Theflowersellingboy

Khamis, 16 Ogos 2012

Sedikit Cerita Mengenai Hari Berpuasa dan Hari Raya.

InsyaAllah, pada hari Ahad ini kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Tapi tunggulah pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu. 

Tahun ini seperti juga tahun-tahun yang berlalu kita di Malaysia telah memulakan puasa sehari terkemudian dari negara Arab Saudi dan Mesir.Ini bermakna mereka akan menyambut hari raya lebih awal dari kita di Malaysia. Bermakna juga tarikh  1 Syawal mereka mendahului tarikh  1 Syawal kita. Sepatutnya kita mendahului mereka sekurang-kurangnya 6 jam. 

Tidak bolehkah kita umat Islam seluruh dunia merayakan aidilfiri pada tarikh 1 Syawal yang sama? 

Saya tidak pasti saya bertanya satu soalan yang betul.

Dulu dalam ingatan saya, pada tahun-tahun 1960an dan awal 70an meyambut puasa dan raya dinegeri-negeri di Malaysia ini berbeza-beza. Ada negeri mendahului negeri yang lain sehinggakan ada setengah pihak menjadikan bahan gurauan. Misalnya jika negeri A memulakan berpuasa lebih awal dari negeri B maka dibuat gurauan bahawa kita berpuasalah di negeri B dan beraya di negeri A. Maknanya bilangan hari berpuasa menjadi kurang, dan cepat pula menyambut raya. 

Ianya menjadi bahan gurauan, dan amat memalukan. Malu kepada agama lain. Ianya boleh menimbulkan kesulitan dari segi penguatkuasaan hukuman. 

Selain dari itu ianya juga menyusahkan untuk membuat persiapan untuk perayaan dan perancangan percutian kerana tarikh berpuasa dan raya belum tentu lagi.  Mungkin esok jadi berpuasa dan mungkin tidak jadi. Mungkin esok jadi raya dan mungkin tidak jadi. 
 
Tapi sekarang telah berubah. Kita akan mendapat pengumuman rasmi dari pihak yang berkuasa dan kita berpuasa dan menyambut raya dihari yang sama.

Sempena menyambut hari raya tidak lama lagi, saya mengucapkan selamat hari raya kepada semua yang mengikuti blog kecil ini semoga amalan dalam puasa kita ini meninggalkan kesan yang baik dan diterima oleh Allah SWT. Mari juga kita sama-sama berdoa agar jika kita balik beraya ke tempat masing-masing atau dalam perjalanan merayakan hari kebesaran ini kita sentiasa dilindungi selamat di lindungi Allah SWT. Doa kita itu mestilah juga disertakan dengan perlakuan yang baik di jalan raya. Jangan potong memotong mahu berlumba kereta. Ianya mengundang bahaya.

Maaf jika ada yang tidak berkenan dihati.


 

Rabu, 8 Ogos 2012

Antara Cicak Yang mengotorkan dan Cucu Yang di Kasihi.

Sesungguhnya cicak memberi masalah kepada saya. Rumah saya terlalu banyak cicak. Ada bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Ada yang berwarna coklat yang terang , ada yang coklat yang gelap dan  ada yang berwarna hitam. Ianya amat menggelikan dan kadang-kadang yang bersaiz besar itu boleh menakutkan terutama kepada isteri dan anak-anak perempuan saya. Mereka menjerit apabila ternampak atau terserempak dengan cicak yang bersaiz besar itu . Ada yang tangan terketar-ketar ketakutan, diikuti dengan suara tinggi memarahi cicak itu. Kemudian ketawa.

Ya, cicak memberi masalah kepada saya. 

Selain ianya boleh menimbulkan rasa takut dan menggelikan, cicak membuang najisnya merata-rata tempat didalam dan luar rumah. Cicak berak dalam bilik tidur, bilik air, bilik rehat, dapur, bilik makan dan semua ruang dalam dan luar rumah. Tahinya yang hitam bertumpuk putih itu menyakitkan mata memandang dan menusuk bahu busuk ke hidung. Hii jijik sekali.

Pernah juga saya berikhtiar mencari ubat untuk membunuh cicak-cicak itu. Tapi ubat itu tidak berkesan. Cicak masih lagi menguasai persekitaran rumah, luar dan dalam. Oleh itu jalan yang terbaik ialah dengan cara membersihkan tempat atau ruang yang telah dikotori dengan najis berakannya. Saya lakukan setiap hari. Itupun tidak sampai beberapa minit, cicak akan memberut lagi. Buat kotor. Yang paling menjijikkan jika najisnya dari jenis yang cair. Maka marahlah saya dengan cicak-cicak itu, sama ada saya nampak wajah cicak itu atau tidak nampak. Sumpahan marah tetap keluar dari mulut. Maklumlah setelah penat membersihkannya , cicak itu datang buat kotor lagi.

Tapi kadang-kadang saya terfikir juga bahawa ada baiknya cicak-cicak itu buat kotor kerana ianya memberi satu rutin tetap kepada saya untuk membersihkan rumah dan persekitaran. Anggota badan saya bolehlah menjalan latihan senaman. Kalau tidak mungkin lebih banyak berehat dari bekerja. Ertinya dalam hal yang kita tidak suka rupanya ada juga yang baik.

Mengapa cicak terlalu banyak?

Saya tidak ada membuat kajian atau membaca sebarang cerita sama ada saintifik atau fiksyen mengenai cicak ini. Oleh itu saya tidak dapat mengetahui secara baik dan tepat tentang hal cicak termasuklah pembiakan dan kawaswan pembiakannya. 

Namun dari pemerhatian saya, kelihatan cicak ini suka pada persekitaran yang mempunyai pokok-pokok dan tumbuhan yang lain; suka berlindung disebalik frem gambar yang digantung didinding; suka menyorok dibelakang langsir; dan suka persekitaran yang sunyi.  Cicak juga akan melakukan pembuangan najisnya pada tempat yang sama. Sekiranya najis ditempat itu tidak dibersihkan maka cicak-cicak itu akan menjadikan tempat itu seperti jambannya. Disitulah saja yang diburannya. Sakit hati saya dengan sicicak ini.

Dulu semasa kecil, saya lastik cicak itu dengan getah mainan. Ada juga yang terkena dan putus ekor, lalu saya pukul dengan kayu pembaris untuk menamatkan nyawanya. Dulu tidak rasa geli geleman. Tapi sekarang, tengok cicakpun saya rasa satu macam, rasa geli geleman. Bukanlah takut tapi...entahlah , saya tidak tahu apakah perkataan yang sesuai untuk ditulis tentang perasaan saya terhadap cicak itu. Oleh itu sikap yang saya ambil ketika ini ialah membersihkan saja najis-najis cicak itu sambil mulut berleter marahkan cicak. Kadang-kadang saya rasa cicak itu semacam faham akan perasaan marah saya itu kerana bila saya marah terdapat sambutan dari pihaknya dengan mengeluarkan bunyi dari tempat persembunyian. Entahlah , Allah saya yang maha mengetahui.

Rumah saya sekarang telah dikosongkan melebihi setahun, tiada penghuni. Tapi sekali dua dihujung minggu saya balik ke rumah untuk membersihkan kawasan luar dan dalam termasuklah tahi cicak yang berlambak itu. Rasa sedih ada juga kerana rumah yang dibena bagi tempat bertdeduh dihari tua, dan yang agak selesa juga telah ditinggalkan. Cuma rasa sedih itu terubat kerana rumah itu ditinggalkan kerana menjaga cucu yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Memang benar bahawa cucu itu boleh di serahkan kepada orang lain atau rumah jagaan anak-anak untuk menjaganya semasa kedua ibubapa bekerja.. Tapi pengalaman memberitahu bahawa jagaan yang berbentuk berbayar ini tidak sama dengan penjagaan dari datuk nenek yang penuh dengan kasih sayang.

Jadi, saya dan isteri telah memilih untuk meninggalkan rumah saya itu buat sementara untuk menjaga cucu.  Soal rumah menjadi kotor dengan tahi-tahi cicak, bunga-bunga yang sebahagian besarnya telah layu dan mati dan rumput sekeliling rumah telah semakin tumbuh meliar, tidaklah begitu penting berbanding dengan kasih sayang yang perlu dicurahkan kepada cucu.

Buat sementara? Sampai bila?

Saya sendiri tidak tahu had tempoh sementara itu. Semakin hari rasa kasih sayang akan cucu semakin menebal. Tidak sampai rasanya hati untuk menyerah jagaan kepada pihak lain.

Kekotoran yang dibuat oleh sicicak itu rupanya tidak cukup untuk mencabar kami berdua untuk balik semula tinggal dirumah. Isteri , seorang yang sungguh sukakan pokok bunga dan melakukan kerja-kerja gardening juga nampaknya telah tewas dengan tarikan kasih sayang untuk cucunya.

Kami perlukan kekuatan untuk balik ke rumah. Dan sedang mencari apakah kekutan itu. Mudah-mudahan kami akan bertemu dengan kekuatan itu.  


 

 
 


Isnin, 6 Ogos 2012

Pingat di Sukan Olimpik London

Sudah seminggu saya tidak berkesempatan untuk membuat paparan di blog ini. Banyak hal dan aral yang melintang. Sudah tentu bukan kerana saya berpuasa. Cuma satu hal yang pasti ialah kerana mengutamakan keseronokan mata untuk mengikuti sukan olimpik di London menerusi siaran langsong.

Setakat ini prestasi ahli sukan kita nampaknya belum sampai ketahap yang boleh bersaing untuk menang dengan ahli sukan negara lain.  Kita masih pada tahap sukan ASEAN saja. Belum juga sampai ketahap sukan Asia. 

Walaupun kita mempunyai kekuatan dalam beberapa sukan tertentu seperti badminton, memanah, lumba basikal dan berenang tetapi hasil persaingan tidak juga mampu untuk kita meraih sebarang emas. Hanya satu perak apabila Datuk Lee Chong Wei disekat oleh pemain handal dari China, Lin Dan yang buat kali kedua berjaya mengucilkan Chong Wei untuk membawa emas ke Malaysia. Kecewa sekali Chong Wei. Kecewa sungguh rakyat Malaysia. 

Apakah ini merupakan nasib malang ?

Chong Wei bermain dengan penuh kesungguhan dan keazaman untuk menang. Menang untuk dirinya. Menang untuk keluarganya. Menang untuk negara.

Tapi dia kalah juga walaupun tanda untuk menang telah ditunjukkan pada set pertama. Saya rasa rakyat Malaysia telah berangan-angan untuk meraikan kemenangan Chong Wei ini. Dan sebelum set kedua berjalan, mungkin ada diantara kita beranggapan bahawa set kedua adalah sebagai formaliti saja. Kemenagan adalah di pihak Chong Wei.Malaysia akan mendapat kilauan emas pada olimpik London ini.

Jika itulah perasaan kita atau kesimpulan kita maka itulah sebenarnya kesilapan kita. Dan jika itulah juga yang dirasakan oleh Chong Wei maka ianya amat malang sekali. 

Tapi saya percaya Chong Wei bukan seorang pemain yang memandang rendah lawannya apatah lagi berdepan dengan pemain China seperti Lin Dan yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental, yang sentiasa bersifat 'berlawan' habis-habisan walaupun telah ketinggalan mata yang jauh. Lawan tetap lawan. Selagi permainan belum tamat, pemain China dan Korea tetap berjuang dengan harapan untuk menang. 

Kita perlu contohi  semangat juang dan daya tahan mental dan fizikal mereka ini.

Adakah kita tidak ada ketahanan dan semangat juang seperti pemain China?

Ini adalah satu persoalan yang tidak mudah dijawab. Tapi bagi saya, Chong Wei seorang pemain yang mempunyai semangat juang yang kuat. Dalam masa yang sama mungkin rasanya beliau telah terlalu yakin untuk mengalahkan Lin Dan setelah beliau berjaya dalam set yang pertama. Perasaan terlalu yakin dan selamat ini mungkin telah menyelinap dalam perkiraannya untuk menjadi juara dan sekali gus merangkul pingat emas. Kesan zon berasa selamat itu  tidak disedari telah menguasai  keyakinannya itu sehingga beliau melakukan banyak kesilapan dalam set kedua. Dan Lin Dan seorang permain yang handal serta berpengalaman telah dapat membaca permainan Chong Wei lantas mengambil kesempatan sepenuhnya untuk menguasai permainan. Jelas sekali pada set kedua setelah ketinggalan mata yang jauh, Chong Wei seolah-olah membenarkan Lin Dan untuk memenangi set kedua ini kerana Lin Dan telah dengan mudah memungut mata demi mata. Chong Wei nampaknya menaruhkan keyakinan akan boleh menang pada set ketiga.

Kalau itulah perkiraan Chong Wei maka ianya satu kesilapan. Sama ada telah tertinggal mata dengan jurang yang jauh, selagi permainan belum tamat sepatutnya kita mesti yakin untuk menyudahkan permainan itu untuk menang.  Lawan tidak mudah diberikan mata. Jangan menggantungkan harapan kepada sesuatu yang belum bermula sedangkan kita masih ada kesempatan untuk berjaya dalam set yang masih dalam permainan yang belum lagi ada pemenang. 

Dalam memanah pun kita kalah. Sebahagian dari acara renang kita tewas. Masih ada yang berbaki. Belum lagi tahu keputusannya. Acara berbasikalpun kita tewas. Hanya untuk bersaing bagi kedudukan ke 8. Menembak pun kecundang.

Sememangnya kita menaruh harapan yang tinggi dalam acara badminton. Tapi bukan saja Chong Wei tewas, bergu kita pun turut tewas pada persaingan merebut gangsa. Kita tewas setelah mendahului pihak lawan dalam jarak mata yang besar juga. Saya rasa jarang berlaku kepada pasukan negara lain. 

Prestasi persaingan kita di olimpik London ini sudah tentu akan dibuat penilaian oleh berbagai pihak terutamanya oleh persatuan-persatuan sukan yang terlibat dan kementerian yang bertanggungjawab. Ini adalah perkara biasa dan wajar dilakukan. Tetapi kita masih lagi belum mempunyai jawapan dalam bentuk merangkul pingat dalam setiap pertandingan yang kita turut serta setelah berbagai tindakan serta langkah diambil memperbaikki kegagalan dalam persaingan-persaingan lepas. 

Mungkinkah penilaian prestasi kita itu tidak tepat sehingga tindakan dan langkah mengatasi kelemahan yang lepas itu masih lagi tidak berjaya melahirkan ahli sukan yang boleh bersaing dengan mana-mana ahli sukan negara lain untuk dikalung pingat: gangsa, perak mahu pun emas?  Bagaimana pula dengan bentuk pengurusan kesukanan itu? 

Memang berbagai persoalan boleh ditanya. 

Apa pun kita wajar meraikan kejayaan Chong Wei membawa balik pingat perak, pingat pertama yang diperolehi dalam sukan olompik London. Harapan dan doa kita agar ada ahli sukan kita dengan penuh kesungguhan dapat menambahkan lagi pungutan pingat pada hari-hari yang masih berbaki.