicara untuk meneruskan Najib sebagai PM? Jika begitu orang lain juga layak menjadi PM dalam tempoh pembubaran Parlimen sehingga keputusan pilihanraya ke 13 diketahui.

Sebenarnya saya bukan mahu bicarakan soal PM dalam tempoh parlimen dibubarkan. Biarlah YDA buat keputusan, tak ada hal.

Yang saya nak bicarakan ialah sudah kah kita bersedia untuk mengundi? Maksud saya bukan saja suka-suka memangkah tetapi memangkah bagi tujuan mendapatkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, amanah, adil, tidak angkuh dan sombong. Itulah kerajaan yang kita cari.

Bagaimana caranya?

Saya simpulkan begini dalam dua ungkapan yang telah saya paparkan terdahulu, berbunyi:

"Jika kita menolak BN pada pilihanraya ke 13 ini, kita telah mengeluarkan diri kita dari derita yang telah kita lalui lebih dari 55 tahun".

dan

"Rakyat tidak bodoh. Jika PR pun sama atau lebih teruk dari BN, tindakan yang sama kita boleh lakukan, nyah PR dari tampuk kuasa kerana kita menderita selam 5 tahun". 
   
Dua ungkapan diatas terdapat dalam paparan terdahulu bertajuk: Harapan Saya, Harapan Kita.

Ungkapan itu menjawab pertanyaan bagaimana caranya kita boleh mendapatkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, amanah, adil, tidak angkuh dan sombong.  
  
Kita tolak BN. Kita undi PR.

Ini kalilah kita beri tahu dengan jelas dan berani bahawa orang politik (kerajaan dan pembangkang) jangan permain-mainkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. Kita beritahu kepada BN bahawa jangka hayat kamu telah tamat kerana selama lebih 55 tahun kamu adalah kerajaan yang bongkak dan sombong sehingga rakyat menderita dalam tempoh berkenaan. 

Mungkin BN dan penyokong BN tidak faham apa yang saya maksudkan derita itu kerana pada mereka pemberian wang BR1M 500.00 itu yang dilakukan sekali dalam tempoh penggal pemerintahan sudah cukup untuk membersihkan perangai bongkak dan sombong selama lebih 55 tahun. Saya akan bicarakan lebih lanjut lagi.

PR pula apabila diberi tanggungjawab, jangan lupa diri berlagak sama atau lebih teruk dari BN. Jika demikian humbankan mereka jauh dari sumber kuasa.

Kita tolak BN, lepas senggara selama lebih 55 tahun. Pilih PR, ianya telah menjanjikan sebuah kerajaan yang memberi fokus kepada tata kelola tadbir yang baik demi kebajikan rakyat dan kebaikan negara. Rujuklah kepada manifesto PR: Pakatan Harapan Rakyat.

Tapi kita ingatkan kepada PR, jangan menipu kerana kita tidak bodoh, undi ditangan kita, PR boleh juga menerima nasib yang sama seperti BN.

Jadi kalau sesiapa ada keraguan dengan janji PR, jangan susah hati. Kita boleh buang mereka.

Kesannya dari mengundi PR itu ialah kita dapat kerajaan yang baik. Jika kita kena tipu, kita hanya merana selama 5 tahun saja. Kalau teruskan dengan BN, kita melanjutkan derita yang telah kita lalui selama lebih 55 tahun.

Mengapa kita perlu tolak BN?

Mengundi BN kita akan menghadapi satu keadaan yang sudah tentu akan terjadi. Kita akan melanjutkan perangai orang yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah (mungkir janji), zalim (tidak adil), sombong, angkuh dan bongkak untuk menerajui negara sekali lagi. Bermakna secara terkumpul kita akan menderita selama 60 tahun.

Mahukah kita? 

Sudah tentu kita tidak mahu. 

Tapi saya percaya penyokong tegar BN masih mengatakan BN perlu diteruskan. Sebab mereka ini terpedaya dengan pemberian wang segera BR1M dan lain-lain bantuan/kemudahan atas jenama 1M. Mereka tidak lagi boleh berfikir secara tenang, tertib dan rasional. Taksub menguasai hati nurani mereka kerana mereka diajar supaya rakyat mesti sentiasa berterima kasih, mesti mengenang budi dan sentiasa bersyukur diatas pemberian yang telah diberi oleh kerajaan.

Mereka yang menerima bantuan sekali dalam 4/5 tahun pemerintahan tidak pula berani bertanya siapakah sebenarnya patut mengenang budi? Parti dan orang politik yang telah dimenangkan itu atau Rakyat? Sudah tentu mereka, parti dan orang politik itu yang sepatutnya mengenang budi rakyat yang telah meletakkan mereka pada kedudukan sebagai peneraju kerajaan. 

Maknanya rakyat yang menyokong BN tidak faham apa ertinya sebuah pilihanraya dan tanggungjawab sebuah kerajaan. Sebab itu mereka (pemimpin BN) terlalu sombong dan bongkak meminta rakyat sentiasa berterima kasih kepada kerajaan. Jika tidak mereka akan dizalimi dalam berbagai bentuk- menyalahguna kuasa, rasuah, berbelanja besar dan bermewah sedangkan rakyat susah, dan dinafikan untuk mendapat projek bagi kawasan-kawasan yang diwakili pembangkang. Dan yang paling hina sekali ialah menafikan hak yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi  sesuatu negeri bukan dibawah BN untuk mendapatkannya. Contoh paling jelas ialah royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan dibawah pimpinan PAS.  

Kita tanya penyokong BN khususnya UMNO : Adakah ini tidak zalim? Adakah ini tidak jadi pengkhianat kepada bangsa Melayu? Adakah ini tidak menyalahi ajaran Islam?

Soalan-soalan itu adalah bagi hal-hal yang selalu digembar gemburkan oleh UMNO sebagai nyawa perjuangan mereka. Mereka memperjuangkan demi Melayu. Mereka  memperjuangkan demi Islam. Konon.

Apakah tindakan mereka itu memberi kebaikan kepada orang Melayu atau yang selalu disebut sebagai 'Hidup Melayu'? Adakah majoriti rakyat Kelantan itu orang bukan Melayu dan tidak beragama Islam? 

Nampak? Sudah tentu mereka nampak sebab mereka ada mata. Cuma mereka tiada hati yang baik. Sebab itu fitnah memfitnah dan mengaibkan orang dengan dakwaan seks songsang dan perlakuan moral yang rendah sudah menjadi budaya mereka yang diterima sebagai benar, yang telah mendaging seluruh anggota badan mereka  dan boleh dilakukan sebebas-bebasnya tanpa ada apa-apa tindakan dari pihak yang berkuasa. 

Saya percaya mereka dengan gila-gila dan marah menafikan. Sebab mata hati mereka tidak pernah melihat dan merasakan bahawa perbuatan itu terlalu kejam kerana mereka sentiasa mendapat perlindungan. Sebab itu mereka adalah manusia yang sombong dan bongkak. Mereka tidak pernah takut disaman kerana apalah ada pada saman sedangkan  Allah mereka boleh permainkan. 

Untuk membuktikan bahawa mereka dipihak benar maka hebuhlah mereka dengan cabaran bersumpah dengan al-Quran. Maka mereka dengan berani dan tidak malu-malu mencabar pihak yang didakwa agar membuktikan bahawa  video seks itu tidak  melibatkan pihak lawan yang didakwa. Caranya dengan bersumpah.

Mengapa perlu bersumpah. Bersumpah atau tidak Allah amat mengetahui. Kenapa tidak ditangkap saja  semasa orang itu sedang melakukan perbuatan itu? Sebab perbuatan itu kononnya dilakukan bukan sekali. Bahkan dikatakan ada video yang bersiri. Maknanya pihaknya sudah mengetahui bahawa perbuatan itu akan dilakukan.

Tidak salahkah dari segi hukum negara menyebar dan menayangkan filem lucah. Tidak salahkah dari segi hukum Islam perbuatan menonton, menayang dan menyebarkan filem/video seperti itu?

Dari segi hukum negara ianya salah, dan mereka terlalu maklum akan perkara ini kerana mereka bukan orang biasa-biasa tetapi telah pernah menjadi pemimpin. Dan mereka juga tahu bahawa mereka sentiasa dilindungi. Ok, kita terima realiti bahawa mereka ada kuasa dan tahu menyalahgunakan kuasa.

Tapi bagaimana dari sudut Islam yang mereka terlalu bangga dan menaruhkan pergantungan dalam survival politik mereka. Adakah Islam membenarkan perkara itu? Sudah tentu tidak. Jadi hebuhan mereka mengatakan demi Islam itu adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata. Dia hanya tinggal sebagai cerita dongeng yang dihebuh-hebuhkan.

Itulah saya katakan BN ini sombong dan bongkak. Mereka lakukan kepada manusia dan mereka juga lakukan kepada Allah.

Kita lihat pula bagaimana BN menguruskan wang negara. Terlalu panjang kalau mahu disenaraikan salah urus wang yang dilakukan. Ambil contoh beberapa projek dan urusan. Projek beli kapal selam scorphene- melibatkan rasuah 500 juta dalam bentuk komisyen; projek lembu- melibatkan pinjaman mudah dari kerajaan kepada keluarga menteri yang gagal mencapai maksud projek; projek pusat pertahanan negara- tidak dibena walaupun tanah 200 ekar lebih telah diberikan kepada pimpinan UMNO untuk dilaksanakan secara penswastaan, kemudian lebih dahsyat lagi orang yang gagal menjalankan tanggungjawab itu diberikan wang sebanyak 160 juta dari sumber LTAT. Banyak lagi terutama yang melibatkan cara membuat perolehan, pembelian dan tawaran kontrak. Ada saja wang yang disalah uruskan.

Apa lagi? Soal moral dan akhlak?

Saya telah nyatakan diatas contohnya- membuat fitnah dan video seks. Baik dan tinggikah moral dan akhlak orang seperti ini. Kalau BN dan penyokong BN kata baik saya tidak hairan. Cuma yang saya hairan ada juga rakyat yang menyebelahi BN walaupun dia sendiri amat benci dengan perbuatan seperti itu. Finomina seperti ini bagi saya sungguh gila.

Jadi kalau sudah gila maka  mereka pilihlah kerajaan yang macam-macam gila. Gila kuasa, gila berbohong dan gila wang ringgit dan segala gila yang lain. 

Saya tidak mengatakan BN selama memerintah tidak melakukan yang baik-baik. Ada dan terlalu banyak jika mahu disenaraikan terutama dalam membangunkan infrastruktur dan taraf sosial dan ekonomi rakyat. Tapi malangnya mereka mengambil kesempatan yang melampau sehingga sebahagian besar pembangunan yang dibawa akan memberi keuntungan kepada mereka dan orang yang dekat dengan mereka dengan cara yang tidak betul. Contoh- sekiranya kos projek itu 5 juta ianya akan menjadi 20 juta. Kos yang berlebih itu akan ditelannya. Berbagai cara digunakan bagi mendapatkan wang haram itu . Satu dari caranya ialah menggunakan sistem tawaran tender tertutup, design and build dan tender secara rundingan terus. Bahkan cara yang nampaknya sebagai selamat masih lagi boleh di salahgunakan kerana yang berkuasa ialah mereka (pemimpin politik) dan yang sentiasa menerima arahan dan patuh pada arahan ialah penjawat awam. Saya Yang Menurut Perintah.

Dengan demikian ambillah peluang terbaik kali ini untuk merehatkan BN dari memimpin negara. Beri peluang mereka bermuhasabah diri.

Undilah PR dan beri peluang kepada PR membuktikan bahawa mereka boleh melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat. Risiko memang ada. Tapi jika rakyat tidak memberi peluang kepada PR bagaimana parti itu boleh membuktikan bahawa mereka boleh mentadbir negara dengan baik.

Untuk lebih yakin lagi, lihat dengan tenang pentadbiran negeri-negeri dibawah PR  berbanding negeri-negeri dibawah BN. Rujuklah Laporan Ketua Odit Negara, disana ada maklumat dan fakta yang jelas menyatakan bahawa negeri-negeri   dibawah PR adalah lebih baik berbanding dengan negeri-negeri dibawah BN.

Kaji dan telitilah manifesto PR dengan berlapang dada, tenang dan tertib.

Adakah anda hanya mahukan BR1M dan jenama 1M yang lain sekali dalam tempoh pemerintahan kerajaan seperti yang dilakukan oleh BN atau mendapat faedah yang untuk kebaikan jangka masa panjang. Kalau tanya saya, saya pilih feadah jangka masa panjang. Anda juga perlu pilih seperti yang saya pilih.

Anda sanggup berbaris berjam-jam untuk mendapatkan BR1M seakli dalam tempoh 4/5 tahun sebab anda memang memerlukannya. Maknanya anda masih lagi orang susah, orang miskin setelah anda berada dibawah pemerintahan BN selama lebih dari 55 tahun. Jadi tidakkah lebih menguntungkan anda jika anda menerima tawaran dari PR, yang antaranya seperti berikut:

i) Dasar Pelajaran Percuma.
ii) Menghapuskan PTPTN dan hutang PTPTN.
iii) Menghapuskan AES.
iv) Mengurangkan harga letrik.
v) Menurunkan harga minyak.
vi) Menghapuskan tol berperingkat.
vii) Menurunkan harga kereta dan motorsikal
viii) Banyak lagi. Telitilah manifesto PR.

Ingat anda masih susah dan miskin. Kalau anda perlu BR1M maka anda juga terlalu memerlukan apa yang ditawarkan oleh PR. PR hanya boleh melakukannya jika anda memberi undi kepadanya dalam pilihanraya yang ke 13.

Ingat, bahawa yang patut kenang budi dan berterima kasih ialah orang dan parti politik yang kita pilih menjadi kerajaan, bukan kita. Jika kita pilih PR maka mereka lah berterima kasih kepada kita atas budi kita meletakkannya sebagai kerajaan. Jadi jika ada diantara mereka nanti meminta kita berterima kasih maka kita beri satu jawapan, sama seperti yang kita beri kepada BN, boleh jalan dan bye-bye. 

Dia dah sampai dan kita  rakyat telah bersedia untuk undi PR dan tolak BN. Bukan begitu? Saya harap begitulah kerana BN terlalu bongkak dan sombong.
 
       

 
  
  
       

 
  

Selasa, 2 April 2013

Mengundi Mesti Ada Ilmu Pilihanraya , Jika Tidak Rosak Binasa Jadinya.

Masanya sudah semakin dekat. Kedua-dua belah pihak, BN dan PR, telah bertebaran berjumpa rakyat. Jentera mendekati rakyat semakin pantas menghebahkan bahawa dialah yang terbaik dan wajar dipilih. Pilihlah aku dan bukan dia kerana aku lebih baik dari dia. 

Pengundi pun sama dengan pemain dalam pasaran saham. Buat pilihan yang boleh menguntungkan. Macam pasaran saham, pemain pasaran yang mahu buat duit dan untung akan mengintai-intai kaunter yang pada pendapatnya boleh berbuat demikian. Ikut hukum bermain saham ' beli masa harga murah dan jual bila harga tinggi'. Mudahkan?

Nanti dulu. Ianya tidak semudah seperti yang diperkatakan. Silap-silap terbakar tangan. Paling teruk terbakar seluruh badan.

Untuk bermain saham, kita mesti ada ilmu pasaran saham. Tak boleh ikut-ikut saja. Ya, kadang-kadang, ada nasib kita untung. Tapi risiko menghadapi kerugian adalah besar. Tambah-tambah lagi dalam pasaran saham yang tidak sempurna misalnya capaian maklumat yang terhad, manipulasi pasaran sentiasa berlaku. Pernah dengar 'insider trading? Pernah dengar pembelian besar-besaran oleh pihak institusi bagi menyokong harga saham?

Begitu jugalah dalam soal memilih parti dan calun dalam pilihanraya untuk diberi kemenangan, sekali gus menerajui negara selama tempoh yang dibenarkan. Ianya juga perlu kepada ilmu mengundi. Dalam pilihanraya pun ada manipulasi. Jadi kita mesti pandai dan berhati-hati. Cuma yang ada ilmu pilihanraya saja yang mampu berbuat demikian.

Memilih parti dan calun tidak semudah hanya memangkah dikertas undi diruang bersebelahan dengan simbol sesuatu parti dan gambar calun. 

Apa pun parti yang telah sedia ada dalam otak kepala kita yang dulunya telah kita sokong dan sekarang kita juga akan menyokongnya, kita hendaklah berfikiran terbuka. Maksudnya kita juga mesti menilai tawaran pihak/parti yang bersaing bagi mendapat kuasa iaitu parti yang kita sokong dan parti lawan yang kita tidak sokong. 

Dengan ilmu yang ada, kita boleh membuat penilaian secara yang rasional melainkan kita tidak memperdulikan asas dan prinsip keilmuan. Kita utamakan hawa nafsu dan sifat kebencian. 'Apa jadi, jadilah. Aku tetap undi yang lama. Budi mesti dikenang. Kita mesti bersyukur dan berterima kasih'.

Kalau begitulah pegangan kita, kita adalah pengikut yang totok dan mudah dimanupulasi. Dalam bahasa Melayu, kita mudah dipermain-mainkan, diperbodoh-bodohkan, boleh dicucuk hidung seperti kerbau dan diperkotak-katikkan. Sebab, apa saja yang diperkatakan oleh pihak yang telah terpikat dihati begitu lama, adalah benar belaka dan semuanya benar, tiada cacat celanya.

Kita terpikat kerana pihak itu telah berbudi kepada kita. Mereka pernah  memberikan bantuan walaupun bantuan itu datang sekali dalam tempoh empat atau lima tahun. 

Sepatutnya yang termakan budi dan yang perlu memberikan ucapan terima kasih dan bersyukur ialah parti dan pimpinan yang kita telah pilih menerajui negara. Tanpa undi kita, mereka tidak ada disana sebagai pemimpin menerajui negara mendapat kedudukan dan kemewahan melebihi dari kita yang meletakkan mereka disana.       

Jadi mengapa kita senyap dan takut untuk memberitahu mereka bahawa merekalah yang patut mengenang budi dan berterima kasih kepada kita. Tapi hari-hari mereka minta kita mengenang budi dan berterima kasih. Kalau tidak mereka akan mengungkit-ungkit apa yang telah mereka buat dan berikan kepada kita dengan nada marah dan muka mencemek sedangkan dalam masa yang sama mereka merayu pada kita undi mengundi mereka lagi, untuk berkuasa.

Bukankah sikap dan perangai ungkit-mengungkit 'bantuan' adalah satu sikap dan perangai orang yang tidak ikhlas. Mereka tidak layak berbuat begitu kerana itu adalah tanggungjawab bahkan janji yang mereka buat semasa merayu undi dulu. Sesunggunya mereka dan parti mereka  adalah berlagak terlalu sombong dan angkuh. Sebab, masa nak merayu undi pun mereka sanggup buat ungkitan, bernada marah dan bermuka cemek memperkecilkan kita seolah-olah kita ini seperti kerbau ditarik hidung.

Mengapa mereka tiada segan silu dan rasa hormat kepada kita sebagai pengundi? Sebab kita tiada ilmu mengundi. Maknanya kita tidak faham maksud mengundi dan apakah tanggungjawab parti dan mereka yang menang dalam pilihanraya. Dan apakah hak kita sebagai orang yang telah menjalankan tanggungjawab keluar mengundi.

Apa yang kita faham tentang mengundi? Kita faham bahawa kita perlu membuat tanda pangkah pada parti dan orang yang kita berkenan dengan harapan sekali dua kali  kita akan berpeluang berjabat salam dengannya. Salam pula adalah salam berisi. Maka tersengih sukalah kita sambil mencium tangannya dan berkata, "Terima kasih YB".

Rakyat mesti tahu tentang parti itu sendiri. Tentang pimpinan parti itu. Dan kalau parti itu bertanding bagi mengekalkan kuasanya, rakyat mesti tahu rekod parti dan calun, apa yang telah dibuat oleh parti dan jika calun itu calun lanjutan (bertanding semula), lihat apa yang telah dilakukan; dan kalau calun baru dapatkan butiran mengenai calun itu. 

Kalau parti itu berhajat untuk mendapatkan kuasa pada kali pertama, dapatkan maklumat tentang apa yang hendak dilakukan, manifestonya dan berbagai maklumat bagi meyakinkan kita untuk memberi undi kepada parti dan calun itu.

Maknanya maklumat dan fakta yang betul, jelas dan terbuka perlu diperolehi. Rujuklah dari berbagai sumber. Sebaik-baiknya dari sumber-sumber yang bertentangan supaya kita dapat berbagai gambaran dan pandangan yang berbeza. Bukan dari sumber satu pihak saja. Sebab  gambaran yang diberikan ialah 'dialah yang terbaik dan pihak lawannya langsung tiada guna satu sen pun'.
 
Sekarang adalah masa untuk parti-parti yang akan bertanding itu untuk memuji diri. Mesti tonjolkan diri bahawa dialah yang terbaik. Tidak boleh mengatakan misalnya 'apalah yang diharapkan kepada kami ' tapi sebaliknya bahawa ' kami mampu memberikan khidmat yang terbaik seperti yang telah kami buktikan selama ini' atau 'kami membawa harapan baru, kami adalah harapan rakyat'.

Jadi asas perjuangan mereka untuk mendapat kuasa adalah atas keyakinan dan kepercayaan bahawa mereka adalah yang terbaik dan lawan mereka adalah yang paling buruk. Oleh itu pilihlah mereka.

Sebahagian dari kita rakyat telah membuat keputusan pihak mana yang hendak diplih. Walau apa pun yang diperkatakan oleh mana-mana pihak dari segi kemampuan mereka memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara, pilihan tidak berganjak, tetap yang ada dihati, tak boleh diubah-ubah. Mereka ini juga tidak akan menerima akan kata-kata yang memburuk-burukkan parti yang telah dipilih dihati sebagai benar. Mereka tetap setia dengan parti itu juga.

Golongan rakyat seperti ini sebahagian besarnya adalah rakyat yang dikampong-kampong yang tidak mempunyai capaian yang meluas dari segi maklumat. Mereka juga terdiri dari angkatan lama yang kurang pendidikan atau tiada pendidikan. Ada juga sebahagian kecil anak-anak muda yang berfahaman sama kerana kurang terdedah dengan maklumat dari berbagai sumber. Mereka sentiasa dihidangkan dengan sumber maklumat yang sama. Dengan demikian pemikiran mereka tidak terbuka dan taksub dengan apa yang ada.  Secara kebetulan majoritinya orang Melayu. 

Pada mereka mudah saja. Pihak mana yang telah pernah 'berbudi' walau sekecil mana pun , budinya mesti dikenang dan dibalas. Walaupun budi itu datang empat atau lima tahun sekali. Walaupun apa yang diterimanya itu adalah haknya sebagai rakyat yang telah memilih pihak berkenaan untuk menerajui negara. 

Mereka tidak ambil kisah tentang apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka itu dari segi membolot kekayaan dan harta secara yang salah atau tipu helah asalkan pemimpin itu tidak lupa sekali sekala bersalaman mesra diberbagai majlis , apatah lagi salam pemimpin itu salam berisi. Ditambah lagi dengan pesanan dari pemimpin bahawa kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah. 

Diperkuatkan lagi dengan firma Allah dalam al-quran yang bermaksud "Allah tidak suka kepada orang yang tidak bersyukur",

Jadi tidak hairan rakyat seperti ini tidak akan mudah untuk menerima dan percaya maklumat-maklumat yang negatif tentang parti dan pimpinan parti. Semuanya bohong, tidak benar. Orang jahat tidak akan beri wang. Orang baik dan pemurah saja yang ikhlas memberi wang dan menolong apabila diperlukan.

Oleh itu saya lihat bahawa tidak semudah itu PR boleh menang dalam pilihanraya kali ini sekiranya PR tidak dapat menembusi pemikiran kenang budi dan terima kasih ini. Pemikiran kenang budi dan terima kasih ini memanjang pula kepada rasa cuak dan bimbang bahawa jika parti lain yang menang maka mereka tidak lagi mendapat bantuan/pertolongan. Apatah lagi pemikiran mereka telah ditanam dengan kepercayaan bahawa BN atau UMNO saja yang boleh melindungi mereka dan menjamin masa depan mereka.

Jangan  terperanjat bahawa kepercayaan seperti diatas iaitu berterima kasih dan kenang budi serta merasa selamat juga dianuti oleh golongan anak muda dan mereka yang berpendidikan tinggi. Cuma bilangannya tidak berapa besar.

Satu hari saya bertanya seorang mekanik muda, belum memasuki 40 tahun, tentang bila parlimen hendak dibubarkan. Beliau menyatakan bahawa oleh kerana LIMA sedang berjalan di Langkawi maka parlimen tidak dapat dibubarkan. Dan menyambung dengan berkata bahawa pilihan beliau masih lagi yang sama iaitu BN.

Lihat, alasan parlimen tidak dibubarkan ialah kerana LIMA dan bukan kerana BN tidak yakin boleh menang. Dan beliau pula tetap memilih BN. 

Saya yakin mekanik muda ini hanya terdedah atau mempunyai capaian maklumat yang terhad dari satu sumber saja iaitu dari jentera BN.     
  

Pening Kepala Untuk Memilih Barang-barang Yang Perlu Dibuang.

Penat sungguh semasa memilih bagi menentukan barang/kertas/buku yang perlu dibuang. Ini adalah gara-gara tidak mempunyai sistem pemilikan/penyimpanan barang berdasarkan jangka hayat boleh guna. Dengan demikian barang-barang yang tidak berguna pun masih lagi disimpan atau tersimpan, mengambil ruang rumah. Semakin hari semakin bertambah sehingga menyemakkan fikiran. 

Diantara barang-barang yang banyak tersimpan tetapi tidak digunakan ialah nota-nota semasa belajar dulu. Berfail-fail tersimpan dalam almari dan laci-laci. Telah banyak kali hendak dibuang tetapi semasa proses mengenalpasti yang mana patut dibuang, timbul satu perasaan sayang dan serba salah. Ada banyak kenangan yang mengikat hati terutama kertas-kertas 'assingements' yang mendapat markah yang baik. Lalu nota-nota mengenai subjek itu menjadi tarikan untuk disimpan. Tapi tidak pula digunakan.

Satu lagi ialah nota dan dokumen/kertas kerja bagi sesuatu seminar dan persidangan yang dihadiri. Banyak yang tersimpan tapi tidak pernah dibuat rujukan atau dibaca semula. Hanya disentuh semasa menghadiri seminar. Lepas itu dimasukkan ke dalam almari sehinggalah ke hari ini. Menyemak saja.

Bersama dengan nota/dokumen dan kertas kerja ialah beg-beg seminar. Berlambak tersimpan bersama dengan dokumen itu. 

Sebenarnya, antara niat barang-barang itu disimpan dengan baik ialah apabila bersara nanti, saya bercadang hendak menulis mengenai subjek-subjek berkaitan, dengan menampilkan pengalaman semasa bekerja. 

Itu niat semasa semangat begitu tinggi, semangat semasa bekerja. Segala gelora yang ada dalam perasaan ketika itu disimpan untuk diluahkan semasa bersara. Waktu bekerja ianya tidak mungkin boleh dilakukan. Ada berbagai sekatan. 

Tapi apabila bersara, gelora masih kuat membara, cuma tenaga tidak seperti masa muda-muda. Lepas sehari ke sehari niat ditangguhkan sehinggalah ke hari ini. Satu tulisan pun tidak terhasil. Akibatnya segala bahan-bahan rujukan itu terbiar saja tidak digunakan, malah menyakitkan mata memandang.

Satu lagi ialah bil-bil yang telah dibayar termasuklah bil cukai tanah, cukai taksiran, IWK, bil air , bil letrik, bil astro dan macam-macam lagi. Satu dari sebab bil itu disimpan ialah ianya akan diminta oleh pihak-pihak tertentu bagi membuktikan misalnya bil cukai tanah telah dibayar pada tempoh yang lepas. Sepatutnya pihak berkenaan tidak wajar meminta rekod seperti itu. Jika mahukan pengesahan, dapatkan saja dari pejabat tanah. Tidak perlu kita menyimpan bil yang lama.

Ada satu kes klasik yang menyebabkan saya menyimpan bil yang telah dibayar ini. Ianya bil bayaran saman meletak kereta. Apabila saja saya melihat saman terlekat pada cermin depan kereta disebabkan  tidak meletakkan tiket letak kereta, saya dengan segera ke pejabat berkenaan untuk membayarnya. Tujuan bayar cepat itu ialah untuk dapat diskaun. Kemudian setahun selepas itu saya menerima surat perintah mahkamah dari pihak berkuasa tempatan itu meminta saya datang kerana gagal membayar saman dalam tempoh yang ditetapkan.

Mula-mula marah juga saya kerana pada ingatan saya ianya telah dibayar. Tapi apa buktinya?
 
Maka terkial-kiallah saya menyemak dan mencari dimana saja yang saya ingat yang biasanya saya simpan sesuatu bil yang telah dibayar. Tapi masalahnya, bil kena saman ini tidaklah seperti bila air atau letrik yang kita bayar tiap-tiap bulan. Maka saya ada fail khas setiap bil-bil itu. Kena saman bukannya selalu. Jadi saya tiada fail khas. Saya simpan mengikut 'sempat' saja. Dimana pada masa itu saya nak simpan saya akan simpan.

Allah maha menolong. Akhirnya terjumpa dicelah-celah sebuah diari. Setelah diteliti maka no. rujukannya sama dengan rujukan dalam surat perintah mahkamah. Jadi saya buat keputusan tidak akan hadir dimahkamah itu. Biar mereka saman saya kerana menghina mahkamah. Saya pula akan saman kerana mengaibkan saya sebagai orang yang tidak bayar saman sedangkan saman telah saya bayar. Sehingga sekarang saya tidak tahu apa keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu. Saya sedia menunggu.

Maaf saya sedikit melencong.   

Jadi apa saja yang saya simpan dan masih simpan dan tidak dibuang adalah disebabkan adanya perasaan sayang dan serba salah antara nak buang atau nak simpan. Sudah banyak kali saya bercadang hendak mengurangkan barang-barang itu tetapi apabila dipegang, disemak dan dibaca, timbul perasaan serba salah dan sayang. Ditambah pula ada sedikit semangat untuk menjadikannya sebagai bahan rujukan. Tapi tangguh dulu untuk menulis. Akhirnya tak jadi apa-apa, sehingga barang-barang itu sudah naik taraf menjadi sampah sekarang ini.

Untuk semakan kali ini, saya telah memperkuatkan hati bahawa ianya perlu dibuang. Soal nak jadi bahan rujukan, atau ada kenangan yang perlu disimpan atau apa saja alasan, sudah saya ketepikan. 

Mengapa barang-barang itu semakin bertambah? Sebab saya tidak tentukan tarikh tamat boleh guna barang-barang itu. Misalnya jika nota-nota university dulu saya buang sebaik saja tamat pengajian, ianya tidaklah berlapok sampai sekarang. Jika saya ada tarikh tamat boleh guna berpuluh-puluh beg seminar yang ada, sudah tentu ianya tidak mengambil ruang dirumah saya. 

Satu lagi ialah barang-barang anak-anak yang telah tamat pengajian dan bekerja. Dengan bukunya, peralatan dan kelengkapan belajarnya, semua ditinggalkan di rumah saya. Saya hendak buang, tapi khuatir dia memerlukannya lagi. Tak buang , buat semak saja. 

Selain dari buku dan kelengkapan belajar mereka, barang-barang lain juga ada ditinggalkan misalnya hadiah-hadiah hari perkahwinan dalam berbagai bentuk, misalnya frame gambar dan frame ayat al-Quran. Semuanya mengambil ruang dan boleh jadi pening mata memandang. Tapi masalahnya jika dibawa ke rumah mereka sudah tentu mereka pun pening kepala kerana ruang rumah mereka agak kecil. Jadi nak buat macam mana? Buang saja? Menangis pula anak-anak saya itu.

Jadi selain dari barang anak-anak, barang-barang kepunyaan saya dan isteri telah disepakati untuk dibuang.

Oh nanti dulu, kata isteri. Beg-beg seminar itu ada yang cantik-cantik  dan masih kelihatan baru. Dia bercadang untuk simpan dulu dan berikan kepada adik beradik dan anak saudara jika mereka mahu. Maka disimpan semula beg-beg yang telah sedia untuk saya buang itu. Dia simpan dalam beg plastik supaya tidak berhabuk. Dan pada hari raya nanti, apabila mereka datang beraya ke rumah,  beg-beg itu akan dipamirkan untuk dibuat pilihan, tiada bayaran.
  
Selain dari beg, golf set saya juga akan diberikan kepada sesiapa yang berkenan nanti. 

Nampak gayanya kali ini kami berdua telah berjaya sedikit sebanyak mengatasi perasaan sayang kepada barang lama yang tersimpan. Banyak yang kami setuju untuk dibuang, dilupuskan.