Theflowersellingboy

Selasa, 5 Mac 2013

Peristiwa Lahad Datu dan Semporna : Al-Fatihah dan Salam Kewiraan Buat Yang Gugur. Terangkanlah Kepada Rakyat Cerita Yang Sebenar.

Al-Fatiha dan salam kewiraan untuk anggota keselamatan kita yang gugur dalam peristiwa pencerobohan Lahad dan Semporna. Semoga mereka yang gugur akan dimasukkan dikalangan orang yang di redhai Allah. Kepada ahli keluarga, ucapan takziah dari blog kecil ini.

Banyak yang telah diperkatakan tentang pencerobohan dari kesultanan Sulu ini. Macam-macam pandangan. Ada yang mirip kepada kecenderungan politik, ada yang cuba menuding jari menyalahkan seseorang, ada yang mengkritik cara kerajaan dalam menghadapi pencerobohan yang dikatakan terlalu lemah dan tidak serious. Tidak kurang juga yang merasakan kehairanan bagaimana penceroboh dengan alat senjata boleh bolos masuk sedangkan kita mempunyai sekurang-kurangnya 4 agensi yang mengawal keselamatan beserta dengan peralatan dan sistem pengesanan yang canggih.

Itulah yang biasanya berlaku apabila tercetusnya sesuatu peristiwa. Macam-macam cakap keluar.

Pihak kerajaan juga menyatakan bahawa keadaan adalah terkawal dan meminta semua pihak tidak menyebar khabar angin (cerita tidak benar). Tapi soalnya apakah cerita yang sebenarnya? Selagi kerajaan tidak melaporkan kepada rakyat misalnya melalui persidangan parlimen, sudah tentu berbagai cerita atau khabar angin akan tersebar.  Oleh itu jangan diberi ruang cerita khabar angin itu merebak. Ianya sentiasa ditunggu-tunggu dan sentiasa boleh dipercayai kerana cerita dari sumber yang dikatakan benar juga ada masanya bercanggah dan mengelirukan.

Misalnya ada laporan mengatakan , penceroboh menggunakan mortar semasa buat serangan. Ada berita mengatakan penceroboh tidak mempunyai senjata berat dan hanya bersenjata senapang dan parang. 

Satu lagi yang menjadi persoalan ialah tentang  laporan menyatakan bahawa musuh menembak anggota keselamatan setelah mengibarkan bendera putih (menyerah). Pemimpin kerajaan mengatakan perbuatan seperti itu sebagai satu tindakan orang pengecut. Pengecut atau berani, anggota keselamatan kita telah gugur.

Soalnya adakah anggota keselamatan, setelah melihat bendera putih, dengan segera keluar dan mendedahkan diri mereka tanpa meminta terlebih dulu pihak musuh yang menyerah itu, meletakkan senjata dan keluar dari tempat persembunyian dengan mengangkat kedua belah tangan diatas kepala? Saya percaya anggota keselamatan kita adalah mereka yang telah terlatih dalam prosedur menjaga keselamatan diri. Sudah tentu mereka berwaspada walaupun bendera putih telah dikibarkan oleh musuh.

Yang pastinya angggota kita telah terkorban, meninggalkan anak isteri. Dapatlah dinaikkan pangkat setelah terkorban.

Jadi rakyat terutamanya waris anggota yang terkorban berhak untuk tahu cerita sebenarnya . Maka Kerajaan mestilah mengadakan persidangan parlimen khas bagi membincangkan tentang pencerobohan ini , termasuk langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Selagi tidak dibincang, dibahas dan diterangkan di Parlimen, selagi itu berbagai cerita akan keluar. Dan adalah tidak mencukupi hanya kerajaan mengeluarkan nasihat atau amaran supaya jangan dengar khabar angin. Angin akan lebih kencang bertiup membawa berbagai cerita jika kerajaan tidak cepat mendahului angin.

Segera bertindak , jangan lembab terhegeh-hegeh. Nanti ramai pula yang gugur. 

Sabtu, 2 Mac 2013

Menghadapi Keracunan Makanan

Saya perlu istiharkan terlebih dahulu bahawa saya bukan doktor perubatan. Tidak juga seorang pengamal perubatan alternatif atau seorang dukun, bomoh atau yang mempunyai pengetahuan yang baik tentang ilmu penyakit. Namun saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana untuk menghadapi keracunan makanan.
 
Semua orang tahu bahawa keracunan makanan itu secara amnya bermaksud kita memakan makanan yang telah tercemar sama ada makanan sediaan kita atau dihidangkan oleh orang lain. Akibat dari itu sistem dalam perut kita akan bertindak tidak sama seperti menerima makanan yang tidak tercemar. Tindakannya luar biasa sekali. 
 
Biasanya selepas beberapa jam makanan tercemar itu diambil, perut seseorang itu mula merasa tidak selesa, merasa mual, tidak tentu arah (amat rumit untuk menggambarkan melalui kata-kata). Pendek kata kegelisahan kita macam dalam keadaan semua tidak kena. Misalnya berbaring pun rasa mual, berdiri dan duduk pun serupa.
 
Semakin lama, keadaan serba tidak kena itu semakin bertambah. Maka bersedialah kita menukar pakaian untuk ke tandas. Tentukan tiada sesiapa menggunakan tandas. Tapi kalau bukan di rumah kita, masalahnya mungkin rumit dan boleh memalukan. Macam mana pun kita mesti bersedia untuk berada dalam tandas.
 
Najis akan keluar secara ceret beret. Keluar seperti air dalam baldi yang disimbah keluar. Banyak. Dituruti dengan najis bentuk cecair. Banyak juga. Tekak kita mula loya. Air loya mula menguasai tekak. Muntah tidak dapat ditahan lagi. Banyak  muntah yang keluar. Sakit dada.
 
Ceret beret dan muntah-muntah bukannya sekali. Banyak kali. Ertinya kita mesti dalam pakaian yang sesuai untuk ke tandas. Tandas itu, buat ketika itu kita punya.
 
Setelah muntah dan ceret beret , perut kita kosong, tapi berasa lega sedikit. Ketika ini ianya masih belum pulih. Mungkin belim semua racun itu telah keluar. Masih lagi ada berbaki. Namun begitu, kita perlu mengambil air garam sebagai ganti air yang keluar bersama najis dan muntah tadi. Ambil garam ORS. Ambil makanan yang lembik-lembik seperti bubur.  Jika muntah lagi, kita kurang merasa sakit.

Muntah dan ceret beret akan berterusan sehingga hari yang kedua. Cuma kurang serious. Setiap kali muntah dan ceret beret, ambil air garam dan makan makanan yang lembik. Kekurangan air dan perut yang kosong perlu sentiasa diganti.
 
Lama kelamaan kita akan merasa lega ke arah pulih.
 
Itulah caranya saya lakukan dalam menghadapi keracunan makanan. Saya tidak ke klinik atau hospital. Sekarang sudah pulih. Tapi tekak masih rasa pahit-pahit.  
 
   
  

Jumaat, 1 Mac 2013

DIALOG DALAM MIMPI

Seorang anak kecil perempuan yang berusia 5 tahun sedang merayau-rayau di sebuah lorong berdekatan dengan sebuah pasar besar. Lepas satu tong sampah ke satu tong sampah ditinjaunya untuk mencari sesuatu. Menghala ke hadapan anak itu, ada seorang lelaki tua sedang melihat dengan tekun akan gelagat anak kecil itu yang semakin menghampirinya.

Si lelaki tua itu bertanya kepada anak itu apakah yang sedang dicarinya dalam tong-tong sampah tadi. Maka tanpa merasa takut dan terkejut akan sapaan dan pertanyaan si tua tadi, anak itu dengan bersahaja menjawab bahawa dia sedang mencari seorang ayah yang baik. Jawapan dari anak itu menyebabkan perasaan lelaki itu menjadi tersentak sehingga hati sanubarinya membisik bahawa anak kecil ini telah jadi gila. Mana mungkin ayahnya menyorok dalam tong sampah yang busuk hanyir itu.

Namun situa itu tidak mahu berhujah mengatakan bahawa anak kecil itu mencari ayahnya ditempat yang salah. ' Budak ini gila', telah mempengaruhi fikiran dan cara laku situa ini terhadap anak kecil itu. Dia sengaja mahu melayan anak itu untuk meneruskan kenyataan yang bersifat gilanya itu. Dia memulakan sandiwaranya.

"Kenapa mahu mencari ayah", situa betanya.

"Bukan pakcik, saya nak cari ayah yang baik", anak itu membetulkan silap faham situa. Situa itu mula tersipu malu kerana tidak memahami kenyataan mudah dari anak kecil itu. Tapi dia masih mengatakan anak kecil itu gila. 'Budak gila, macam tu lah'.

Namun dia tidak mahu terus bertanya tanpa berfikir. Dia khuatir ditegur lagi. Maklumlah budak gila tidak mudah untuk dibaca fikiran dan kelakuannya.  

Ada sesuatu datang dalam fikiran situa itu. 'Mengapakah agaknya budak gila ini mahu mencari ayahnya saja'.  'Maksudnya, ayah yang baik', dengan cepat dia membetulkan kesasulannya.  'Kenapa tidak mencari ibu yang baik. Bukankah ibu itu lebih dekat dengan anak dan berhati lembut?'

Mungkin budak gila ini hendak mengenakan si lelaki ayahnya. Ayahnya telah buat hal melarikan diri, membiarkannya keseorangan terumbang ambing , merayau-rayau dilorong yang kotor. Tapi kenapa tidak mencari ibunya. Ibunya juga bertanggongjawab, malah wajar lebih bertanggongjawab keatas seorang anak. 

Dia mahu membetulkan kesilapan anak ini dalam tanggapan fikirannya terhadap seorang ayah, terhadap sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan anak. Bahawa tidak semua ayah yang jahat, dan tidak semua ibu yang baik.

Dia seorang lelaki, seorang ayah, wajar memperbetulkan silap faham ini.
Tapi itu pemikiran seorang yang rasional, bukan pemikiran orang gila seperti budak perempuan kecil ini. Gila mesti dibalas dengan gila, baru ngam. Baru padan, sama-sama gila. 
 
Maka secepat kilat datanglah dalam fikiran situa itu untuk mengenakan si budak kecil itu dengan pertanyaan bertujuan untuk mengusik perasaannya, mempermainkannya dan menyakitkan hatinya. Dia  mahu buat-buat gila. Dia mahu memulakan dialog.

Si Tua (ST): Anak sudah kahwin ke?

Anak Kecil Perempuan (AKP): Belum. Saya baru berusia 5 tahun. Belum lagi baligh. Tapi kalau saya nak kahwin, saya akan cari ayah yang baik.

ST(mendengar bunyi ayat terakhir itu, hatinya berkata sahlah budak ini gila): Mengapa pula hendak memilih ayah yang baik sebagai suami?

AKP: Ayah yang baik adalah suami yang baik.

ST: Tapi bukan kah itu akan merobohkan rumah tangga insan yang lain.

AKP: Macam mana boleh jadi begitu. Saya cuma memilih ayah yang baik kepada anak saya. Saya tidak ganggu suami orang.

ST: Ayah yang baik itu bukankah suami orang?

AKP: Benar. Itulah suami idaman saya, seorang ayah yang baik.

ST(dalam hati mengatakan pelik betul budak gila ini): Kalau ayah yang baik itu suami orang mengapa memilih ayah yang baik itu?

AKP: Ayah yang baik itu adalah ayah kepada anak saya. Dia suami saya.
 
ST(mula faham dan tersipu-sipu):Oooo katalah awak nak cari suami yang baik. Buat confuse saja.

AKP: Bukan begitu pakcik. Sebab suami yang baik belum tentu menjadi seorang ayah. Jadi macam mana dia nak jadi ayah yang baik.

ST(menggaru-garu kepala, pening membaca jalan fikiran budak gila ini. Dengan sedikit suara meninggi, dia meneruskan ): Apa sebenarnya yang kau cari. Merayau kesana kesini. Lepas satu tong sampah ke tong sampah yang lain. Jumpa ke suami pilihan kau tu?    

AKP: Minta maaf pakcik. Dah lama saya mencari ayah yang baik tapi tidak jumpa. Kesian ibu saya di hujung sana, meminta saya tinjau dalam tong sampah kalau-kalau terjumpa suaminya dulu, ayah saya. Kata ibu, dia bersama-sama dengan ayah membawa saya ke sini masa saya dilahirkan dulu. Tapi saya masih lagi tidak berjumpa dengan ayah saya. Ibu kata carilah ayah yang baik sebagai suami saya.

Anak kecil itu terus berjalan ke hadapan meninggalkan si tua yang sudah terpinga-pinga mendengar jawapan itu.

"Gila, gila, aku sudah jadi gila.....

"Siapa yang gila bang?" Terasa badan saya digerak-gerakkan. Saya membuka mata. Dihadapan isteri sedang berdiri. Saya bermimpi rupanya, beristighfarlah saya.

"Lepas Subuh jangan tidur. Padan muka, mimpi orang gila", isteri keluar dari bilik meninggalkan saya keseorangan. 

Kali ini saya tidak terpinga-pinga tapi tersenyum suka mengingatkan kembali dialog dengan anak kecil perempuan yang masih berusia 5 tahun itu, yang mencari ayah yang baik bagi anaknya sebagai menurut pesanan dari ibunya.