Theflowersellingboy

Rabu, 3 Oktober 2012

Sedikit cerita dikaunter pembayaran pejabat pos

Ke pejabat pos untuk membayar berbagi jenis bil. Dapat angka giliran 2173. Angka giliran semasa ialah 2160. Menunggu 13 panggilan lagi bagi siri 2000 atau untuk membuat bayaran di kaunter bayaran 2.

Sementara menunggu giliran, masuk ke pasar raya yang bersebelahan dengan pejabat pos itu. Disana isteri sedang mencari sesuatu. Lebih kurang 10 minit kembali semula ke pejabat pos. Angka giliran yang terpapar ialah 2171, tinggal 2 lagi. Kemudian terdengar panggilan angka giliran 2172, dituruti dengan paparan elektronik. Dua kali sebutan dibuat namun tiada pelanggan yang tampil ke kaunter untuk urusan. Dalam hati rasa lega juga kerana sebentar lagi tiba giliran 2173 dipanggil.

Benar. Selepas dua kali panggilan dan tiada yang tampil ke kaunter 2, angka giliran saya 2173 dipanggil pula. Dengan segera saya menuju ke kaunter 2 dan menghulurkan bil-bil yang hendak dibayar.

"Minta nombor giliran", kerani kaunter seorang wanita muda (saya kira usianya tidak lebih dari 20 tahun menurut penilaian mata saya akan wajahnya) meminta saya menyerahkan nombor giliran.

Untuk lebih pasti, saya bertanya apakah yang dia minta kerana tidak mungkin beliau hendak menyemak angka giliran saya. Sebab angka giliran pelanggan-pelanggan sebelumnya tidak pula di periksa.

"Angka giliran", jawabnya ringkas. Maka tanpa berlengah saya serahkan angka giliran itu. Setelah diambil dan dilihat, petugas kaunter itu diam saja, tidak menyatakan apa-apa. Perasaan ingin tahu saya mendesak untuk bertanya.

"Betul ke angka itu", (maksud saya betul ke giliran saya yang dipanggil). Dia tidak berkata apa-apa. Cuma mengangguk kepala.

Saya tidak mahu tanya mengapa nombor giliran saya diminta untuk disemak dan mengapa yang lain tidak diminta buat begitu. Tapi terasa juga dihati bahawa ada semacam keraguan petugas kaunter ini terhadap saya. Mungkinkah ada anggapan beliau bahawa saya ini hendak menipu? Kalau ada saya rasa kecewa.

Panglima dan Timbalan Panglima Serta Panglima-panglima Perang Menghilangkan Diri. Tinggallah Parajurit-parajurit Terkapai-kapai

Tajuk paparan mahu bercerita fasal perang. Apa   yang berlaku di medan peperangan. 

Cetusan bunga api perang telah lama meletus. Kadang-kadang letusannya besar dan tinggi. Ada masanya kecil-kecil saja dan rendah. Tapi yang pasti cetusan lahar bunga api perang itu sentiasa keluar memanaskan persekitaran. Hanya pada Jumaat, 28 September 2012 telah diistiharkan secara rasmi peperangan itu. Perang merebut sebuah kerajaan.

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri berdiri dengan gah sekali membuat peristiharan perang dengan menggunakan bajet sebagai senjata untuk menawan hati rakyat. Beliau ketika itu adalah panglima perang. 

Walaupun beliau seorang saja yang berdiri menyanyikan gendang perang selama 2 jam, namun bersama beliau yang kesemuanya duduk, tanda akur dan patuh taat setia adalah timbalan panglima perang, panglima-panglima perang dari berbagai ketumbukan dan parajurit-parajurit yang tunduk penuh setia. Ini menambahkan lagi kesungguhan beliau melantangkan suara, menggerak-gerakkan tangan beserta jari jemari untuk menyampaikan maksud dihati.

Sesungguhnya pada hari itu beliau amat berani sekali, sepadan dengan kata-kata 'membujur lalu, melintang patah'. Perang habis-habisan. 

Berdepan dengan beliau adalah musuh-musuh yang perlu ditewaskan. Bukan saja perlu bahkan MESTI ditamatkan riwayat. Sasaran utama yang menjadi idaman nafsu hati, yang pasukan perangnya telah sama-sama sepakati adalah panglima perang yang duduk bertentangan dengan pasukannya yang kelihatan begitu tenang dan tekun mendengar lagu yang didendangkannya.  

'Hentam, lanyak, lenyek, telanjangkan, malukan dan apa saja yang boleh mencederakan , fizikal dan moral, lakukan', begitulah antara pesan berpesan yang telah disepakati bagi menamatkan riwayat politik panglima perang diseberang sana.

Lagu Menteri Kewangan sungguh mengasyik dan mengkhayalkan. Kalau yang mendengar itu diibaratkan seperti burung pungguk maka berkhayallah sipungguk itu merindukan bulan.

Tapi panglima perang disebelah sana beserta dengan wira-wira perangnya masih lagi celek mata tidak terlena dik irama yang mendayu dan merayu tapi penuh ancaman yang dibawa oleh Menteri Kewangan itu.

Keberanian Menteri Kewangan mengistiharkan perang pada hari Jumaat itu tidak siapa pun dapat menafikan. Ada video, ada tv. Semua boleh lihat boleh tonton secara langsung tidak ada suntingan. Dan kalau mahu dibuat 'rating', kita boleh beri 10/10 akan keberanian beliau. Maknanya sebagai panglima perang beliau tidak kenal erti takut. Beliau tetap bersama dengan pasukan sehidup semati. Lari atau tidak bersama dengan pasukan , beliau bukanlah orangnya.

Itu cerita di medan perang pada hari Jumaat.

Hari Isnin 2 Oktober 2012 kita mengharapkan keberanian yang sama dari menteri kewangan masih terus membara, semarak menyala kerana perang yang diistiharkan mendapat sambutan dari panglima perang disebelah sana.  Sayang seribu sekali sayang, Menteri Kewangan sebagai panglima perang bersama dengan timbalan panglima perang dan panglima-panglima perang dari berbagai ketumbukan telah tidak kelihatan di medan perang. Yang tinggal adalah beberapa orang parajurit-parajurit yang terkapai-kapai menerima tembakan dari pihak lawan. Kesian parajurit-parajurit itu, kelihatan semput susah bernafas.

Takkanlah baru saja mengistiharkan perang, sudah lari. Belum lagi berlawan sudah cabut lari. Malulah pada anak-anak buah. Malulah pada burung pungguk yang telah dijanjikan bulan terang benderang. Cukup malu bila meninggalkan orang-orang bawah terkapai-kapai. Lagi bertambah malu bila di medan lain, bersuara begitu lantang memperkecilkan keberanian pihak lawan. 

Kalau panglima, timbalan dan panglima-panglima ketumbukan sudah meninggalkan medan perang, medan perang itu sudah jatuh ke pihak lawan. 

Dan pada hari Isnin ianya jelas sekali menunjukkan penguasaan PR dalam dewan Parlimen, seolah-olah PR yang menjadi kerajaan. Inilah kali pertama yang saya lihat dalam sejarah perbahasan bajet, ucapan Ketua Pembangkang semasa membahas ucapan bajet menteri kewangan tidak dikacau ganggu . Begitu jelas dan tenang sekali ucapan ketua pembangkang. Speaker pun nampaknya memudahkan ucapan itu disampaikan. Ada juga celahan dari wakil kerajaan yang sedikit itu. Dan dapat diberi penjelasan dengan baik oleh ketua pembangkang. 

Jadi yang saya nampak ialah keberanian beberapa ahli parlimen BN dalam menghadapi ucapan bahas ketua pembangkang. Saya menghormati mereka. Sayang sekali mereka adalah parajurit yang tiada panglima. Maknanya walaupun mereka berani, dalam medan perang, sebenarnya, mereka telah tewas dan kena menyerah diri.

Adakah ini petanda buruk kepada BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini? 

Selasa, 2 Oktober 2012

Yousef dan Naqib di Taska: Menangis

Semalam 1 Oktober, 2012, hari Isnin. Hantar Naqib dan Yousef ke taska iplay Cyber Jaya. Sebaik saja sampai di lif bangunan untuk ke tingkat 2 taska, air muka Naqib telah nampak agak sedih. Kata Naqib "na nak", yang bererti tidak mahu ke taska itu. Tapi kami bawa juga mereka berdua masuk lif. Kemudian menuju ke taska. Nenek dihadapan mendukung Naqib dan saya di belakang membimbing tangan Yousef yang mula agak keberatan untuk memasuki taska itu. Sebaik saja pintu taska dibuka, Naqib mula menangis, memanggil 'nenek dan tokpa bersilang ganti' seolah-olah meminta tolong agar dia tidak di tinggalkan. Apabila Naqib menangis, Yousef pun turut menangis tapi tidak kuat sambil menarik tangan saya supaya tidak masuk. 

Biasanya Yousef tidak menangis walaupun wajahnya muram saja apabila dihantar ke taska. 

Naqib belum lagi dapat menerima alam baru. Dia tetap menangis, kuat pula sambil memanggil nama-nama orang yang dekat dihatinya. Dia akan panggil mama, ayah, nenek dan tokpa. Sesekali terkeluar juga 'acu', emak saudara yang bongsu dan acik man. Kedua-dua mereka ini orang yang dia sudah kenal dan biasa walaupun ketika ini tidak tinggal bersama dengan kami. 

Menurut cerita pengasuh taska bahawa Naqib banyak menangis sepanjang masa berada di taska. Makan dan minum sedikit saja. Yousef menangis sekejap saja. Makan dan minum tiada masalah. Menurut cikgu lagi kedua-duanya pandai bercakap dan tidak pelat. Yousef yang lebih usia 7 bulan dari Naqib yang berusia 1 tahun 6 bulan , banyak mengemukakan pertanyaan, itu dan inilah.

Pada hari semalam , adalah merupakan hari pertama mereka ke taska setelah ambil cuti sendiri selama seminggu. Mama Naqib pergi kursus. Saya dan isteri termasuk Naqib dibawa sama. Yousef pula menjalani pembedahan dikaki bagi kali yang kedua untuk membuang nanah dalam kaki. Saya lupa nama penyakitnya walupun doktor telah memberitahu. Kami semua berharap supaya ianya tidak akan berulang lagi. Kesian Yousef, dah lah bapa tiada bersama ( bertugas di German) kena bedah kaki buat kali kedua pula.

Sebelum cuti sendiri seminggu itu, dua minggu sebelumnya mereka bercuti sendiri juga selama seminggu. Maka mereka lebih banyak bercuti dari ke taska.

Oleh itu proses untuk membiasakan diri dengan alam taska teramasuk untuk memberikan kasih sayang dan kepercayaan kepada pengasuh atau yang mereka panggil teacher menjadi terencat, terutama Naqib. Naqib terlalu posessive karekternya. Hanya orang yang dia kenal yang sentiasa berdamping dengannya yang akan dapat kepercayaannya. Maksudnya orang itu saja yang boleh memegang tangannya, mendukung dan mahu menerima barang yang diberikan kepadanya. Jadi jangan harap dia akan menerima suapan dari orang lain. Apatah lagi untuk menciumnya. Dia akan tolak mentah-mentah dan menangis. Kami juga tidak mudah untuk dapat menciumnya kalau tidak dibuat secara paksa rela. Cuma dia tidak menangis apabila kami menciumnya.

Yousef, tiada masalah. Mudah saja dipujuk dan menerima siapa saja yang memegang dan mendukungnya. Boleh menerima makanan dari suapan dari sesiapa saja. Tidak memilih. 

Tapi ada satu perkara yang sama iaitu kedua-duanya akan menunjukkan sikap memilih dan 'mengada-ngada' (saya panggil syada-syada) jika ummi (emak Yousef) dan mama (emak Naqib) ada bersama. Jangan harap kita diberi perhatian malah diucapkan "dadai tokpa" (suara Naqib yang bermaksud bye bye), "ba bai tokpa (suara Yousef).  Kedua-dua mereka juga akan tidak memberi peluang langsung untuk emak-emak mereka untuk bercakap talipon, berborak dan makan dalam keadaan yang tenang dan selesa, mereka sentiasa mengganggu dengan berbagai permintaan dan kacauan termasuk menangis.

Jadi mereka menangis ke taska pada hari Isnin semalam adalah disebabkan sudah lama bercuti. Kami akan mengelakkan sebaik mungkin supaya mereka tidak bercuti lama dari menghadiri taska.

Dan hari ini, Naqib masih lagi menangis. Yousef pun sama saja tapi tidak mengeluarkan suara minta tolong seperti Naqib. Entahlah bila agaknya Naqib akan ceria untuk ke taska.