Theflowersellingboy

Selasa, 6 November 2012

Oktober, November dan Disember Yang Hujan.

Bulan Oktober , November dan Disember adalah bulan hujan. 
 
Nampaknya setiap hari terutama disebelah petang hujan turun. Lebat pula. Kadang-kadang disertai dengan petir yang kuat. Ada tempat-tempat tertentu berlaku banjir. Sebahagian besarnya banjir kilat. Alat-alat letrik juga mungkin mengalami kerosakan.
 
Beberpa minggu yang lepas, saya dan beberapa pemandu kereta yang lain telah terperangkap dalam sebuah terowong di Precint 11 Putra Jaya yang telah dinaikki air. Untuk berundur ke belakang, ada beberapa buah kereta. Hendak ke hadapan, air sudah naik melebihi ketinggian tayar. Jika masih bertahan dalam terowong, ianya lebih bahaya. Jadi saya buat keputusan terus mengharungi air , bergerak ke depan dengan sentiasa menekan pedal minyak.  Selamat sampai ke rumah.
 
Keesokan harinya di pasar raya Maidin, isteri memberitahu plet nombor di hadapan telah tiada. Ahh ini semuanya gara-gara mengharung air semalam. Plet diganti yang baru. Kena RM43.00.
 
Tiga hari yang lepas pula, kabel yang memancarkan siaran astro telah tidak berfungsi. Kata pihak pengurusan kondo ini adalah disebabkan tembakan petir.  
 
Semalam saya dan keluarga dalam perjalanan ke kenduri kahwin rumah seorang kawan di Melaka. Kami bertolak dari Putra Jaya pada pukul 2 petang dengan membuat jangkaan kami akan sampai di majlis yang diadakan di sebuah dewan pada jam 4 petang iaitu satu jam sebelum jemputan berakhir pada pukul lima.
 
Saya tidak mengambil kira kemungkinan berlakunya kesesakan di lebuhraya ke selatan. Tidak juga mengambil kira faktor hujan walaupun hari-hari sebelumnya setiap petang hujan telah turun.
 
Apa yang terjadi? Sepanjang perjalanan hujuan turun. Kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan. Saya melihat jam di tangan dan merasakan kami tidak mungkin akan dapat sampai pada pukul 4 petang. Mungkin lewat satu jam iaitu pada pukul lima. Ketika itu mungkin  majlis  telah 'tutup kedai'. 
 
Tapi saya tekad untuk teruskan juga perjalanan ke majlis itu kerana ini adalah penghormatan dari seorang kawan. Kawan itu masih lagi sudi menjemput saya walaupun nama saya telah tidak ada lagi dalam senarai nama-nama yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan kerana telah lama bersara.
 
Hujan masih turun dengan lebat sebaik saja memasuki tol Air Keruh. Langit gelap seolah-olah sudah masuk waktu senja. Ketika itu baru 4.30 petang. Kami teruskan perjalanan.
 
Lebih kurang 6 kilometer untuk sampai ke majlis, hujan turun terlalu lebat disertai dengan petir. Jalan telah banjir. Kereta terpaksa bergerak perlahan kerana penglihatan kurang jelas ditambah pula mengharungi air diatas jalan.
 
Nampak gaya saya terpaksa membatalkan hajat untuk meneruskan perjalanan ke majlis kahwin itu. Pertama tidak mungkin boleh sampai pada pukul lima. Kedua, besar kemungkinan tempat itu juga akan dinaikki air.

Jadi saya buat keputusan untuk balik ke rumah yang telah lama kosong semenjak saya 'berhijrah'  di Putra Jaya.
 
Dan pada hari ini saya mendapat berita mengatakan bahawa tempat majlis kahwin itu telah dinaikki air. Saya harap majlis itu telah dapat diselesaikan sebelum kawasan di situ dinaikki air. Harap-harap kawan saya itu tidak jadi mangsa banjir.
 
Minggu depan kami bercadang untuk ke Kuantan. Balik ke kampong isteri. Kami sentiasa memantau keadaan cuaca disana. Jika jabatan metrologi kata hujan akan turun dan kemungkinan banjir, habislah rancangan kami.
 
Nampak gayanya bulan Oktober, November dan Disember adalah bulan hujan. Jadi semolek-moleknya elakkan mengadakan majlis kahwin pada bulan-bulan itu. Tapi pada bulan -bulan itu banyak pula hari cuti terutama cuti persekolahan yang panjang. Maka peluang ini boleh dimanfaatkan bagi tujuan majlis kahwin. Hanya kita mohon doa agar majlis kita tidak akan terjejas dik cuaca hujan itu.
 
Oleh itu kita wajar sentiasa mengikuti ramalan cuaca dari jabatan metrologi. Tapi kalau ramalannya tidak tepat jangan pula kita saman jabatan itu seperti yang berlaku di Itali dimana para saintisnya dihukum penjara kerana gagal meramalkan bencana alam. 
 
Mereka itu lupa bahawa manusia bukan peramal yang tepat. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang akan berlaku.
  
   
 
  

Jumaat, 2 November 2012

Macam-macam Cara Untuk Bernikah

Tidak lama lagi cuti sekolah. Cuti yang paling lama bagi satu-satu tahun persekolahan. Waktu ini nanti majlis kenduri kahwin akan bertambah berbanding hari-hari yang lain. Pada waktu tidak bercutipun majlis kenduri kahwin sentiasa ada dihujung minggu, pada Sabtu dan Ahad. Apatah lagi jika pada musim cuti sekolah yang panjang. Boleh dikatakan setiap minggu kita mempunyai jemputan untuk ke majlis itu. Jemputan tak kurang dari satu.

Bercakap fasal kenduri kahwin ini saya teringat cerita tentang 'memegang'. Saya tidak pasti ditempat-tempat lain amalan 'memegang' ini menjadi satu dari cara untuk membawa seseorang itu untuk dinikahkan. Tapi ditempat saya, pada suatu ketika dulu, pada tahun-tahun enam dan tujuh puluhan pada abad ke 20, 'memegang' adalah satu kaedah 'anak jantan' bagi memilih jodoh. 

Sekarang kaedah ini telah pupus, termasuklah di kampong saya. Mungkin pemuda-pemuda sekarang banyak yang dah jadi 'lembut'.
Saya percaya semua orang tahu apa itu kahwin/nikah lari. Kita juga biasa mendengar kahwin di selatan Thai. Kahwin diseberang, merujuk kepada berkahwin dengan warga Indonesia. 

Perkahwinan diatas adalah juga dilakukan mengikut hukum syaraq. Maknanya sah dari segi syaraq. Tapi ada masalah dari segi undang-undang negara. Saya tidak mahu menyentuh lanjut hal itu.

Kahwin lari adalah bersebabkan tiada persetujuan keluarga. Pasangan masih berkeras untuk meneruskannya dengan falsafah: buang emak buang saudara ke lautan api hamba turutkan. 

Manakala mereka yang berkahwin/nikah di selatan thai secara amnya adalah terdiri dari lelaki yang telah berumahtangga yang ingin berkahwin lebih dari satu atau disebut poligami. Mahu kahwin lebih dari satu tetapi tidak dapat kebenaran dari isteri. Atau takut memberitahu isteri bagi mengelakkan peperangan rumah tangga atau diminta cerai. 

Jadi jalan keluar ialah pergi ke selatan thai kerana di sana telah sedia ada jurunikah untuk melakukan akad nikah dengan menuruti kehendak syaraq.

Tidak ada sesiapa yang berkahwin itu bertujuan mencari masalah. Semua mahukan kehidupan yang aman, bahagia dan disokong oleh keluarga terdekat. Tetapi perkahwinan melalui cara diatas rasa-rasanya lebih mendatangkan masalah tidak seperti yang diharapkan dalam sebuah perkahwinan. Diperingkat awal lagi sudah ada unsur-unsur kekecohan (kahwin lari) dan penipuan (tidak memaklumkan kepada isteri tua).

Oleh itu pilihan yang terbaik ialah berkahwin menurut adat dan adab yang telah diterima oleh masyarakat. Misalnya ada risik merisik diantara keluarga, dan jika didapati ada persetujuan dari kedua-dua pihak  maka dibuat pinangan dan seterusnya diadakan majlis pernikahan untuk merasmikan sah sebagai suami isteri disaksikan ramai orang.

Perkahwinan cara ini juga tidak terkecuali dari menghadapi masalah. Cuma tidaklah seburuk seperti kahwin lari dan kahwin di selatan thai kerana permulaannya adalah baik.

Namun bagaimana pula memegang? Dan apa itu memegang.
Memegang adalah satu usaha yang berani yang sanggup menerima risiko diri dicedera, atau bertarung nyawa demi mendapatkan orang yang dikasihi untuk menjadi isteri. 

Katakanlah A seorang pemuda yang menaruh hati keatas pemudi B. Dan mereka saling suka menyukai. Dalam masa yang sama ada pemuda lain yang mahukan si B. Oleh kerana dulu anak perempuan sentiasa taat akan kehendak ibubapa maka ianya akan menerima siapa saja pemuda yang dipersetujui oleh kedua ibu bapa walaupun beliau sudah mempunyai kekasih si A tadi.     

Apabila si B mendapat khabar bahawa ianya akan di pinang oleh pemuda lain katakan si C sedangkan pilihannya masih si A, maka dia akan memaklumkan kepada si A akan berita yang mendukacitakan itu. Tambah-tambah lagi si B menyatakan bahawa kedua ibubapanya bersedia menerima si C. Seterusnya dicabar si A untuk menghalang dari perkara ini berlaku jika mahu hidup semati.

Sudah tentu si A seorang lelaki yang tidak akan berundur setapak kebelakang. Dia perlu membuktikan bahawa dia mahu jadikan si B sebagai isterinya. Maka dia dengan pantas menyatakan 'langkah mayat ini dulu' jika ada orang yang mahu mengambil si B sebagai isteri. Kata-kata itupun tidak cukup untuk meredakan kerisauan si B . Lalu si B meminta si A datang ke rumahnya pada sebelah malam dan masuk ke dalam biliknya serta memegangnya erat-erat. Si B akan menjerit untuk menarik perhatian kedua ibubapanya.
   
Sekali lagi dengan pantas si B menyatakan kesanggupannya untuk hidup semati. Maka pada waktu yang dijanjikan si B akan membuka tingkap biliknya bagi memudahkan si A masuk. Si A memanjat ke tingkap dan terus masuk dan memeluk dengan erat si B. Si B pun menjerit untuk menarik perhatian ibubapa dan sesiapa saja yang ada di dalam rumah.

Si A telah menceroboh rumah orang. Apatah lagi masuk ke dalam bilik anak dara orang yang boleh mencemarkan nama baik kedua ibubapa.

Maknanya si A akan berhadapan dengan kemarahan tuan rumah. Dan kemungkinan dipukul dan dicederakan tidak dapat dielakkan. Tetapi oleh kerana pegangan dan pelukan si A itu terlalu kuat dan tidak mahu melepaskan si B, maka si A tidak akan di pukul. Tapi akan dimarahi dengan kata-kata yang kesat. Namun oleh kerana si A masih lagi tidak melepaskan si B maka jalan penyelesaiannya ialah ibubapa si B akan memberitahu ibubapa si A akan kejadian ini dengan niat untuk menjaga nama baik masing-masing. Ertinya mereka akur dengan pilihan anak-anak mereka. Maka dapatlah dua kekasih itu mendirikan rumah tangga. Caranya dengan berani masuk dalam bilik anak dara orang dan memegangnya denagn erat dengan niat tidak mahu melepaskannya.

Saya sendiri tahu kes seperti ini. Seorang sahabat yang sama-sama menjadi gembala lembu telah melakukannya dengan sahabat yang juga menjadi penggembala lembu. Waktu memegang itu beliau baru berusia 18 tahun dan belum ada kerja tetap. Yang perempuan berusia 15 tahun. Dan sekarang ini sahabat saya yang memegang itu telah mempunyai cucu lebih dari 30 orang. Anak-anaknya juga berjaya dalam kehidupan. Alhamdulillah.      
 
     
   

Khamis, 1 November 2012

Harapan Seorang Emak dan Doa Anak-anak.

Semalam saya balik kampong bersama isteri. Jengok emak yang tinggal bersama adik perempuan. Hari raya haji kami tidak dapat balik sebab isteri masih lagi dalam wad hospital menjalani rawatan. Jadi semalam kami ambil peluang balik kampong setelah menghantar cucu ke nursery i-play di Cyber Jaya. Balik hari saja. sebelah petang balik ke Putra Jaya.

Emak menunggu di tengah pintu sebaik kereta kami masuk dan berhenti disisi pintu masuk ke ruang rumah. Saya menuju mendekati emak dan terus memeluknya. Dia menangis sambil menyatakan dia tidak sihat, mata tak nampak dan minta maaf kalau dia tak kenal orang yang memeluknya.

Namun begitu dia menyebut juga nama saya dan bertanya datang dari mana.

Begitulah selalunya setiap kali saya balik kampong dan berjumpa emak yang telah berusia 84 tahun itu. Bagi saya emak masih sihat. Masih dapat berjalan walaupun langkahnya tidak secergas orang muda. Masih dapat bercakap dengan jelas. Dapat mengemukakan berbagai pertanyaan, misalnya bila kau datang; datang dari mana; siapa nama kau; kau anak siapa dan sebagainya. Cuma kita jangan jemu dan muak kerana soalan yang sama akan diulang walaupun kita telah menjawab pertanyaannya itu. 

Sebenarnya ingatan emak agak merosot. Kalau itu boleh dikategorikan sebagai tidak sihat, maka benarlah pengakuan emak bahawa dia tidak sihat.

Seperti biasa saya akan duduk atas sofa berdekatan dengan sofa yang diduduki emak. Mudah untuk berborak kerana pendengarannya pun agak merosot juga.  Kadang-kadang terpaksa meninggikan suara. Emak pula akan bertanya soalan yang sama, berulangkali setelah jawapan diberi.

Kadang-kadang saya menganggukkan kepala saja sambil ketawa kecil dan mengatakan 'ya' apabila menerima soalan yang sama. Emak tidak kisah jawapan yang diberi sama ada menjawab soalannya atau tidak. Itu tidak penting baginya. Yang penting dia boleh bertanya dan kita sanggup mendengarnya. Begitulah emak.

Pada perjumpaan ini, saya bertanya emak sudah solat zohor atau belum, sehabis saja saya bersolat zohor. Emak jawab, 'dah sepuluh hari emak tidak sembahyang  sebab mata mak tak nampak, kaki sakit'. Sebenarnya setiap kali saya balik berjumpa emak saya akan bertanya soalan yang sama. Dan jawapan yang saya terima adalah sama juga, 'emak tak sembahyang kerana mata tak nampak dan kaki sakit'.

Dalam perjumpaan-perjumpaan yang lepas saya memberitahu emak bahawa jika tak boleh sembahyang berdiri, emak boleh duduk diatas sofa dengan mengadap kiblat. Sembahyang mesti dilakukan selagi kita masih hidup. Emak beritahu bahawa dia tak biasa dengan sembahyang cara itu. Cara itu tak sempurna katanya. Katanya lagi sembahyang mesti berdiri, ada roko' dan sujud. Tambahnya lagi kalau umur panjang dan apabila sihat nanti dia akan sembahyang.

Dalam keadaan yang uzur (mata kurang nampak dan kaki sakit) emak mahu sembahyang seperti biasa- mesti boleh berdiri betul, mesti boleh roko' dan sujud. Kerana tidak mampu berbuat demikian emak berharap supaya dapat melakukan apabila sihat nanti. 

Agaknya emak berpandangan ada kewajaran baginya meninggalkan sembahyang jika tidak sihat. Dia tidak mahu sembahyangnya cacat. Dia hendak yang sempurna. Yang sempurna hanya boleh dilakukan jika dia sihat.

Itu hanya tekaan saya saja. Sebab emak tidak pernah kata begitu. Dia hanya kata tidak sihat. Dan akan sembahyang semula apabila sihat, jika ada umur.

Saya juga menjangkakan emak telah lupa perbuatan dan bacaan untuk solat. Pernah saya bertanya emak bilangan rakaat bagi setiap sembahyang. Minta dia baca doa iftitah, baca al-fatihah dan surah yang lain, baca tahiyyat dan yang lain-lain seperti doa qunut fardhu Subuh.

Jangkaan dan sangkaan saya itu meleset. Cemerlang. Emak sungguh cemerlang. Dia tahu atau masih ingat setiap rakaat bagi sesuatu solat. Boleh baca setiap ayat dan doa dengan lancar. Tiada masalah.

Saya mengambil kesempatan memuji emak. Dan memberitahunya  bahawa dia mempunyai ingatan yang baik dan berharap emak dapat melakukan solat. 

Kesekian kali pula emak akan jawab dia tidak boleh berdiri dengan baik. Rasa sedih saya beeterusan.

Pada hari semalam sekali lagi saya minta emak membaca alfatihah dan bacaan yang lain dalam solat. Emak lulus. Lancar bacaannya. Sekali lagi saya memuji emak. Bukan main suka emak seperti cicit-cicitnya  (cucu saya Yousef dan Naqib yang berusia 2+ dana satu tahun lebih) yang selalu saya puji jika mahu makan nasi. Hanya satu saja yang kurang seronok iaitu emak kata matanya kurang nampak dan kakinya sakit. Bila sihat emak akan sembahyang.

Wah macam mana ni.Emak masih lagi gunakan sebab yang sama. Lalu saya beritahu kesekian kalinya bahawa sihat atau tidak sihat selagi kita hidup kita wajib sembahyang. Kita boleh sembahyang cara duduk atau berbaring. Bahawa Allah maha pengasih maha penyayang. Sudah tentu Allah tidak mempersia-siakan sembahyang kita itu walaupun kita lakukan tidak sama seperti orang sihat. Saya menambah bahawa Allah maha mengetahui akan keadaan kita.

Emak mendengar saja apa yang saya cakapkan. Tapi saya masih lagi kurang yakin ianya mampu membuatkan emak memulakan solatnya.

Saya bercerita lagi. Dulu emak selalu suruh kita orang sembahyang. Emak kata kalau tak sembahyang tak dapat masuk syurga. Emak nak kita semua masuk syurga. Emak tak mahu anak emak masuk neraka. Sekarang emak tak sembahyang. Macam mana kita anak beranak nak masuk syurga bersama.

Mata emak mula kelihatan air jernih melinang. Perlahan-lahan air mata itu mengalir turun ke pipinya. Tangisannya tidak bersuara. Emak memandang saya. Emak merenung muka saya agak lama. Saya pula memegang tangan emak dan meminta agar emak memulakan solat yang telah agak lama ditinggalkannya. Emak menganggukkan kepala. Inilah kali pertama emak tidak memberi alasan sakit kaki atau mata kurang nampak. Saya berasa lega dan mendoakan supaya emak akan memulakan solatnya.

Saya tidak mahu memaksa agar pada ketika itu juga emak melakukan solat. Biarlah emak mengingati semula akan kata-katanya kepada anak-anaknya dulu. Kata-kata masuk syurga bersama. Walaupun saya faham bahawa masuk syurga adalah hak Allah yang menentukannya tapi saya merasakan kata-kata 'masuk syurga bersama' yang telah dituturkan emak dulu boleh memberi kekuatan kepadanya untuk melakukan solat. Emak sayang anak-anaknya.

Saya juga tidak hairan mengapa emak berpendirian bahawa bersolat itu mesti berdiri, ada roko' dan sujud tidak kira keadaan kesihatan kita. Kalau tak mampu berbuat demikian, tak solatpun tak mengapa kerana emak tak mahu solatnya menjadi cacat. Itu pandangannya. Emak diajar begitu. 

Sebab itu emak tidak yakin dengan kemudahan yang diberikan Allah kepada para musafir untuk bersolat jama' dan qasar. Emak tidak mahu melakukannya semasa kami melakukan perjalanan jauh misalnya dari Melaka ke Kuantan. Emak rela tidak bersolat bagi solat fardhu yang telah lepas waktunya misalnya fardhu zohor. Emak akan buat solat qada' zohor. Bukan emak saja malah orang tua yang seusia dengannya juga berfikiran sama. 

Jadi saya berpandangan bahawa sikap emak itu adalah hasil dari didikan yang telah diterima dulu. Dan saya perhatikan emak selalu berulangkali takbir apabila memulakan solat. Semasa takbir menyebut Allah hu Akbar emak mahu secara serentak dalam hatinya menyebut 'sahaja aku solat fardhu zohor empat rakaat tunai kerana Allah hu Taala'.  Sebab itulah dilakukan berulang kali dan sebutan Allah hu Akbar nya sungguh panjang.

Sesungguhnya saya memohon doa agar emak akan memulakan solatnya dan melakukan mengikut kemampuan kesihatannya. Ya Allah perkenankanlah doa hambamu ini.Amin.

Saya meninggalkan kampong dengan penuh harapan. Saya dan isteri memeluk emak sebelum memasuki kereta. Kami berlambaian tangan.