Theflowersellingboy

Isnin, 4 Februari 2013

Hujah Merngelak Dan Membela Diri

Seorang anak anda menunjukkan rekod keputusan peperiksaan persekolahannya yang tidak seperti yang anda harapkan, misalnya pada kedudukan lima terbaik. Anak anda menduduki tempat ke 20 daripada 30 orang pelajar. Apa respon anda

Pertama saya rasa anda akan kecewa. Kedua anda akan marah. Ketiga, anda tidak berkata apa-apa. Keempat, entahlah anda saja yang tahu.

Katakan anda merasa kecewa atau marah diatas prestasi yang sedemikian itu dan bertanya mengapa sebegitu teruk sekali jadinya? Dan anak anda pula berkata secara membela diri: 

"Mama jangan risau. Tu si Husin anak Cikgu besar tu dapat nombor corot. Cikgu besar tu sakit jantung dibuatnya. Saya nombor 20, ok lah".

Hebatkan anak anda itu buat pembelaan diri. Kelemahannya dilemparkan kepada anak cikgu besar itu sehingga cikgu itu sakit jantung.

Adakah anda hairan dengan cara pembelaan diri anak anda itu iaitu mengalihkan kelemahannya dengan menelanjangkan kelemahan orang lain

Saya percaya anda sudah biasa mendengar kaedah pembelaan diri seperti ini, dan tidak menjadi sesuatu yang menghairankan. Anda akan berkata lumrah manusia.

Tapi apabila berlaku kepada anak sendiri, saya percaya anda tidak boleh menerima alasan yang diberikan itu. Kerana apa perlu anda ambil berat dengan keputusan si Husin , anak guru besar itu. Dia bukan anak anda. Yang penting dan menjadi tanggungjawab anda dan yang perlu diberi perhatian ialah prestasi persekolahan anak anda sendiri.  

Tapi anak anda menggunakan Husin sebagai 'buffer', dalam usahanya untuk mempengaruhi minda anda agar dapat menerima prestasi yang telah dicapai dalam peperiksaannya itu. 

'Sedangkan anak guru besar pun dapat nombor corot, anak aku dapat no. 20 daripada 30 kira ok lah', mungkin tergerak juga dihati anda untuk berkata begitu. Dan kalaulah itu adalah suara hati anda maka anak anda itu telah berjaya mengalihkan pandangan dari isu sebenar yang berada di hadapan mata anda, iaitu kertas rekod pepereksaan anak anda yang menunjukkan prestasi yang anda kecewa, tidak suka dan marah.  

Dan sesungguhnya anak anda ini adalah seorang strategis. Dia pandai mengatur hujah dengan mengambil satu personaliti yang biasanya orang percaya mempunyai kemampuan untuk melahirkan anak yang pandai. Anak guru besar katakan.  

Dan anda pula mudah diperdaya atau dipengaruhi semata-mata atas dasar kepercayaan/anggapan kepada kebiasaan yang berlaku iaitu anak guru besar sudah tentu lebih kemampuannya dari anak kita. Ianya tidak semestinya begitu, tetapi itulah kepercayaan secara amnya.

Adakah fenomina seperti ini hanya berlaku kepada anak anda atau anak-anak sekolah yang mahu mengalihkan kelemahan prestasi persekolahannya

Tidak. Fenomina ini berlaku dalam semua peringkat usia dan kedudukan serta taraf sosio-ekonomi manusia. Biasanya makin tinggi kedudukan, semakin besar kuasa dan pengaruh semakin bebas seseorang itu menggunakan cara yang sama seperti yang dilakukan oleh anak anda yang lemah dalam peperiksaan itu. Tujuannya sama saja iaitu untuk mempengaruhi pemikiran orang lain agar tumpuan atas kelemahan atau kesalahan sendiri beralih kepada pihak lain.

Maka orang itu atau anak sekolah itu merasakan dia dapat bebas dari dipersalahkan kerana orang lain atau anak sekolah yang lain juga berkedudukan yang sama bahkan lebih teruk lagi.

Mungkin anda  sepantas kilat akan memberi reaksi bahawa anda tidaklah sebodoh itu untuk dialihkan pandangan, mempercayai membabi buta dan dapat dipengaruhi dengan hujah yang anda kata sebagai tidak masuk akal, tidak relevan, tiada kena mengena dan sebagainya tapi hakikatnya ada orang yang termakan akan hujah seperti itu. Kedudukan orang itu adalah sama seperti yang berlaku keatas bapa  kepada anak yang mendapat keputusan peperiksaan yang mengecewakan itu, hatinya membisik bahawa ada munasabahnya hujah anaknya itu.

Baiklah saya bawa contoh dibumi nyata di Malaysia ini. 

Bekas PM kita yang lama memerintah, menurut fahaman saya telah banyak kali menggunakan kaedah seperti anak sekolah tadi. Saya ambil dua contoh saja. 

Apabila ditanya atau dikatakan beliau mempengaruhi keputusan dalam pemberian beberapa projek kepada anak beliau, PM itu mudah saja memberi jawapan kurang lebih maksudnya begini: Mengapa anak-anak PM termasuk bekas PM yang lain tidak dipersoalkan. Mereka pun sama juga.   

Lihat, yang dipersoalkan ialah tentang projek yang diperolehi oleh anak beliau. PM itu tidak jawab yang ditanya tapi meminta pertanyaan seperti itu diarah kepada orang lain.

Baru-baru ini timbul berbagai cerita hasil dari pendedahan  siasatan dalam RCI berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru dan taraf warga negara kepada pendatang. 

Saya percaya ramai yang masih ingat bahawa PM kita ini pernah menafikan penglibatannya dalam kes ini. Tapi hasil dari pendedahan beberapa orang saksi, beliau sendiri telah mengaku terlibat dalam kes yang dibangkitkan.   

Tapi pengakuan itu bukan berhenti setakat itu saja. Baru-baru ini seperti yang dilaporkan beliau mengatakan Ketua Pembangkang terlibat secara langsung dengan kes pemberian warga negara dan kad pengenalan biru itu, yang telah melakukan lebih dari sepatutnya.

Dalam dua contoh diatas, tujuannya sama saja iaitu cuba mempengaruhi fikiran orang ramai bahawa orang lain juga melakukan perkara yang sama.  Salah? 

Kata beliau Tunku Ab Rahman PM Malaysia yang pertama adalah lebih teruk lagi. Apa maknanya?  

Maknanya apa yang dilakukan oleh beliau tidak wajar dibangkit-bangkitkan. Tak ada kes.

Sebab itulah anak anda juga pandai berhujah jika mendapat keputusan peperiksaan yang mengecewakan anda. Bertujuan untuk memujuk hati anda yang luka. Sedikit lukanya? Banyak lukanya? Anda saja yang tahu. 

Dan ada diantara anda akan termakan dengan pujukan itu. 

Kalau begitu tidak termakankah diantara kita rakyat Malaysia ini akan hujah bekas PM kita yang lama berkuasa itu? Saya sudah ada jawapan. Anda bagaimana?

Apa beza hujah anak sekolah itu dengan hujah bekas PM kita tu dari segi matlamat. 

Maka adalah lebih baik anda lihat dan tinjau kenyataan yang berlaku diatas bumi Malaysia ini.

Sabtu, 2 Februari 2013

Pesara Atau Warga Emas Hanya Perlukan Sebuah Bilik Sewa Saja: Tidaklah Penat.

Aduh penatnya badan tidak terkira. Seluruh anggota terasa sakit. Kedua-dua kaki pun sakit dan kadang-kadang berlaku kekejangan otot. Pinggang sakit. Muka terasa perit dik tembakan cahaya matahari walaupun disalut dengan kain dan kepala bertopi. 

Itulah kesan dari melakukan kerja membersih kawasan rumah yang telah lama ditinggalkan.

Semalam, disebelah pagi pukul lapan, buat kerja memesin rumput di bahagian kanan rumah berhampiran dapur, dimana terdapat sebatang pokok durian (yang belum lagi mengeluarkan hasil walaupun sudah berusia lebih 10 tahun) dan pokok mangga (yang kerap berbuah tapi buahnya menjadi habuan simonyet, beruk , tupai dan kongkang). Mesin sebahagian saja kerana tak larat, terlalu panas. Dan pagi iini sambong semula, pun tak habis. Tapi kelihatan lebih terurus dan sedap mata memandang.

Begitulah jadinya rumah yang ditinggalkan.

Oleh kerana terlalu penat, fikiran pun melayang-layang bertanyakan diri mengapa tidak saja menyewa sebuah bilik dimana-mana apartmen atau bangunan untuk keperluan dua orang , saya dan isteri? Mengapa perlu ada rumah sedangkan penggunaanya tidak seberapa. Anak-anak pun sudah besar dan ada yang telah berumah tangga mempunyai rumah sendiri. Yang belum berumahtangga pun nampak gaya tidak menunujukkan minat untuk tinggal di rumah kerana masing-masing bekerja diluar kawasan. Jadi apa perlu enam bilik kalau yang digunakan hanya satu bilik. Bilik yang lain jadi bilik cicak memberak, buat busuk dan kotor.

Hanya sesekali anak balik untuk  berkumpul misalnya pada hari raya, rumah itu ada fungsinya. Tapi mereka balik hanya sehari dua saja.Lepas tu bye bye. Tinggallah dua orang tua duduk mencangok. 

Takkan asyik mencangok saja. Nanti naik bosan. Maka kenalah buat-buat sibuk mengemas semua ruang dalam yang ditinggalkan kosong. Sehari tidak dibersihkan, tahi cicak sudah berlambak. Sekurang-kurang dua kali seminggu kena mop ruang-ruang tersebut. Verandah diluar dan garaj kereta pun kena dimop. Kawasan luar rumahpun kena juga dibersihkan kalau tidak rumput liar dan lalang akan cepat membiak. Pokok bunga perlu disiram dan dibaja dan dibuat cantasa kalau mahu sedap mata memandang. Penat!

Tenaga dari hari kesehari semakin menurun. Cepat penat dan semput. Maklum usia semakin bertambah, tenaga semakin menurun. Nasib baik dah buat pembedahan pintasan jantung kalau tidak, entahlah, tidak terurus rumah saya ini. 

Ada kawan-kawan cadangkan supaya diupah orang untuk melakukannya. Saya tanya upah? Daripada upah baik saya buat sendiri, badan akan lebih sihat. Itulah alasan yang saya berikan. Sebenarnya terniat juga untuk mengupah orang tapi setelah dibuat kira-kira berdasarkan kaedah perbandingan kos dan faedah yang saya belajar dulu (cost benefit analysis) maka saya memilih untuk buat kerja sendiri. Sebab faedah melakukan sendiri lebih banyak.

Tapi buat sendiri penat pulak.

Jadi pilihan yang terbaik untuk pesara seperti saya ni ialah menyewa sebuah bilik. Tak banyak ruang yang perlu dikemaskan. Kalau anak-anak mahu berkumpul, minta mereka berkongsi sewa sebuah suite di hotel untuk satu dua hari. Rasanya lebih seronok kerana setiap kali hendak berkumpul akan sewa hotel ditempat yang berbeza seolah-olah pergi melancung. Jadi tidaklah jemu, balik-balik rumah itu saja.  

"Bang dah siap belum. Barang-barang nak bawa ke Putra Jaya dah masuk dalam beg?' Isteri saya mengganggu lamunan fikiran saya. Saya menggeliat. "Penatnya".

Sekali lagi rumah saya ini terpaksa menerima ucapan selamat tinggal. Entah berapa lama saya tidak pasti. Cuma saya amat pasti bahawa tahi cicak akan berlambak lagi. Rumput akan tumbuh dengan segar. Monyet dan beruk serta kongkang akan bebas bergayutan di atas pokok mangga. Dan saya terlalu pasti bahawa apabila balik nanti saya sekali lagi akan berkata "Saya terlalu penat. Saya hanya perlukan sebuah bilik sewa saja untuk saya dan isteri".
       
  
  

Jumaat, 1 Februari 2013

Peminta Sedekah, Peminta Derma dan Kehilangan Wang Negara

Peminta Sedekah dan Peminta Derma ada hubungan langsong dengan  Kehilangan Wang Negara.
 
Mengapa adanya peminta sedekah?  Kerana adanya orang yang hidup susah dan daif.
 
Mengapa adanya peminta derma? Kerana wang atau harta sendiri yang ada bagi melakukan sesuatu kebaikan atau kebajikan tidak ada/tidak mencukupi, perlu didapatkan/ditampong dari sumber luar/yang lain.
 
Apa kaitan peminta sedekah dan peminta derma dengan kehilangan wang negara? Wang negara adalah khazanah yang perlu diuruskan untuk kebajikan negara dan warganya. Jika tidak diurus dengan baik dan jika berlaku kehilangan dengan apa cara sekalipun ianya merugikan negara dan rakyat. Yang terkesan sangat ialah peminta sedekah dan peminta derma kerana peluang untuk mendapat sumber kewangan menjadi  kecil.
 
Kenyataan-kenyataan diatas adalah satu logik yang mudah. Mudah difahami. 
 
Peminta sedekah adalah orang susah, orang miskin, sebahagiannya bergelandangan tiada tempat tinggal, pakaian kotor dan kehidupan tidak terurus dengan baik. Mereka perlu makan sama seperti manusia lain  atau makhluk lain. Mereka perlukan wang/bantuan.
 
Peminta derma walaupun tidak susah tapi perlu juga pertolongan kewangan bagi mengusahakan/mendapatkan sesuatu kebaikan/kebajikan.
 
Tapi malang sekali negara kita dalam tempoh sepuluh (2001- 2010) tahun telah kehilangan wang. kehilangan yang paling trajis sekali ialah hilang yang mengalir keluar dari negara secara haram. 
 
Berapa banyak pengaliran wang secara haram itu? Menurut laporan Global Financial Integrity jumlahnya ialah sebanyak US 285 billion dalam tempoh sepuluh tahun (2001- 2010).
 
Jika tidak berlaku kehilangan wang seperti itu, sudah tentu berbagai usaha dapat kita buat untuk menolong orang miskin itu. Jika kita lakukan dengan bersungguh-sungguh saya percaya bilangan orang yang meminta sedekah akan berkurangan dan dapat dihapuskan.  
 
Dan peminta derma dapat dikurang atau ditiadakan. Sebenarnya kita tidak perlu ada peminta derma yang sentiasa berkeliaran di pejabat, di R&R, di bank, di masjid dan dimana-mana tempat keramaian, memohon derma untuk mendirikan pusat/tempat pengajian agama Islam seperti surau, sekolah tahfiz, rumah anak yatim, masjid dan sebagainya.
 
Tiada orang miskin dan tiada peminta derma akan terhapuslah juga orang-orang jahat yang menggunakan kemiskinan dan kerja-kerja kebajikan untuk faedah jahat mereka. 
 
Begitulah kaitannya diantara wang negara yang hilang dengan hidup miskin dan kegiatan meminta derma. Lagi banyak wang yang hilang lagi banyak orang miskin dan peminta derma.