Theflowersellingboy

Selasa, 5 Jun 2012

Di Rumah Seorang Tua

Di Rumah Seorang Tua , bukan Rumah Orang Tua atau Rumah Untuk  Orang Tua-tua. Ianya berbeza kerana membawa makna yang berbeza walaupun subjeknya sama iaitu orang tua. Rumah Orang Tua atau Rumah Untuk Orang Tua-tua biasanya difahamkan sebagai satu tempat perlindungan bagi warga tua dalam meneruskan kehidupan sebelum di panggil Ilahi. Rumah Seorang Tua tidak membawa maksud demikian walaupun orang tua itu juga meneruskan kehidupan sebelum dipanggil Ilahi. 
 
Orang Tua yang pertama adalah orang tua yang masih mahu hidup sendiri, bersendirian menguruskan diri walaupun hujan, ribut, petir dan halilintar sabung menyabung dia tetap dirumahnya. Waktu mendung dan waktu panas terik dan perit, orang tua itu dirumahnya juga. Malam bulan purnama yang dipagari  kerdipan bintang, malam yang gerhana, gelap gelita adalah tidak memberikan satu perubahan rasa dan selera, semuanya sama saja. Orang Tua itu tetap dirumahnya.
 
Itulah kesan yang saya boleh rasa untuk diceritakan setelah menghadapi dua situasi rumah yang berbeza.
 
Subjeknya Orang Tua. Sama ada dirumahnya atau dirumah orang tua atau rumah untuk orang tua-tua, mereka ini asalnya sama saja. Memulakan kehidupan didunia sebagai bayi atau anak kecil yang tidak tahu satu apa, membesar menjadi kanak-kanak menuju ke alam baligh, kemudian memasuki usia belia remaja dengan berbagai impian, angan-angan, cita-cita dan idealisma, yang kadang-kadang tidak berpijak dibumi nyata, melangkah menjadi dewasa untuk berhadapan dengan berbagai pilihan jalan yang bersimpang siur, ada onak duri, ada lembah yang perlu dituruni dan ada bukit yang perlu didaki, sebelum memasuki alam tua . Sudah menjadi tua, usia biasa apabila mencecah lima puluhan, orang tua menjadi cerita utama  apabila orang muda mula pusing dan pening kepala.
 
Pening kepala bukan kerana selera situa itu. Tidak juga kerana pakai memakai. Dua keperluan asas ini mudah diberesi. Hanya satu lagi keperluan asas yang memeningkan kepala iaitu tempat berlindung dari hujan dan panas. 
 
Tinggal bersama? Banyak benda yang tidak sama. Jurang generasi. Banyak yang tidak sesuai. Merepek dengan soalan-soalan yang sama berulang kali.
 
Tinggal dirumah orang tua? Itu saja pilihan yang ada. Lebih terurus dan selamat.
 
Tapi orang tua yang seorang ini, lebih selesa bersendirian dirumah binaan sendiri.
 
Saya terserempak dengan situa seorang ini ketika singgah sebentar di sebuah warung di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, waktu itu sudah masuk waktu zohor, perut sudah terasa lapar maka warung pertama yang di jumpai , sudah cukup kuat bagi menggerakkan tapak kaki kanan memijak brek untuk memperlahan kereta dan terus ketepi memberhentikan kereta dibawah lindungan sebatang pokok yang sudah tua usia, tapi ada juga dahan dan daunnya  yang masih lagi boleh menjadi pelindung dari panahan cahaya matahari yang panas terik ketika itu.
 
Semua meja makan nampaknya telah bertuan. Tapi mata masih lagi bercarian disetiap ruang dan sudut warung dengan harapan ada meja yang masih  lagi kosong. Dalam masa bercarian itu mata saya telah menangkap satu wajah yang sudah kereput, terbongkok-bongkok melangkah perlahan. Nampak gaya dia juga seperti saya. Mencari meja makan yang kosong.  
 
Saya masih muda dan masih bertenaga. Orang itu sudah tua. Tua kereput kata orang. Saya dan dia menaruh harapan bagi satu perkara yang sama walaupun berbeza usia dan tenaga. Kami perlu makan, mengisi perut yang lapar. Cuma yang mungkin berbeza adalah tahap nafsu selera. 
 
Saya melangkah mendekati situa itu.
 .
Bersambung   

Isnin, 4 Jun 2012

Memilih Pasangan Tanpa Penyakit Keturunan.

Darah Tinggi? Atau Tekanan Darah Tinggi? Ada yang kata, termasuk doktor perubatan bahawa  penyakit ini adalah penyakit warisan, turun menurun dari generasi ke generasi. Dalam kata lain penyakit keturunan lah. Maknanya tidak boleh dielakkan jika telah ditentukan melalui keturunan.  Penyakit keturunan tiada ubat, setakat yang diketahui sekarang ini.

Kalau begitu, mereka yang tidak berketurunan darah tinggi boleh mengelak dari mendapat penyakit ini. Caranya : Jangan cari pasangan rumah tangga orang yang disahkan mempunyai penyakit darah tinggi atau dari keturunan yang mempunyai penyakit tersebut. Yang buat pengesahan itu mestilah dari pakar perubatan yang bertauliah. 

Tapi untuk melakukannya itu bukanlah mudah. Misalnya pasangan yang anda berkenan itu adalah dari keturunan darah tinggi. Anda kena buat pilihan iaitu mementingkan kesihatan atau perasaan. Jika anda memilih kesihatan  maka ucapkan selamat tinggal kepada orang yang anda berkenan, sudah tentu yang anda sayang. Ini memerlukan kekuatan menahan perasaan. Hati mesti keras, dan yakin bahawa pilihan anda itu betul demi keturunan anda yang akan datang. Biarlah pasangan anda itu kecewa. Bye.

Tidak semudah itu jalan penyelesaiannya.  

Ya, benar, anda boleh berusaha mencari yang lain. Mungkin akan bertemu dengan orang yang tidak mempunyai keturunan darah tinggi. Tetapi penyakit lain bagaimana? Misalnya kencing manis, kanser, aids, lelah, resdung, exzima, penyakit saraf dan berbagai lagi penyakit, walaupun ada yang bukan dari penyakit yang dikatakan keturunan.  Tolak juga?

Penyakit lain juga anda menolak. Anda hendakkan yang tidak berpenyakit, orang yang sihat supaya keturunan anda nanti semuanya sihat-sihat belaka.  Ini satu pilihan yang terbaik. Cuma ianya tidak wujud didunia ini, tidak ada manusia yang tidak berpenyakit. Ada juga manusia yang anggota badannya sihat tapi hatinya entah macam mana sentiasa sakit. Sakit hati tengok orang senang, orang jadi kaya, berjaya. Orang riang dan ketawa pun dia sakit hati. 

Orang yang sakit hati ini juga tidak sihat. Semua penyakit adalah tidak sihat. Sebab itu dipanggil penyakit dan perlukan rawatan.

Maknanya semasa mula berkenalan, antara soalan-soalan yang perlu ditanya atau maklumat-maklumat yang perlu diketahui ialah tentang penyakit masing-masing termasuk keluarga. Dapatkan juga maklumat penyakit-penyakit yang dikatakan sebagai penyakit keturunan misalnya darah tinggi tadi.

Persoalannya, adakah anda mempunyai kekuatan perasaan untuk mengeluarkan pertanyaan tentang penyakit orang yang anda cuba ikat hatinya pada permulaan perkenalan? Hanya orang berhati keras saja yang mampu berbuat demikian. Orang seperti ini susah nak cari. Sebab pada permulaan berkenalan, sikap yang diambil ialah menjaga hati pasangan. Untuk bertanya fasal penyakit adalah sesuatu yang mengaibkan.

Tapi jika anda mengambil sikap mengambil masa untuk mendapat maklumat tentang penyakit pasangan itu, dan terus menjalinkan perkenalan sehingga hati sudah mula berkenan bahawa orang itu pilihan untuk pasangan berumah tangga, maka lupakan lah persoalan tentang penyakit itu. Terimalah orang itu seadanya. Dialah pasangan hidup yang telah ditakdirkan. Terimalah penyakit warisan itu yang bakal menghinggapi anak-anak anda nanti. Jangan menyesal dan jangan diungkit-ungkit dikemudian hari.

Dalam minat dan kesibukan kita mencari maklumat penyakit orang lain, kita juga perlu sihat. Bukan saja sihat dari penyakit keturunan dan penyakit-penyakit yang lain bahkan mempunyai hati dan perasaan yang sihat. Kerana adalah adil jika kita juga menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan oleh orang yang kita hendak berkenalan untuk dijadikan pasangan hidup. Sudah tentu kita ada juga penyakit. Paling kurang penyakit malas bangun pagi. Malas bangun pagi ini nampaknya tidak serious. Tapi itulah juga satu dari penyakit yang boleh merebak kepenyakit-penyakit yang lain, misalnya malas mengemas dan membersih rumah.

Jadi janganlah takut sangat kepada penyakit keturunan seperti penyakit darah tinggi untuk memilih pasangan. Yang penting adalah mengambil langkah untuk bersama menjalani kehidupan saling bantu membantu, jika kita telah ditakdirkan mempunyai pasangan yang menghidapi sesuatu penyakit sama ada yang dikatakan jenis keturunan atau sebaliknya. Jangan menyesal dalam perkongsian hidup.

 

Ahad, 3 Jun 2012

Penyakit Tiga Serangkai

Tidak disangka pertemuan saya dengan kawan satu kelas yang telah lama berpisah. Waktu terakhir kami berjumpa ialah sewaktu majlis perpisahan setelah menghabiskan pengajian tingkatan enam atas pada tahun 1968. Selepas itu masing-masing hilang lesap tidak pernah mengadakan sebarang hubungan.

Semalam 2 Jun 2012 kami ditakdirkan berjumpa setelah sekian lama tidak bertemu muka. Kami berjumpa disatu majlis kahwin anak kawan kami yang satu kelas juga. Tuan rumah membawa kawan saya itu ke meja saya. Apabila melihat wajahnya, saya mohon maaf menyatakan tidak mengenali kawan itu. Kawan itu juga nampak gaya tidak dapat mengecam siapa saya. Maka tuan rumah memberitahu saya nama kawan itu. Mendengarkan nama itu saya memeluk kawan itu kerana terlalu gembira. Dia pun memberi respons yang sama.

Soalan pertama dari kawan tadi setelah duduk di meja yang sama : Sehat?

Alhamdulillah, sehat. Sehat orang tua. Dalam sehat ada yang sakit. Sakit dalam melangsungkan proses tua.

Ada penyakit tiga serangkai? Tanya kawan itu lagi.

Penyakit apa?

Takkan tak tau. Darah tinggi, jantung dan kencing manis. Penyakit-penyakit ini macam isi dengan kuku. Susah berpisah.

Dia ketawa dan saya ketawa sama.

Saya memaklumkan penyakit yang saya idapi adalah  gaut, lelah, darah tinggi, dan jantung. Lebih dari tiga penyakit. Tapi semuanya terkawal. 

Kencing manis belum lagi, tambah saya.

Kawan saya itu betulkan saya dalam cara memberi jawapan. Sepatutnya saya menyatakan sudah cukuplah dengan penyakit itu. Bukan 'kencing manis belum lagi', yang seolah-olah saya menunggu kedatangan penyakit itu. 

Betul juga kata kawan saya itu. 

Berbalik kepada penyakit tiga serangkai tadi nampaknya saya belum termasuk dalam kategori itu. Saya ada dua saja iaitu darah tinggi dan jantung. Cukuplah, saya tidak mahu kencing manis.

Darah tinggi terkawal melalui pengambilan ubat. Sakit jantung pun telah pulih setelah menjalani pembedahan terbuka.  Nampaknya sehingga ini, ok, tiada masalah. Boleh berjalan dan bergerak pantas tanpa merasakan kesakitan didada. Alhamdulillah.

Cuma sekarang ini bacaan gula telah meningkat menjadi 10.9. Tahap ini tidak sehat.
 
Saya tahu mengapa jadi begini. Sebab saya tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Makan, tidak berpantang. Paling teruk tidak melakukan senaman.

Sebab itu apabila diberitahu bacaan gula yang tinggi , saya mula menjaga makanan. Kurang mengambil makanan/minuman yang manis. Senaman pada setiap pagi. Saya percaya bacaan gula saya akan menurun.

Cukuplah, saya tak mahu kencing manis. Saya tidak mahu penyakit tiga serangkai. Terlalu bahaya kepada kesihatan dan nyawa. Benar ajal maut Allah yang tentukan. Tapi saya merasakan satu kewajipan untuk saya berusaha  mengelakkan dari kehadiran penyakit itu. Cukuplah dua rangkai yang telah sedia ada dan dalam keadaan terkawal. Kawalan melalui makan ubat, menjaga pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten.

Kepada yang masih sihat, yang belum mengidap sakit tiga searangkai yang amat berbahaya itu , jagalah pemakanan anda dan buatlah senaman setiap hari, paling minima 30 minit. Ini adalah berdasarkan pengalaman dan bukan satu nasihat pakar dari ahli perubatan yang bertauliah. 

Semoga penyakit tiga serangkai itu tidak berpeluang untuk mendekati anda semua. Anda jangan  cuba menjemput kehadirannya. Seksa sekali. Saya tahu, sebab saya dah kena dua darinya. Cukuplah dua saja. Amin.