Theflowersellingboy

Selasa, 6 Mac 2012

Penanda Arah Ke Majlis Perkahwinan

Bukan perkara luar biasa pada masa ini majlis perkahwinan diadakan diluar cuti persekolahan. Bila-bila masa pada hari Sabtu dan Ahad majlis seperti ini boleh kita ketemui. Mungkin dari segi bilangannya tidaklah sebanyak semasa cuti persekolahan. Maka dengan itu di kebanyakan tiang-tiang letrik dan tiang lampu isyarat dipersimpangan jalan akan kelihatan tampalan/ikatan /lekatan penanda arah untuk memandu tetamu ke tempat majlis perkahwinan. Tidak kurang juga kain-kain rentang mengucapkan selamat pengantin baru yang beserta dengan gambar dua mempelai di pasang ditempat-tempat tertentu yang boleh dilihat sebagai satu lagi penandarujuk untuk ke majlis. Maksud saya ke majlis yang hendak kita hadiri.

Ya, penandarujuk ke majlis yang hendak kita hadiri adalah satu kemestian dan amat penting. Sebab itulah dalam kad-kad jemputan ada disisipkan bersama pelan ke tempat majlis. Ini tidak berlaku atau jarang dilakukan pada tahun-tahun 1960an dan sebelumnya. Malah ketika ini maklumat dalam pelan itu di sediakan dengan begitu lengkap sekali antaranya maklumat mengenai jarak jauh ke tempat majlis yang hendak ditujui. Oleh itu jarang sekali kita akan hilang arah. Ianya sungguh memudahkan dan mengurangkan tekanan terutama di tempat yang sentiasa sesak dengan lalulintas.

Namun kadang-kadang berlaku juga sedikit kekeliruan jika tidak berhati-hati apabila dalam sebuah penempatan/kawasan/taman itu terdapat melebihi dua majlis perkahwinan pada waktu yang sama. Pernah saya dan isteri menuju ke majlis yang salah maka tersipu-sipulah kami apabila diberitahu nama tuan rumah majlis tidak sama dengan yang mahu kami hadiri. Tapi bukanlah salah penandarujuk. Yang salah ialah kami yang tidak berhati-hati membaca tanda arah yang telah disediakan.

Bercakap tentang penandaarah ini, saya dapati ada juga yang tidak banyak membantu. Pertama tulisannya terlalu kecil yang tidak mudah dapat dibaca sewaktu kita memandu. Kedua, kadang-kadang terlampau banyak maklumat sehingga tidak sempat kita membaca kesemuanya. Ketiga, ada yang terlalu ringkas dengan memberikan maklumat nama panggilan timang-timangan saja yang tidak mungkin diketahui oleh setengah tetamu. Keempat , tanda arah yang tidak mencukupi. Maksudnya dalam beberapa jarak tertentu dari tanda arah yang telah kita jumpa tiba-tiba kita menemui beberapa simpang. Disini tidak ditunjukkan tanda arah yang boleh memandu tetamu simpang mana yang perlu diambil terutama disimpang-simapang dalam taman perumahan. Mungkin tuan rumah menganggap memadai saja memberikan nama jalan dan no rumah. Tetapi sebenarnya kepada orang yang kali pertama ke tempat itu ianya tidak semudah itu jika berpandukan nama jalan dan no. rumah kerana ada juga sistem meletakkan tanda arah jalan  tidak teratur, dari no. 1 melompat jadi no.6 misalnya. Tambah-tambah lagi jika tulisan tanda arah jalan itu telah luntur atau hilang akibat dirosakkan atau tiada tanda arah.

Bagaimanapun secara keseluruhannya tanda arah yang diberi telah memudahkan tetamau untuk hadir ke majlis yang diadakan.

Satu perkara lagi ialah tentang tanda arah yang terbiar dan menjadi sampah selepas majlis diadakan. Ini memburukkan pandangan. Sewajarnya pihak yang meletakkan tanda arh itu lebih bertanggongjawab untuk mengutip dan membersihkan tempat-tempat yang telah digunakan itu. Tidaklah wajar dibiarkan begitu saja dan mengharapkan pihak majlis tempatan untuk membersihkannya. Jadilah warga negara yang lebih bertanggongjawab. Bukankan cara itu akan menngekalkan kecantikan tempat kita. Sama seperti hasrat kita untuk mencantikkan majlis perkahwinan kita, begitulah harapan semua orang untuk melihat tempat/kawasan/persekitaran yang cantik dan bersih.

Mudah-mudahan penanda arah dan kain rentang yang kita sediakan itu akan menyeri dan mencantikkan majlis kita disamping dapat memudahkan tetamu untuk sampai ke majlis kita. Dan kita juga bertanggongjawab untuk mengekal dan mewujudkan persekitaran yang cantik dan bersih dengan menurun semula kain rentang dan membuang keratas/papan tanda arah yang kita letak disepanjang jalan/persimpangan.        

Ahad, 4 Mac 2012

Maafkanlah Najib dan Sahabat Serombngan Dengannya.

PM Najib telah menyatakan penyesalan secara terbuka akan kesilapan yang telah dilakukan. Kesilapan yang telah dilakukan bersama-sama sahabat-sahabatnya  kepada rakyat Malaysia. Lantas telah memohon maaf. Ini satu tindakan yang terpuji dan berani. Tidak mudah bagi ketua kepada parti yang memerintah menurunkan diri sehingga ketahap mengaku kesilapan dan memohon maaf. Bukan kerja yang mudah.

Jadi apakah sambutan kita terhadap permohonan maaf secara terbuka itu? Sewajarnya kita tidak berlengah menerima permohonan maaf itu. Maafkan lah mereka, maafkanlah PM Najib dan sahabat-sahabat yang sekelompok dengannya. Janganlah pula kita mencari-cari alasan menyimpan lagi rasa marah dan dendam terhadap mereka. Dendam kesumat tidak memberi apa-apa guna. Tidak berfaedah. Tidak ada menfaat kepada kita manusia. Apa tah lagi kalau kita menyandarkan respons kita itu merujuk kepada ajaran agama kita, agama  Islam. Memaafkan, itulah yang diajar kepada kita. Dan agama atau kepercayaan yang lain juga saya percaya mempunyai sikap yang sama.

Semua orang atau pihak tidak sunyi melakukan kesilapan. Tidak terkecuali PM Najib dan sahabat-sahabatnya.Tambah-tambah lagi Najib telah   di beri tanggongjawab dan amanah dalam mengurus tadbir negara. Terlalu banyak yang perlu dilakukan. Terlalu banyak yang perlu di fikirkan. Dan terlalu banyak yang perlu dihadapi. Mana mungkin dalam keadaan seperti ini Najib tidak akan membuat kesilapan/kesalahan. Mana mungkin Najib dapat menentukan sahabat-sahabatnya yang lain tidak akan membuat salah. Mustahil. Dan mana mungkin Najib dan sahabat-sahabat yang lain yang telah mewarisi kekuasaan sebegitu lama melebihi 50 tahun akan tidak alpa seminit dua akan amanah yang telah diberikan, lantas nafsu tamak haloba dik kuasa yang begitu lama menghanyutkan jiwa murni mereka ke lembah yang hina penuh dosa. Memang tidak mungkin. Mereka tidak memohon maafpun , kita tahu bahawa mereka telah menjerumus dan terjerumus ke dalam lembah yang hina. 

Jadi sekarang mereka telah mohon maaf. Mereka telah insaf. Saya percaya ini adalah taubat mereka. Maka dengan hati terbuka dan penuh keinsafan kita maafkan mereka.

Cara kita memafkan mereka bukan secara berdendam mengungkit-ungkit kesalahan mereka. Dan kita hendaklah mewujudkan peluang kepada mereka berfikir secara tenang, melepaskan mereka dari bebanan memikul tanggongjawab dan amanah menguruskan negara dan berisghfar banyak-banyak memohon keampunan atas kesalahan pecah amanh yang telah mereka lakukan. Paling baik dan yang terbaik saya rasa Najib dan kawan-kawannya itu tidak lagi terlibat dalam pemilihan pada pilihanraya yang akan datang ini. Gunakanlah masa yang akan datang ini dengan sebaik mungkin menyesali akan perbuatan yang tidak beramanah yang telah dilakukan. Tetapi jika masih lagi mempunyai nafsu untuk bertanding dan mahu mengurus negara kita tolak mereka menjadi pemerhati dan penyelia pula. Jadi pihak pembangkang pula supaya kedudukan seperti ini lebih menginsafkan mereka.

Itulah cara kemaafan yang wajar kita berikan.

Sabtu, 3 Mac 2012

Tiada Pemberi Tiada Pengemis. Atau Tiada Perompak Tiada Pengemis.

Tiada Pemberi Tiada Pengemis. Itulah tajuk khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid tempat saya menunaikan fardhu Jumaat hari ini 2 Mac 2012. Mungkin di masjid-masjid yang lain di Wilayah Persekutuan mendengar khutbah atas tajuk yang sama.

Intisari dari khutbah atas tajuk itu ialah bahawa umat Islam digalakkan berusaha dari meminta-minta terutama orang yang mempunyai fizikal yang sempurna.  Secara keseluruhannya saya amat bersetuju apa yang telah disampaikan dalam khutbah itu. Tetapi khutbah itu tidak pula menyentuh tentang bagaimana cara untuk mengurangkan pengemis ini. Tidak juga menyentuh tentang tanggongjawab pihak yang berkuasa. Mungkin ruang masa tidak mencukupi. Tidak mengapa.

Kenapa kita perlu meminta sedekah? Mengemis di berbagai tempat dengan melakukan berbagai gaya untuk meraih simpati dan belas ikhsan . 

Ada yang berpakaian compang camping dan berbau busuk duduk diatas jambatan, ditepi-tepi kedai dan dimana-mana saja yang dikira sebagai tempat laluan orang ramai . Pilihan paling popular ialah di jambatan-jambatan berhampiran dengan stesyen bas atau teksi kerana terdapat ramai orang. Begitu juga di kaki-kaki lima kompleks perniagaan.

Ada yang menggunakan khidmat orang lain untuk membimbing tangan pergi dari satu meja ke satu meja dikedai makan atau restoran. Orang seperti ini biasanya memakai cermin mata hitam sebagai isyarat beliau adalah seorang yang cacat penglihatan. Ada juga yang benar-benar cacat penglihatan. Tetapi yang membimbing tangannya itu adalah orang yang segar bugar.  

Ada juga yang mengatakan mereka tidak kecukupan wang untuk tambang balik ke kampong kerana wang telah dicuri dan ada juga yang memohon bantuan kerana rugi dalam perniagaan dan berbagai lagi daya tarikan simpati dan belas ikhsan digunakan.

Yang paling terkedepan sekali ialah meminta bantuan/sedekah/sumbangan ikhlas bagi  tujuan pembangunan ummah misalnya untuk membina masjid/surau/sekolah agama , rumah anak yatim, menyambumg pelajaran agama dalam dan luar negeri , dan berbagai lagi. Sandaran yang digunakan bagi meyakinkan kita ialah surat-surat perakuan dari pihak-pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam setempat. Mereka ini mudah kita ketemu di tepi-tepi pintu bank, di perhatian-perhentian bas dan teksi, di kawasan rihat dan riadah di lebuhraya, dan di kompleks-kompleks perniagaan. 

Walaupun mereka meraih bantuan dan tidak sebagai peminta sedekah tapi bagi saya ianya juga satu bentuk minta sedekah atau kerja mengemis yang diubah suai. Lihat saja pakaian mereka. Lihat juga siapa yang terlibat. Lihat juga kaedah yang mereka gunakan.

Peminta sedekah atau pengemis seperti ini tidaklah berpakaian compang camping dan kotor. Malah penampilannya kadang-kadang melebihi kita yang berpakaian sederhana. Mereka ini terdiri dari anak-anak sekolah yang dianggarkan berusia 12 hingga 17 tahun. Berbeza dengan peminta sedekah yang lain, mereka menyediakan resit sebagai akuan penerimaan bantuan. Maka dengan cara ini boleh memberi keyakinan kepada orang untuk menghulurkan bantuan.

Apa pun cara dan gaya digunakan oleh golongan-golongan yang meminta sedekah/bantuan itu, gejala seperti ini wajarlah diberi perhatian oleh kita semua termasuk pihak berkuasa. Memang benar tidak kesemua dari peminta itu melakukan penipuan. Sesungguhnya mereka perlu dibantu. Mereka ini wajar di beri pertolongan. 

Tetapi saya kurang setuju mereka melakukan di khalayak ramai misalnya di jambatan-jambatan, dikaki lima, di pintu-pintu bank, di restoran dan di mana-mana tempat awam. Saya juga tidak bersetuju jika pihak-pihak berkuasa mengeluarkan surat sokongan atau perakuan kepada pihak atau orang perseorangan bagi tujuan mendapat bantuan.

Maksud saya ialah saya tidak bersetuju pengemis jalanan. Bermakna mereka yang perlukan bantuan/sedekah itu tidak perlu melakukan pengemisan jalanan. Tidak perlu menadah tangan atau meminta bantuan di tempaat-tempat yang dikatakan diatas tadi misalnya di jambatan. 

Jadi bagaimana kita boleh membantu mereka yang berkeperluan ini?

Dua pihak boleh memainkan peranan utama iaitu kita orang ramai yang bermurah hati ini dan Pihak Berkuasa yang bertanggongjawab untuk memberi kehidupan sejahtera kepada rakyat. 

Saya menyentuh dulu peranan pihak berkuasa yang bertanggongjawab.  Pihak-pihak yang bertanggongjawab seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya mestilah mempunyai program bagi membantu mereka misalnya mengadakan tempat tinggal dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk melakukan pekerjaan tertentu. Soal kekurangan wang atau tiada wang adalah satu alasan yang tidak boleh di pakai. Negara kita amat kaya. Hasil kutipan zakat terlalu banyak. 

Apa bukti negara kita kaya? Buktinya ialah wang telah banyak disalah gunakan. Berapa banyak wang yang telah disalah urus yang menyebabkan kerugian. Jumlah kerugian berbilion seperti dalam kes kerugian syarikat MAS, pembelian peralatan tentera termasuk kapal selam, kes NFC, kerugian disebabkan pembinaan yang tidak sempurna seperti kes keruntuhan stadium di Terengganu dan banyak banyak banyak dan terlalu banyak sehingga tidak mencukupi ruang untuk di tulis. Pada zaman pemerintahan Mahathir saja telah di beritakan negara kerugian 100 bilion. Sungguh sedih dan menyakitkan hati. 

Sedih dan sakit hati sebab bilangan orang yang mengemis dijalanan semakin bertambah. Sedih dan sakit hati sebab anak-anak muda yang dahagakan pelajaran tidak mampu berbuat demikian kerana tidak punya wang yang cukup. Hendak belajar pun kena bayar. Bilangan yang dapat biasiswa semakin mengecil.  Gantinya ialah berhutang dengan PTPTN. Belum bekerja kena bayar hutang. Bebankan anak-anak muda yang baru saja mahu kenal kehidupan. 
Bukankah ini boleh menyusah dan memiskinkan rakyat? Kalau jadi orang miskin mereka kena minta bantuan. Kalau tiada bantuan maka mereka mula mengemis.

Macam mana pula dengan hasil zakat? Hasil zakat terlalu banyak. Buktinya kerana terlau banyak wang zakat disalahgunakan.

Jadi untuk melakukan tindakan menghapuskan pengemis jalanan ini adalah sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan. Tidak perlu keluarkan surat akuan atau sokongan kepada mana-mana pihak yang perlukan bantuan.

Orang ramai juga walaupun berniat baik diharapkan tidak mudah memberi sedekah atau bantuan kepada pengemis jalanan ini. Pertama ada kemungkinan sebahagian dari pengemis itu melakukan penipuan. Kedua jika ada yang sanggup memberi maka untuk menghapuskan yang meminta adalah rumit sekali kerana kerja mengemis ini adalah satu pekerjaan yang mudah. Di Malaysia ini kerja ini menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Yang penting bagi saya ialah kita semua mestilah menghapuskan perompak harta negara. Mereka inilah sebenarnya yang membuatkan sebahagian dari kita jadi pengemis. Memang benar jadi pengemis adalah satu perbuatan yang boleh menjatuhkan harga diri. Bagaimana pula mereka yang merompak wang negara? Bukan itu saja pandai pula berdalih. Kita panggil saja mereka ini......Maaf saya tidak jumpa perkataan yang sesuai.