Theflowersellingboy

Rabu, 2 Januari 2013

Hari Ini Dua Kali Kecewa

Selepas menghantar cucu di taska cyber jaya, seperti biasa saya dan isteri bersarapan pagi. Kali ini kami hendak ubah selera. Tidak bersarapan di kafetaria di tingkat bawah bangunan taska. 

Saya mencadangkan untuk bersarapan di masjid putra. Isteri bersetuju.

Setelah meletakkan kereta di hadapan masjid kami menuruni untuk ke restoran menggunakan 'accelerator'.Dihadapan restoran ialah tasik putra jaya, indah sekali. Kami meninjau makanan dari satu restoran ke restoran yang lain. Tiada yang berkenan.

Akhirnya isteri memutuskan untuk makan roti canai, makanan yang saya cuba elakkan kerana tidak sesuai bagi kesihatan saya. Tapi kata isteri sesekali tidak mengapa. Saya akur, lagi pun sudah lama makanan itu saya ketepikan.

Kami menuju ke restoran nasi kandar kerana disitu kelihatan ada disediakan roti canai.

Berhadapan dengan kami ialah petugas kedai itu yang saya teka bukan warga kita. Mungkin dari Bangladesh atau India. Tidak sempat untuk membuka mulut membuat pesanan, saya terpandang tangan pekerja itu sedang memegang beberapa keping roti canai. Tangan pekerja itu tidak bersarung. Kukunya panjang. Kelihatan dengan jelas tahi kuku yang berwarna hitam pada jari-jari tangannya.

Sungguh menjijikkan. 

Kedua-dua kami cepat beredar menuju ke kedai sebelah. Isteri memesan laksa asam dan saya makan kuih pau berinti kelapa. Maka kecewalah kami terutama isteri yang tidak dapat makan roti canai.

Itu kecewa yang pertama.

Sebelah petang kami ke Bandar Baru Bangi, ke pejabat JPJ untuk membayar saman AES yang zalim itu. Di Putra Jaya tiada kaunter JPJ untuk tujuan bayaran saman.

Kami sampai pukul 3.30 petang. Kami ke tingkat satu untuk membayar saman. Setelah menunjukkan surat saman itu, petugas JPJ menyatakan pihaknya tidak boleh menerima bayaran disebabkan sistem komputernya 'break down'. Beliau minta saya datang esok hari.

Saya menyatakan bahawa saya tidak tinggal di Bandar Baru Bangi. Petugas mencadangkan supaya saya memberi surat saman itu kepada adik atau kakak saya untuk dibuat bayaran pada esok hari.

Menakjubkan sekali cadangan petugas JPJ itu. Macam ahli nujum.

Saya ada saudara mara di bandar baru Bangi? Ehh saya sendiri tidak tahu.

Saya tidak mahu mempersoalkan ketakjuban petugas itu kerana saya tidak mahu mempunyai ciri san sifat seperti itu. Tapi saya bertanya, 'adakah hari esok sistem akan ok'? 

Jawabnya, 'dia tak dapat beri jaminan'. 

Saya bertanya lagi, 'kenapa suruh saya datang esok?'

'Sebelum encik datang talipon dulu', jawab petugas itu selamba dan bersahaja seolah-olah dia tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain.

Saya dan isteri segera turun ke bawah sambil menyatakan perasaan marah.   
  
Antara yang terkeluar akibat dari perasaan marah kami ialah 'pasal saman number satu, cekap. Dah lah mahal , tiga ratus. Nak bayar pula tidak mahu terima sebab sistem komputer rosak. Kalau habis tempoh bayar, kena masuk mahkamah. Zalim'

Kecewa kami yang kedua pada hari ini.  

    

MELAYU: Jenama Pelbagai Guna (2)

Sesungguhnya Melayu itu satu jenama. Jenama pelbagai guna. Sama dengan ubat yang dijual oleh penjual ubat jalanan seperti di jalan Chow Kit. 
 
Asalnya Melayu itu bermula di Bukit Seguntang yang telah menyatakan ikrar, dengan lafaz yang dibuat oleh Demang Lebar Daun 'bahawa Melayu itu akan sentiasa taat kepada paduka raja selama raja mengasihinya. Raja adil , raja disembah, raja zalim, raja disanggah'.
 
Begitulah hebatnya asal Melayu yang mengikrarkan satu perjanjian yang mengikat antara rakyat dan pemerintah dalam mengatur hubungan dan kehidupan pada suatu masa dahulu.
 
Masa berlalu dan generasi Melayu berkembang. Ramuan asli Melayu telah ditokok tambah dengan berbagai ramuan yang lain. Ada ramuan dari suku sakat sepupu sepapat di persekitaran, ramuan Siam, Arab, Parsi, Pakistan, Turki, Bangla, India, China, Portugis, Belanda, Inggeris , Jepun dan berbagai lagi.
 
Kini bertambah lagi berbagai ramuan. Tapi Melayu tetap Melayu kerana masih lagi bercakap Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Maknanya jenama Melayu masih kekal. Ikrar dan janji si Demang Lebar Daun dalam perjanjian Bukit Seguntang itu masih kekal. Ada masa-masanya berlaku riak-riak kecil, namun janji masih lagi ditepati.
 
Asas Melayu masih lagi kekal yang terjelma dari bahasa, agama dan adat resam. Cita rasa sudah menjadi pelbagai. Impian pun menjadi berbagai. Maka jadilah Melayu jenama pelbagai guna. Pengguna jenama Melayu itu  adalah orang Melayu. Bukan Melayu pun menjadi pengguna sama.
  
Seperti penjual ubat jalanan , yang mahu melariskan ubat jualannya atas kehebatan kegunaan ubatnya yang boleh mengubatkan pelbagai penyakit, Melayu juga digunakan untuk pelbagai cara dan tujuan mengikut cita rasa dan perasaan penggunanya sama ada yang Melayu dan yang bukan Melayu. Itulah cara pelarisan Melayu sebagai satu jenama.
 
Antara kegunaan jenama Melayu itu ialah demi Melayu, Melayu mesti menjadi tuan. Begitulah keyakinan keatas sifat kemampuan jenama Melayu itu.  
 
Tetapi kepercayaan itu mempunyai berbagai tujuan menurut kelompok-kelompok yang menggunakan jenama Melayu itu. Ada yang dengan sepenuh hati, jiwa dan raga sanggup berkurban apa saja bahkan lautan api pun sanggup direnangi asal Melayu itu berterusan. 'Tidak Melayu hilang di dunia', itu pegangan sebahagian dari kelompok pengguna jenama Melayu itu. Ini Melayu ramuan asal.
 
Sebahagian yang lain pula, yang kacukan, mempunyai kepentingan masing-masing dalam menggunakan jenama Melayu bagi tujuan demi Melayu, Melayu adalah tuan. 
 
Mereka ini menunjukkan sikap dan air muka yang sayangkan jenama Melayu itu. Bermati-matian memperlihatkan sikap dan air muka akan betapa kritikalnya  jenama Melayu ini perlu dipertahankan. Mereka akan bersedih dan menangis dan merintih duka  mengenang akan nasib jenama Melayu yang terpinggir  dan tersisih papa kedana di 'tanah tumpah darahku'.
 
Tapi syaratnya mereka mesti duduk di barisan depan memimpin penjualan jenama Melayu itu. Dan memangpun mereka itu sentiasa di barisan hadapan. Itulah kepentingan mereka dalam melariskan jenama Melayu.

Mungkin mereka ini boleh berkata bahawa dalam hati mereka tiada siapa yang tahu. Niat mereka Allah saja yang tahu.
 
Tapi perbuatan dan tindakan mereka dapat dibaca dan difahami bahawa sayangnya mereka akan jenama Melayu itu hanya sayang yang bersyarat- untuk mempertahankan kepentingan mereka untuk duduk di barisan depan. Mereka sebenarnya telah berjaya meyakinkan kepada semua pengguna-pengguna jenama Melayu itu.
 
Duduk di barisan hadapan, mata mereka tidak terlindung. Nun sejauh mata memandang, mereka nampak berbagai kecerahan. Telinga mereka juga adalah yang pertama mendengar berbagai-bagai pemberitaan yang mendatang. Maka mereka dengan mudah mengaturkan kaki untuk melangkah, menghayunkan tangan membelah ruang mencari kecerahan.
 
Kecerahan untuk mereka yang di barisan depan. Adalah sedikit-sedikit kecerahan untuk diagih-agihkan kepada mereka dibarisan belakang, belakang dan belakang untuk berkongsi kecerahan. Untuk kekal dalam barisan.

Itulah tanda kasih dan sayang mereka terhadap jenama Melayu. Demi Melayu, Melayu mesti jadi tuan. Tuan berdarah kacukan.
 
Mereka ini sebenarnya tahu, bahawa  yang berada di belakangnya terlalu panjang. Kecerahan itu tidak mungkin menerangi keseluruhan belakang. Ada yang gelap gelita tanpa kecerahan.
 
Tapi mereka ada suara yang mendayu penuh sendu untuk didendangkan ke halwa telinga mereka yang tiada kecerahan yang sentiasa duduk di barisan belakang itu. Meresap masuk penuh sedih dan hiba.   
 
Mereka yang dibelakang pula tetap ada rasa terima kasih atas simpati dan ingatan yang disuarakan orang di barisan hadapan akan kegelapan yang masih merundung. Apatah lagi mereka mendengar suara tangisan penuh rintihan yang datang dari barisan hadapan.
 
Bersambung.        
  
 
 

Selasa, 1 Januari 2013

MELAYU: Jenama Pelbagai Guna

Memasuki tahun baru 2013,  saya ingin memulakan paparan dalam blog kecil saya ini membicarakan tentang Melayu.  Tajuknya ialah MELAYU: Jenama Pelbagai Guna. Tepat jam 12.01 pagi tahun 2013 cerita ini saya paparkan dialam maya.

Saya dahulukan dengan cerita ringkas tentang si penjual ubat jalanan. Saya lihat MELAYU : Jenama Pelbagai Guna ini mempunyai ciri yang sama dengan sipenjual ubat jalanan itu.


Antara kegemaran saya ialah mendengar bicara tukang jual ubat jalanan. Ternampak saja ramai orang berkumpul mengelilingi tukang jual ubat yang petah berbicara itu, saya dengan segera akan masuk menyempil dicela-celah para peminat penjual ubat jalanan itu. 

Oleh kerana saiz badan saya yang kecil, kerja menyempil dan mencelah itu mudah saja saya lakukan. Maka berada dihadapanlah saya mendengar kelentong sipenjual ubat itu.

Saya bukan saja mendengar kelentong si penjual ubat itu bahkan melihat dan memerhati dengan begitu tekun dan teliti perlakuan-perlakuan orang  yang turut sama dalam sessi tersebut.

Satu daripada tempat atau kawasan yang popular dengan penjual ubat jalanan ini ialah di Jalan Chow Kit. Itu dulu. Saya tidak pasti sekarang ini kerana sudah begitu lama saya tidak ke situ. 

Dan sekarang ini pun saya belum lagi berpeluang menghadiri sessi penjual ubat ini. Mungkin saya jarang merayap-rayap seperti pada usia muda dulu, dan mungkin juga perniagaan ini telah hampir pupus diganti dengan cara berniaga bentuk piramid yang lebih suka di panggil sebagai 'multi level marketing' atau sengkatannya MLM.

Namun saya tidak lupa akan satu perkara. Kesemua atau 100 peratus penjual ubat jalanan itu ada atau menggunakan formula menjual ubat yang sama bagi melariskan ubatnya.

Apa dia formula itu? 

Ubat yang dihebuh-hebuhkan itu boleh digunakan bagi mengubati apa saja jenis penyakit sama ada yang rengan-rengan seperti sakit berkudis, gatal-gatal, luka-luka kecil, demam mahu pun sakit yang berat-berat seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis, hiv dan kanser. Semuanya boleh sembuh jika makan ubat dari si penjual ubat jalanan itu.

Para pendengar pada  awalnya kurang percaya tapi kepetahan kelentong si penjual ubat itu boleh merasuk orang itu percaya.

Tidak menghairankan kerana semua orang hendak sembuh dari penyakit. Jadi apa salah mencuba 'yang ini'. Harga pun murah.  

'Bukan kah agama kita mengatakan agar kita mesti berikhtiar sebab setiap penyakit ada ubatnya'. Itulah diantara ayat-ayat yang boleh melemahkan hati si pendengar. Lalu dengan segera menyeluk poket dan meminta si penjual satu peket atau botol ubat yang dimaksudkan. 

Formula penjual ubat ini sama saja dengan jenama Melayu yang mempunyai pelbagai guna. 

Sila ikuti paparan seterusnya atas tajuk: Melayu Jenama Pelbagai Guna.